Jumaat, 19 Julai 2013

NAZAM


Nazam Kisah Muhammad
SMAHADZIR


Awal Bismillah pembuka bicara
Kisah Muhammad insan istimewa
Pembawa khabar berita gembira
Kepada makhluk seluruh dunia

Muhammad itu nabi terakhir
Orangnya benar tiada mungkir
Menyuruh kita semua berfikir
Ingat Allah dengan berzikir

Muhammad itu yatim piatu
Tiada ayah dan tiada ibu
Di Gua Hira’ menerima wahyu
Beriman kepada Allah yang satu

Memang banyak dugaan diterima
Menyebar kebenaran serata buana
Sepanjang masa dicaci dihina
Disekat oleh musuh durjana

Muhammad itu orangnya tabah
Tidak mudah menyerah kalah
Sudah tercatat dalam sejarah
Setiap masa dilindungi Allah

Agama Islam cepat berkembang
Serata dunia dengan gemilang
Walau ditentang walau dihalang
Oleh manusia berhati walang

Jasa Muhammad sangat mulia
Membawa manusia masuk ke syurga
Yang jahat masuk neraka
Semuanya dalam kehendak-Nya jua


NAZAM:
Nazam Elok Pekerti
SMAHADZIR

Elok bicara bersih hati harum bakti
Sepanjang hidup kita akan dipandang tinggi

Cantik wajah kaya harta perangai keji
Semua sahabat akan lari membawa diri

Wahai saudara jangan bongkak bangga diri
Sepanjang hidup tidak berkat akan dibenci

Molek perangai tingkah laku buat jasa
Dengan ikhlas semua orang akan suka

Cantik tingkah jangan dengki iri hati
Sepanjang hidup akan dipuji sana sini

Wahai saudara buat kebaikan sepanjang masa
Jangan lalai nanti dapat balasan seksa

Ingatlah nasihat ayah ibu penuh harapan
Anaknya jadi insan mulia orang berkenan

Jangan jadi anak derhaka orang cerca
Nanti dibenci seluruh jiwa akan merana

Guru mengharap muridnya jadi orang berbudi
Belajarlah dengan bersungguh-sungguh sepenuh hati

Wahai anak dengarlah nasihat ini setiap masa
Hidup bahagia dipandang mulia tidak kecewa

Wahai saudara jangan mudah cepat kalah
Ingatlah selalu Tuhan bersama hamba yang tabah

Wahai saudara ingat pesan buat amalan
Kalau sesat cepat pulang ke pangkal jalan

Wahai saudara ingat nasihat buat azimat
Supaya hidup diberkati Tuhan akan selamat


NAZAM:
Muhammad Pesuruh Allah
SMAHADZIR

Dengarlah ini kisah berperi
Kisah berlaku di sebuah negeri
Masyarakatnya hidup tidak berbudi
Diutuskan Allah seorang nabi

Masyarakat jahiliyah tidak berbudi
Anak perempuan dibunuh diri
Arak dan zina senang sekali
Dilakukan orang setiap hari

Seorang nabi diutuskan datang
Membawa masyarakat ke jalan terang
Perangai jahat perlu dibuang
Jangan diikut syaitan yang malang

Nabi diutus bernama Muhammad
Kepada manusia membawa rahmat
Dapat hidayah sekelian umat
Supaya hidup mendapat berkat

Nabi Muhammad orang yang sabar
Melaungkan kalimah Allah Huakbar
Tidak terselindung segala asrar
Ikhlas membawa risalah yang benar

Nabi Muhammad hatinya lurus
Merendah diri berpakaian lusuh
Sentiasa berperang melawan musuh
Tidak bimbang diancam rusuh

Nabi Muhammad jiwanya ikhlas
Budi diberi tak minta dibalas
Rajin berusaha tidaklah culas
Dengan amanah tanggungjawab digalas

Sidiq, amanah, tabligh, fatonah
Milik seorang manusia tabah
Tidak hirau dicaci seranah
Itulah Muhammad Pesuruh Allah


NAZAM:
Nazam Cinta Remaja
SMAHADZIR

Untuk remaja yang dilanda cinta
Harapkan bahagia tiada duka
Mendamba kekasih di depan mata
Jangan lupa syaitan menggoda

Cintai pasangan berpada-pada
Agar hati tak lalai dari-Nya
Cukup katakan kau akan setia
Buktikan diri dengan bertakwa

Jika jujur akan bahagia
Allah tahu apa di dada
Mulut boleh berdusta, berkata ia
cinta sejati dekat dengan-Nya

Jika rindu semarak membara
Niat hati untuk meminangnya
Itulah jalan paling mulia
Jika tak mampu, mari berpuasa

Berhati-hati panggilan dosa
Nanti tak dapat bau syurga
Jika hatimu ganas bergejora
Dekatkan hati sujud pada-Nya

Jangan diikut kehendak nafsu
Ingin selalu bahagiakan ibu
Pandang ke depan mohon restu
Jangan esok penuh terharu

Jaga cintamu dengan takwa
Jalan terbaik menuju bahagia
Jangan dibiar syaitan menggoda
Kelak dirimu dipandang hina

Cinta itu anugerah Allah
Untuk hamba-Nya yang pasrah
Jangan cepat mengaku kalah
Kepada syaitan musuh terserlah


NAZAM:
Nazam Sebelum Tidur
SMAHADZIR

Dengarlah tuan sebuah nazam sebelum tidur
Jangan kita berhati sombong, bongkak dan takbur

Harta melimpah wang berjuta tidak bermakna
Jika perangai terlalu buruk pasti dihina

Orang baik jiwanya ikhlas budinya tinggi
Sering tersenyum mudah memberi tidak dibenci

Jangan jadi sombong diri enau di belukar
Orang keji hidup pasti mendapat sukar

Jadilah mulia penuh takwa orang budiman
Hidup pasti tidak kecewa sentiasa aman

Selalu ingat hidup ini satu anugerah
Buat amalan taat hukum suruhan Allah

Selalu bersyukur amalan zikir jangan dilupa
Akhirat nanti akan mendapat ganjaran syurga

Sepanjang masa ingat nabi ingat Allah
Supaya hidup dalam bahagia mendapat berkah

Solat lima waktu tiang agama Islam
Jadi penyuluh dalam gelap di waktu malam

Ingat pesan kalau memberi hati ikhlas
Ada imbalan akhirat nanti Allah membalas

Ini nazam sebelum tidur sebagai nasihat
Buat baik sepanjang hayat mendapat berkat

Kalau hidup tiada muafakat kera sumbang
Umpama pokok tidak kukuh bakal tumbang

Kepada Allah tempat bergantung mohon rezeki
Rajin berusaha hidup senang orang tak keji


NAZAM:
Nazam Anak Berguna
SMAHADZIR

Sedari kecil engkau dibedung
Sakit demammu air mata dibendung
Ibu bapamu laksana payung 
Tempat kasih anak berlindung 

Kasih ibumu hendaklah dijunjung
Sangatlah susah ibu mengandung 
Jasa ibumu perlu disanjung 
Kelak hidupmu membawa untung

Kasih ayahmu kasih sejati
Curah padamu sepenuh hati
Engkau umpama intan baiduri 
Nasihat ayahanda jangan ingkari 

Cinta ibumu melangit tinggi
Nasihat ibumu perlu peduli 
Jangan melawan ibu sendiri 
Nanti hidupmu dirundung rugi

Pesan ayah jangan dilupa
Nasihat ibu laksana permata
Perlu disemat di dalam dada
Untuk kebahagiaan di hari muka

Anak adalah intan berharga
Bagai cahaya penerang gelita
Jangan jadi anak derhaka
Tidak mencium harumnya syurga

Jadilah anak mengenang budi
Ibu dan ayah jangan sakiti
Kenanglah jasa budi dan bakti
Walau berada di tempat tinggi

Nasihat ini bukan jenaka
Buat pedoman di hari muka
Jadilah anak orang berguna
Jauhi perkara yang Allah murka


NAZAM:
Nazam Merempuh Cabaran
SMAHADZIR


Untuk hidup senang bahagia perlukan bekal
Cari ilmu pengetahuan itu dibuat tangkal

Cabaran ditempuh hati cekal jiwa tabah
Musuh menyerang masalah datang tidak gelabah

Sayang kasih flora fauna menghiasi alam
Kelak jadi cahaya terang penyuluh malam

Sahabat handai sanak saudara jiran tetangga
Berbuat baik sesama kita hidup bahagia

Kalau hidup penuh dengki dan hati iri
Kelak nanti diri sendiri dipasung rugi

Aneka ragam hati manusia keliling kita
Kalau tabah tetap sabar hidup selesa

Syaitan iblis sering menggoda mengajak cela
Kalau diikut hidup bahagia rosak binasa

Hati suci jiwa bersih kerana Allah
Orang kasih hidup beruntung banyak faedah

Cari ilmu buat bekalan hari mendatang
Kelak nanti bahagia menjelma hidup senang

Ilmu pengetahuan perlu dicari sepanjang masa
Hidup senang mahligai jaya orang pun suka

Kalau suka berlagak pandai orang benci
Kelak rugi yang malu diri sendiri

Untuk hidup senang lenang tanpa masalah
Segala cabaran juga halangan mesti diredah

Jangan takut dilambung ombak badai mengganas
Cerna akhlak hati ikhlas peribadi bernas


NAZAM:
Nazam Nasihat Saudara
SMAHADZIR

Dengarlah saudara nazam ini
Nazam pedoman seikhlas hati
Perihal hidup kita ini
Aneka dugaan harus hadapi

Selama hidup hendaklah setia
Supaya orang sentiasa percaya
Buat baik sesama manusia
Dosa serakah sisihkan saja

Bila berjanji jangan menipu
Nanti sahabat menjadi seteru
Patuhi masa tepatkan waktu
Pasti dirindu dikenang selalu

Jangan sekali mencari musuh
Tiada guna menempa gaduh
Lenyapkan semua perangai angkuh
Kelak persahabatan menjadi rapuh

Walaupun kaya janganlah sombong
Sesama manusia perlu ditolong
Kemiskinan sahabat dapat dibendung
Di akhirat nanti mendapat untung

Nazam ini seikhlas hati
Harap semua dapat fahami
Nasihat baik tulus dan suci
Ingat selalu jangan dinafi

Hidup tenang fikiran sihat
Selalu bertaubat ucap selawat
Agar hidup beroleh manfaat
Akhirat nanti mendapat rahmat

Ingatlah selalu kepada Allah
Jernihkan hati, kuat dan tabah
Kepada Yang Esa kita berserah
Salah dan dosa jangan ditambah

Wahai saudara rajinlah beribadat
Janganlah lupa laksanakan solat
Banyakkan juga amalan berzakat
Untuk bekalan hari akhirat

Muhasabah untuk membersih diri
Banyak berdoa ke hadrat Ilahi
Tenang dan damai setiap hari
Semoga hidup selalu diberkati

Carilah ilmu yang bermanfaat
Janganlah menyerah sebelum dapat
Gunakanlah ilmu secara tepat
Agar berguna untuk masyarakat

Jangan lupa mengucap takbir
Juga berdoa dalam berzikir
Jangan dihina miskin dan fakir
Semoga bahagia di hari akhir

Sampai di sini nazam berhenti
Salah dan silap mohon dimaafi
Jika mmasih dikurniakan rezeki
Lain kali berjumpa lagi


NAZAM:
Nazam Nasihat Guru
SMAHADZIR

Inilah nasihat daripada guru
Dengarlah engkau wahai muridku
Sematkan selalu dalam hatimu
Jadikan pedoman sepanjang waktu

Hendaklah gigih mencari ilmu
Dengarlah segala nasihat guru
Penuhkan ilmu di dalam dadamu
Barulah hidup menjadi maju

Taburkan bakti berbuat kebajikan
Berikan pertolongan sesama insan
Kelak di akhirat peroleh balasan
Mendapat rahmat daripada Tuhan

Rajin bersolat tiang agama
Amalan wajib soal utama
Jangan dibenci para ulama
Kelak hidupmu jadi sempurna

Patuhlah kepada arahan guru
Nescaya selamat akan hidupmu
Jika temui jalan yang buntu
Kepada guru minta dibantu

Bila sudah berilmu tinggi
Jangan sombong dan bongkak diri
Kelak dirimu akan dibenci
Sepanjang hayat akan dikeji

Jadilah orang berakhlak mulia
Nescaya dikasihi semua manusia
Jikalau akhlak rosak binasa
Kelak hidup menjadi hina

Bila penuh ilmu di dada
Ikhlaslah membantu sesama kita
Susah senang jangan dikira
Di sisi Allah tersedia pahala

Amal ibadat jangan lupakan
Barulah hidup dikasihi Tuhan
Jikalau ibadat selalu diabaikan
Ibarat hidup dalam kegelapan

Bila harta banyak dicari
Jangan sampai lupakan diri
Bantu membantu sesama sendiri
Insya-Allah hidup akan diberkati

Nasihat ini dari gurumu
Ikhlas kami memberi ilmu
Supaya hidupmu disarat restu
Tenang bahagia sejahtera selalu


NAZAM:
Nazam Nasihat Untuk Anak
SMAHADZIR

Ingatlah wahai anakku sekalian
Dunia ini hanya persinggahan
Janganlah anakku salah haluan
Agar tak sesat di perjalanan

Tuntutlah ilmu untuk duniamu
Sebagai bekalan di perjalananmu
Jangan lupa pesanan agamamu
Sebagai tujuan akhir hidupmu

Pelajari sepenuhnya  ilmu agama
Sebagai pedoman hidup di dunia
Ilmu agama membimbing kita
Pasti diredhai Allah Taala

Al-Quran dan hadis amanah rasulmu
Pelajarilah bersungguh janganlah jemu
Agar dapat mengenal Penciptamu
Semoga mendapat syafaat Rasulmu

Al-Quran itu kalam tersurat
Di dalamnya sarat dengan tersirat
Maka pelajarilah ia dengan cermat
Semoga anakku dapat makrifat

Pelajarilah ilmu tentang kehidupan
Agar tak salah dalam penentuan
Agar selamat sampai tujuan
Tidak tersasar di tengah jalan

Hadapanmu anakku ada dua jalan
Semuanya menjanjikan kesenangan
Hanya dirimu yang menentukan
Ke mana haluan nak diarahkan

Janganlah engkau bermalas-malasan
Manfaatkanlah waktumu untuk kebaikan
Masa mudamu jangan sia-siakan
Agar hari tuamu tiada penyesalan

Hidup ini hanya sementara
Manfaatkanlah sebaik-baiknya
Kelak apabila tiba masanya
Semua akan kembali pada-Nya

Berusaha dan bertakwalah dengan khidmat
Hindarilah olehmu perbuatan maksiat
Agar hidupmu tiada melarat
Dunia akhirat beroleh nikmat


NAZAM 1:
Nazam Hidup Damai
SMAHADZIR

Hidup damai indah sekali
Janganlah sampai kita nodai
Sesama umat saling hormati
Demi keamanan di negeri ini

Begitu juga kita seagama
Hendaklah selalu bekerjasama
Apabila ada pendapat berbeza
Sebaiknya dibincang secara bersama
                                                         
Pandanglah Islam secara keseluruhan
Janganlah sampai ada perpecahan
Apabila hendak mencari kebenaran
Kembalilah pada hadis Al-Quran

Iman itu bagaikan akarnya
Islam itu umpama batangnya
Tauhid itu ibarat daunnya
Makrifat pula itulah buahnya

Bila buah sudah kau dapat
Maka kupaslah dengan cermat
Agar mendapat rasa yang lazat
Memberi nikmat dalam ibadat

Ingatlah wahai saudara sekalian
Belajar agama jangan sembarangan
Kenali perintah juga larangan
Agar benar dalam amalan
                                               
Wahai saudaraku sekalian
Benahilah diri masih berkesempatan
Taubat bertakwa kepada Tuhan
Selagi hayat di kandung badan

Mulailah dari dalam rumahmu
Hormatilah kedua orang tuamu
Terutama kepada dia  ibumu
Kerana dia yang melahirkanmu

Patuhilah akan segala perintahnya
Janganlah engkau suka membantahnya
Apalagi sampai menyakiti hatinya
Kerana redha Allah pada redhanya

Hormatilah juga para gurumu
Dengan ikhlas membimbing dirimu
Pelajari dengan sunguh segala ilmu
Apa yang telah diajarkan padamu

Sebagai umat beragama
Hidup damai tujuan utama
Apabila ada masalah sesama
Perlu diselesaikan sebaik-baiknya
        
Belajar agama hendaklah teliti
Maka kau harus berhati-hati
Apa pelajari dengan bukti
Agar mendapat ilmu sejati

Carilah guru yang ahlinya
Agar kau dapat memahaminya
Tanpa guru yang membimbingnya
Boleh sesat pada akhirnya


NAZAM 1:
Nazam Nasihat Remaja
SMAHADZIR

Janganlah sia-siakan masa remajamu
Dengan pergaulan yang tidak menentu
Kelak besar tanggungjawabmu 
Dalam membina rumah tanggamu

Hendaklah remaja persiapkan diri
Sebelum menjadi suami isteri
Berumah tangga bukannya mimpi
Berakhir tatkala terbangun pagi
                                                                 
Rumah tangga ibarat bahtera
Matlamatnya sampai pantai bahagia
Suami itu adalah nakhodanya
Isteri pula juru mudinya

Kalau nakhoda kuranglah faham
Dalam membentuk arah haluan
Tatkala badai datang menghentam
Alamatlah kapal akan tenggelam    

Bila isterimu berbuat salah
Tegurlah ia dan nasihatilah
Bimbinglah isteri ke jalan Allah
Agar rumah tangga tidak terbelah

Suami fahami ilmu agama
Untuk diajar pada keluarganya
Anak isteri adalah amanah-Nya
Sangatlah besar tanggungjawabnya      

Suami perlu bimbing keluarganya
Untuk bertakwa pada Azzawajalla
Janganlah sampai mengabaikannya
Sebab di akhirat akan ditanya

Jadilah isteri yang solehah
Perintah suami jangan dibantah
Kerana suami adalah khalifah
Tidak membawamu ke jalan salah
                                                                 
Bila jadi isteri solehah
Bertakwa selalu kepada Allah
Pada suami berbuat baiklah
Rumah tangga akan sakinah

Bila ada masalah di rumahmu
Jangan diceritakan pada rakanmu
Hendaklah bersabar dengan ikhlasmu
Mohonlah hidayah dari Tuhanmu

Jauhi maksiat ajakan syaitan
Nanti rumah tangga jadi berantakan
Taat laksanakan perintah Tuhan
Insya-Allah hidupku akan diperkenan

Ingat ini nasihat berguna
Untuk remaja mencorak hidupnya
Janganlah leka janganlah lena
Agar hidupmu jadi sempurna




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA