Isnin, 15 Mac 2010

Kokun, Ra & Diam

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Dewan Masyarakat terbitan Karangkraf Sdn Bhd dan telah diantologikan dalam antologi Perjuangan Yang Belum Selesai)

SMAHADZIR 

RA menggerumuk di luar cengkerang kokun. Kepala yongyat libang libu hati jelu. Bagaimana mahu mengambil alih tugas manusia mentadbir nusa jika allama dan alima juga masih terpisah oleh cengkerang kokun? Gesit Ra bingkas dengan tekad jati.

Qummm! Qummmm!! Qummmmm!!!

Ketukan Ra mulai membingar. Cengkerang kokun itu sengoti diluluh-leburkan. Cengkerang waja khursani. Itu watas pemisah, watas penyuar krisis ideologi, pendekatan dan kefahaman dua kumpulan serangga kerdil; allama dan alima. Peri konon terjadi di satu pojok Empayar Sri Wijaya selepas ditawan Raja Rajendran Chola. Sewaktu Empayar Sri Wijaya dijujuh mesiu pembunuh dan gerapak semangat merdangga paluan soldadu Singhasari pimpinan Raja Kertanegara, sekumpulan serangga spesies alima telah lari bersembunyi di dalam sebuah kokun. Diketuai Tok Habar, kumpulan serangga itu diborgol ketakutan ribuan tahun tanpa sedar Sri Wijaya sudah berubah wajah menjadi Melaka. Sudah bersifat internasional, seluruh juzuk diterangi lampu-lampu kalimantang Khalifah Uthmaniah dari Kota Istanbul malah canak bersinar menyuar mencecah puncak langit.

Qummm! Qummmm!! Qummmmm!!!

Ketukan Ra terus bersipongang. Selaku ketua spesies allama, cengkerang kokun itu mesti dipecahkan. Mesti. Selagi tidak dipecahkan, selagi itulah hasrat penyatuan kaumnya tidak akan berjaya direalisasikan. Tidak ada gizi lain di dalam kokun itu selain dari gizi keliru, semangat dan emosi keterlaluan. Gizi-gizi itu boleh membunuh thinking capacity, sarat virus mewabak penyakit-penyakit hati, mazmumah, naïve, jumud dan pelmacam lagi.

Qummmm!!

“Ayuh, pecahkan cengkerang kokun dari dalam untuk melihat realiti situasi manusia Melaka kurun 15. Melaka sekarang sudah luas, merangkum Tanah Melayu, pulau Temasik, bumi Sumatera, tanah Jawa dan Kalimantan. Berbudaya Islam tapi masih curiga mencurigai antara sesama. Qummmmmm!!! Sama-sama kita leburkan cengkerang kokun ini dari luar dan dalam supaya kita tidak jadi seperti manusia yang suka bercerai!”

Diam.

Ajakan Ra laksana jujuh hujan menimpa pasir - kering diserap petala bumi. Sebenarnya, tidak akan ada siapa pun yang berani bersuara selagi Tok Habar tidak bersuara. Gelaran tok adalah gelaran tertinggi, autoriti termulia, terarif dan terakmal di ruang kokun. Disokong tiga pembantu; Tok Khru, Tok Qissi dan Tok Ruhbanahum. Semua gelaran dipersetujui segenap warga spesies alima kendati tidak ada locus standi sebagai diautoritikan. Jadi amatlah biadap untuk mendahului suara Tok Habar dalam sebarang hal.

Qummmm!!!

“Cepat! Cepat leburkan cengkerang kokun ini! Melaka kian jauh berlari di atas garisan sunan al-kawn, mengubah abad. Kejelitaan wajah galak mengundang geram memiang. Kita harus bersatu, jangan jadi manusia yang hanya melihat saja tubuh mungil Melaka rakus dicelapak digomol Benggali Putih. Ayuh! Ayuh kita akui hakikat, manusia punya hati nurani suci bersih, menghasilkan minda dan perasaan agung dan kudus tapi juga punya nafsu rakus yang mengakibatkan berlakunya tindakan sebagai insan cemar dikuasai iblis dan syaitan!”

Diam lagi.

Ajakan Ra lenyap dihirup cengkerang waja khursani kokun. Masing-masing diam. Masing-masing terkacip lidah, terkejur bibir. Masing-masing bungkam menunggu suara dari bibir Tok Habar yang sekadar terkumat kamit, berbisik sesuatu di telinga Tok Qissi. Selepas itu Tok Qissi berbisik-bisik pula dengan Tok Khru dan Tok Ruhbanahum. Setagal, masing-masing turut diam. Mendiamkan ruang kokun jadi bisu.

Qummmmm!!!

“Pecah dan caing-caingkan cengkerang kokun ini. Biar jadi abu berterbangan. Biar jadi runtuhan monumen purba tidak berguna, lagha. Supaya kalian dapat melihat kurun 15, 16, 17, 18, 19 yang sudah jauh ditinggalkan. Lihatlah parut luka buatan manusia yang masih melepa erat di tubuh nusa. Sekarang penghujung abad 20, dekad akhir alaf kedua. Kita kian menghampiri dekad kedua abad 21 alaf ketiga. Ayuh cepat….. cepat keluar dari kokun ini. Mari bersama kita berganding bahu mengambil alih tugas manusia, berjahada mengekor dan meredah gelombang zaman. Mari kita runtuhkan tembok semangat dan emosi membuar mencuar. Mari kita laksanakan wajadilhum billi hiya ahsan, berlemah lunak, berhikmah, mauizatul hasanah. Mari kita bersatu hapuskan ummiyyah, mari…”

“Hei!!! Siapa di luar sana?” Kefasihan suara menyebut kalimat-kalimat Arab dadak menggelentar halkum Tok Qissi terpelanting keluar dari celah gigi tanpa dapat dikawal. Dalam takjub, dalam sentakan kurang percaya, menyisih kerling-kerling curiga seluruh spesies alima. Tok Qissi sudah cuba membelakangi Tok Habar? Tok Qissi sudah cuba mengambil tempat Tok Habar mengeluar hukum? Tidak! Tok Qissi tidak membelakangi Tok Habar. Tok Qissi tetap menghormati Tok Habar. Dia sekadar bertanya, bertanya bukan menghukum. Bertanya diharuskan.

Ya, siapa gerangan di luar kokun sana? Semua dijerba tanda tanya.

Qummmm! Qummmmm! Qummmmmmm!!!

“Siapa di sana sejak lama bersuara menggelentar menggigir dinding kokun?” Tok Khru turut bertanya.

Qummmm! Qummmmm!! Qummmmmmm!!!

“Biadap! Siapa gerangan biadap di luar sana?” Tok Ruhbanahum bingkas dalam gerah. “Kenapa masih membisu tanpa mahu menyerah nama?”

Qummmm!! “Ayuh, mari bersama kita pecahkan cengkerang kokun dari dalam dan luar supaya kalian dapat bersama kami menyaksi arus pembaharuan yang semakin gesit membalun tubuh nusa. Mari kita sama-sama akui fitratullah dan law of nature. Al-tajdid sudah menjadi hukum alam. Perubahan sekitar adalah natijah daripada sifat al-tajdid, berupa gelombang. Satu hukum, satu kejadian yang harus didepani. Sekarang kita sudah berada dalam alaf baru; satu istilah gambaran kejadian al-tajdid. Alaf baru adalah natijah daripada perubahan yang terjadi dan memberi kesan pada masa kini yang meliputi seluruh aspek kehidupan kita. Jadi, marilah sama-sama kita hadapinya dengan satuan semangat dan cita-cita luhur!”

“Siapa di luar sana, hah? Masih kikir menghulur nama!” sekumpulan spesies alima seperti kurang sabar kerana Tok Habar masih membungkam.

Qummmm!!!

“Penyatuan tidak akan berlaku andai kita terus-terusan begini. Ayuh, pecahkan cengkerang kokun ini dari luar dan dalam supaya kita jadi satu. Keluar dan lihat realiti zaman. Nusa kita tidak lagi Sri Wijaya dekad silam. Nusa kita sekarang adalah pusat kewangan, ekonomi, pendidikan, kebudayaan serantau berpotensi. Laut kita taman warawiri kapal-kapal antarabangsa dan agenda teknologi maklumat sudah meletakkan nusa kita di peta pembangunan masa depan dunia yang akan menyemarakkan lagi ekonomi. Jadi, marilah bersama-sama kita realisasikan gagasan pencapaian cemerlang semua komponen national power; ekonomi, pendidikan, teknologi, kestabilan politik, sosial juga ketenteraan supaya kesejahteraan hidup tercapai, survival dan kedaulatan terjamin! Mari, mari kita pecahkan cengkerang kokun pemisah ini!”

“Hei! Sudah berapa kali mahu ditanya, hah? Siapa di luar sana? Siapa? Membingar…”

Qummmmmm!!!

Pertanyaan pertama Tok Habar dicantas ketukan mangli tangan Ra menggerutup cengkerang kokun. “Mari kita jadi manusia ahsanuttaqwim dan jangan jadi seperti manusia asfalasafilin. Mari kita cemerlangkan nusa dengan maruah berharga. Kita harus belajar daripada sejarah untuk menempa sejarah, harus menoleh ke belakang untuk mara ke hadapan. Kita harus bergelut dengan zaman dan hari-hari dalam hidup untuk mengharungi gelombang hidup seterusnya. Mari kita betulkan dasar as-siasah asy-syari’yyah pegangan kita selama ini yang nyata menyeleweng dan merosakkan!”

“Celaka!!! Siapa di luar sana?” Tok Habar cepat gerah, menjerau wajah. Kemurkaan yang terpelanting dari bibir menikuskan spesies alima lain. Semua menunggu hukuman lanjut. Hukuman seorang Tok Habar, seorang ketua spesies alima termulia. Tok Sahrin segera dipanggil. Pawang hebat brilliant persis Nostradamus itu datang mendepani Tok Habar dengan kitab tilik gabai di tangan. “Tilik siapa gerangan di luar sana yang cupar dan membingar!”

“Dia bukan spesies kita!” tidak terlalu lama untuk Tok Sahrin menyembah khabar. 

“Gebarnya lain dari gebar yang menyelimuti tubuh kaum kita. Dia terlalu asing, tanpa wadah, tanpa platform!”

“Barangkali harbi penyamar!” Tok Khru gesit meluah duga.

“Kalau harbi, berselimut gebar harbi, berilmukan ilmu harbi dari universiti yang dipanggil universiti harbi, tidak boleh bercakap soal lain selain dari soal harbi!” Tok Qissi menyambung.

Masing-masing mengangguk akur.

Qummmmmm!!!

“Aku Ra!” Ra melaung dari luar cengkerang kokun. “Aku bukan harbi penyamar. Aku adalah Ra!”

Ra? Siapa Ra? Spesies alima saling berpandangan.

“Ra bergalur akar Karun, berdarah Haman, konco akrab Dewa Kali!” Tok Sahrin membelek sari kitab tilik.

“Ya, ya, ya! Ra kerabat Sing Man-Re, piut Chuchescu, duai Haile Meriam, berdarah Tzar, berhati Lenin, berjantung Marcos,” Tok Ruhbanahum tidak mahu lepas peluang, menokok sokongan.

Qummmmm!!

“Aku adalah Ra! Ra dari spesies allama. Kita dari keluarga yang sama; alima dan allama adalah spesies serangga kerdil yang sama. Cuma ruang kokun yang membeza dan memisahkan kita. Qumm!! Marilah kita pecahkan cengkerang kokun ini dari luar dan dalam supaya kita dapat bertaup jadi satu, menjadi cerdik pandai berwawasankan ulul albab, berkeilmuan, ketakwaan dan keintelektualan. Mari kita menjadi cerdik pandai yang mampu mengeluarkan pendapat dengan sifat-sifat merendah diri dan mengutamakan orang lain, tidak menilai seseorang itu berdasarkan kaum, tidak memperagakan diri sebagai cerdik pandai golongan kaum kita saja. Mari kita jadi cerdik pandai untuk semua umat!”

“Watallahi, ini mimpi al-hulm!” tegas Tok Habar di satu ijtimak, hadapan ribuan spesies alima seraya membetulkan gebar labuh yang membalut tubuh. “Memang dia harbi. Bijak menyamar. Tidak syak lagi semua dakwaan kita. Ra itu berkepala sewah, berparuh langkuit, berwajah helang, diutuskan Dewa Kali dari tamadun Mesir Purba untuk menyambar dan membaham kaum kita. Ra akan merosakkan tubuh kita dengan cengkaman kuku tajamnya. Jadi, kita harus pertahankan cengkerang kokun ini. Mari… mari kita pertahankan kokun ini. Jangan biar ia dipecahkan Ra. Ingat……. jangan biarkan!!!”

Ribuan kepala spesies alima penghadir ijtimak gesit mengangguk dan laungan pun bersipongang menggerutup ruang kokun;
Ra harbiii!!
Ra Karunnnnnn!!!
Ra Hamannnnnnnn!!!!
Ra Kaliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!!!!!

Qummm!!! Qummmmmm!!!! Qummmmmmm!!!!!

“Mari kita leburkan cengkerang kokun ini supaya kita tidak menjadi seperti manusia yang suka berburuk sangka. Mari kita menjadi makhluk-Nya yang tidak mudah keliru antara had sempadan mengutuk yang diharuskan dengan mengutuk yang menjadi milik istimewa-Nya. Wilayah autoriti dan autonomi-Nya jangan dicerobohi seolah-olah menempatkan diri setaraf dengan-Nya untuk melaknati umat lain yang dianggap musuh. Qummmm!! Mari, mari kita buangkan hawa nafsu amarah yang membuar itu. Mari kita lenyapkan sifat-sifat taklid, jumud, ujub, taksub yang merugikan itu. Mari kita lenyapkan budaya bejat itu!”

Diam. Ajakan Ra tidak dipedulikan.

Qummmm!!

“Mari kita pecahkan cengkerang kokun dari luar dan dalam supaya kita menjadi satu, memahami realiti kehidupan secara benar, tidak mudah tunduk kepada realiti spesies sendiri. Insaf, kuat umat bukan kerana ramai tetapi kerana kejap gemal wasilah yang utuh. Bersatu teguh bercerai roboh!!”

Diam juga. Ajakan Ra berkecai dikitar silir.

Qummmmm!!!

“Mari kita bersatu! Mari kita bersatuuu!!! Pecahkan cengkerang kokun yang menjadi pemisah antara kita selama ini. Mari kita teguhkan pegangan innamalmukminunaikhwakh!”

Diam terus. Laungan Ra sedikit tidak menggugah copeng. Lenyap ditelan diam.
Ra jelu tercangip di depan cengkerang kokun yang kian utuh. Cengkerang kokun waja khursani. Sukar dirobohkan. Kukuh kental dipatri ketaksuban. Hasrat realiti penyatuan terkucar. Bersama cita Rational Action, Ra alias Rational Action terhenyak di tengah pusar gelombang alaf yang semakin rencam namun kukuh jiwa jihad belum luntur.

Qummmmmm!! Qummmmmmm!!!!!

“Janganlah kamu semua duduk semajlis dengan sembarangan ulama kecuali dengan ulama yang mengajak dari lima perkara kepada lima perkara - iaitu dari keraguan kepada keyakinan, dari riak kepada keikhlasan, dari ketamakan kepada kesederhanaan, dari takbur kepada rendah diri dan dari permusuhan kepada nasihat menasihati.” *

Diam. Diam sediam diamnya.


Rujukan:

* Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Abu Nu’aim dari Jabir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA