Jumaat, 19 Julai 2013

PANTUN 4 KERAT


PANTUN:
Belia 1Malaysia Menjana Wawasan
SMAHADZIR


Bunga peria di atas sampan,
Dahan gedangsa bersilang-silang;
Di tangan belia terletak harapan,
Membawa nusa ke mercu gemilang.

Cahaya suria menyinar biara,
Tolang teguh pasak terbebat;
Generasi belia harapan negara,
Imannya kukuh mindanya hebat.

Kelopak dahlia berseri warna,
Penyeri hiasan puteri tempawan;
Generasi belia pengukuh wahana,
Teras landasan agenda perpaduan.

Long Pasia jalan berbatu,
Anak haruan tepian angsana;
1Malaysia belia bersatu,
Tugu perpaduan kukuh terbina.

Pohon mengkudu tinggi melampai,
Bilah mengkawan dilanggar rusa;
Belia sepadu wawasan dicapai,
Menjana perpaduan pengukuh nusa.

Dahan melantur tersekah luruh,
Jatuh di perdu menimpa batu;
Biar guntur menghambur geruh,
Semangat berpadu belia bersatu.

Gadis Pagoh berkebaya labuh,
Duduk bersila di teduhan sena;
Bersatu teguh bercerai roboh,
1Malaysia gagasan dibina.

Tepian biara pohon pulasan,
Kelopak dahlia di atas papan;
Aspirasi negara mencapai wawasan,
Di tangan belia terletak harapan.

Tali tangsi pengikat lada,
Anak bersia terkena pukat;
Nilai aspirasi kukuh di dada,
1Malaysia pasti tercegat.

Bunga dahlia jangan dibuang,
Buat tatapan puteri pangeran;
Membina belia bersemangat juang,
Sanggup berhadapan pelbagai cabaran.


PANTUN:
Bangsa Berilmu Bangsa Berjaya
SMAHADZIR

Pohon jambu tumbuh di paya,
Bunga tualang seharum setanggi;
Bangsa berilmu bangsa berjaya,
Maruah terjulang di puncak tinggi.

Bawa jerami dengan pengandar,
Biji cemara tersebar merata;
Pendidikan difahami wasangka terhindar,
Kukuhlah negara Malaysia tercinta.

Subur tualang di tanah rata,
Hinggap di dahan burung pekaka;
Mantap cemerlang pendidikan kita,
Nadi keutuhan negara merdeka.

Burung gagak terbang bergaya,
Mentari redup berona gangsa;
Pendidikan tonggak negara berjaya,
Penyuluh hidup sepanjang masa.

Bunga semambu semerbak mewangi,
Di atas ranting melekat sialang;
Warga berilmu martabatnya tinggi,
Aset terpenting negara gemilang.

Menjaring ikan di Tasik Gedangsa,
Melekat sialang di dahan delima;
Dunia pendidikan membina bangsa,
Peribadi cemerlang matlamat utama.

Hinggap kelkatu di dahan senduduk,
Kemboja subur tepian pangkalan;
Ilmu itu penyuluh hidup,
Laksana obor penerang jalan.

Daun sugi dibuat jamu,
Bunga tanjung di hujung laman;
Tidak rugi orang berilmu,
Dijulang dijunjung sepanjang zaman.

Burung kenari di rumah tetamu,
Mencari makanan di dahan angsana;
Bangsa dikenali kerana ilmu,
Jadi cerminan seantero buana.

Pohon sena di tanah lanar,
Akar keduduk disayat-sayat;
Ilmu laksana jamung bersinar,
Memandu hidup sepanjang hayat.


PANTUN 3
Budi Bahasa Pusaka Berzaman
SMAHADZIR


Besi kersani bersepuh gangsa,
Tegak dipacak tidak dihalang;
Nilai murni budaya bangsa,
Maruah di puncak tinggi menjulang.

Gurindam dan pantun indah berseni,
Bunga gedangsa di hujung halaman;
Sopan dan santun amalan murni,
Berbudi bahasa pusaka berzaman.

Pohon kuini subur di tanjung,
Jerami padi berbelak-belak;
Nilai murni amalan disanjung,
Asas peribadi insan berakhlak.

Kain kasa disinar suria,
Anak Serani membela angsa;
Budi bahasa amalan mulia,
Negara harmoni rakyat sentosa.

Buah tepus berpangsa-pangsa,
Kelopak dahlia berwarna-warni;
Jika tandus budi bahasa,
Tanda manusia tiada madani.

Batang padi dimakan rusa,
Pokok seruntun dibebat sendalu;
Indah peribadi kerana bahasa,
Sopan santun diamal selalu.

Mawar berduri tinggi menjulang,
Burung balam sayap berbintik;
Nilai murni landas gemilang,
Kelak tersulam bangsa yang cantik.

Bunga melati diseri rerama,
Dahan meranti dipotong panjang;
Saling menghormati tuntutan agama,
Perpaduan terpatri nusa terjulang.

Batang jermal disayat-sayat,
Tumbuh melata perdu mempelas;
Integriti diamal sepanjang hayat,
Melakukan tugasan sepenuh ikhlas.

Buah bidara di anjung rumah,
Buah berembang dijeruk cuka;
Tutur bicara perlu berhemah,
Agar tiada hati yang luka.

PANTUN:
Puisi Tradisi Warisan Bangsa
SMAHADZIR

Pohon terasi di hujung desa,
Dedaun nangka jatuh ke laman;
Puisi tradisi warisan bangsa,
Menjadi pusaka zaman berzaman.

Dedaun nangka jatuh ke laman,
Tersekah dahan di tanah rata;
Menjadi pusaka zaman berzaman,
Lambang kemegahan budaya kita.

Tersekah dahan di tanah rata,
Sarang kelicap tepian taman;
Lambang kemegahan budaya kita,
Jangan lenyap ditelan zaman.

Sarang kelicap tepian taman,
Lebah tualang di dahan markisa;
Jangan lenyap ditelan zaman,
Lestari terjulang maruah bangsa.

Dengung lelawi terbang di kuala,
Masak di julai buah bidara;
Puisi tradisi perkasakan semula,
Khazanah bernilai milik negara.

Masak di julai buah bidara,
Batu kawi dibuat acuan;
Khazanah bernilai milik negara,
Puisi tradisi wadah perpaduan.

Batu kawi dibuat acuan,
Buatan tangan hiasan istana;
Puisi tradisi wadah perpaduan,
Di bawah naungan wawasan perdana.

Buatan tangan hiasan istana,
Pucuk cemara menjulang angkasa;
Di bawah naungan wawasan perdana,
Negara sejahtera rakyat sentosa.

Pucuk cemara menjulang angkasa,
Sayur sawi dicampur lada;
Negara sejahtera rakyat sentosa,
Puisi tradisi megah di persada.

Kain diberus di sisi kanan
Cantik dasi bercorak rerama;
Media harus mainkan peranan
Semua organisasi turut bersama


PANTUN:
Nilai Murni Pengukuh Nusa
SMAHADZIR

Mawar berduri pinggiran kubur,
Anak kancil mengejar angsa;
Nilai murni dipupuk subur,
Dari kecil hingga dewasa.

Perdu lada dimakan rusa,
Dibungkus kasa di atas para;
Kalau tiada budi bahasa,
Pincanglah bangsa rosaklah negara.

Pelbagai jenis spesies kelisa,
Subur menghiasi hujung biara;
Senyuman manis ukirlah sentiasa,
Agar harmoni seluruh negara.

Pokok duku di sudut halaman,
Asam jawa berdahan rendah;
Sabar menunggu untuk layanan,
Tanda jiwa redha dan pasrah.

Berbaju kebaya cantik bergaya,
Gadis srikandi berhati tabah;
Bahasa dibudaya, gagasan diperkaya,
Nilai murni penjana muhibah.

Dahan kuini bersilang-silang,
Daun pegaga di atas sampan;
Nilai murni di mercu gemilang,
Di tangan warga terletak harapan.

Senandung mega disalut madah,
Tolang teguh pasak terbebat;
Semua warga berakhlak indah,
Iman kukuh berminda hebat.

Kelopak seroja berseri warna,
Penyeri hiasan puteri tempawan;
Generasi remaja pengukuh wahana,
Teras landasan agenda perpaduan.

Long Pasia jalan berbatu,
Anak haruan tepian angsana;
1Malaysia rakyat bersatu,
Tugu perpaduan kukuh terbina.

Pohon mengkudu tinggi melampai,
Daun kuini dimakan rusa;
Warga sepadu wawasan dicapai,
Nilai murni pengukuh nusa.


PANTUN:
1Malaysia Wahana Perpaduan
SMAHADZIR


Gadis Pagoh berkebaya labuh,
Duduk bersila di teduhan sena;
Bersatu teguh bercerai roboh,
1Malaysia nilai murni dibina.

Dahan melantur tersekah luruh,
Jatuh di perdu menimpa batu;
Biar guntur menghambur geruh,
Semangat berpadu warga bersatu.

Bunga dahlia jangan dibuang,
Buat tatapan puteri pangeran;
Membina warga bersemangat juang,
Sanggup berhadapan pelbagai cabaran.

Pohon selasih subur di tanjung, 
Dicampur ramuan buah bidara;
Bahasa dikasih budi dijunjung, 
Mencanai ilmu membina negara. 

Pukulan tabuh warisan pusaka,
Senandung senja gemersik suara;
Wawasan dilabuh pencorak etika,
Akhlak mulia harapan negara.

Akar tolang panjang bersilang,
Gugus kuini diikat bergemal;
Warga cemerlang maruah terjulang,
Nilai murni kukuh diamal.

Mekar menguntum molek hiasan,
Kering telaga malam purnama;
Idea dicantum teguhkan wawasan,
Nilai mulia asas utama.

Kantan dipagar tepian paya,
Julai panjang berbunga lesu;
Musuh berlegar meruntuh budaya,
Berani berjuang jangan membisu.

Tali tangsi pengikat lada,
Anak bersia terkena pukat;
Nilai murni kukuh di dada,
1Malaysia pasti tercegat.

Tepian biara pohon pulasan,
Daun pegaga di atas papan;
Aspirasi negara mencapai wawasan,
1Malaysia wahana perpaduan.


PANTUN:
Permainan Tradisi Khazanah Berharga
SMAHADZIR


Pohon jejawi tumbuh berselerak,
Akar merayap tepian biara;
Permainan tradisi pernah bersemarak,
Melebar sayap bumi Nusantara.

Dahan kuini dihinggap helang,
Tanam sawi dijarak-jarakkan;
Tetapi kini kian menghilang,
Permainan tradisi sudah dilupakan.

Dahan bertindih pokok dedalu,
Batu kawi berukir di tepi;
Bagai pedih disayat sembilu,
Permainan tradisi dipinggir sepi.

Cantik rerama dipuja ratu,
Bagai gemala istana syurgawi;
Mari bersama kita bersatu,
Semarakkan semula permainan tradisi.

Pujangga merawi manisan dijamu,
Kisah daeng kuat berzikir;
Permainan tradisi permainan ilmu,
Mampu bersaing di era mutakhir.

Pohon pauh pinggiran paya,
Istana dewi tidak bertangga;
Pancangkan teguh pilar budaya,
Permainan tradisi khazanah berharga.

Ukiran kayu dijaga selia,
Burung cecawi bersarang di bawah;
Bangsa Melayu di persada mulia,
Permainan tradisi penjana maruah.

Dahan gedangsa melekat sialang,
Kandang kuda disekat-sekat;
Pusaka bangsa jangan menghilang,
Generasi muda pancangkan tekad.

Anak gahara bergurau senda,
Lenggok berseni tarian randai;
Biar prahara datang melanda,
Permainan tradisi jangan digadai.

Emas ditawi serelong sawah,
Hati sayu diamuk petaka;
Permainan tradisi penegak maruah,
Bangsa Melayu bentala merdeka.


PANTUN:
Keris Melayu Penjulang Maruah
SMAHADZIR

Jangan dimakan putik berangan,
Buah gedangsa gugur di taman;
Jangan lenyapkan keris di tangan,
Pusaka bangsa zaman berzaman.

Bunga sendalu hiasan nyonya,
Gadis bersila riang bersenda;
Keris Melayu tinggi nilainya,
Maruah bangsa jangan dinoda.

Harum setanggi di atas palang,
Daun pala dimakan rusa;            
Julang tinggi di mercu gemilang,
Tegakkan semula maruah bangsa.

Pohon papaya tepian halaman,
Teruna dara asyik bersembang;
Pancang budaya sejak berzaman,
Seluruh Nusantara pernah berkembang.

Akar kayu dibuat tongkat,
Daun mempelam ditiup bayu;
Keris Melayu senjata hikmat,
Citra keungggulan budaya Melayu.

Pohon kayu tumbuh berselerak,
Akar merayap tepian biara;
Keris Melayu pernah bersemarak,
Melebar sayap bumi Nusantara.

Dahan kuini dihinggap helang,
Pancang kayu dijarak-jarakkan;
Tetapi kini kian menghilang,
Keris Melayu sudah dilupakan.

Dahan bertindih pokok dedalu,
Teras kayu berukir di tepi;
Bagai pedih disayat sembilu,
Keris Melayu dipinggir sepi.

Cantik rerama dipuja ratu,
Bagai gemala istana syurgawi;
Mari bersama kita bersatu,
Julang semula keris Melayu.

Dedaun layu di atas para,
Masak di kawah si gadis ayu;
Keris Melayu khazanah negara,
Penjulang maruah bangsa Melayu.

PANTUN:
Lagu Asli Khazanah Negara
SMAHADZIR


Lebah tualang di dahan markisa,
Biji barli di atas jemuran;
Lestari terjulang pusaka bangsa,
Lagu asli di pentas hiburan.

Biji barli di atas jemuran,
Masak di julai buah bidara;
Lagu asli di pentas hiburan,
Khazanah bernilai milik negara.

Masak di julai buah bidara,
Batu kawi dibuat acuan;
Khazanah bernilai milik negara,
Lagu asli wadah perpaduan.

Batu kawi dibuat acuan,
Buatan tangan hiasan gangsa;
Lagu asli wahana hiburan,
Di bawah naungan wawasan bangsa.

Buatan tangan hiasan gangsa,
Pucuk cemara menjulang angkasa;
Di bawah naungan wawasan bangsa,
Negara sejahtera rakyat sentosa.

Pucuk cemara menjulang angkasa,
Sayur sawi dicampur lada;
Negara sejahtera rakyat sentosa,
Lagu asli megah di persada.

Jangan dimakan putik jejawi,
Buah gedangsa gugur di taman;
Jangan lenyapkan lagu asli,
Pusaka bangsa zaman berzaman.

Harum setanggi di atas palang,
Daun pala dimakan rusa;            
Julang tinggi di mercu gemilang,
Tegakkan semula maruah bangsa.

Pohon papaya tepian halaman,
Teruna dara asyik bersembang;
Pancang budaya sejak berzaman,
Seluruh Nusantara pernah berkembang.

Dedaun sawi di atas para,
Masak di kawah si gadis ayu;
Lagu asli khazanah negara,
Penjulang maruah bangsa Melayu.


PANTUN:
Belia Harapan Negara
SMAHADZIR

Pohon selasih subur di tanjung, 
Dicampur diramu buah bidara;
Belia dikasih harapan dijunjung, 
Mencanai ilmu membina negara. 

Pukulan tabuh warisan pusaka,
Beduk bergema gemersik suara;
Wawasan dilabuh pencorak etika,
Belia karisma harapan negara.

Akar tolang panjang bersilang,
Pinggiran segara luas saujana;
Belia cemerlang maruah terjulang,
Tonggak negara kukuh terbina.

Mekar menguntum molek hiasan,
Harum dahlia malam purnama;
Idea dicantum teguhkan wawasan,
Kepada belia sasaran utama.

Kantan dipagar tepian paya,
Julai peria berbunga lesu;
Musuh berlegar meruntuh budaya,
Berjuanglah belia jangan membisu.

Merah kesumba mentari pagi,
Indah menghiasi seluruh kawasan;
Ilmu ditimba semarakkan teknologi,
Jana inovasi impian gagasan.

Tinggi darjat bunga jambangan,
Corak berbelak batang gedangsa;
Budaya bejat diambil jangan,
Rosak akhlak terhina bangsa.

Indah hiasan karangan dahlia,
Gugur kelopak tepian permatang;
Cegatkan wawasan impian belia,
Ilmu secupak jadikan segantang.

Mawar berduri tepian sangkar,
Bunga dahlia kelopak berseri;
Jauhkan dari perbuatan mungkar, 
Generasi belia tunjang pertiwi.

Pohon hijau di tanah rendah, 
Anak angsa berjalan ke pura; 
Semua ranjau perlu diredah,
Menabur jasa membangun negara.


PANTUN:
Tulisan Jawi Semarakkan Semula
SMAHADZIR


Pohon jejawi di jihad tenggara,
Bunga kemangi di atas para;
Tulisan Jawi laksana lantera,
Pernah menerangi pelosok Nusantara,

Air berbani nampak bersisik,
Kayu pangkalan pancang di taman;
Tulisan Jawi khazanah klasik,
Jangan biarkan ditelan zaman.

Batu kawi dibuat acuan,
Acuan seramik hiasan astaka;
Tulisan Jawi wadah perpaduan,
Pelbagai etnik bentala merdeka.

Senandung kediri berhati sayu,
Orang merawi di hujung kuala;
Mantapkan jatidiri tamadun Melayu,
Tulisan Jawi semarakkan semula.

Biola berbunyi bertali tangsi,
Manik di baju kuat jahitan;
Tulisan Jawi amat berpontesi,
Untuk dimaju dan dipopularkan.

Subur di taman bayam dan sawi,
Anak teritip di tengah sawah;
Galakkan penggunaan tulisan Jawi,
Langkah positif martabatkan maruah.

Anak helang terbang tinggi,
Tinggi menjulang nampak berbalam;
Subur gemilang tulisan Jawi,
Biar cemerlang serata alam.

Molek hiasan mahligai dewata,
Kencana dewi penuh di dada;
Lestarikan warisan bangsa tercinta,
Tulisan Jawi di mercu persada.

Berjurai kawi ayam juara,
Hamba sahaya duduk di bawah;
Tulisan Jawi semarakkan semula,
Lambang budaya bangsa bermaruah.

Lebah tualang di dahan markisa,
Dengung lelawi terbang di kuala;
Lestari terjulang maruah bangsa,

Tulisan Jawi perkasakan semula.

10 ulasan:

  1. Masya Allah, pantun yang sangat hebat. Mohon utk copy sebagai pelajar Tingkatan 5

    BalasPadam
  2. Mohon izin untuk saya ambil pantun berkaitan belia ini tuan. Terima kasih atas perkongsian.

    BalasPadam
  3. Apa jawapan ni.

    Di dalam hutantumbuh akasia,
    Jadi hiasan d pulau Dasim.
    Koprasi menjana ekonomi negara,
    Pincang matlamat apa muhibah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kelapa puan dibuat sari.
      Peyedap rasa tepung pelita;
      Kalau tuan bijak bestari.
      Apakah bangsa masyarakat Kita???

      Padam
  4. Boleh sambung tak pantun ini....ada 2 pantun

    Indah sungguh bahasa pantun
    Rima dipetik indah maksudnya
    Molek sungguh bersopan santun
    .............................

    Pohon duku berbuah lebat
    Pohon Markisa di tepi taman
    ...........................
    ...........................

    BalasPadam
  5. Izinkan saya berkongsi pantun ini ya. Indah pantunnya

    BalasPadam
  6. INGIN CEPAT JADI JUTAWAN YUK MARI GABUNG SEKARANG JUGA

    KharismaPokerMenjadiSitusBandarQOnlineTerprcayaIndonesia
    Promo yang diberikan :
    Minimal DP dan WD Rp. 20.000.
    Support bank lokal : BCA, BNI, BRI, MANDIRI, dan DANAMON.
    Bisa dimainkan di iPhone, Android, PC / Laptop.
    Online 24 jam setiap hari meskipun hari libur nasional.
    Link Alternatif Kharismapoker :
    www.khpk288.net
    www.kharismapkr.com
    www.kharismaqiu.com
    CS nya yang ramah , siap melayanani anda 24 jam
    Bonus REFERRAL 20% setiap minggunya (seumur hidup)
    Bonus CASHBACK 0.3- 0,5% setiap hari
    Contact resmi kharismaPoker :

    Telp :+85588278896
    BBM;dc7cdd80
    WA: +85588278896

    BalasPadam
  7. mohon izin untuk berkongsi pantun tuan, terima kasih atas perkongsian.

    BalasPadam
  8. Indah pantunnya.Izinkan saya memanfaatkannya.

    BalasPadam
  9. Izinkan saya ambil ya tuan. Terima kasih.

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA