Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
Keimanan kita dengan
Islam sepatutnya sampai ke peringkat meyakini bahawa masa depan kelak ialah
milik Islam. Justeru itu Islamlah yang paling ampuh dan mampu untuk menyusun
urusan hidup dan memimpin manusia. Agama Islam adalah satu-satunya manhaj
atau cara hidup yang selaras dengan kehendak fitrah manusia. Ia dapat
mengimbangkan tuntutan lahiriah dan rohaniah insan.
Allah s.w.t telah
berfirman, yang bermaksud: ‘Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk
itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan Pentadbiran-Nya,
lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya!’ (Surah Al-Mulk, Ayat: 14).
Rabbani
Manhaj Islam yang
bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem
dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham
tamadunnya pada setiap zaman, tempat dan peringkat.
Universal (Sejagat)
Manhaj Islam yang bersifat
sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri infitah
(bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung
kemungkinan-kemungkinannya. Ciri infitah ini mengatasi pertimbangan
kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah
cetusan dari Sibghah Rabbaniyah itu sendiri.
Anjal (Murunah)
Keanjalan manhaj
hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka
permasalahan hidup yang datang silih berganti Sibghah atau cara ini
memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap
hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah
mursalah, istihsan dan sebagainya.
Syumul Atau
Menyeluruh
Ciri manhaj
Islam yang menyeluruh membezakannya dengan sebarang manhaj atau sistem
hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj
Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia,
baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa juga yang
mencelakakan manusia.
Sebab itu Islam
sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu,
mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama
ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.
Allah SWT berfirman
yang bermaksud: ‘(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang
kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah yang mencorakkan seluruh
kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya
daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami
beribadat.’ (Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).
Kegagalan Sistem
Ciptaan Manusia
Kemudian kita harus
mengetahui dan menginsafi tentang selok-belok serta kegagalan yang dialami oleh
sistem hidup dan ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat. Sama ada yang
berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau komunisme. Tidak
syak lagi ini adalah kerana keterbatasannya, kelemahannya, sifat
kesementaraannya dan hakikat ianya dari ciptaan insan.
i. Kegagalan Sistem
Sosial
Dalam arena sosial,
sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan atau kirinya ternyata gagal
untuk memantapkan kebahagiaan, keharmonian dan kestabilan. Malah terlalu banyak
mala petaka yang ditanggung oleh manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata
ikatan kekeluargaan semakin terburai. Kasih sayang semakin pudar, akhlak
semakin luntur dan runtuh.
Nilai-nilai keutamaan
dan keluhuran sudah kehilangan harga. Ketegangan dan permusuhan mengambil
tempat kedamaian dan ketenangan. Semangat egoistik dan mementingkan diri
mengalahkan semangat kerjasama dan mengutamakan orang lain.
ii. Kegagalan Sistem
Ekonomi
Dalam bidang ekonomi,
kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam mewujudkan (syura impiannya)
atau masyarakat serba adil sebagaimana yang dilaung-laungkan. Dari sistem ini
tercetuslah bermacam-macam krisis dan permasalahan hidup. Lahir pertarungan
kasta, kezaliman sosial, eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan,
pengangguran dan seribu satu macam masalah lagi.
iii. Kegagalan Sistem
Politik
Dalam arena politik
sistem-sistem ala ketenteraan, demokrasi, republik, yang beraja atau tidak
beraja, bertanggungjawab melahirkan, merangsang serta membiarkan penyelewengan
serta kebejatan di setiap peringkat. Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih,
rasuah, merasa besar diri dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah,
pembunuhan, penggulingan kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran
serta bunuh diri (assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman
sistem-sistem tersebut.
iv. Kegagalan Sistem
Ketenteraan
Dalam bidang
ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa) mengabaikan nasib
masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti persoalan Kashmir, Eriteria,
minoriti Islam di Filipina, persoalan Palestin dan sebagainya. Yang lebih parah
dari itu ada pula negeri Arab yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun
dalam permainan politiknya untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu
dan untuk menjamin kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga
bertanggungjawab terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah
yang membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir Israel dari bumi
Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan