Rabu, 13 Jun 2012

Catatan Perjalanan Umrah - Lambaian Tanah Suci

SMAHADZIR

KESEMPATAN menjejakkan kaki ke Tanah Suci, pasti menjadi antara detik paling manis dan berharga dalam diri penulis dan sesiapa saja yang bergelar jemaah umrah atau haji. Siapa yang tidak mahu menjadi tetamu Allah, beribadat sambil menyelami keistimewaan destinasi idaman umat Islam ini. Sudah pasti, pengalaman penulis yang mengunjungi Mekah dan Madinah untuk menunaikan umrah merupakan sesuatu yang tak dapat dilupakan sepanjang hayat.

 

Penulis dan isteri sewaktu dalam perjalanan ke Masjid Nabawi di Madinah

Sebelum ini penulis hanya mendapat maklumat tentang dua kota suci ini melalui bahan-bahan informasi dan juga melalui rakan-rakan yang pernah ke sini suatu ketika dulu. Ada maklumat tentang sebelum kota suci ini dibangunkan, ada maklumat yang penulis garap dari pelbagai buku, amat jauh berbeza dengan apa yang dilihat sendiri. Itulah yang dirasai penulis.


Lapangan Terbang Abu Dhabi - moden dan menyediakan banyak kemudahan kepada para pelanggan. Dua jam di sini tidak memungkinkan penulis berjaya menyelusuri setiap pojoknya dengan sempurna

Tanggal 29 Mei 2012 merupakan hari yang begitu bermakna dalam hidup penulis suami isteri. Sejak awal pagi lagi isteri penulis sudah tidak berenggang dengan bagasi yang akan dibawa ke Tanah Suci. Penerbangan dijadualkan jam 8.30 malam dan kami diminta supaya berkumpul di Aras 5 KLIA 3 jam sebelum masa berlepas. Pasport, tiket dan boarding pass akan diserah kepada kami di KLIA nanti oleh pihak pengurusan Muhammadiyah Travel & Tour Sdn Bhd. Setibanya di Jeddah atau Madinah, khabarnya rombongan kami akan disambut oleh mutawwif dan pegawai umrah Madinah atau Mekah untuk dibawa menaiki bas ke hotel yang telah ditetapkan.


Tong-tong air zam-zam disediakan dipelbagai tempat untuk kegunaan para jemaah

Penulis merafak rasa syukur yang tidak terhingga ke hadirat Allah Azzawajalla kerana dengan izin-Nya, penulis diberi kesempatan menjejakkan kaki di Mekah dan Madinah sebelum hayat di penghujung usia. Penulis bersama isteri bertolak dari KLIA pada tanggal 29 Mei 2012, singgah di Abu Dhabi selama 2 jam sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah, Madinah dan Mekah. Sewaktu di Abu Dhabi, penulis sempat merakamkan suasana moden lapangan terbang Abu Dhabi yang begitu menakjubkan. Namun, hanya sekitar 2 jam tidak memungkinkan penulis menyelongkar keindahan dan kemodenan lapangan terbang ini secara menyeluruh.


 Betapa indah dan damainya Raudhah, dirakamkan penulis sewaktu bahagian ini mahu ditutup untuk tujuan pembersihan

Sesungguhnya, hasrat penulis mahu menunaikan umrah bermula pada penghujung tahun 2011 namun tidak tertunai disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun tertunai juga akhirnya. Setelah berbincang dengan pihak Muhammadiyah Travel & Tours Sdn Bhd yang berpejabat di Nilai, Negeri Sembilan, penulis suami isteri terus membuat tempatan dan pada tanggal 29 Mei 2012 kami diizinkan Azwajalla meninggalkan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Dari situ kami menaiki pesawat Etihad menuju ke Abu Dhabi pada jam 8.30 malam. Pemergian kami diiringi oleh doa restu anak-anak cucu, rakan taulan, sahabat handai dan saudara mara.


Di hadapan Kaabah - Baitullah

Perjalanan selama 10 jam memang sedikit meletihkan. Pesawat 747 itu membawa 400 penumpang dan kebanyakan pramugarinya adalah rakyat Arab. Mereka manis dan mesra. Kami dilayan dengan baik. Makanan yang disediakan sesuai untuk selera penulis, iaitu nasi Arab dan nasi beriyani kambing pula kegemaran isteri penulis. Kami terpaksa singgah di Abu Dhabi selama 2 jam sebelum meneruskan penerbangan ke di Jeddah jam 11.30 malam waktu Arab Saudi.


                                   
                         Suasana di salah satu jalan di kota Mekah


Jeddah


Sewaktu tiba di Jeddah terasa begitu gembira kerana ini merupakan kali pertama kami tiba di Jeddah. Sebelum berangkat ke Tanah Suci ini penulis telah menyelongkar sedikit khazanah ilmu berkenaan dengan Jeddah. Menurut maklumat yang penulis dapati, terdapat dua riwayat mengenai nama ‘Jeddah’. Yang pertama riwayat menyatakan bahawa nama ‘Jeddah’ bermakna ‘tepi pantai’ kerana Jeddah terletak di pantai Laut Merah yang kemudiannya menjadi pelabuhan terpenting di Arab Saudi. Riwayat yang lagi satu (yang lebih lazim dan popular) menceritakan nama Jeddah berasal daripada perkataan ‘jaddah’, perkataan Arab yang bermaksud ‘nenek’.




Mihrab Masjid Nabawi

Mengikut cerita rakyat masyarakat Arab, makam Hawa, isteri Nabi Adam a.s. terdapat di Jeddah di koordinat 21.492° N 39.19° E. Oleh kerana Hawa adalah leluhur semua manusia, tempatnya dinamakan ‘Jeddah’ sempena nama beliau. Makam yang dikatakan makam Hawa ini telah ditutup oleh kerajaan Arab Saudi yang tidak membenarkan penziarah yang mendirikan solat dan berdoa di makam tersebut, kerana ini ditakrifkan sebagai menyimpang daripada pegangan Wahabi yang diamalkan di Arab Saudi.


Salah satu sudut di Raudhah – di sinilah tempat yang selalu menjadi tempat solat Rasulullah s.a.w. Penulis berkesempatan bersolat di sini dan selalunya menjadi tempat yang paling digemari para jemaah sehingga ada yang sanggup menolak orang lain semata-mata untuk mendapatkan tempat di sini

Dalam dokumen rasmi kerajaan Arab Saudi dan di dalam peta-peta, bandar raya ini dilabelkan sebagai ‘Jeddah’, tetapi pejabat Hal Ehwal Luar Dan Komanwel British memanggil bandar ini sebagai ‘Jedda’ walaupun lain-lain jabatan dan pejabat rasmi British menggunakan nama Jeddah.


Suasana di hadapan Baitullah ketika ibadah tawaf dilakukan

Kota Lama Al-Balad mempunyai bangunan rumah dan pejabat komersial yang bertingkat-tingkat dan dibina mengikut binaan tradisional kini sudah ditenggelami pembangunan moden yang lebih di pengaruhi seni reka barat. Tetapi kebelakangan ini, terdapat pergerakan masyarakat yang kembali mementingkan seni reka tradisional dan terdapat usaha-usaha serius untuk mengekal dan memulihhara bangunan-bangunan tradisional.


Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah s.a.w sebaik baginda berhijrah ke Madinah

Bandar raya Jeddah mempunyai beberapa pantai persendirian, termasuk Durrat Al-Arus, Crystal Resort, FAL, Al-Remal, Shums, Bait Albahar, Salhia, Sheraton Abhur dan Al-Nakheel Village. Kesemua resort ini mempunyai tarikan hidupan laut dan kehidupan terumbu Laut Merah.

Jeddah diasaskan sebagai perkampungan nelayan lebih daripada 2,500 tahun yang lalu. Namun demikian, perkampungan ini hanya mendapat perhatian dalam tahun 647 Sebelum Masehi apabila Khalifah Uthman ibn Affan menggunakan pelabuhan di Jeddah sebagai pelabuhan singgah untuk jemaah haji yang hendak menunaikan haji ke Mekah. Selepas zaman Khulafa al-Rasyidin, Jeddah menjadi bandar utama daerah Hijaz ataupun Hejaz dan terus berkembang menjadi pelabuhan utama untuk jemaah-jemaah Haji yang membuat perjalanan menggunakan jalan laut.


Bersolat di Masjid Qiblatain. Kita bersatu dalam satu agama, satu kepercayaan dan satu akidah. Innamalmukminunaikhwakth

Pada penghujung abad ke-17, Kerajaan Uthmaniah telah menakluki Hijaz termasuk bandar suci Mekah dan juga pelabuhan Jeddah. Kerajaan Uthmaniah telah membina tembok kota Jeddah berikutan kemenangan mereka mengalahkan armada Lopo Soares de Albergaria Portugis dalam pertempuran di Laut Merah.


                                         Masjid Tan’im atau Masjid Siti Aisyah


Semasa Perang Dunia Pertama, Sharif Mekah yang menjadi wakil kepada kerajaan Uthmaniah di tanah Arab memberontak menentang kerajaan Uthmaniah dan menuntut satu kebebasan untuk negara Arab yang bersatu yang merentasi Aleppo di Syria hingga ke Aden di di Yemen. Selepas Perang Dunia Pertama, Putera Ibn Sa’ud yang berasal daripada wilayah Najd menawan Mekah dalam tahun 1924, dan bandar-bandar Madinah dan pelabuhan Jeddah dan mengguling-kan Sharif Mekah Hussein Bin ‘Ali Al Hashem. Hussein melarikan diri ke Cyprus sebelum berhijrah dan menetap di Amman, Jordan di mana warisnya mengasaskan keluarga diraja Hashimiyah Jordan yang menjadi Raja Jordan. Dalam tahun 1926, Raja Ibn Sa’ud mengambil gelaran Sultan Hijaz di samping gelaran Sultan Najd.


Suasana di Masjidil Haram di kota Mekah

Ketika ini, Jeddah sudah kehilangan kepentingannya dalam politik Semenanjung Arab. Hijaz pula dipecahkan menjadi wilayah-wilayah kecil dan Jeddah kini diletakkan di dalam wilayah Mekah dengan bandar Mekah sebagai bandar provinsinya.


Masjidil Haram dalam proses pembesaran

Pengangkutan udara Jeddah dikendalikan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz. Salah sebuah terminal dikhususkan untuk kegunaan semasa musim haji, dan boleh dikenali kerana mempunyai seni reka seperti khemah kaum Badawi. Terminal ini direka untuk mengendalikan lebih daripada 2 juta jemaah yang menggunakan terminal ini semasa musim haji. Pelabuhan Jeddah pula adalah pelabuhan ke-30 paling sibuk dalam kategori kendalian kontena dan mengendalikan sebahagian besar kendalian laut komersial Arab Saudi.


Suasana di salah satu sudut di Masjidil Haram

Dari Jeddah kami dibawa pula ke kota Madinah. Penulis dan isteri tiba di kota Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah dengan selamat dan ditempatkan di Hotel Durrat Fayroz yang jaraknya sekitar 80 meter dari Masjid Nabawi. Madinah merupakan kota suci kedua bagi umat Islam selepas Mekah. Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah ke Madinah mengambil masa lebih kurang enam jam. Rasa letih dalam penerbangan Etihad dari Abu Dhabi masih belum lenyap namun terasa segar oleh alam sekitar Tanah Arab yang begitu asing bagi diri penulis. 


Air zam-zam diedarkan secara percuma kepada para jemaah

Maklumlah, kalau di Malaysia kehijauan alam menjadi tatapan mangli di sepanjang perjalanan ke mana saja cerok pelosok negara tetapi di sini satu kontradiksi yang ketara. Sepanjang perjalanan melalui lebuh raya, hanya terbentang pemandangan padang pasir, bukit-bukit batu berpasir, gunung-ganang dan ladang unta di kiri dan kanan laluan. Sesekali bas yang dinaiki jemaah berhenti di beberapa lokasi untuk mengisi perut dan menunaikan solat. 


                            Masjid Quba’ dilihat dari bahagian sisi

 Disebabkan waktu ketibaan kami di tempat penginapan di Madinah sudah menghampiri subuh, pembimbing kami atau mutawwif meminta kami membersihkan diri dan berehat di bilik hotel sebelum memulakan ziarah esoknya. Hotel Durrat Fayroz merupakan sebuah hotel bertaraf empat bintang. Pelbagai kemudahan untuk para pelanggan ada disediakan di hotel ini. Malam di sini begitu dingin dan kadang-kadang rasa mencokot juga tulang-temulang.



             Masjid Qiblatain terletak di bahagian barat laut Madinah 


Madinah

Kalau sebelum ini kota Madinah dilahap penulis melalui bahan bacaan seperti buku dan majalah tetapi kini diri penulis sendiri dipeluk akrab kota bersejarah ini. Madinah atau Madinah al-Munawwarah ialah salah sebuah kota yang terdapat di wilayah Hijaz, Arab Saudi. Madinah mempunyai penduduk lebih dari 900,000 orang. Madinah pada asalnya bernama Yathrib tetapi selepas peristiwa hijrah, namanya diubah kepada Madinat Al-Nabi (Kota Nabi) ataupun al-Madinah al-Munawwarah (Kota Yang Bercahaya) sementara perkataan Madinah bermaksud ‘bandar atau kota’.


     Di Masjid Quba’ juga ramai dengan para jemaah. Penulis hanya berada di   
  masjid ini sekitar setengah jam sahaja kerana selepas itu dibawa ke sebuah 
              ladang kurma yang letaknya tidak berapa jauh dari sini

Madinah ialah kota paling suci yang kedua bagi umat Islam. Ini adalah kerana di Madinah terletaknya Masjid an-Nabawi yang mana terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w.. Kawasan itu dibina di atas tapak rumah Nabi Muhammad s.a.w. Rumah baginda kemudiannnya menjadi sebahagian daripada bangunan masjid apabila masjid itu diperbesar-kan oleh Khalifah Al-Walid ibni Abdul Malik daripada Kerajaan Ummaiyyah. Masjid pertama yang dibina umat Islam juga terletak di Madinah iaitu Masjid Quba’.


                Para jemaah sedang bersolat di Masjid Qiblatain


Ramai ahli sejarah percaya bahawa sebelum hijrah Nabi Muhammad s.a.w. ke Yathrib, kota ini merupakan sebuah penempatan yang tidak maju seperti Mekah sama ada dalam segi pembinaan, masyarakat dan sebagainya. Yathrib diasaskan oleh Yathrib bin Mahlaeil. Kawasan ini subur dengan tanaman seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan kaya dengan air. Ini menyebabkan Yathrib dikunjungi dan akhirnya diduduki oleh manusia dari kawasan setempat. Pada tahun 455 SM, suku-suku Arab dari utara mengunjungi dan akhirnya menetap di Yathrib.


Masjid Qiblatain masjid dua kiblat

Jika menurut sumber-sumber serta bahan-bahan rujukan sejarah, Yathrib sebelum hijrah hanyalah sebuah kumpulan komuniti masyara-kat yang kecil khususnya selepas kedatangan masyarakat Yahudi. Pada hari Isnin, 20 September 622 Masehi berlakunya penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah. Ramai orientalis barat mengganggap tindakan ini ialah melarikan diri. Penghijrahan ini berlaku bukan kerana umat Islam takut akan ancaman puak Quraish Mekah tetapi adalah kerana jemputan penduduk Madinah sendiri.


Suasana dalam Masjid Qiblatain

Menurut sumber-sumber Islam yang autentik seperti hadis, sejarah telah mencatatkan bahawa Madinah mempunyai dua puak yang berbeza iaitu Aus dan Khazraj di samping tiga suku Yahudi iaitu Banu Qainuka’a, Banu Nadhir dan Banu Qurayza. Suku Aus dan Khazraj menguasai kota Yathrib tetapi sering berbalah antara satu sama lain dan asyik berperang sesama mereka. Mengikut ahli sejarah Islam, kedua-dua puak ini mengetahui akan kewujudan seorang rasul di Mekah yang mana pengikutnya sering diseksa oleh kaum Quraish Mekah. Mereka berbuat keputusan untuk berjumpa dengan rasul ini untuk mengatasi konflik di antara mereka.


Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikutnya bersetuju untuk berhijrah ke Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah. Selepas tiba di Madinah Nabi Muhammad s.a.w. merangka sebuah perlembagaan bagi menyatupadukan penduduk Madinah. Perlembaga-an itu dipersetujui oleh semua penduduk Madinah dan dikenali sebagai Piagam Madinah.

  
Masjid Saidina Ali

Selepas masyarakat Islam bertapak kuat di Madinah, kaum Quraish Mekah mula berasa terancam dengan kuasa baru ini. Pada tahun 627 Masehi, tentera Mekah di bawah pimpinan Abu Sufyan menyerang Madinah. Abu Sufyan dikatakan meminta pertolongan Banu Qurayza salah satu suku Yahudi untuk menolong mereka menewaskan orang Muslim. Menurut Sahih Bukhari, pertolongan Banu Qurayza terhadap Abu Sufyan telah melanggar perjanjian yang terdapat di dalam Piagam Madinah. Oleh kerana itu semua orang lelaki kaum itu dihukum bunuh setelah pengadilan dijalankan oleh Saad ibni Muadh.


Pemandangan dari luar Masjid Nabawi. Kali pertama penulis merakamkan objek ini dengan perasaan yang sungguh syahdu, terharu dan diulit ketenangan jiwa

Pada tahun kesepuluh Hijrah, Madinah menjadi sebuah tempat di mana umat Islam diserang atau menyerang musuh. Sehinggalah baginda Rasulullah s.a.w berjaya membuka kota Mekah tanpa menumpahkan walaupun setitik darah. Walaupun selepas tertubuh-nya Khulafa al-Rasyidin, Madinah terus menjadi ibu kota kerajaan Islam.


               Suasana pada waktu malam di pekarangan Masjid Nabawi

Di bawah pemerintahan Khulafa al-Rasyidin, empayar Islam berkembang dengan pantas sehinggakan tentera Islam berjaya menakluk kota-kota yang penting seperti Damsyik, Baitulmuqaddis, Iskandariah, dan Baghdad. Selepas kematian khalifah keempat Khulafa al-Rasyidin iaitu Saidina Ali bin Abi Talib, Muawiyyah yang pada ketika itu merupa-kan Gabenor Damsyik mengubah pusat pemerintahan kerajaan Islam ke Damsyik. Beliau kemudiannya menubuhkan dan mengasaskan Kerajaan Ummaiyyah. Kota Madinah kemudiannya hanya menjadi pusat keagamaan sahaja daripada menjadi pusat politik.


Maqam Ibrahim dilihat dari atas

Pada tahun 1924, Madinah yang sudah lama berada di bawah kekuasaan Uthmaniyyah jatuh ke tangan Ibnu Saud yang kemudian-nya menjadi Raja Arab Saudi. Begitulah serba sedikit sejarah tentang Madinah yang sekian lama penulis kulum kemas dalam lipatan benak.


Maqam Ibrahim 

Yang jelasnya, tatkala melemparkan mata pandang menyeluruhi juzuk kota Madinah ini, terkenang kehebatan, kecekalan, ketabahan dan kesungguhan baginda Junjungan dalam menyebarkan syiar Islam di kalangan masyarakat sehingga gah seluruh dunia. Di sini juga terdapat Masjid Nabawi yang tersergam indah dan mendamaikan perasaan.


                        Mengerjakan ibadah tawaf ketika berihram 

Alhamdulillah penulis dan rakan-rakan umrah yang lain begitu semangat dan teruja apabila melihat dengan mata sendiri (ayn al-yaqin), kota Madinah yang mempunyai seribu satu makna bagi umat Islam. Seawal Maghrib sudah ada ikhwah yang menempah tempat di Raudhah dari saf belakang dan mara ke depan sedikit demi sedikit sehinggalah azan Isyak.


Suasana sesak di Maqam Ibrahim

Keesokannya penulis bangun agak awal. Selepas menunaikan fardu Subuh dan sunat Israk, penulis bertafakur sejenak dan memohon agar Allah memberi kesihatan yang baik untuk penulis menyelusuri suasana indah di bumi anbiya ini. Selepas sarapan, jam 7.00 pagi penulis dan rakan jemaah yang lain diminta berkumpul di lobi hotel untuk menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba’, Masjid Qiblaitain, Masjid Tujuh, Makam Rasulullah dan para sahabat, Raudhah dan Perkuburan Baqi’, ladang dan pasar kurma untuk membeli belah. Kami diberitahu bahawa selesai ziarah, semua jemaah bebas untuk melakukan apa juga aktiviti seperti membeli belah dan sebagainya.


Makam Rasulullah s.a.w bersebelahan dengan Makam Saidina Abu Bakar dan 
                             Makam Saidina Umar dilihat dari jauh

Namun penulis dan isteri lebih memilih untuk beribadat di Masjid Nabawi. Kelebihan bersolat di Masjid Nabawi; sabda Rasulullah s.a.w: ‘Pahala sembahyang di masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada sembahyang di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram.’


Salah satu sudut di kota Madinah

Memang indah, damai dan menenangkan fikiran. Terkenang pelbagai peristiwa sejarah yang berlaku di sini. Banyak sirah perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat di kota ini yang penulis telah rakamkan dalam kotak benak sejak sekian lama.


                        Suasana di kota Madinah menjelang petang

Masjid Nabawi

Mahu bersolat di Masjid Nabawi ini memang telah lama menjadi hasrat yang terpendam bagi penulis. Beberapa hari sebelum bertolak ke Tanah Suci ini penulis telah beberapa kali bermimpi bersolat di Masjid Nabawi. Justeru tatkala kali pertama melihat Masjid Nabawi ini dengan mata kepala penulis sendiri, beberapa titik air mata mengalir tanpa dapat ditahan-tahan. Betapa besar dan agung kuasa-Nya memberi kesempatan dan kudrat kepada penulis untuk mendirikan solat di masjid ini.


Antara bangunan-bangunan yang terdapat di kota Madinah. 

Masjid an-Nabawi atau Masjid Nabi merupakan masjid kedua paling suci bagi kita umat Islam. Di sini juga terdapat Makam Rasullullah s.a.w. Masjidil Haram merupakan masjid paling suci dan Masjid Al-Aqsa merupakan masjid ketiga paling suci bagi kita umat Islam. Masjid ini asalnya dibina sendiri oleh Rasullullah s.a.w, bersebelahan dengan rumah yang baginda diami selepas peristiwa Hijrah pada tahun 622 Masehi. Masjid pertama yang didirikan oleh Rasullullah s.a.w semasa peristiwa Hijrah ialah Masjid Quba.

  
Suasana tidak terlalu sesak dengan kenderaan di kota Madinah

Rasulullah s.a.w telah mendirikan Masjid Nabawi atas asas takwa. Masjid ini terletak kira-kira 597 meter dari aras laut. Kedudukannya di tengah-tengah bandar Madinah menjadikannya seperti bulan purnama dan permata yang bersinar, sesuai dengan peranannya sebagai sumber cahaya dan keindahan Islam.


Suasana di hadapan Perkuburan Baqi

Tanah tapak masjid ini berasal daripada tempat mengering tamar kepunyaan dua orang anak yatim iaitu Suhail dan Sahl. Rasulullah s.a.w kemudiannya membeli tanah tersebut. Kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok tamar dan juga runtuhan-runtuhan lama yang kemudiannya dibersihkan dan diratakan untuk didirikan masjid. Kisah tanah ini terpilih untuk dijadikan tapak masjid sungguh unik sekali. Setelah Rasulullah s.a.w keluar dari Quba’ menuju ke kota Madinah, orang ramai bereut-rebut mengheret tali unta Rasulullah s.a.w untuk membawa baginda sebagai tetamu ke rumah masing-masing.


Alhamdulillah penulis dan rakan-rakan umrah yang lain begitu semangat dan teruja apabila melihat dengan mata sendiri (ayn al-yaqin), kota Madinah yang 
                     mempunyai seribu satu makna bagi umat Islam


Namun demikian Rasulullah s.a.w menyerahkan kepada unta baginda untuk membuat pilihan. Unta itu terus berjalan sambil berpaling ke kanan dan ke kiri seolah-olah mencari sesuatu, sehinggalah ia berhenti di tempat mimbar yang ada pada hari ini. Selepas ia berhenti, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Insya-Allah, di sinilah tempatnya’. Masjid Nabawi dibina buat pertama kalinya pada tahun pertama hijrah (622 Masehi) iaitu pada hari kedua setibanya Rasulullah s.a.w di kota Madinah.



Suasana di hadapan Masjid Nabawi di kota Madinah

 Ketika zaman Rasulullah s.a.w dan Khalifah Ar-Rasyidin, Masjid Nabawi tidaklah memiliki sebarang bentuk menara. Orang yang pertama sekali membina menara Masjid Nabawi ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada tahun 93 Hijrah, iaitu dengan mendirikan empat menara masjid yang berketinggian lebih kurang 27.5 meter pada empat sudut. Kemudian diikuti Qaitbay dengan membangunkan menara kelima di Babur Rahmah.




Buah kurma yang masih muda dan menghijau di atas pokok

Kelima-lima menara Masjid Nabawi ini terus dipertahankan sehinggalah tiga buah menaranya diruntuhkan untuk memberi laluan kepada projek Perluasan Saudi Pertama. Kemudiannya tiga menara yang diruntuhkan telah diganti dengan dua buah menara baru setinggi 72 meter.

Menurut catatan sejarah, awalnya, masjid ini berukuran sekitar 50 meter × 50 meter, dengan tinggi bumbung sekitar 3.5 meter. Keempat-empat dinding sisi masjid ini dibuat dari batu bata dan tanah, sedangkan atapnya dari daun kurma dengan tiang-tiang penopangnya dari batang kurma. Sebahagian atapnya dibiarkan terbuka. Selama sembilan tahun pertama, masjid ini tanpa cahaya penerang pada malam hari. Hanya pada waktu Isya, diberikan sedikit cahaya penerang dengan membakar jerami.


Unta-unta yang terdapat di sebuah ladang unta di Madinah, salah sebuah ladang unta yang dilawati penulis sewaktu berada di Madinah

Kemudian pada salah satu sisi masjid, dibina kediaman Rasulullah s.a.w. Kediaman baginda ini tidak berapa besar dan tidak mewah dari keadaan masjid, hanya lebih tertutup. Selain itu ada pula bahagian yang digunakan sebagai tempat orang-orang fakir dan miskin yang tidak memiliki rumah.


          Buah kurma yang masih muda dan menghijau di atas pokok


Setelah itu berkali-kali masjid ini diubahsuai, dibina semula dan diperluaskan. Renovasi yang pertama dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab pada tahun 17 Hijrah, dan yang kedua oleh Khalifah Utsman bin Affan pada tahun 29 Hijrah. Pada zaman moden, Raja Abdul Aziz pemimpin Kerajaan Arab Saudi telah meluaskan masjid ini menjadi 6,024 m² pada tahun 1372 Hijrah. Perluasan ini kemudiannya diteruskan oleh penerusnya, Raja Fahd pada tahun 1414 Hijrah, sehingga luas bangunan masjidnya hampir mencapai 100,000 m², ditambah dengan tingkat atas yang mencapai luas 67,000 m² dan pelataran masjid yang boleh digunakan untuk solat seluas 135,000 m². Masjid Nabawi kini boleh menampung kira-kira 535,000 jemaah.


Ini adalah sebuah tempat di sisi Masjid Quba’. Suasana sibuk dengan gelagat 
   manusia sewaktu berkunjung ke mana-mana sahaja di Madinah. Ada yang 
      menjual dan ada yang membeli. Semuanya dengan ragam tersendiri

Keutamaan Masjid Nabawi telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w., sebagaimana diterima dari Jabir r.a yang bermaksud: ‘Satu kali solat di masjidku ini, lebih besar pahalanya dari seribu kali solat di masjid yang lain, kecuali di Masjidil Haram. Dan satu kali solat di Masjidil Haram lebih utama dari seratus ribu kali solat di masjid lainnya.’ (Riwayat Ahmad, dengan sanad yang sah)


Pelbagai jenis kurma dijual di sebuah kedai kurma di Madinah

Diterima dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, yang bermaksud: ‘Barangsiapa melakukan solat di masjidku sebanyak empat puluh kali tanpa luput satu kali solat pun juga, maka akan dicatat kebebasannya dari neraka, kebebasan dari siksa dan terhindarlah ia dari kemunafikan.’ (Riwayat Ahmad dan Thabrani dengan sanad yang sah)


                                   Buah kurma yang masih muda 


Dari Sa’id bin Musaiyab, yang diterimanya dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, yang bermaksud: ‘Tidak perlu disediakan kenderaan, kecuali buat mengunjungi tiga buah masjid: Masjidil Haram, masjidku ini, dan Masjidil Aqsa.’ (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)


                              Buah kurma Ajwa yang paling mahal harganya – 
                                sekitar 100 – 120 riyal sekilogram

Berdasarkan hadis-hadis ini maka Kota Madinah dan terutama Masjid Nabawi selalu ramai dikunjungi oleh umat Islam yang sedang melaksanakan ibadah haji atau umrah sebagai amalan sunah.

Raudhah

Syukur kerana penulis juga telah diizinkan Allah s.w.t bersolat di Raudhah. Raudhah bermaksud taman dan merujuk kepada hadith Rasulullah s.a.w. ‘Apa yang ada di antara minbar dan rumahku adalah satu taman dari taman-taman syurga.’ Kawasan Raudhah dikenali di dalam Masjid Nabawi dengan warna permaidaninya yang berbeza dengan permaidani biasa yang berwarna merah. Penulis mengambil peluang keemasan berada di Raudhah dengan pelbagai bentuk ibadah seperti solat sunat, bacaan al-Quran dan zikir. Adab-adab di Raudhah perlu diberi perhatian seperti tidak bersikap kasar terhadap saudara-saudara lain, memberi ruang kepada saudara-saudara yang beribadat, beribadat dengan ikhlas dan khusyuk dengan pengharapan ingin beribadat kepada Allah s.w.t.


Buah kurma yang hampir masak bergayutan di pokok

Doa-doa yang dipanjatkan dari Raudhah ini diyakini akan dikabulkan oleh Allah s.w.t. Raudhah terletak di antara mimbar dengan makam (dahulu rumah) Rasulullah s.a.w. Diterima dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud): ‘Tempat yang terletak di antara rumahku dengan mimbarku merupakan suatu taman di antara taman-taman syurga, sedang mimbarku itu terletak di atas kolamku.’ (Riwayat Bukhari)


Ada pokok yang rendah dan ada yang tinggi. 
Suasana ini dapat dilihat di sebuah ladang kurma di Madinah

Rasulullah s.a.w. dimakamkan di tempat baginda wafat, yakni di tempat yang dahulunya adalah bilik Ummul Mukminin Aisyah r.a, isteri baginda Rasulullah s.a.w. Kemudian berturut-turut dimakamkan pula dua sahabat terdekat baginda di tempat yang sama, iaitu Abu Bakar Al-Shiddiq dan Umar Al-Khattab. Kerana perluasan-perluasan Masjid Nabawi, ketiga-tiga makam itu kini berada di dalam masjid, yakni di sudut tenggara (kiri depan) masjid. Aisyah sendiri, dan ramai lagi sahabat yang lain, dimakamkan di pemakaman umum Baqi. Dahulu terpisah cukup jauh, kini dengan perluasan masjid, Baqi terletak bersebelahan dengan halaman Masjid Nabawi.



Sejenis kurma yang terdapat di kedai kurma

Ziarah penulis dan rakan-rakan umrah yang lain bermula dengan kunjungan ke Masjid an-Nabawi atau lebih dikenali sebagai Masjid Nabi. Masjid yang dibina pada 622 Masehi ini, iaitu selepas penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari kota Mekah ke Madinah adalah masjid kedua paling suci bagi umat Islam selepas Masjidil Haram di Mekah. Di sinilah dimakamkan Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab. Dalam masjid ini, setiap amalan yang dilakukan akan digandakan 1,000 kali. Dalam masjid inilah terletaknya Raudhah yang penulis telah jelaskan di atas tadi. 


Seorang penjual kurma sedang menunjukkan tanda bagus kepada penulis menjelaskan bahawa kurma yang dijualnya semuanya bagus dan berkualiti

Meskipun terpaksa bersesak-sesak dengan jemaah lain, penulis dan isteri tetap bersemangat dan tidak melepaskan peluang menunaikan ibadat di kawasan Raudhah kerana ia salah satu kawasan yang sangat mustajab untuk berdoa. Penulis juga tidak melepaskan peluang menyampaikan salam di makam Rasulullah s.a.w. Air zam-zam dari Masjidil Haram turut disediakan di masjid ini. Terasa tenang dan damai fikiran apabila bersolat di sini. Bagaikan segala masalah hidup melenyap dan terbang entah ke mana. Semoga segala dosa-dosa penulis diampunkan Allah s.w.t dan putih bersih segala kamar hati yang selama ini sarat dengan mazmumah.


Kelihatan parit-parit kecil digali di sekitar pokok bagi proses pengaliran air

Penulis dan rakan-rakan umrah yang lain kemudiannya mengunjungi Tanah Perkuburan Baqi, kawasan makam untuk penduduk Madinah sejak zaman jahiliyah sehingga kini. Di sini ada makam Saidina Uthman bin Affan, isteri baginda Rasulullah s.a.w iaitu Siti Aisyah, Ummu Salamah, Zainab, Hafsah, Safiah dan Mariyah al-Qibtiyah. Selain itu, putera dan puteri Rasulullah s.a.w juga dikuburkan di sini. 

                                   
                      Buah kurma yang sudah masah di atas pokok

Makam Rasulullah s.a.w Dan Sahabat

Sukar untuk menghampiri makam baginda Rasulullah s.a.w dan para sahabat kerana kawasan ini ditutup dan dikawal rapi oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Makam Rasulullah s.a.w terletak di sudut timur Masjid Nabawi, dahulu dinamakan Maqshurah. Setelah Masjid Nabawi dibesarkan, makam itu termasuk di dalam bangunan masjid. Makam Rasulullah s.a.w itu sendiri dibatasi oleh pagar yang penuh dengan lukisan kaligrafi dan pintunya dilapisi emas. Namun begitu pihak berkuasa Arab Saudi menjaga ketat dengan pagar betis di sekeliling Makam Rasulullah sehingga penulis hanya mampu berdoa dari jarak lima meter. Pada bangunan ini terdapat empat buah pintu iaitu:

  1. Pintu sebelah kiblat dinamakan pintu At-Taubah.
  2. Pintu sebelah timur dinamakan pintu Fatimah.
  3. Pintu sebelah utara dinamakan pintu Tahajjud.
  4. Pintu sebelah barat ke Raudah (sudah ditutup).
Dalam ruangan ini terdapat 3 buah makam iaitu makam Rasulullah s.a.w, makam Abu Bakar As-Siddiq dan makam Umar ibnul Khattab. 


Pokok-pokok kurma menjulang tinggi di sebuah ladang kurma di Madinah

Masjid Quba’

Lawatan seterusnya ke Masjid Quba’, masjid pertama didirikan oleh Rasulullah s.a.w ketika sampai di Madinah. Menurut catatan sejarah, penduduk Quba’ adalah kumpulan pertama yang menyambut ketibaan Rasulullah s.a.w di Madinah ketika penghijrahan baginda dari Mekah. Jarak masjid ini dari kota Madinah hanya sekitar tiga kilometer sahaja. 


Sebuah ladang kurma di Madinah dilihat dari pintu masuk

Masjid Quba’ letaknya sekitar dua batu daripada Masjid Nabawi. Masjid ini diasaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w sebelum baginda tiba di Madinah melakukan berhijrah dari Mekah. Masjid Quba’ kemudian disiapkan oleh sahabat Rasulullah. Rasulullah s.a.w menghabiskan masa selama 20 malam (selepas hijrah) di samping bersembahyang dan beribadah kepada Allah s.w.t.. Rumah Saidina Ali terletak di belakang Masjid Quba’, dan menurut catatan sejarah Nabi Muham-mad akan mendirikan solat sunat sementara menunggu Saidina Ali. Masjid Quba’ disebut di dalam Al-Quran sebagai masjid yang dibangunkan di atas takwa.


Kilang cetak Al-Quran di Madinah

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin) [9:108]


Suasana di sebuah ladang kurma di Madinah

Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan orang yang membangunkannya ke dalam api Neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang zalim [9:109]


Suasana di sebuah ladang kurma di Madinah tak ubah seperti berada di ladang kelapa sawit di Malaysia

Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda kepada mereka: Apakah yang kamu lakukan sehingga Allah telah memperelokkan kamu dengan pujiannya? Mereka berkata: Kami telah menghimpunkan di antara batu dan air untuk bersuci.


                                        Ibadat tawaf di Baitullah

Semasa hayatnya, Nabi Muhammad s.a.w kerap mengunjungi Masjid Quba’ dan menunaikan solat sunat. Mengikut hadis Ibnu Umar r.a: Sesungguhnya Rasulullah pernah berkunjung ke Quba’ dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki. Telah diceritakan bahawa Nabi s.a.w menziarahi Masjid Quba’ pada tiap-tiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya. Kadang-kadang baginda pergi ke sana pada hari Isnin. (Bukhari: Jumaat: 1117, 18, 1119. Muslim: Haji: 2478, 2483)


Sepanjang masa kelihatan ramai jemaah melakukan ibadah sunat tawaf

Sabda Nabi s.a.w lagi: Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba’ lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat umrah. (Tirmizi: Sembahyang: 298. Ibnu Majah: Iqamat dan Sunatnya: 1401. Ahmad: Musnad Makkiyyin: 15414.)


Betapa tenang dan damainya hati dapat bersujud di hadapan Kaabah yang sekian lama menjadi dambaan hati. Ramai jemaah kelihatan beribadah dengan penuh pasrah dan kusyuk memohon keredhaan-Nya

Telah diriwayatkan juga bahawa Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengerjakan sembahyang di dalam masjid Quba’ pada hari Isnin dan hari Khamis, Allah akan gantikan pahalanya dengan pahala ibadat Umrah.


Sejak zaman Nabi Ibrahim a.s hingga zaman Nabi Muhammad s.a.w. belum mempunyai sempadan dinding tertentu, hanya rumah-rumah yang ada di sekitarnya saja yang merupakan semapadan Masjidil Haram. Tempat tawaf belum begitu luas kerana pengunjungnya hanya terdiri dari orang Arab, demikian juga pada masa Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat Abu Bakar.

Masjid Quba’ telah siap dibina semula dalam tahun 1986. Kerajaan Arab Saudi telah meminta Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek Mesir untuk membina semula Masjid Quba’. Abdel Wahid asalnya hendak mengekalkan struktur masjid yang lama dan digabungkan dengan bangunan baru. Tetapi Kerajaan Arab Saudi berkeras meruntuhkan bangunan masjid yang lama.


Penulis sempat merakamkan suasana di Lapangan Terbang Jeddah sebelum bas pengangkutan tiba untuk membawa para jemaah ke Mekah atau Madinah

Masjid Quba’ mempunya dewan solat berbentuk segi empat, dengan sebahagian dewan solat ditempatkan di tingkat dua. Dewan solat disertakan dengan kawasan kediaman petugas masjid, pejabat masjid, bilik wuduk, kedai-kedai dan juga sebuah perpustakaan. Enam buah pintu masuk sebagai tambahan kepada pintu masuk utama di bahagian utara, selatan dan timur masjid ini.Masjid ini mempunyai empat menara, dengan satu menara disetiap penjuru dewan solat. Masjid ini mempunyai kawasan lapang yang boleh dilindungkan dengan bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.

Masjid Qiblatain

Sebelum pulang ke tempat penginapan, penulis dan rakan-rakan umrah yang lain menyusuri Masjid Qiblatain yang mempunyai dua kiblat. Kiblat pertama menghadap Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis sebelum diperintahkan Allah s.w.t untuk menukar kiblat ke arah Kaabah sehinggalah hari ini.

Masjid Qiblatain di Madinah al-Munawarah adalah antara tiga buah masjid tertua di dunia selain Masjid Quba’ dan Masjid an-Nabawi. Pada asalnya ia dinamakan Masjid Bani Salamah kerana pembinaannya di atas bekas tapak rumah Bani Salamah. Dalam sejarah perkembangan Islam, ia dinamakan Masjid Qiblatain kerana mempunyai dua kiblat, iaitu menghadap ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan satu lagi ke arah Masjidil Haram di Mekah. Batu asas pembinaannya dilakukan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w dan siap pada 623. Baginda pernah bermalam di masjid itu selama 20 hari.


           Di Lapangan Terbang Jeddah sebelum berangkat ke Madinah

Rasulullah s.a.w menerima wahyu daripada Malaikat Jibril mengutuskan supaya arah qiblat ditukar ke arah Mekah. Ketika itu baginda berada dalam rakaat kedua solatnya, turun wahyu memerintahkannya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram. Maka, baginda mengubah arah kiblat menghala ke Mekah. Perubahan arah kiblat menjadi tamparan hebat kepada kaum Yahudi yang sebelum itu begitu berbangga dengan kiblat mereka di Baitulmaqdis.


Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah

Sejarah awal pentadbirannya terletak di bawah Khalifah Umar al-Khatab, kemudian diserahkan kepada pemerintahan Khilafah Uthmaniah dengan penyeliaan Sultan Sulaiman yang bertanggungjawab melakukan pengubahsuaian terhadap masjid bersejarah itu.


Suasana sibuk di Lapangan Terbang Jeddah

Berdekatan Masjid Qiblatain terdapat sebuah telaga dimiliki seorang Yahudi. Dengan nasihat baginda Rasulullah s.a.w, telaga itu ditebus daripada pemiliknya oleh Uthman Affan dengan harga 20,000 dinar bagi menjadikannya milik umat Islam sepenuhnya.


Jabal Thur banyak menyimpan sejarah pahit getir Rasulullah s.a.w dalam menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh umat manusia. Dalam kisah Hijrah Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke kota Madinah. Rasulullah s.a.w telah diperitahkan oleh Allah s.w.t untuk berhijrah pada malam hari, umat Islam pada waktu itu telah berbondong-bondong meninggalkan Mekah dan pergi berhijrah ke Madinah lebih awal, Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar pula 
      menyusul kemudian. Pada malam hari 26 Safar 1 Hijrah bersamaan (9 
       September 622) Nabi Muhammad s.a.w dan Saidina Abu Bakar telah 
                meninggalkan rumah baginda dan berhijrah ke Madinah

Masjid Qiblatain mampu menampung kapasiti seramai 2,000 jemaah pada satu masa. Antara imam dan khatibnya termasuk Sheikh Salleh bin Awad al-Mughamisi, Sheikh Muhammad Khalil, Sheikh Muhammad Ayub dan Sheikh Ahmad bin Ali bin Abdul Rahman.


                           Jalan yang menghala ke arah Jabal Thur

Pembesaran masjid berlaku pada 1543 apabila Sultan Sulaiman diarah melakukan pembesaran masjid bagi menampung penulis dan rakan-rakan jemaah semakin bertambah. Pada 1987 projek pembesaran masjid dilakukan mengikut keperluan semasa tanpa mengubah struktur binaan asal. Namun, masjid lama dirobohkan bagi memberi nafas baru bagi menyerlahkan seni bina Islam.

Masjid Qiblatain yang berbentuk ortogenal geometri itu dihiasi dua tangga masuk bagi membolehkan jemaah lelaki dan wanita keluar masuk ke masjid melalui pintu yang berasingan. Kedudukan dewan solatnya mempunyai aras yang berbeza dengan bahagian utara supaya menampakkan keunikan tersendiri.


Jabal Thur – di sinilah letaknya Gua Thur yang menjadi tempat Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar bersembunyi dari buruan kaum Quraisy. Pintu timur Gua Thur atau Ghar al-Thawr tingginya 1.25 meter, manakala lebar pintu guanya adalah 3.5 m X 3.5 m. Gua tersebut memiliki 2 pintu iaitu di sebelah barat dan sebelah timur. Pintu di sebelah baratlah yang digunakan oleh baginda Nabi Muhammad s.aw dan Saidina Abu Bakar untuk masuk. Pintu gua barat tingginya hanya 1 meter sekaligus lebih kecil dari pintu timur. Pintu timur hanya baru dikorek bagi membolehkan pelawat masuk dan melihat keadaan gua. Pendaki atau pelawat yang berhasrat masuk ke Gua Thur harus mendaki sampai ke pintu gua, dakian memakan masa 1 jam setengah bergantung kepada kekuatan stamina.

Masjid Qiblatain terletak di bahagian barat laut dari Madinah, di Jalan Khalid bin Walid, sempena kehebatan pahlawan Islam tersohor pada zaman Rasulullah. Kini, Masjid Qiblatain mempunyai pelbagai kemudahan prasarana sesuai sebagai pusat tumpuan jemaah haji dari dalam dan luar negara.

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan Ahmad bin Hambal, Al-Nasai, Ibnu Majah dan Hakim, Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda yang bermaksud: ‘Sesiapa yang mendirikan solat dua rakaat di Masjid Qiblatain, maka Allah memberikan ganjaran pahalanya seperti pahala mengerjakan satu umrah. Justeru, tidak hairanlah masjid itu menjadi tumpuan jemaah haji dan umrah dari seluruh pelosok dunia.

Pada malam itu, penulis dan isteri sempat berkunjung ke beberapa buah kedai di kaki lima berhampiran hotel. Penulis dapati pelbagai jenis cenderahati dan pakaian termasuk jubah dijual pada harga yang berpatutan. Penulis juga tidak risau sekiranya kekurangan mata wang riyal kerana khidmat pengurup wang mudah dijumpai di sekitar tempat ini. 

Selesai solat Isyak dan makan malam, sedikit taklimat diberikan kepada para jemaah. Bagi jemaah yang baru sampai ke Madinah tentu tertanya-tanya di mana Raudhah dan Makam Rasulullah s.a.w. Walaupun keletihan, ternyata keletihan tersebut hilang dengan nikmat menjadi tetamu istimewa Rasulullah s.a.w. Alhamdulillah dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah s.w.t para jemaah bangun seawal jam 2.00 pagi bersama-sama membersihkan jiwa di Raudhah. Semoga ianya menjadi satu saham yang akan dibawa pada saat bertemu dengan Allah s.w.t nanti.


Sebuah ladang unta yang dilawati penulis

Ladang Dan Pasar Kurma


Selepas lebih kurang 30 minit berada di masjid ini termasuk bersolat sunat, penulis dan rakan-rakan umrah yang lain mengunjungi sebuah ladang kurma yang letaknya tidak berapa jauh dari situ. Di ladang ini, penulis sempat menikmati jus kurma asli secara percuma. Dari jauh pokok kurma kelihatan seperti pokok kelapa sawit. Ada pelbagai jenis kurma dijual di pasar raya dalam kawasan ladang kurma berkenaan, termasuk kurma Nabi atau kurma Ajwa yang tinggi khasiatnya. Harga yang ditawarkan juga berpatutan. Selain kurma, pelbagai jenis kekacang, kismis dan coklat turut dijual. Penulis sempat membeli beberapa jenis kurma, coklat dan kekacang untuk anak cucu dan rakan taulan di tanah air. 


                              Di sini dipanggil Jabal Magnet

Cuaca mulai panas dan terik kerana bulan Mei merupakan permulaan musim panas di sini. Namun penulis begitu bersemangat untuk melihat sistem tanaman kurma yang begitu terkenal di sini. Ladang kurma yang terletak di Sumur Usman merupakan salah sebuah kawasan penanaman kurma yang sangat terkenal dengan hasil-hasil kurmanya yang bermutu tinggi. Rasanya tanah di sini memang sesuai dengan pokok kurma. Sebab itu pokok kurma yang tumbuh amat subur dan kehijauan dedaunannya jelas menggambarkan betapa suburnya tanaman ini.


                           Bangunan Jabal Omar di kota Mekah

Menurut catatan sejarah, Sumur Ar-Rumah atau Sumur Usman merupakan punca air atau sumber air Madinah yang dibeli oleh Saidina Usman dengan harga yang sangat mahal ketika itu sebagai wakaf untuk kaum Muslimin sebagai menyahut seruan dan saranan Rasulullah s.a.w ketika itu yang mana pahala dan syurga sebagai balasannya.


                   Sebuah ladang unta di mana susu unta dijual. Harganya sekitar 
                                  lima riyal bagi satu botol kecil

Ketika ini, ramai pengunjung di pasar raya kurma di ladang ini yang menempatkan pelbagai jualan hasilan kurma. Tetapi harga yang ditawarkan di sini agak tinggi berbanding harga di pasar kurma Madinah kerana di sana banyak persaingannya. Pasar Kurma atau Souq Tumur cukup terkenal sebagai tempat pupular untuk membeli aneka jenis kurma sewaktu penulis berkunjung ke Madinah.




Masjid Hudaibiyah yang baru

Di ladang kurma yang penulis lawati ini sememangnya terdapat aneka jenis kurma dan para pengunjung dibenarkan makan secara percuma seberapa banyak kurma yang ada jika mahu. Jika mahu dibawa pulang, ia perlu dibeli. Penulis dapati penjualnya rata-rata boleh berbahasa Melayu Indonesia. Harganya pula boleh ditawar.


Tapak tinggalan masjid lama di Hudaibiyah

Sungguhpun begitu, bagi para jemaah yang ditawarkan untuk ke Ladang Kurma, sebaiknya jika ke sana jangan lekas membeli kurma yang terdapat di ladang kurma ini kerana harga kurma di sini jauh lebih mahal berbanding di Pasar Kurma. Contohnya kurma Ajwa (atau lebih dikenali sebagai Kurma Nabi) di Ladang Kurma dijual dengan harga SR 70.00 sedangkan kalau ke Pasar Kurma, kurma yang sama harganya hanya SR 50.00 saja.


Syukur kerana penulis diizinkan Allah s.w.t bersolat 
sunat dan berdoa di Hijir Ismail
Pasar Kurma yang sebenarnya terletak tidak jauh dari Masjid Nabawi dari pintu 7 (pergi ikut penjuru di sebelah kanan dari arah kiblat). Selepas itu perlu menyeberang jalan, ada Hotel al-Isro. Kemudian, ambil ke kanan terus dan sudah kelihatan pasar kurmanya. Di pasar Kurma yang asli ini, selain kurma, kita juga boleh membeli kacang, coklat dan lain-lain lagi.


  Suasana sesak dengan para jemaah yang ingin menyentuh Hajar Al-Aswad

Kurma dan air zam-zam selalu identik dengan ole-ole ibadah umrah dan haji. Kurma yang paling terkenal adalah kurma Madinah. Selain kerana bentuknya yang lebih besar, isi buahnya kenyal dan kering, menambah atribut rasa manis kurma Madinah. Seperti namanya, kurma ini memang berasal dari Madinah, kota pengeluar kurma terbesar di Arab Saudi.


Menurut sejarah, pada hari Sabtu 29 Syawal 802 Hijrah, terjadi kebakaran di Masjidil Haram. Banyak tiang dan ukiran yang amat berharga terbakar. Kerosakan itu diperbaiki oleh Sultan Farouk bin Barquk dari Mesir dimulai tahun 979 Hijrah yang atapnya pada awalnya dari kayu jati ditukar kepada kubah-kubah batu. Pada 1072 Hijrah diadakan lagi perbaikan oleh Gabenor Jeddah, Sulaeman Bey.

Penulis dapati, setiap jemaah dari segala penjuru dunia yang bertandang ke Tanah Suci khususnya, kelihatan menjinjing buah cokelat kehitam-hitaman ini sebagai salah satu ole-ole mereka. Tidak terlalu sukar untuk mendapatkan kurma Madinah. Sewaktu berada di Madinah, pergi saja ke Pasar Kurma (Madinah Dates Market). Letaknya pasar ini tepat di pusat kota, arah selatan Masjid Nabawi. Hanya berjarak sekitar setengah kilometer dari Masjid Nabawi, Pasar Kurma berada di kawasan yang bernama Qurban.

  
Seorang jemaah sedang menyentuh Hajar Al-Aswad

Pasar Kurma Madinah yang dibina pada 1982 oleh kerajaan Arab Saudi, dibuka mulai pukul 08.00 pagi sampai pukul 22.00 malam waktu setempat. Kita boleh membeli aneka kurma di sini, baik kurma murni mahupun olahan. Ada puluhan jenis. Sebut saja apa isi kurma yang anda mahukan - kurma isi kacang, kismis, biskuit selai kurma, dan tentunya (buah) kurma Madinah yang terkenal – semuanya ada di sini.


Hajar Al-Aswad dijaga oleh pihak berkuasa Arab Saudi

Penulis dapati di pasar-pasar tradisional, para peniaga Pasar Kurma Madinah juga bersaing dalam urusan menawarkan harga kepada para pembeli. Kemahiran memilih aneka jenis kurma dan kemahiran menawar harga menjadi kunci utama bertransaksi di pasar ini. Jarang ada cerita seorang pembeli mendapat kurma dengan harga yang lebih murah dibandingkan dengan pembeli lainnya. Padahal, jumlah kurma dan tempat membelinya sama.


Hotel Al-Haram di kota Mekah

Bukan rasa ataupun bentuk yang menjadikan Kurma Ajwa diincar para pembeli, melainkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang berbunyi: ‘Barang siapa pada waktu pagi makan tujuh butir Kurma Ajwa, pada hari itu ia tidak akan terkena racun mahupun sihir.’ Hadis yang terdapat dalam kumpulan Shahih Bukhari inilah yang membuatjan kurma berwarna agak kehitaman dan berkulit keriput tersebut menjadi incaran para jemaah.


    Hajar Al-Aswad yang menjadi impian umat Islam untuk menyentuhnya

Mengikuti teori ekonomi, Kurma Ajwa merupakan kurma dengan harga paling mahal dibandingkan kurma jenis lainnya. Menyesuaikan ukuran buah, Kurma Ajwa dijual dengan harga 60 - 80 riyal untuk sekilogram. Berkaitan kualiti buah, di bawah Kurma Ajwa, ada jenis Kurma Ambhar. Untuk satu kilogram kurma ini, pembeli harus mengeluarkan wang antara 35 - 40 riyal, bergantung kepada saiz buahnya. Kalau kurma-kurma jenis lain boleh dirasa sebelum beli, jangan harap kita boleh merasa Kurma Ajwa dan Kurma Ambhar.


Bir Ali – di sinilah tempat miqat bagi jemaah yang datang dari Madinah

Hal yang sudah pasti, bila kita ingin membeli kurma sebagai ole-ole, penulis mencadangkan supaya belilah di Madinah. Alasannya tidak lain kerana kurma yang dijual lebih murah di Madinah berbanding yang dijual di Mekah. Selisih harga untuk satu kilogram kurma di Madinah dengan di Mekah boleh mencapai setengah kali ganda. Contohnya Kurma Ajwa berukuran kecil berharga sekitar 60 riyal di Madinah, sedangkan di Mekah paling murah sekitar 100 riyal sekilogram. Contoh lain - Kurma Safawi di Madinah hanya berharga 15 riyal sekilogram, sedangkan di Mekah dijual dengan harga paling murah 20 riyal.


Pintu Kaabah jelas kelihatan

Penulis pernah diberitahu oleh seorang rakan bahawa kurma Nabi di Malaysia berharga sekali ganda berbanding di Tanah Suci iaitu sekitar RM120 sekilo. Disebabkan faktor kesukaran mendapatkannya selain harganya yang mahal membuatkan rakan penulis itu sering memesan apabila ada rakan-rakan ke sini.


Taktaka Restoren di Jalan Al-Rusayfah – salah sebuah restoren keluarga yang terdapat di kota Mekah

Apa yang menarik penulis dapati walau dalam jangka masa yang pendek di Pasar Kurma, ada segelintir peniaga di sini menguasai bahasa Melayu dengan baik. Ini tidak terhenti di Madinah sahaja, malah di Mekah juga begitu. Ada rasa malu di suatu sudut pada diri penulis. Orang Arab pun mampu menguasai bahasa kita.


Bangunan Abraj Al-Bait di kota Mekah dilihat dari jauh

Sekitar 30 minit di Pasar Kurma, bas membawa rombongan umrah kami balik ke hotel. Penulis dan rakan-rakan jemaah yang lain sampai sebelum Zohor. Sempatlah kami berkemas dan bersiap-siap untuk Zohor. Sayang untuk dilepaskan setiap waktu di Masjid Nabawi. Masjid utama orang Islam selepas Masjidil Haram di Mekah. Madinah bumi yang tenang dan mendamaikan perasaan. Serasa seperti tidak mahu meninggalkan bumi anbiya ini namun ia sesatu yang mustahil kecuali mati di sini. Semoga Allah Azzawajalla memberi penulis kesempatan untuk ke bumi suci ini lagi.

  
Penulis di hadapan Masjid Terapung Jeddah

Khandak Atau Masjid Khamsah 

Khandak dari segi bahasa bererti parit. Khandak terletak di daerah Gunung Sila. Di daerah ini terdapat lima buah masjid, iaitu Masjid Abu Bakar Ash-Shiddiq, Masjid Umar Al-Khaththaab, Masjid Ali bin Abi Thalib, Masjid Salman Al-Farisi dan Masjid Alfath. Dalam sejarah Islam, yang dimaksudkan khandak adalah peristiwa penggalian parit pertahanan sehubungan dengan peristiwa pengepungan kota Madinah oleh kafir Quraisy bersama dengan sekutu-sekutunya dari Yahudi Bani Nadlir, Bani Ghathfan dan lain-lain lagi.


Sewaktu di Terminal Haji Lapangan Terbang Jeddah pada hari terakhir

Sewaktu Rasulullah s.a.w mendengar kafir Quraisy bersama sekutu-sukutunya akan menggempur kota Madinah, maka baginda bermusyawarah dengan para sahabat, bagaimana cara menghadapi serangan tersebut. Pada waktu itu sahabat baginda iaitu Salman Al-Farisi memberikan saranan supaya Rasulullah s.a.w membuat benteng pertahanan berupa parit. Usul tersebut diterima oleh Rasulullah s.a.w membuat benteng pertahanan berupa parit, usul tersebut diterima oleh Rasulullah s.a.w. Maka digalilah parit pertahanan tersebut di bawah pimpinan baginda sendiri.



Dalam penerbangan Etihad dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Abu Dhabi ke Kuala Lumpur


Peristiwa pengepungan kota Madinah ini terjadi pada bulan Syawal tahun kelima Hijrah. Peninggalan Perang Khandak yang ada sehingga sekarang hanyalah berupa lima buah pos yang dulunya berjumlah tujuh, yang menurut sebahagian riwayat tempat tersebut adalah bekas pos penjagaan pada peristiwa Perang Khandak dan sekarang dikenali dengan nama Masjid Sab’ah atau Masjid Khamsah.



                                    Penulis di hadapan Laut Merah

Bukit Uhud

Destinasi seterusnya ialah Bukit Uhud, bukit paling penting dalam sejarah Islam. Bukit Uhud atau lebih terkenal dengan sebutan Jabal Uhud adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Begitu Rasulullah s.a.w bersabda soal Jabal Uhud, bukit kemerahan yang menjadi saksi gugurnya para syuhada di Madinah. Ziarah ke Jabal Uhud telah menjadi menu penting bagi segenap jemaah haji atau umrah ketika berada di kota suci Madinah, dari mana pun mereka berasal.



         Isteri penulis di sisi Masjid Terapung Jeddah dan tepian Laut Merah


Bukit Uhud adalah kawasan perang besar antara kaum Muslimin dengan kafir Quraisy yang peristiwanya akan terus dikenang hingga akhir hayat. Jabal Uhud atau Bukit Uhud tidaklah begitu besar, tingginya sekitar 1,050 meter sahaja. Berlokasi sekitar 5 kilometer sebelah utara kota Madinah. Sebelum dibina oleh Kerajaan Saudi, Jabal Uhud selalu dilalui oleh jemaah yang masuk ke Madinah mahupun yang menuju kota Mekah. Letaknya memang di pinggir jalan raya menuju kedua-dua kota suci ini.


                                      Masjid Terapung di Jeddah


Jabal Uhud adalah sebuah bukit batu yang berwarna kemerah-merahan. Melihatnya mengingatkan kita kepada perjuangan dan darah para syuhada. Di Jabal Uhud atau Bukit Uhud inilah pertarungan spiritual dan politik dalam makna yang sebenarnya. Ketika itu pasukan Islam diberi pilihan antara kesetiaan kepada agama dan kecintaan kepada harta. Melihat lokasi dan bukit yang mengelilinginya, kita akan terbayangkan bagaimana sukarnya medan perang ketika itu. Bukit batu, panas terik, dan keberanian pada syuhada memang merupakan sesuatu yang perlu menjadi iktibar kita.



        Isteri penulis dan anak angkat kami Cikgu Sharazi Zul di Masjid 
                                            Terapung di Jeddah

Menurut catatan sejarah, Perang Uhud terjadi pada tanggal 15 Syawal 3 Hijrah. Peperangan itu dipicu keinginan balas dendam kafir Quraisy usai kekalahan mereka dalam Perang Badar. Atas perintah Rasulullah s.a.w, maka barisan pasukan Muslim pun menyongsong kaum kafir tersebut di luar kota Madinah. Strategi pun disusun. Sebanyak 50 pasukan pemanah ditempatkan di atas Jabal Uhud dengan perintah untuk melakukan serangan apabila kaum Quraisy menyerbu, terutama pasukan berkudanya.


                Penulis bersama isteri di Masjid Terapung di Jeddah

Maka perang pun berkobar. Dalam perang yang dahsyat itu pasukan Muslimin sebenarnya sudah memperolehi kemenangan. Akan tetapi mereka kemudiannya diserang semula oleh tentera Quraisy, kerana pasukan pemanah terpancing oleh umpan musuh yang menyebarkan kemewahan dunia melalui harta rampasan perang seperti senjata yang bertebaran.


Isteri penulis selepas melakukan ibadat tawaf dan solat sunat di Baitullah

Pasukan berkuda Quraisy pimpinan Khalid bin Walid (ketika itu beliau belum memeluk Islam) segera menyerang pasukan Islam dari arah belakang. Akibat serangan mendadak itu, seramai 70 tentera Muslim menjadi syuhada, termasuk bapa saudara Rasulullah s.a.w, Hamzah bin Abdul Muthalib. Rasulullah s.a.w sangat sedih atas kematian bapa saudara baginda tersebut. Jenazah para syuhada Perang Uhud ini pun segera dimakamkan berhampiran lokasi perang serta disolatkan satu persatu sebelum dikuburkan. Adapun Sayidina Hamzah disolatkan sebanyak 70 kali. Beliau dimakamkan satu pusara dengan Abdullah bin Jahsyi (sepupu Rasulullah s.a.w) di lokasi terpisah dengan lokasi para syuhada yang lain.


 Kaabah menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia. Menziarahi Baitullah 
        atau Kaabah ini pula menjadi impian ibadah penulis sejak lama

Bersama syuhada yang lain (68 orang mujahid), jenazah mereka dimakamkan berhampiran Jabal Uhud. Komplek pemakaman itu sendiri nampak sangat sederhana, hanya dikelilingi pagar setinggi 1.75 meter. Dari luar hanya kelihatan jeruji agar jemaah boleh menjengukkan sedikit kepala ke dalam. Tetapi di dalam kawasan pemakaman yang dikelilingi pagar itu tidak ada tanda-tanda khusus, seperti batu nisan, yang menandakan ada makam di sana. Konon, Bukit Uhud ikut menangis atas peristiwa Perang Uhud yang menelan banyak korban di pihak mujahid Islam.


               Suasana di hadapan Baitullah ketika ibadah tawaf dilakukan

Lantaran kecintaan Rasulullah s.a.w kepada para syuhada Perang Uhud, terutama Hamzah, mendorong baginda senantiasa berziarah ke Jabal Uhud hampir setiap tahun. Langkah baginda kemudian juga diikuti oleh beberapa sahabat sesudah baginda wafat. Bahkan dikisahkan bahawa Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar selalu mengingatkan Rasulullah s.a.w jika perjalanannya telah mendekati Bukit Uhud.


Penulis di sebuah ladang unta

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, ”Mereka yang dimakamkan di Uhud tidak memperolehi tempat lain kecuali rohnya berada di dalam burung hijau yang melintasi sungai syurgawi. Burung itu memakan makanan dari taman syurga, dan tidak pernah kehabisan makanan. Para syuhada itu berkata siapa yang akan menceritakan keadaan kami kepada saudara kami bahawa kami sudah berada di syurga.” Maka Allah berkata, ”Aku yang akan memberi khabar kepada mereka.”


               Penulis di sebuah ladang unta yang sempat dilawati di Mekah

Maka dari situ kemudiannya turun ayat yang berbunyi, ”Dan janganlah mengira bahawa orang yang terbunuh di jalan Allah itu meninggal dunia.” (surah 3:169). Hingga kini, Jabal Uhud atau Bukit Uhud menjadi tempat yang penting untuk diziarahi oleh para jemaah haji atau umrah. Di tempat ini, biasanya ramai mutawwif yang memandu memimpin doa.



                  Penulis bersama isteri di sebuah ladang unta di Mekah

Hudaibiyah

Penulis juga tidak ketinggalan melawat Hudaibiyah. Di sepanjang perjalanan ke Hudaibiyah penulis memandang ke kiri dan kanan laluan untuk melihat suasana di luar dari Kota Mekah. Sepanjang perjalanan sejauh 25 km itu dipenuhi oleh padang pasir dan bukit-bukit batu. Kelihatan banyak rumah dibina berhampiran dengan bukit-bukit tersebut. Kebanyakan rumah berbentuk kotak dan sangat ringkas binaan luarannya. Rumah-rumah ini dicat dengan warna putih atau warna coklat tanah atau dibiarkan tanpa cat, warna bata biasa sahaja. Mungkin ini kawasan perkampungan masyarakat berpendapatan rendah di Arab Saudi.

 
                         Isteri penulis sebuah ladang unta di Mekah

Penulis dan rakan-rakan umrah yang lain tiba di Hudaibiyah kira-kira 45 minit kemudian. Jalan raya yang baik dan tanpa kesesakan menjadikan perjalanan ini cepat dan selesa. Hudaibiyah merupakan tempat berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah di antara Rasullullah s.a.w dan kaum Quraish. Kesan tinggalan sejarah yang masih terdapat di sini ialah tapak masjid lama dan telaga Rasulullah s.a.w. Di sini penulis telah memasang niat untuk melakukan umrah memandangkan Hudaibiyah merupakan salah miqaat umrah di luar tanah haram Mekah.



Runtuhan masjid lama di Hudaibiyah


Seterusnya penulis dan rakan-rakan umrah yang lain dibawa melawat ladang unta yang juga terletak di Hudaibiyah. Di sini terdapat berpuluh-puluh ekor unta. Beberapa orang jemaah mengambil kesempatan membeli susu unta yang baru diperah. Memandangkan penulis amat meminati susu, penulis turut membeli susu tersebut.


Bekas runtuhan masjid lama di Hudaibiyah

Angin padang pasir yang bertiup begitu kencang dan penulis terpaksa menutup muka untuk mengelakkan pasir memasuki mata. Kami seterusnya ke destinasi berikutnya iaitu Two Holy Mosques Museum yang menempatkan pelbagai khazanah kebesaran Islam semenjak zaman Rasullullah s.a.w lagi. 

  
Sepanjang masa kelihatan ramai jemaah melakukan ibadah sunat tawaf

Semua bahan bersejarah untuk Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dihimpunkan di sini. Ada pintu Kaabah tahun 1045 Hijrah, salinan asal Al-Quran tulisan tangan rasm Othmani dari zaman Saidina Othman bin Affan, dinding telaga zamzam tahun 1299 Hijrah dan lain-lain lagi. Ada juga demonstrasi membuat kelambu Kaabah oleh beberapa orang lelaki. Kelihatannya begitu rumit mereka menjahit tulisan ayat-ayat suci Al-Quran menggunakan benang emas di atas kain berwarna hitam.


Sepanjang masa kelihatan ramai jemaah melakukan ibadah sunat tawaf dan 
                                           solat sunat tawaf

Selesai lawatan tersebut, kami bertolak pulang ke Hotel Durrat Fayroz untuk membersihkan diri sebelum masuknya waktu solat Zohor.


Isteri penulis di hadapan Kaabah

Masjid Namirah 

Syukur kepada Allah kerana sewaktu berada di Tanah Suci ini penulis diberikan Allah kesihatan yang baik. Sepanjang masa penulis rasa segar dan bugar. Begitu juga dengan isteri penulis. Sewaktu di Mekah, penulis sempat melawat Masjid Namirah. Di tengah-tengah Padang Arafah rupanya terdapat sebuah masjid yang bernama Masjid Namirah. Namirah adalah nama seorang wanita yang bersedia mengabdikan diri menjaga masjid tersebut sampai akhir hayatnya. Di tempat ini juga wanita tersebut dikuburkan. Sewaktu Rasulullah s.a.w melakukakan haji wada’ baginda melakukan solat Zuhur dan Asar dengan jama’ takdim di masjid ini.


Penulis di hadapan Kaabah selepas menyelesaikan sunat tawaf dan solat sunat tawaf

Masjid Tan’im

Penulis juga berkesempatan melawat Masjid Tan’im yang terletak di luar kota Mekah, tempat para jemaah mengganti pakaian dengan pakaian ihram, bagi orang yang tinggal di luar kota Mekah antara luar kota dan miqat makam. Di sini dibina sebuah masjid yang besar. Masjid Tan’im, tempat di mana Ausyah memulai umrah atas perintah Rasulullah s.a.w.


Penulis di hadapan Kaabah

Jabal Nur Dan Gua Hira

Di sebelah utara Masjidi Haram lebih kurang jauhnya sekitar 6 km, terdapat sebuah bukit, tidak begitu tinggi iaitu Jabal Nur. Untuk mendaki ke atas memerlukan waktu lebih kurang satu jam. Di puncaknya yang agak menurun sedikit terdapat sebuah gua yang hanya boleh memuatkan empat orang duduk, tinggi di dalamnya setinggi orang berdiri. Gua tersebut dikenali dengan nama Gua Hira. Jabal Nur dan Gua Hira ini sangat penting dalam sejarah Islam kerana di gua inilah Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu yang pertama iaitu surah Al’alaq dari ayat 1 hingga 5. 


Isteri penulis di Masjidil Haram

Menuai Kenangan Beribadah Di Kota Mekah

Banyak perubahan telah berlaku di kota Mekah kini berbanding sekitar tahun 1987 dulu. Menurut rakan penulis yang pernah datang ke sini, kota Mekah ketika itu masih di kelilingi bukit berbatu. Menurut beliau, di sebelah rumah kelahiran Rasulullah s.a.w ada Jabal Kubis. Rumah penduduk Mekah berselerakan di atas bukit berbatu di sekitar Masjidil Haram. Malah, kedai emas dan pelbagai barangan cenderamata memenuhi setiap ruang di sekeliling Masjidil Haram. 


            Isteri penulis di Masjidil Haram sebaik selesai solat Zuhur

Setiap lorongnya berbukit dan bertangga. Peniaganya sama ada di kedai kecil atau di kaki lima, tidak jemu-jemu menggamit jemaah yang berpeluang membeli-belah selepas solat. Jemaah pula tidak sukar mencari makanan Asia kerana ada pendatang dari Thailand dan Indonesia yang menjual makanan tradisional seperti nasi lemak. Kebanyakan kedai dibuka lewat petang dan keadaan begitu meriah pada sebelah malam. Aktiviti jual beli ini berhenti sama sekali ketika waktu solat. Pemilik kedai membiarkan kedai terdedah tanpa sekelumit perasaan ia akan diceroboh pencuri ketika menunaikan solat fardu.


Pada zaman Khalifah Umar Al-Khatab r.a tahun 17 Hijrah baginda mengadakan beberapa perubahan kerana banjir besar di sekitar Mekah sehingga menimbulkan kerosakan Masjidil Haram

Menurut rakan penulis lagi, pada masa itu juga, tiada peraturan ketat mensyaratkan jemaah mengikut muassasah ke Tanah Suci. Semua urusan daripada permohonan visa dan mendapat surat mahram daripada majlis agama diurus sendiri, menjadikan pembiayaan ke Tanah Suci teramat murah biarpun ia belum berupaya menggamit jemaah seperti sekarang.


Penulis di hadapan Kaabah selepas menyelesaikan sunat tawaf dan solat sunat tawaf

Kedatangan rakan penulis itu sekitar 10 hari terakhir Ramadhan. Katanya, suasana di Mekah sesak dengan jemaah dan kenderaan awam yang masih boleh melewati jalan raya di sekitar Masjidil Haram. Air dalam plastik bertulis sumbangan Raja Arab Saudi, dicampakkan kepada orang ramai yang berulang-alik ke masjid. Jemaah turut mengerumuni lori membawa roti untuk mendapat bekalan yang diberikan percuma. Ramai jemaah umrah berkampung di sekitar kawasan Masjidil Haram. Ada juga yang membawa dapur sendiri untuk memasak. Banyak beg dilihat dirantai pada pagar masjid menandakan ada pemilik yang bermusafir di situ. 


Penulis di hadapan Kaabah selepas menyelesaikan sunat tawaf dan solat sunat tawaf

Namun, ketika penulis dan rakan-rakan umrah yang lain menyertai rombongan umrah ini, penulis dapat saksikan banyak perubahan besar telah berlaku di Tanah Suci Mekah. Penempatan murah seperti apartmen, rumah penduduk Mekah termasuk pendatang di bukit-bukit sekitarnya sudah dirobohkan dan digantikan dengan bangunan penginapan bertaraf hotel kepada jemaah yang pastinya memerlukan perbelanjaan yang lebih besar. 


                       Ibadah tawaf sedang dilakukan para jemaah

Selain istana Raja Arab Saudi yang tersergam indah, kini sudah ada mercu tanda baru iaitu menara jam tertinggi di dunia yang terletak di Zam-Zam Tower. Di situ juga terletak Kompleks Abraj Al-Bait yang menempatkan Hotel Mekah Raffles Centre, kompleks membeli-belah, medan selera yang hanya kira-kira 50 meter dari Masjidil Haram. Tidak ramai yang tahu, pembinaan menara jam ini turut membabitkan rakyat Malaysia.


                            Isteri penulis di kaki Jabal Rahmah atau Bukit Arafat


Penempatan murah yang ada dan itu pun terpaksa bersaing ketika ini, hanya ada di belakang Hotel Hilton yang menunggu masa untuk dirobohkan. Bagi jemaah yang menginap di situ, peluang mendengar azan agak tipis kerana dihalang oleh bangunan tinggi. Bagi mereka yang tinggal di Zam-Zam Tower pula, suara azan disambung terus ke dalam bilik hotel. 


Penulis dan isteri di Bukit Arafat atau Jabal Rahmah tempat di mana pertemuan antara Nabi Adam dan Hawa yang berpisah selama 200 akibat diturunkan ke dunia setelah tergoga dengan hasutan iblis

Masjid Kuching yang terletak di sebelah Gaza dan Samiyah sudah pun diruntuhkan bagi projek pembangunan dan pelebaran Masjidil Haram. Bagi memberikan laluan pembangunan, kerajaan melaksanakan penempatan semula penduduk Mekah di luar kota mengikut pelan perumahan yang lebih terancang. Mereka diberikan imbuhan besar menggantikan tanah diambil demi pembangunan sekitar Masjidil Haram. 



                   Isteri penulis di Bukit Arafat atau Jabal Rahmah


Kemasukan jemaah ke Tanah Suci dikawal menerusi sistem muassasah dalam usaha membendung kebanjiran pendatang tanpa izin. Projek pembangunan dan pelebaran Masjidil Haram dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi menampung kemasukan jemaah umrah dan haji yang terus bertambah.

  
Penulis di hadapan Bukit Uhud. Jabal Uhud atau Bukit Uhud tidaklah begitu besar, tingginya sekitar 1,050 meter sahaja. Berlokasi sekitar 5 kilometer sebelah utara kota Madinah

Bagi Kerajaan Arab Saudi yang berpegang kepada mazhab Wahabi, keutamaan lebih kepada kemudahan ibadat yang dituntut kepada umat Islam. Warisan sejarah yang berkaitan dengan perkembangan Islam dan kehidupan Rasulullah s.a.w banyak dimusnahkan kerana perbuatan memuja tempat bersejarah itu dianggap bidaah. Demi tuntutan pelebaran Masjidil Haram, rumah Siti Khatijah yang juga tempat tinggal Rasulullah s.a.w diruntuhkan dan dibina tandas perempuan. Pasar Zin yang dulu sibuk dengan kegiatan membeli-belah dan di situ ada satu tempat dikenal pasti sebagai tempat turunnya surah Al-Fatihah, juga lenyap tanpa kesan.


                    Penulis di hadapan Kaabah di Masjidil Haram

Masjid Jin dan Masjid Kuching yang boleh dijadikan tarikan sejarah juga sudah menyembah bumi. Hanya rumah kelahiran Rasulullah s.a.w saja yang masih utuh dan ada ura-ura juga akan dirobohkan. Telaga Zam-zam yang terletak di kawasan Kaabah dan mempunyai ruang untuk jemaah menikmati airnya juga ditutup dalam usaha melebarkan ruang tawaf. Air zam-zam kini dialirkan menerusi paip khas ke luar kota Mekah. Di situlah air zam-zam dikumpulkan untuk dibekalkan kepada orang ramai. 


Syukur kepada Allah kerana penulis dan isteri dapat merakamkan wajah Jabal Uhud yang terpasak teguh di muka bumi. Jabal Uhud adalah sebuah bukit batu 
      yang berwarna kemerah-merahan. Melihatnya mengingatkan kita kepada 
 perjuangan dan darah para syuhada. Di Jabal Uhud atau Bukit Uhud inilah 
          pertarungan spiritual dan politik dalam makna yang sebenarnya

Banyak terowong baru dan jalan bawah tanah dibina untuk mengatasi kesesakan di Masjidil Haram. Perubahan ini memudahkan orang ramai berjalan ke Masjidil Haram tanpa dihalang kenderaan. Kawasan dataran di Masjidil Haram masih menjadi tumpuan penduduk Arab di luar kota berkampung. Di tempat umum itu ada notis yang meminta orang ramai menyimpan barangan sendiri jika tidak mahu ia dialihkan oleh pihak berkuasa ketika membuat kerja pembersihan.


                                          Penulis di Jabal Uhud

Selain mempunyai ruang tawaf yang luas dan boleh dilakukan di tingkat atas, jemaah juga menikmati kemudahan yang selesa mengerjakan sai dari Safa ke Marwah dengan ruang yang luas dan dibina tiga tingkat.


                       Penulis di hadapan Kaabah di Masjidil Haram

Bagaimanapun, dalam pesat membangun itu, ada beberapa perkara yang terlepas pandang iaitu kekurangan tandas untuk jemaah melepaskan hajat dan mengambil wuduk. Ada jemaah terpaksa menggunakan air zam-zam untuk berwuduk. Ada sesetengahnya mengambil tindakan pulang ke hotel bagi urusan itu kerana tidak sanggup berdepan dengan kesesakan dalam tandas yang terhad. 


Suasana di hadapan Baitullah ketika ibadah tawaf dilakukan

Khabarnya dulu musim umrah jemaahnya tidaklah seramai sekarang. Kini antara musim umrah dan haji tiada banyak bezanya kerana tumpuan umat Islam ke Tanah Suci semakin bertambah. Perubahan bukan saja meliputi pembangunan fizikal tetapi juga dari segi moral yang mana pengemis tidak lagi dibiarkan berkeliaran dalam masjid. Dulu memang ketara sekali budak-budak yang cacat anggota meminta sedekah dalam masjid. Keadaan ini tidak lagi berlaku, Bagaimanapun masih ada yang meminta sedekah di sepanjang jalan ke hotel.


    Perjalanan meredah terik matahari menuju ke Masjidil Haram. Inilah jalan yang dilalui penulis sepanjang berada di kota Mekah. Setiap kali masuk waktu 
solat, jalan inilah yang ditapaki penulis menuju ke Baitullah untuk mengadap 
                                                      Khalik

Penulis juga berkesempatan menziarahi Padang Arafah. Padang Arafah merupakan daerah terbuka dan luas yang terletak di sebelah timur luar kota suci Mekah, di sinilah umat Islam menunaikan rukun wukuf. Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun haji, bagi mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam a.s. dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis. Mereka telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali. Tempat pertemuan mereka adalah di Padang Arafah iaitu di Jabar Rahmah.


         Ruang lobbi Hotel Saraya Ajyad yang menjadi tempat penginapan 
                                             penulis di Mekah


Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah. Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bererti berhenti seketika di padang itu. Berada di padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada penulis mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan telah dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

  
Suasana dalam Masjidil Haram

Perjalanan Umrah

Setelah selesai urusan pendaftaran masuk di hotel penginapan di Mekah, kami bergegas ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah. Penulis dilanda keharuan apabila melihat Kaabah untuk pertama kali di hadapan mata. Selama lebih 50 tahun menghadap kiblat, kini Baitullah tersergam indah di hadapan mata. Hati siapa tidak terharu. Kami bertawaf 7 kali keliling Kaabah. Kemudian kami bersai’e, iaitu berjalan kaki antara Safa dan Marwah sebanyak 7 kali diikuti dengan bertahlul (bergunting rambut) tanda selesai umrah.


Penulis di hadapan Masjidil Haram

Urusan umrah pertama itu selesai dalam tempoh 3 jam. Syukur! Walaupun pada ketika itu jam 2.00 pagi, namun orang tetap ramai dan dari pelbagai negara. Yang jelas, ada yang datang dari Iran, Turki, Syria, Indonesia dan India. Tidak kira siang atau malam, jemaah umrah tetap ramai dan Masjidil Haram dibanjiri insan serata alam. Penulis betul-betul teruja dengan senario itu. Islam itu indah!

  
Dari bahagian atas dapat dirakamkan suasana jemaah di Masjid Nabawi

Walaupun penat, tetapi hati penulis puas. Tambahan pula menikmati makanan yang disediakan pengendali katering rakyat Indonesia. Menunya hampir sama seperti menu yang biasa kita makan – nasi campur, sambal goreng, sambal tumis semuanya ada! Setelah berehat di hotel, penulis dan isteri ke Masjidil Haram semula untuk beriktikaf sambil membaca Quran, bersolat sunat atau berdoa di hadapan Kaabah. Walaupun berjam-jam menghadap Kaabah, tetapi tidak berasa bosan. Hati rasa tenang dan syahdu.



Penulis dan rakan-rakan jemaah sewaktu bersolat sunat ihram di Bir Ali


Pada keesokan harinya, penulis dan rakan-rakan umrah yang lain dibawa melawat ke Jabal Nur, tempat Nabi Muhammad s.a.w bersembunyi sebelum berhijrah. Kami juga melawat Jabal Rahmah, tempat Nabi Adam bertemu semula dengan Siti Hawa. Cuaca memang panas, menghampiri 50 darjah Celcius. Seterusnya kami dibawa ke Jabal Thur, tempat wahyu pertama dan melawat ke Muzium Mekah. Di situ ada Quran besar tulisan tangan, replika pintu Kaabah dan Maqam Ibrahim. Terdapat banyak gambar sekitar Masjidil Haram dan Kaabah sejak beratus tahun lalu.


Isteri penulis di hadapan Masjidil Haram

Kami juga dibawa melawat ke ladang ternakan unta. Kami diberitahu bahawa unta ialah haiwan ajaib, di mana setelah makan, haiwan itu boleh berjalan tanpa makan lagi selama 40 hari. Susu unta memang pekat. Hati unta juga dijual dan dikatakan boleh merawat pelbagai penyakit.


Penulis berkesempatan bersolat di atas bumbung Masjid Nabawi

Selama 3 hari di Mekah, diisi dengan pelaksanaan umrah dan beribadah di Masjidil Haram. Penulis bersyukur kerana berpeluang mengucup Hajar al-Aswad, walaupun terpaksa berhimpit-himpit agak lama. Gembira juga melihat berpuluh-puluh ribu jemaah bergerak beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram setiap kali waktu solat. Pintu Masjidil Haram sungguh banyak dan kita boleh tersesat jika silap pintu dan mungkin hilang kasut kerana Masjidil Haram sungguh besar. Penulis dan isteri tidak jemu-jemu minum air zam-zam yang sungguh banyak diletakkan di dalam dan di pekarangan masjid. Memang menyegarkan badan dan kisah tentang khasiat air zam-zam telah banyak diperkatakan. Kisah seorang pesakit kanser yang kronik yang sembuh sepenuhnya kerana mengamalkan minum air zam-zam memang benar-benar terjadi.



Penulis di hadapan Bukit Pemanah


Melihat kehadiran orang yang begitu ramai, penulis kagum sekali. Itu baru umrah, kalau musim haji, tentulah jauh lebih ramai. Melihat begitu ramai yang beriktikaf dan beribadah di Masjidil Haram, membuatkan penulis bersemangat untuk mengisi masa di sana.


Kenangan penulis bersama isteri di makam para syuhada Perang Uhud. Sebak di hati mengenangkan para syuhada yang sanggup berkorban nyawa demi menegakkan kebenaran Islam. Di sini juga dimakamkan syuhada bapa saudara Rasulullah s.a.w iaitu Hamzah yang dibunuh oleh hamba Hindun isteri Abu Jahal

Jam 3.00 petang bas bertolak ke Bi’r Aliyy untuk para jemaah berniat umrah. Bas yang penulis dan rakan-rakan umrah yang lain naiki meninggalkan Bi’r Aliyy selepas masuk waktu Asar. Perjalanan diisi dengan talbiyah di samping tazkirah dan berhenti di Wadi Qadid yang menjadi tempat persinggahan Rasulullah s.a.w dalam perjalanan hijrah. Di sini penulis dan rakan-rakan umrah yang lain menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara jama’ takhir. Bas meneruskan perjalanan sehingga sampai di Hotel Saraya Ajyad. Selesai check in dan makan malam, sekitar jam 12.00 tengah malam kami meneruskan perjalanan ke Kaabah untuk menyelesaikan ibadah umrah.


                    Isteri penulis di makam para syuhada Perang Uhud

Alhamdulillah sepanjang perjalanan menyucikan jiwa di Tanah Suci, satu perjalanan yang sangat singkat tetapi cukup bermakna. Perjalanan ini mengajar erti ukhuwwah dan gambaran kepada kehidupan yang sebenar. Para tetamu Allah berlumba-lumba melakukan amal ibadah untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t dan alhamdulillah penulis dapat mengambil banyak pengajaran dari apa yang dilalui.


 Penulis dan Cikgu Sharazi Zul di sebuah ladang kurma - seorang guru bahasa 
                            Inggeris yang baik dan berbudi bahasa

Masjidil Haram

Sungguh mendamaikan perasaan tatkala menjejakkan kaki ke pekarangan Masjidil Haram di Mekah. Masjidil Haram adalah masjid yang paling tua di muka bumi ini. Sejarahnya sejajar dengan sejarah Kaabah. Masjid ini mempunyai bentuk yang unik, hanya merupakan lapangan di sekitar Kaabah.


Isteri penulis di sebuah pasar kurma

Sejak zaman Nabi Ibrahim a.s hingga zaman Nabi Muhammad s.a.w. belum mempunyai sempadan dinding tertentu, hanya rumah-rumah yang ada di sekitarnya saja yang merupakan semapadan Masjidil Haram. Tempat tawaf belum begitu luas kerana pengunjungnya hanya terdiri dari orang Arab, demikian juga pada masa Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat Abu Bakar.



                         Penulis dan isteri di sebuah ladang kurma

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khatab r.a tahun 17 Hijrah baginda mengadakan beberapa perubahan kerana banjir besar di sekitar Mekah sehingga menimbulkan kerosakan Masjidil Haram. Baginda mengambil langkah-langkah seperti:

  1. Membeli beberapa buah rumah yang ada di sekitar masjid.
  2. Membina dinding untuk menjadi sempadan masjid.
  3. Membina beberapa buah pintu.
  4. Menyediakan lampu-lampu di masjid untuk digunakan pada malam hari. 

                  Setelah selesai membeli pelbagai jenis kurma di pasar kurma

Setelah selesai pembinaan masjid, Khalifah Umar membina pula empangan yang besar untuk mencegah banjir dan mengalihkan saluran dari Mudda’a ke Wadi Ibrahim. Pada tahun 26 Hijrah perluasan masjid yang dilakukan pada masa Khalifah Umar Al-Khatab difikirkan belum mencukupi, justeru Khalifah Utsman bin Affan memperluaskan lagi masjid tersebut. Pada zaman Walid bin Abdul Malik bin Marwan menjadi khalifah sekitar tahun 88-96 Hijrah, zaman ini terkenal dengan keamanan dan kemakmuran. Baginda juga tidak pernah meninggalkan perhatiannya terhadap penyempurnaan Masjidil Haram sehingga membawa kepada pengubahsuaian yang lebih sempurna. 


          Isteri penulis dan sahabatnya Norlela di hadapan Masjid Quba’.

Pada binaan Masjidil Haram terdapat pilar-pilar yang berukiran indah dan tidak mengalami perubahan sehingga zaman Khalifah Abu Ja’far tahun 139 Hijrah. Pada hari Sabtu 29 Syawal 802 Hijrah, terjadi kebakaran di Masjidil Haram. Banyak tiang dan ukiran yang amat berharga terbakar. Kerosakan itu diperbaiki oleh Sultan Farouk bin Barquk dari Mesir dimulai tahun 979 Hijrah yang atapnya pada awalnya dari kayu jati ditukar kepada kubah-kubah batu. Pada 1072 Hijrah diadakan lagi perbaikan oleh Gabenor Jeddah, Sulaeman Bey.


          Lagi salah satu sudut Masjid Quba’ yang sempat dirakam oleh penulis

Perbaikan itu tidak hanya meliputi bahagian dalam Masjidil Haram tetapi juga di bahagian luar. Banyak rumah yang diwakafkan untuk kediaman jemaah haji yang datang tiap tahun dari Mesir. Pada tanggal 19 Rabiutstsani tahun 1374 Hijrah atau 1955 Masehi, dimulai pembinaan Masjidil Haram Mekah. Pembinaan itu tidak hanya merupakan penyempurnaan yang telah ada tetapi merupakan tambahan binaan baru.


        Penulis bersama sahabat jemaah sebaik selesai solat di Masjid Quba’

Binaan masjid baru itu dibuat seluruhnya dari beton, dinding luarnya dari batu marmar dan menaranya sebanyak tujuh buah menjulang tinggi. Binaan tersebut bertingkat tiga dan di bawah tanah terdapat ruangan yang luas hampir seluas masjid itu, juga digunakan untuk solat. Selain dari ruangan itu terdapat pula terowong untuk menyalurkan banjir dari sebelah timur menembus ke sebelah barat masjid.

  
Penulis di sebuah rangkaian kedai yang menjual pelbagai jenis makanan sebaik sahaja selesai solat di Masjid Nabawi. Di sini menjadi tumpuan para jemaah kerana berdekatan dengan Masjid Nabawi

Masjidi Haram dikelilingi oleh jalan-jalan raya dan lapangan serta bangunan bertingkat untuk tempat letak kenderaan. Luas Masjidil Haram sekarang ialah 160,168 meter persegi dan boleh menampung 500,000 orang jemaah.

Kaabah

Allah s.w.t telah berfirman: ’Allah telah menjadikan Kaabah, rumah suci itu sebagai pusat (peribadahan dan urusan dunia) bagi manusia, dan (demikian pula) bulan haram, hayda, qalaid (Allah menjadikan yang) demikian itu agar kamu tahu bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.’ (surah Al-Maidah: 97). 

  
Penulis di sebuah rangkaian kedai makanan

Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s bersama puteranya Nabi Ismail a.s, dan dibantu oleh para Malaikat. Kaabah dinamakan demikian kerana binaannya yang persegi empat. Dalam bahasa Arab setiap rumah persegi empat dinamakan Kaabah. Kaabah ini pada zaman Nabi Ibrahim a.s berketinggian 9 hasta, lebar bahagian selatan 20 hasta, bahagian utara 22 hasta, panjang sebelah timur 32 hasta dan panjang di sebelah barat 31 hasta. Waktu itu Kaabah belum beratap dan juga belum sempurna pintunya.


Penulis di Perkuburan Baqi – jelas bahawa di tanah perkuburan Islam hanya terdapat batu nisan dan bukannya binaan berupa marmar atau lain-lain binaan 
                                      yang tidak dibenarkan syarak

Kaabah sebagaimana binaan lain di Mekah selalu mengalami kerosakan, tentu memerlukan perbaikan-perbaikan. Perbaikan pada zaman Nabi Ibrahim a.s dilakukan oleh kabilah Amaliqah dan kabilah Jurhum. Sejak nenek Nabi Muhammad s.a.w yang keempat iaitu Qusay Bin Kila, atap Kaabah terdiri dari kayu dum dan daun-daun kurma.


Unik dan indahnya seni bina di Masjid Nabawi

Raja Najasi yang bernama Abrahah dari Habsyah pernah menyerbu ke Mekah berusaha untuk meruntuhkan Kaabah namun Allah s.w.t telah mengirim burung-burung ababil untuk menghancurkan pasukan Abrahah tersebut kerana Allah tidak mengizinkan untuk menghancurkannya.


           Penulis bersama rakan-rakan jemaah di hadapan Masjid Nabawi

Pintu Kaabah

Pintu Kaabah dibuat dari emas tulen, di mana sejak berabad yang lalu pintu Kaabah memang masih berbentuk lama. Pada tahu 1363 Hijrah atau tahun 1943 Masehi, pintu Kaabah telah dibaiki oleh Raja Abdul Aziz, namun tanpa menggunakan emas. Kemudian pada tahun 1977 Masehi iaitu pada zaman Raja Khalid bin Abdul Aziz mulai timbul ilham diadakannya pembauran. Ilham itu timbul pada bulan Jamadil Akhir tahun 1397 Hijrah ketika Raja Khalid bin Abdul Aziz berkunjung dan bersolat dalam Kaabah.


       Penulis bersama beberapa orang jemaah sewaktu dalam perjalanan ke 
         Perkuburan Baqi yang terletak bersebelahan dengan Masjid Nabawi

Selepas itu Raja Khalid memerintahkan supaya membaharui pintu Kaabah tersebut. Pembikinan pintu Kaabah dari emas itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga Badr yang sudah berpengalaman 80 tahun dan terkenal. Dalam melaksanakan tugas ini Ahmad Ibrahim yelah dibantu oleh seorang jurutera binaan terkenal yang bernama Munir Al-Jundi dan seorang seorang penulis khat Arab terkenal serta pakar ukiran yang bernama Abdur Rahman Amien.


    Di dalam Masjid Nabawi bersama anak angkat penulis – Sharazi Zul yang 
                      menjadi teman baik sewaktu di Madinah dan Mekah

Hajar Al-Aswad

Syukur kepada Allah s.w.t kerana penulis dapat mencium Hajar al-Aswad. Hukum mencium Hajar al-Aswad adalah sunat bagi lelaki dan harus bagi perempuan pada setiap permulaan pusingan tawaf. Bagi mereka yang berpakaian ihram diingatkan tidak mencium Hajar al-Aswad atau memegang kelambu Kaabah kerana ianya disapu dengan minyak wangi yang boleh menyebabkan orang yang mengerjakan umrah atau haji melanggar perkara yang dilarang ketika umrah. Orang yang mencium Hajar al-Aswad mendapat kelebihan sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi yang mafhumnya pada hari akhirat nanti Hajar al-Aswad akan mempunyai mata dan mulut dan ia akan menjadi saksi bagi mereka yang menciumnya dengan kebenaran.


Penulis bersama sahabat Yahidin di dalam Masjid Nabawi sebaik selesai solat subuh

Ini bermaksud belum tentu orang yang mencium Hajar al-Aswad mendapat penyaksiaan di akhirat nanti. Ada yang ingin mencium Hajar al-Aswad sehingga menyakiti jemaah yang lain, ada juga jemaah lelaki yang masuk ke kawasan jemaah perempuan untuk mencium Hajar al-Aswad.


Bangunan-bangunan yang terdapat di kota Madinah. Jalan ini merupakan jalan menuju ke Masjid Nabawi dari hotel penginapan penulis di Madinah

Bagi jemaah yang ingin mengelakkan diri dari berasak-asak ketika mencium Hajar al-Aswad perlu beratur sebelum masuk waktu solat Asar kira-kira 45 minit sebelum masuk waktu. Bagi mereka yang sampai lebih awal boleh memulakan tawaf sunat dengan berniat dan melambaikan tangan ke arah Hajar al-Aswad. Para jemaah perlu betul-betul yakin selari dengan Hajar al-Aswad untuk memulakan niat tawaf dan mengakhiri pusingan tawaf.


Sewaktu mencari tempat di Raudhah

Lampu hijau boleh dijadikan panduan. Jika jemaah berniat selepas lampu hijau dan keluar sebelum sempat ke Hajar al-Aswad maka tawafnya tidak sah. Selepas dua atau tiga pusingan, jemaah perlu mencari barisan untuk mencium Hajar al-Aswad, sebaik-baiknya ketika barisan sampai di Hijir Ismail dan elakkan masuk dalam barisan di kawasan Hajar al-Aswad dan multazam kerana jemaah akan menerima tekanan kesan dari asakan di kawasan Hajar al-Aswad dan multazam. Insya-Allah dengan cara ini kita dapat mencium Hajar al-Aswad tanpa menyakiti jemaah yang lain. 


                                 Jalan menuju ke Masjid Nabawi


Hajar Aswad termasuk di antara tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t di muka bumi. Menurut sejarahnya batu ini ketika diturunkan dari syurga berwarna putih berkilat kemudian kerana kederhakaan anak-anak Adam, batu ini makin hitam dan makin hitam. Dan sejarah batu ini sangat panjang sepanjang sejarah Kaabah. Di antara peristiwa penting berkenaan dengan batu ini adalah yang terjadi pada tahun 16 sebelum Hijrah (606 Masehi) iaitu ketika suku Quraisy melakukan pemugaran Kaabah. Pada ketika itu hampir saja terjadi pertumpahan darah yang hebat kerana ada empat kabilah dalam suku Quraisy sudah saling bertegang leher mempertahankan pendapat masing-masing dalam perselisihan tentang siapa yang berhak mengangkat dan meletakkan batu ini pada tempatnya setelah pemuguran selesai.


Penulis bersama Yahidin dari Pucong di hadapan Masjid Nabawi

Selama lima hari lima malam mereka dalam situasi tegang akhirnya muncul usul dari Abu Umayyah bin Mughirah yang mengatakan, ‘Alangkah baiknya kalau keputusan ini kita serahkan kepada orang yang pertama kali masuk ke sini pada hari ini.’ Dan ternyata orang yang pertama kali masuk pada hari itu adalah Muhammad Bin Abdullah (35 tahun) iaitu Nabi Muhammad s.a.w sebelum menjadi Nabi yang pada masa itu sudah bergelar al-amin (orang yang terpercaya) kerana baginda tidak pernah berbohong dan tidak pernah ingkar janji.


Penulis bersama sahabat Yahidin dari Pucong  dan seorang jemaah rakyat Arab Saudi di hadapan Masjid Nabawi

Maka mereka terus minta kepada baginda supaya mengambil keputusan tentang pertikaian tersebut. Kemudian Muhammad Bin Abdullah menuju tempat penyimpanan batu itu lalu membentangkan serbannya dan meletakkan batu di tengah-tengah serban, lantas menyuruh seorang wakil dari empat kabilah yang sedang bertengkar. Maka empat orang itulah yang mengangkat batu tersebut secara bersama-sama. Maka terhindarlah satu pergaduhan.


                              Penulis bersama Yahidin di hadapan Masjid Nabawi

Kisah inilah yang mengilhami sebahagian orang bahawa peletakan batu tertentu (misalnya batu pertama) pada suatu bangunan memiliki nilai yang sangat penting dan berharga kerana berkaitan perjalanan sejarah kehidupan. Selain batu yang terdapat pada Kaabah Al-Musyarrafah ini tidak ada batu lain yang boleh dicium dan dibacakan takbir atasnya oleh manusia. Sudut hitam Hajar Aswad merupakan yamin Allah s.w.t di bumi. Dengannya Dia menyalami hamba-Nya sebagaimana seseorang bersalaman dengan saudaranya.


Kelihatan isteri penulis bersama Yahidin dan isterinya Norlela yang menjadi    
    sahabat kami sewaktu di Tanah Suci - semasa menunggu bas yang akan membawa para jemaah ke Madinah di terminal haji Lapangan Terbang Jeddah


Rasulullah s.a.w. mengatakan, ’Sesungguhnya pada Hajar Aswad itu terdapat tujuh puluh malaikat, yang tengah memohonkan ampun kepada Allah untuk orang-orang Islam dan Mukmin dengan tangan-tangan mereka, seraya rukuk, sujud dan bertawaf.’


                  Suasana di terminal haji Lapangan Terbang Jeddah


Air Zam-Zam

Di Tanah Suci ini, air zam-zam merupakan minuman yang sentiasa saja boleh diminum secara percuma. Sumbernya sekitar 20 meter ke kiri dari Masjidil Haram ada seperti terowong ke bawah. Di situlah sumber air zam-zam itu berada. Sekarang sudah ditutup dan dipagar dengan kaca tebal yang di dalamnya sudah dipasang paip-paip moden untuk mengalirkan air zam-zam itu ke tempat-tempat yang sudah ditentukan. Pada masa jahiliah dulu, air zam-zam dipanggil syabba’ah (yang mengeyangkan), dan diyakini bahawa ia adalah sebaik-baik penolong bagi keluarga.


Menurut sejarah, pada hari Sabtu 29 Syawal 802 Hijrah, terjadi kebakaran di 
       Masjidil Haram. Banyak tiang dan ukiran yang amat berharga terbakar. Kerosakan itu diperbaiki oleh Sultan Farouk bin Barquk dari Mesir dimulai tahun 979 Hijrah yang atapnya pada awalnya dari kayu jati ditukar kepada kubah-kubah batu. Pada 1072 Hijrah diadakan lagi perbaikan oleh Gabenor Jeddah,               
                                             Sulaeman Bey

Air zam-zam memiliki nilai yang sangat tinggi bagi umat Islam kerana ini adalah air barokah, air yang diberikan oleh Allah Yang Maha Pemurah sehingga dapat diminum untuk tujuan apa saja. Seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan baginda tidak menyatakan sesuatu kecuali wahyu dari Allah: ’Air zam-zam boleh diminum untuk tujuan apa saja.’


Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajar Al-Aswad dan pintu Kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab untuk berdoa. Menurut sebahagian riwayat orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.

Air zam-zam rasanya agak lain dari air biasa namun demikian yang penting adalah sejarah kewujudannya. Sewaktu Nabi Ismail a.s dan ibunya (Siti Hajar) ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim a.s di lembah itu, setelah kehabisan persediaan air untuk minum maka Siti Hajar pergi ke Bukit Shafa mencari-cari mata air tetapi yang dicari tidak ada. Kemudian pergilah Siti Hajar ke Bukit Marwah tetapi juga tidak mendapat mata air. Berlari-lari antara Shafa dan Marwah sebanyak tujuh kali namun tidak berhasil juga.


Penulis sewaktu di Lapangan Terbang Abu Dhabi

Tiba-tiba Siti Hajar mendengar suara yang tidak ada wujudnya. Siti Hajar berkata: ’Aku mendengar suaramu, tolonglah aku jika engkau punya kebaikan.’ Malaikat Jibril menampakkan diri dan memukul tanah yang akhirnya memancarlah sumber air. Siti Hajar segera mengempang, menyekat atau membendung seraya berkata ’zamzam-zamzam’, kerana bimbang air itu mengalir ke tempat lain. Di tempat mata air inilah akhirnya disebut telaga zam-zam.


Para jemaah akan mengambil kesempatan membeli belah sebaik selesai solat 
                     terutama sewaktu pulang ke hotel penginapan

Rasulullah s.a.w telah bersabda: ‘Andaikata Siti Hajar membiarkan air itu mengalir nescaya telaga itu menjadi mata air yang mengalir.’ Dengan air zam-zam itulah Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail a.s dapat menyambung hidupnya. Keistimewaan telaga zam-zam ini antara lain meskipun airnya setiap hari diambil beribu-ribu liter, namun tidak pernah berkurangan.


                 Menjelang tengah hari tetapi masih ramai lagi jemaah 
                              yang bertawaf mengelilingi Kaabah

Maqam Ibrahim

Maqam Ibrahim, merupakan sebuah batu yang ditutup dengan kaca dan dibuat runcing tirus di bahagian atapnya. Di batu tersebut terdapat bekas telapak kaki (atsar) Ibrahim a.s. Allah s.w.t menjadikan maqam itu sebagai salah satu tanda di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya. Ketika Allah s.w.t menyuruh Ibrahim a.s menyeru kepada manusia agar mereka mengerjakan haji, maka dia (Ibrahim) berdiri di atas maqam itu.



          Sepanjang masa kelihatan ramai jemaah melakukan ibadah sunat 
                                                     tawaf

Lalu maqam itu menjadi tinggi sehingga melebihi gunung-gunung dan kelihatan menonjol di antara apa saja yang ada di bawahnya. Kemudian Nabi Ibrahim berkata, ’Wahai umat manusia, penuhilah panggilan Tuhanmu.’ Kemudian manusia pun memenuhi panggilan Tuhannya, seraya berseru, ’Labbaik Allahumma Labbaik’ (Ya Allah, kami datang memenuhi panggilan-Mu, ya Allah). Di atas maqam itu terdapat bekas dua telapak kaki Nabi Ibrahim sesuai dengan kehendak Allah s.w.t.


Suasana di Kota Mekah pada waktu tengah hari

Nabi Ibrahim memandang ke kanan dan ke kiri seraya berkata, ‘Penuhilah panggilan Tuhanmu.’ Ketika selesai melakukan itu, baginda meletakkan maqam itu sebagai kiblat. Selanjutnya, baginda melakukan solat menghadap ke arahnya (menghadap pintu Kaabah). Dengan demikian, jadilah ia kiblat hingga masa yang dikehendaki Allah s.w.t.



Antara keunikan Masjid Nabawi


Berikutnya, Nabi Ismail mengerjakan solat menghadap ke arahnya (menghadap pintu Kaabah). Di antara maqam Ibrahim a.s dan Hajar Aswad hingga ke telaga zam-zam, terdapat kubur sembilan puluh sembilan orang nabi, mereka datang untuk menunaikan ibadah haji, kemudian mereka dikuburkan di sana. Batu itu adalah pengganjal kaki Nabi Ibrahim a.s sewaktu membina Kaabah. Jadi Maqam Ibrahim itu bukanlah kubur Nabi Ibrahim. Maqam Ibrahim adalah salah satu di antara tempat yang mustajab untuk berdoa.

  
Di sinilah muadzin Masjid Nabawi mengalunkan azan 

Multazam

Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa multazam ialah kawasan antara Hajar al-Aswad dan pintu Kaabah merupakan kawasan dimakbulkan doa. Cara terbaik untuk berdoa di multazam ialah dengan meletakkan pipi dengan tangan memegang dinding. Kawasan multazam agak mudah untuk didekati sama ada jemaah lelaki mahupun perempuan. Bagi jemaah perempuan, kawasan untuk berdoa ialah antara Hajar al-Aswad dengan pintu, manakala kawasan pintu diberi kepada jemaah lelaki.


Keindahan dan keunikan Masjid Nabawi sukar ditandingi oleh mana-mana masjid di dunia

Hijir Ismail

Hijir Ismail merupakan sebahagian dari kawasan Kaabah. Mereka yang beribadat di dalamnya samalah seperti beribadat dalam Kaabah. Sekarang jarang sekali orang awam dapat masuk ke dalam Kaabah. Kawasan Hijir Ismail merupakan salah satu tempat yang dimakbulkan oleh Allah s.w.t. Sekiranya jemaah masuk ketika waktu sibuk, memadailah berdoa sahaja di dalamnya seperti selepas Maghrib atau selepas Subuh. Sebaliknya sekiranya terdapat ruang bolehlah mengerjakan solat sunat secara ringkas supaya jemaah-jemaah lain juga berpeluang untuk berdoa dan beribadat di Hijir Ismail.


       Salah sebuah lampu candeliar yang terdapat di Masjid Nabawi


 Sujud Di Hijir Ismail

Sewaktu di Masjidil Haram, di hadapan Kaabah melakukan tawaf sunat, penulis dan isteri diberi kesempatan oleh Allah s.w.t bersolat sunat di ruang Hijir Ismail. Penulis berasa amat bersyukur walaupun dalam kesesakan para jemaah di samping ditolak dengan kasar oleh para jemaah yang lain, penulis dan isteri dapat juga mencelah dan akhirbnya berjaya melakukan solat sunat di Hijir Ismail.


Di bawah kubah yang berwarna hijau inilah terletaknya Makam Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar

Di Masjidil Haram ini penulis melakukan banyak tawaf sunat. Selepas sahaja solat Subuh, selepas berdoa, terus penulis bangun menuju ke dataran berhampiran Kaabah. Dengan niat tawaf sunat, penulis dan isteri mulai berjalan tawaf pusingan pertama. Walaupun pergerakkan penulis amat terbatas, Allah ss.w.t tetap memberikan kemudahan dan melapangkan jalan untuk penulis dan isteri bertawaf. Dalam lautan manusia yang ramai dan sesak, kadang-kadang terasa sakit pinggang mulai mendera, penulis dan isteri mampu melakukan tawaf dengan berjalan perlahan-lahan hingga selesai 7 pusingan.


Masjid Nabawi mempunyai ruang sekeliling yang luas dan lebar untuk para jemaah bersantai dan juga bersolat

Penulis suka berjalan secara perlahan-lahan sambil membaca doa. Doa-doa yang penulis baca kebanyakkannya adalah doa untuk anak-anak. Untuk mudah mengingati bilangan pusingan tawaf, setiap pusingan tawaf doanya khas untuk seorang anak. Kebetulan anak penulis seramai 7 orang dan begitu juga dengan bilangan tawaf iaitu 7 pusingan.


             Beginilah suasana yang boleh dilihat di hadapan Masjid Nabawi di 
                                                kota Madinah

Selesai sahaja pusingan ke 7, terus penulis dan isteri bergerak ke belakang untuk melakukan solat sunat 2 rakaat di belakang Makam Ibrahim. Selesai solat di belakang Makam Ibrahim, penulis berdoa dan bergerak sedikit untuk mencari tempat mustajab doa di Multazam.


                    Suasana di hadapan Masjid Nabawi di kota Madinah

Penulis pernah berjalan mengikut arus manusia yang sedang tawaf, bergerak menghampiri Kaabah. Masa ini penulis tidak perlu lagi menjaga bahu apabila berjalan mengelilingi Kaabah seperti bertawaf, kerana penulis bukan berada dalam waktu tawaf, maka penulis dapat menyusup antara manusia menghampiri Kaabah. Kerana ramainya manusia, tanpa penulis sedari, penulis dapat menghampiri dinding Kaabah, dan memegang dinding Kaabah, mengusap batu-bata dinding Kaabah. Dalam arus manusia bergerak itu, penulis dapat menghampiri Hajar Aswad, tetapi penulis tidak berani untuk mengucupnya, kerana melihat ramainya orang yang tolak-menolak terutama para jemaah dari iran dan Tunisia yang berbadan besar dan kasar.


Suasana di hadapan Masjid Nabawi di kota Madinah pada waktu malam

Semasa bertawaf, walaupun kelihatan sesak dengan manusia, penulis dan isteri sentiasa dapat menjarakkan diri dari bersentuhan tanpa sengaja dengan lelaki atau perempuan. Memang selama di Masjidil Haram penulis berwuduk bertaqlid dengan mazhab Imam Malik yang mengatakan tidak batal jika bersentuh antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa diiringi nafsu syahwat. Akan tetapi perlu difahami bahawa keharusan bertaqlid dengan mazhab-mazhab lain itu terdapat beberapa syarat yang wajib dipatuhi supaya perkara yang ditaqlidkan itu sah dan boleh diamalkan.


           Masjid Qiblatain dari salah satu sudut yang sempat dirakam penulis

Jika seorang yang bermazhab Syafi’e bertaqlid dengan mazhab Imam Malik, maka terlebih dahulu hendaklah dia mengetahui perkara-perkara yang hendak ditaqlidkan itu. Umpamanya jika bertaqlid dalam perkara tidak membatalkan wuduk jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan, maka hendaklah dia mengetahui syarat-syarat sah wuduk dan mengamalkan perkara-perkara wajib dalam wuduk yang terdapat dalam mazhab Imam Malik, baharulah bertaqlid dalam perkara yang tidak membatalkan wuduk iaitu dalam perkara bersentuh dengan wanita bukan mahram tanpa syahwat. Apabila bertaqlid mazhab lain tidaklah bertaqlid dalam perkara wuduk itu dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa ilmu yang betul.

  
Pemandangan dari luar Masjid Nabawi. Kali pertama penulis merakamkan objek ini dengan perasaan yang sungguh syahdu, terharu dan diulit ketenangan jiwa

Penulis terus bergerak mengelilingi Kaabah dalam jarak 1 meter sahaja dari dinding Kaabah. Mungkin kerana kesesakan di kawasan tawaf, maka di kawasan berhampiran dinding ini agak lapang dan mudah untuk penulis bergerak hinggalah penulis dapat menyusur di tepi dinding tembok Hijir Ismail. Penulis melihat-lihat di manakah pintu untuk masuk ke dalam kawasan Hijir Ismail ini. Terdapat ramai anggota polis di kawasan ini. Polis yang berpakaian seragam sentiasa saja mengawasi para jemaah, mereka akan menghalang sebaik mungkin para jemaah yang melakukan perkara-perkara bidaah yang dilarang oleh Islam.


                Pemandangan dari luar Masjid Nabawi menjelang petang

Dengan tolakkan arus manusia, tiba-tiba penulis dan isteri dapat masuk ke dalam kawasan Hijir Ismail melalui pintu pepenjuru bertentangan Hajar Aswad (180 darjah dari Hajar Aswad). Penulis dan isteri terdorong masuk dalam kesesakan yang amat mencabar. Bila penulis mendongak, penulis melihat pancuran emas. Subhanallah, tadi hati terdetik untuk masuk, rupanya Allah s.w.t telah kabulkan hajat itu.


            Lagi salah satu sudut Masjid Quba’ yang sempat dirakam oleh penulis

Pancuran Emas (Diperbuat Dari Emas Tulen)

Mizab adalah pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat, di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab untuk berdoa.


Masjid Quba’ merupakan masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah s.a.w sebaik baginda berhijrah ke Madinah

Di sini penulis dan isteri terus mengangkat takbir untuk melakukan solat sunat seperti biasa. Apabila sujud, baru penulis rasa sedikit kesukaran kerana ruang hadapan terlalu sempit yang menyebabkan penulis akan bersujud di atas belakang jemaah yang lain, namun penulis dapat juga bersujud, menyentuh dahi ke lantai di kawasan Hijir Ismail itu. Dalam keadaan yang sukar dan payah penulis dapat melakukan solat 2 rakaat itu secara biasa dengan bersujud dan semasa sujud yang akhir, tanpa sedar penulis mengalirkan airmata kerana terlalu gembira, bersyukur kerana dapat merasi nikmat sujud yang sekian lama penulis rindui. Selesai salam, penulis merasa amat terkejut kerana penulis dapati, kedudukan penulis betul-betul di bawah Pancuran Emas.


Dengan berwuduk dari hotel penginapan dan bersolat dua rakaat di Masjid Quba' ganjaran pahalanya satu umrah, begitu yang disabdakan baginda Junjungan

Penulis berdoa agar Allah s.w.t sentiasa menyampaikan hajat penulis dengan memberikan kemudahan dan melapangkan jalan. Memang penulis tidak sangka dan masih lagi tidak percaya yang penulis dan isteri boleh bersujud di kawasan Hijir Ismail itu.


                                     Masjid Quba' dari sisi 

Multazam adalah kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab untuk berdoa. Menurut sebahagian riwayat orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.


                Masjid Quba' merupakan masjid yang pertama dibina 
                                       oleh Rasulullah s.a.w

Bagi penulis, dapat bersolat di kawasan-kawasan mustajab untuk berdoa itu adalah nikmat kerana orang lain ramai berhajat tetapi jarang berkesampaian. Sedangkan penulis dan isteri, telah diberikan peluang tersebut.

  
Para jemaah sedang bersolat di Masjid Qiblatain 

Ya, inilah antara kenangan yang terlalu sukar untuk dilupakan. Sebab itu Baitullah sentiasa melambai penulis untuk datang lagi. Penulis sentiasa bersyukur kerana dilimpahi nikmat dan rahmat yang dikurniakan Allah sepanjang masa sama ada di Madinah Al-Munawarah atau di Mekah, berada hampir dengan Makam Rasullulah dan di Taman Syurga Raudhah.



     Lagi salah satu sudut Masjid Quba’ yang sempat dirakam oleh penulis

Tawaf Sunat

Kesempatan berada di Tanah Suci telah penulis isikan dengan memperbanyakkan tawaf sunat. Tawaf adalah ganti kepada solat tahiyyatul masjid. Bagi jemaah lelaki, waktu yang terbaik untuk tawaf ialah sekitar 20 minit sebelum masuk waktu solat kerana pada waktu ini jemaah perempuan sudah mula keluar sebagai persediaan solat. Bagi jemaah perempuan dinasihatkan supaya keluar dari kawasan tawaf sebaik sahaja azan dilaungkan dan menuju ke kawasan solat perempuan.


       Masjid Qiblatain dari salah satu sudut yang berjaya dirakam penulis

Berdasarkan pemerhatian penulis terdapat jemaah perempuan yang masih bertawaf selepas azan dan cuba solat di kawasan jemaah lelaki. Pada waktu selepas Maghrib kebiasaannya jemaah yang bertawaf lebih ramai berbanding pada waktu Zohor dan Asar.


     Indahnya senibina Masjid Qiblatain dari salah satu sudut yang sempat 
                                             dirakam penulis

Saf Pertama

Sabda Rasulullah s.a.w mafhumnya: “Sekiranya anda mengetahui tentang kelebihan berada di saf pertama nescaya anda akan mengundi.” Pelaksanaan secara realiti hadith ini dapat dilihat di Masjidil Haram. Bayangkan sekiranya barisan pertama saf ialah 20 orang tetapi yang ingin berada di saf pertama 40 orang. Ini menyebabkan saf-saf awal sangat rapat. Sebaik-baiknya bagi jemaah lelaki solat di dataran putih pada setiap waktu solat. Apa yang penulis perhatikan ada jemaah yang datang lewat tetapi ingin berada di saf hadapan, biasanya jemaah ini akan diusir oleh polis yang bertugas.


Masjid Qiblatain terletak di bahagian barat laut dari Madinah, di Jalan Khalid 
         bin Walid, sempena kehebatan pahlawan Islam tersohor pada zaman Rasulullah. Kini, Masjid Qiblatain mempunyai pelbagai kemudahan prasarana 
      sesuai sebagai pusat tumpuan jemaah dari dalam dan luar negara

Penulis juga mendapati banyak kesalahan telah dilakukan oleh para jemaah sama ada jemaah lelaki atau perempuan seperti:

  1. Jemaah perempuan berada dalam saf lelaki
  2. Jemah perempuan tidak menutup aurat seperti tidak memakai sarung kaki atau terkeluar rambut sedangkan menutup aurat menjadi salah satu syarat sah tawaf
  3. Jemaah lelaki yang berpakaian ihram tetapi nampak pusat. Tawafnya juga tidak sah
  4. Jemaah yang berpakaian ihram menghulurkan tangannya untuk disapu minyak wangi semasa jemaah bersedekah minyak wangi
  5. Perbuatan bergantung, mengusap pada kelambu Kaabah, menangis-menangis merupakan perbuatan yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w.
  6. Jemaah lelaki bertawaf dalam keadaan ihram tetapi memakai setokin atau khuf

                               Mekah Tower dirakamkan dari dekat

Perjalanan Pulang 11 Jun 2012

Hiba hati kerana terpaksa meninggalkan Tanah Suci. Semoga Allah Azzawajalla memberi peluang kepada hamba-Nya ini untuk menjadi tetamu-Nya dalam waktu yang terdekat. Bas penulis dan rakan-rakan umrah yang lain meninggalkan hotel sejurus azan Asar dengan meninggalkan seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan, walaupun perkenalan dengan sebahagian jemaah hanya dalam masa lebih kurang sembilan hari, namun ianya merupakan satu pertemuan keimanan yang tidak boleh dilupakan. Moga-moga pertemuan ini termasuk dalam hadith: ”Tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari yang tidak ada perlindungan melainkan perlindungan-Nya, antaranya dua lelaki yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.”


Bukit Pemanah yang menyimpan seribu satu peristiwa sejarah Islam

Semoga penulis dan rakan-rakan umrah yang lain mendapat umrah yang mabrurah, dan pengampunan dari-Nya. Maaf atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang kita bersama. Ini sahaja yang penulis mampu bantu, semuanya dengan izin Allah s.w.t, semoga Allah s.w.t mempertemukan kita pada pertemuan yang lain. Sekiranya kita ditakdirkan tidak bertemu di dunia ini, semoga kita semua dihimpunkan di bawah panji Allah s.w.t di akhirat nanti.



 Muka bumi Mekah dipenuhi berbagai jenis bukit dan batu kerikil serta pasir

Apa yang penting ialah kesinambungan setelah kita kembali ke tanah air. Kalau di Mekah dan Madinah kita boleh bangun awal pagi, banyak beribadat, datang awal ke masjid untuk solat berjemaah dan sebagainya mampukah kita meneruskannya di tanah air?


Mekah Tower dirakamkan dari jauh. Bangunan ini dibina oleh sebuah syarikat 
                                       pembinaan Malaysia

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah s.w.t memberi kekuatan kepada kita semua sebagaimana doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada Saidina Muaz bin Jabal r.a: “Ya Allah bantulah daku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadat dengan cara yang terbaik.”


                                     Al-Burk - pintu Kaabah


‘Ya Allah ya Tuhan kami, bantulah kami untuk meneruskan ibadat-ibadat yang kami dapat lakukan di Tanah Suci-Mu. Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan hamba-hamba-Mu yang ikhlas. Ya Allah, bantulah kami untuk menjauhkan perbuatan maksiat sebagaimana Engkau jauhkan antara langit dan bumi. Ya Allah, kami mohon redha-Mu dan syurga-Mu dan kami mohon perlindungan dari kemurkaan dan azab neraka-Mu. Ya Allah ya Tuhan kami, kurniakan kepada kami isteri-isteri dan zuriat yang menjadi penyejuk mata kami dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.’







LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA