Ahad, 14 Mac 2010

Asas Pendidikan Anak

Artikel ini telah tersiar dalam laman sesawang Yayasan Dakwah Islamiah Islam (YADIM) pada 16 Februari 2006

Oleh SMAHADZIR

Ada banyak isyarat di dalam Al-Quran yang harus diambil perhatian oleh setiap Muslim. Salah satu daripada sedekian banyak isyarat itu adalah tentang asas-asas pendidikan anak yang dilakukan oleh seorang ahli hikmah yang bernama Luqman Al-Hakim. Allah s.w.t mengabadikan kejayaan Luqman Al-Hakim dalam mendidik anak-anaknya di dalam surah Luqman atau surah 31.

Dalam artikel yang singkat ini, terdapat tiga ayat yang perlu kita ambil sebagai asas-asas pendidikan daripada orang tua terhadap anak-anaknya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: ‘Dan (ingatlah) ketika Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya pada waktu ia memberi pelajaran kepadanya: ´Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah s.w.t, sesungguhnya mempersekutukan (Allah s.w.t) adalah benar-benar kezaliman yang besar.´ Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada kedua-dua orang ibu bapa; ibu telah mengandungnya dalam keadaan lemah dan menjaganya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua–dua dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kamu kembali. Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku, maka janganlah kamu mengikuti kedua-duanya, dan bergaullah dengan kedua-duanya di dunia dengan baik dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada Akulah kamu kembali, maka kuberitahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (Luqman Al-Hakim berkata): ´Hai anakku, sesungguhnya jika ada (suatu perbuatan) seberat biji sawi dan berada dalam batu atau di langit atau di bumi, nescaya Allah s.w.t akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah s.w.t Maha Bijak lagi Maha Mengetahui.´´ (QS 31: ayat 13-16)

TIGA ASAS

Daripada ayat di atas, sekurang-kurang ada tiga asas pendidikan yang harus ´ditanamkan´ orang tua kepada anak-anaknya.

(a) Memiliki Tauhid yang Mantap

Memiliki tauhid atau iman yang mantap merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Dengan iman yang mantap, seseorang itu akan memiliki akhlak yang mulia sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘Mukmin yang sempurna imannya, baik akhlaknya.’ (Hadis riwayat Tirmidzi)

Di samping itu, dengan iman yang mantap, seorang Mukmin akan memiliki rasa malu sehingga dia tidak mahu melakukan perkara-perkara maksiat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘Malu itu adalah sebahagian daripada iman.’

Dengan iman yang mantap, seorang Mukmin juga suka memakmurkan masjid, baik membantu membangunkannya secara fizikal, memelihara kebersihan masjid itu, melaksanakan pelbagai aktiviti yang bermanfaat dan tentu saja suka solat berjemaah di masjid, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘Apabila kamu melihat seseorang membiasakan diri datang ke masjid, maka saksikanlah dia itu sebagai seorang Mukmin.’ (Hadis riwayat Tirmidzi dan Hakim)

Masih begitu banyak sifat Mukmin yang tidak mungkin dapat disentuh di dalam tulisan yang singkat ini. Bagaimanapun, tegasnya, dengan iman yang mantap, seseorang itu dengan hati yang lapang akan menjalankan perintah Allah s.w.t dalam kehidupan ini - yang diperintah akan selalu dikerjakannya dan yang dilarang akan ditinggalkannya. Oleh kerana itu, dalam awal pembinaan sahsiah diri para sahabat, Rasulullah s.a.w lebih mengutamakan pembinaan iman dan sebagaimana yang dilakukan Luqman Al-Hakim terhadap anaknya, maka setiap orang tua pada zaman sekarang juga harus memantapkan keimanan kepada anak-anak mereka sebagai bekalan untuk mereka di hari muka.

(b) Berbuat Baik Kepada Orang Tua

Di samping iman yang mantap, apa yang harus disemai oleh orang tua terhadap anak-anak mereka ialah berbuat baik kepada orang tua. Justeru, Rasulullah s.a.w menekankan kepada para sahabat agar mereka berbuat baik kepada orang tua. Maka ketika ada sahabat bertanya tentang siapa yang harus dicintai dan disayangi dalam hidup ini, baginda menjawab: ‘Allah s.w.t dan Rasul-Nya.’ Lalu sahabat itu bertanya lagi: ‘Siapa lagi ya Rasulullah.’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu.’ Jawapan itu dikemukakan Rasulullah s.aw sehingga tiga kali, kemudian barulah selepas itu: ‘Bapamu.’

Bagi orang tua, jangankan sampai memukul atau menyakiti anak-anak secara fizikal. Bagi anak-anak pula, berkata ´ah´ juga sebagai penolakan terhadap keinginan yang baik tidak boleh kita lakukan kerana perkara itu sangat menyakitkan orang tua. Allah berfirman yang bermaksud: ‘Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua-duanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ´ah´ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.’ (QS 17 ayat 23)

Meskipun demikian, di dalam surah Luqman ditegaskan bahawa berlaku baik kepada orang tua selagi tidak melanggar prinsip tauhid yang wajib mentaati Allah s.w.t di atas segalanya, maka apabila perintah dan keinginan orang tua bertentangan dengan ketentuan-ketentuan Allah, maka keinginan dan perintah itu tidak boleh kita penuhi, tetapi perlu harus berlaku baik kepada orang tua.

Ketaatan kepada orang tua mempunyai erti yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Dengan taat pada orang tua, insya-Allah seseorang Muslim akan memperoleh keberkatan dalam hidup kerana Allah akan reda ke atasnya, dan apabila seseorang dimurkai oleh orang tuanya, maka Allah juga tidak meredainya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermasud: ‘Reda Allah s.w.t terletak pada reda orang tua dan kemurkaan Allah s.w.t terletak pada kemarahan orang tua.´

(c) Bertanggungjawab Dalam Perlakuan

Asas pendidikan anak yang ketiga yang disemai oleh Luqman Al-Hakim kepada anaknya adalah rasa tanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya di dunia ini, kerana segala yang dilakukan oleh manusia akan dipertangungjawabkan di akhirat atau ada balasannya. Amal baik akan di balas dengan kebaikan dan amal buruk akan dibalas dengan keburukan. Di dalam ayat lain, Allah telah berfirman yang bermaksud: ‘Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.’ (QS 99 ayat 7-8)

Dengan tertanamnya rasa tanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya, seorang anak insya-Allah akan berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar tidak melakukan kesalahan meskipun kesalahan itu mengandungi kenikmatan duniawi kerana Allah tentu Maha Melihat di atas apa yang dilakukannya.

Dalam kaitan ini, seorang Muslim amat dituntut memiliki pengetahuan tentang mana yang boleh dan yang mana pula tidak boleh dilakukannya. Tanpa mengetahui hakikat itu, boleh jadi seseorang melakukan sesuatu yang sebenarnya tidak boleh dilakukannya atau tidak melakukan sesuatu sedangkan itu merupakan sesuatu yang mesti dilakukannya kerana hidupnya dilalui dengan taklid atau ikut-ikutan saja yang tidak dibenarkan Allah sebagaimana yang terdapat dalam Al-Quran yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta penanggungjawaban.’ (QS 17, ayat 36)

Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Luqman Al-Hakim merupakan seorang ahli hikmah yang patut diteladani dalam mendidik anak agar si anak menjadi anak yang soleh.

Di samping asas-asas pendidikan terhadap anak berupa menyemaikan tauhid atau iman yang mantap, berbuat baik pada orang tua dan memiliki rasa tanggungjawab terhadap perbuatan yang dilakukannya, Luqman Al-Hakim, seorang ahli hikmah yang namanya diabadikan dalam Al-Quran juga menyemai perkara-perkara penting lainnya dalam pendidikan terhadap anaknya sehingga si anak menjadi anak yang soleh. Allah memfirmankan nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya yang bermaksud: ‘Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara-perkara yang diwajibkan (oleh Allah s.w.t).’ (QS 31, ayat 17)

EMPAT ASAS

Dari ayat di atas, sekurang-kurangnya, ada empat asas pendidikan yang harus ditanamkan kepada anak, iaitu:

(a) Membiasakan Solat

Memerintah atau menyuruh anak-anak untuk melakukan dan membiasakan solat merupakan sesuatu yang amat penting dalam kehidupan mereka kerana perkara itu juga ditekankan oleh Nabi Muhammad s.a.w di dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: ‘Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika tak mahu mengerjakannya ketika mereka telah berumur sepuluh tahun.’ (Hadis riwayat Abu Daud)

Penegasan akan kepentingan mendirikan solat oleh setiap anak merupakan sesuatu yang sangat penting untuk dilakukan orang tua terhadap anak-anak mereka. Ini kerana solat memiliki kedudukan yang amat penting, iaitu sebagai tiang agama yang apabila seseorang Muslim meninggalkannya, maka terjadilah sebagaimana bangunan tanpa tiang, maka bangunan itu akan hancur dan ini bererti boleh hancur juga keislaman dirinya, bahkan dia boleh jatuh ke darjat orang-orang kafir dalam erti kata dia sudah seperti orang kafir kerana orang kafir itu tidak melakukan solat. Pengaruh solat itu sendiri dalam kehidupan seseorang Muslim juga sangat besar, iaitu dapat mencegah diri mereka daripada perbuatan keji dan mungkar sebagaimana firman Allah yang bermaksud: ‘… dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.’ (QS 29, ayat 45)

Dalam kaitan membiasakan anak untuk melakukan solat, maka orang tua juga harus membiasakan anaknya untuk terbiasa juga melakukan solat berjemaah di masjid bagi anak-anak lelaki. Perkara ini tidak hanya akan memperoleh pahala yang jauh lebih besar, tetapi juga mengandungi didikan kemasyarakatan yang sangat tinggi, mulai daripada interaksi, perkenalan hingga merintis dan menjalin kerjasama dengan masyarakat Muslim dalam perkara-perkara yang baik.

Oleh kerana itu, orang tua zaman sekarang juga harus menjadi seperti Luqman Al-Hakim terhadap anak-anak yang menekankan agar si anak melakukan solat, lebih-lebih lagi banyak hikmah solat yang amat memberikan pengaruh positif dalam kehidupan seseorang Muslim.

(b) Melibatkan Anak Dalam Amar Makruf

Kebaikan merupakan sesuatu yang pasti diketahui oleh setiap orang, maka kebaikan itu disebut juga dengan makruf yang bermaksud dikenal. Bagaimanapun, kerana manusia kadangkala terpengaruh atau didominasi oleh hawa nafsunya, meskipun dia tahu bahawa kebaikan atau yang makruf itu harus dilakukan, dia tetap tidak melakukannya, maka di dalam Islam terdapat perintah untuk melakukan apa yang disebut dengan amar makruf (memerintahkan yang baik) kepada orang lain.

Jika Luqman Al-Hakim menegaskan kepentingan-kepentingan ini kepada anaknya, itu bermaksud ada pengaruh yang sangat positif dalam diri seseorang. Paling tidak, dengan menyeru kebaikan kepada orang lain, kita yang menyeru akan memiliki beban mental akan keharusan kita melakukan kebaikan itu, lebih-lebih lagi apabila kita menyeru orang lain untuk melakukan kebaikan itu, sementara kita sendiri tidak melakukannya. Maka Allah akan memurkai kita. Allah telah berfirman yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan.’ (QS 61, ayat 2-3)

Apabila seseorang anak dilibatkan dalam menyeru kebaikan kepada orang lain, paling tidak dia akan mencintai kebaikan itu untuk kepentingan dirinya sendiri.

(c) Melibatkan Anak Dalam Nahi Mungkar

Sepatutnya sesuatu yang batil atau tidak benar diketahui oleh setiap Muslim. Manusia pada dasarnya akan selalu mengingkari segala perkara yang tidak benar. Itulah sebabnya sesuatu yang tidak benar atau yang batil itu disebut dengan mungkar. Bagaimanapun, kerana manusia seringkali dikuasai oleh hawa nafsu, sesuatu yang mestinya diingkari telah dilakukannya. Oleh kerana itu di dalam Islam terdapat perintah untuk melakukan nahi mungkar (mencegah manusia daripada kemungkinan melakukan kemungkaran) dan seorang anak harus dilibatkan dalam aktiviti nahi mungkar itu.

Dengan melakukan tugas nahi mungkar, paling tidak seseorang itu alan membenci pada kemungkaran sehingga dia tidak akan melakukannya. Dalam melaksanakan tugas nahi mungkar, seseorang Muslim harus melakukannya sesuai dengan kemampuan diri mereka meskipun hanya dengan hatinya, iaitu dengan doa agar seseorang itu tidak melakukan kemungkaran. Maka menanamkan rasa benci terhadap kemungkaran itu di dalam hatinya, setiodak-tidaknya akan mencegah kemungkaran.

Dalam soal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda: ‘Barangsiapa melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangannya, dan apabila tidak mampu hendaklah dia mencegah dengan lisannya dan apabila tidak mampu juga hendaknya dia mencegah dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman.’ (Hadis riwayat Muslim)

Dengan amar makruf dan nahi mungkar, bermakna seseorang Muslim telah memenuhi kriteria sebagai umat terbaik sebagaimana yang difirmankan oleh Allah yangbermaksud: ‘Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah .’ (QS 3 ayat 110)

(d) Menanamkan Kesabaran Terhadap Kesempitan Hidup

Menjadi Muslim yang baik, lebih-lebih lagi jika terlibat dalam amar makruf dan nahi mungkar, tidak selalu boleh berjalan dengan lancar dalam menjalani kehidupan ini dalam erti kata kemungkinan adanya cabaran dan dugaan yang pelbagai bentuk. Sejarah perjalanan umat manusia telah membuktikan kepada kita betapa banyak orang yang melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar terpaksa menghadapi pelbagai kesulitan dalam hidup, mulai daripada kesulitan dalam hubungan dengan manausia, kesulitan ekonomi hingga kepada nyawa yang terancam.

Oleh kerana itu amat tepat apa yang dinasihatkan Luqman Al-Hakim kepada anaknya agar si anak sentiasa bersabar terhadap perkara-perkara yang menimpa dirinya sebagai ´penduga´ keimanan, khususnya dalam perkara amar makruf dan nahi mungkar.

Apabila seseorang memiliki kesabaran dalam hidupnya, maka Allah akan selalu bersama dengannya. Dalam hal ini Allah telah berfirman yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.’ (QS 2 ayat 153)

Di samping itu, sabar juga menjadi salah kunci utama bagi mencapai kejayaan dalam perjuangan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Allah berfirman yang bermaksud: ‘Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetap bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar supaya kamu beruntung.’ (QS 3, ayat 200)

Dari sini semakin kita sedari bahawa mendidik anak agar menjadi soleh atau Muslim yang sejati bukanlah sesuatu yang mudah. Lantaran itu diperlukan perhatian yang seriau daripada orang tua terhadap anak-anak mereka dalam proses pendidikan. Salah satu perhatian yang besar dan serius itu ialah dengan memberi nasihat-nasihat yang berguna dan bermakna sebagaimana yang dilakukan Luqman Al-Hakim kepada anaknya, lebih-lebih lagi nasihat itu lahirnya daripada rasa kasih sayang yang dalam.

Dalam perjalanan hidup manusia, memiliki akhlak yang mulia merupakan sesuatu yang sangat penting. Dengan akhlak yang mulia itulah, seseorang akan tinggi martabatnya di sisi Allah s.w.t Allah berfirman yang bermaksud: ‘Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.’ (QS 49 ayat 13)

Bahkan seorang ulama yang bernama Syauqi Bey menyatakan bahawa maju dan mundurnya sesuatu bangsa amat bergantung pada akhlak yang dimiliki oleh bangsa itu sendiri. Lebih lengkap beliau menyatakan: ‘Nilai sesuatu umat (bangsa) diukur oleh tinggi atau rendah akhlak manusianya. kalau akhlak sesuatu bangsa itu hancur, maka hancurlah bangsa itu. ‘

Dalam kaitan itulah, Luqman Al-Hakim menasihati anaknya agar berakhlak mulia. Perkara ini dikemukakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: ‘Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.’ (QS 31 ayat 18-19)

Daripada ayat di atas, apa yang amat ditekankan oleh Luqman Al-Hakim terhadap anaknya ialah jangan berlaku sombong, baik dalam sikap dan tingkah laku mahupun dalam bertutur kata. Orang yang sombong adalah orang yang merasa memiliki kelebihan dibanding orang lain lalu merendahkan dan menghina orang itu. Sedangkan sombong terhadap Allah adalah tidak mahu menerima ketentuan-ketentuan Allah dalam kehidupan ini.

Ini menunjukkan bahawa sifat sombong merupakan salah satu sifat yang sangat tercela dalam pandangan Islam. Oleh sebab itu orang yang sombong tidak akan dimasukkan ke dalam syurga. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi daripada sifat kesombongan.’ (Hadis riwayat Muslim)

Sejarah telah menunjukkan kepada kita betapa orang-orang yang sombong, baik dengan sikap, perbuatan mahupun ucapannya mengalami musibah yang sangat parah bagi dirinya sendiri dan membawa akibat buruk kepada orang lain. Di antaranya ialah kesombongan iblis laknatullah yang tidak mahu sujud (hormat) kepada Nabi Adam a.s atas perintah Allah.

Ketika Allah s.w.t bertanya: ‘Mengapa engkau tidak mahu sujud.’ Dengan angkuh iblis menjawab: ‘Aku lebih mulia daripada dia. Aku dicipta daripada api sedangkan dia daripada tanah.’ Lebih lengkap kisah kesombongan iblis ini terdapat dalam firman Allah yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu (Adam), lalu Kami bentuk tubuhmu, kemudian Kami katakan kepada para malaikat: ´sujudlah kamu kepada Adam,´ maka mereka pun bersujud kecuali Iblis. Dia tidak termasuk di kalangan mereka yang bersujud. Allah s.w.t berfirman: ‘Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?’ Iblis menjawab: ‘Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku daripada api sedangkan dia Engkau ciptakan daripada tanah.’ Allah berfirman: ‘Turunlah kamu dari syurga itu kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.’ (QS 7, ayat 11-14)

Akibat kesombongan Iblis inilah, akhirnya dia bertekad untuk menjadi penggoda anak cucu Adam agar mengikutinya masuk ke dalam neraka. Maka muncullah kemudian manusia-manusia yang sombong pada kemudian hari sebagai ´juak-juak´ dan pengikut iblis, contohnya, Firaun yang begitu sombong hanya kerana dia menjadi raja dan sebahagian besar manusia tunduk kepadanya. Kesombongan Firaun amat keterlaluan kerana dia mengaku dirinya sebagai tuhan. Firman Allah yang bermaksud: ‘Dan berkata Firaun: ´Hai pembesar-pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah hai Hamman untukku tanah liat, kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta.’ (QS 28, ayat 38)

Kesombongan juga dilakukan oleh Qarun. Oleh sebab hartanya banyak, dia merasakan semua itu bukan daripada Allah tetapi semata-mata kerana hasil jerih payahnya sendiri, berkat ilmu yang dimilikinya. Allah tidak suka kepada orang yang sombong seperti itu sehingga semua hartanya ditenggelamkan oleh Allah ke dalam bumi sehingga melahirkan istilah ´harta karun´ yang diperoleh manusia dari dalam tanah. Sedangkan Qarun sudah diingatkan sebelumnya agar jangan berlaku sombong, tetapi Qarun membalsanya dengan kata-kata yang menunjukkan kesombongannya yang luar biasa. Kisah kesombongan Qarun ini difirmankankan dalam surah Al Qashash ayat 76-82.

Manusia berlaku sombong, baik kepada Allah mahupun kepada sesama manusia tatkala dia memperoleh kesenangan dan manusia menjadi putus asa tatkala ditimpa kesusahan. Allah berfirman yang bermaksud: ‘Dan apabila Kami berikan kesenangan kepada manusia nescaya berpalinglah dia: dan membelakangi dengan sikap yang sombong; dan apabila dia ditimpa kesusahan, nescaya dia berputus asa.’ (QS 17, ayat 83)

Kesombongan seperti itu berpangkal pada hati yang tidak sihat, yang akhirnya memancarkan sikap yang angkuh, perilaku yang menunjukkan kesombongan dan ucapan yang bernada ego dengan merendahkan dan menyakiti hati orang lain serta meninggikan dirinya sendiri.

Begitulah, memang dalam perjalanan hidup manusia, kita ditemukan dengan manusia yang baik akhlaknya dan ada manusia yang buruk akhlaknya. Bagaimanapun, semua nya berpangkal pada hati dan lidah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Ketahuilah bahawa pada tubuh manusia ada sepotong daging, apabila daging itu baik, baiklah manusia itu dan apabila buruk, buruklah manusia itu. Sepotong daging itu adalah hati.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Oleh sebab itu, amat penting bagi orang tua untuk selalu menasihati anak-anak mereka agar tidak berlaku sombong dalam menjalani kehidupan yang sementara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA