Khamis, 4 Julai 2013

Al-Nasa’i (Pakar Hadis Dan Ilmu Hadis Dan Fiqh)


SMAHADZIR

NAMA lengkap beliau ialah Abu Abdul Al-Rahman Ahmad Bin Ali Bin Syuaib Bin Ali Bin Sinan Bin Bahr Al-Khurasani Al-Qadi. Beliau lebih dikenali dengan gelaran Imam Al-Nasa’i, dilahirkan di daerah Nasa’ pada tahun 215 Hijrah. Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa beliau lahir pada tahun 214 Hijrah. Nama beliau dinisbahkan kepada daerah Nasa’ (Al-Nasa’i), daerah yang menjadi ‘saksi bisu’ terhadap kelahiran seorang pakar hadis yang terkenal. Antara jasa beliau yang menjadi catatan sejarah Islam ialah beliau telah berhasil menyusun sebuah kitab terkenal dalam kajian hadis, iaitu Al-Mujtaba’ atau lebih dikenali sebagai Sunan Al-Nasa’i.

Sewaktu remaja, beliau terkenal sebagai seorang insan yang gemar mencari ilmu. Masa-masa terluang beliau dihabiskan dengan membaca dan menghafaz Al-Quran. Pada waktu itu, untuk belajar membaca dan menghafaz Al-Quran, seseorang itu mesti selalu bertandang ke madrasah kerana di situlah ilmu-ilmu seperti itu diadakan. Boleh dikatakan semua madrasah yang ada di desa kelahirannya menjadi pusat menuntut ilmu oleh Imam Al-Nasa’i.

Selain itu, beliau juga belajhar pelbagai disiplin ilmu keagamaan daripada para ulama di daerahnya. Pada usia-usia remaja, seiring dengan peningkatan tahap keintelektualannya, Imam Al-Nasa’i mulai gemar melakukan lawatan intelektual ke pelbagai penjuru dunia. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan untuk menggarap serta menyerapkan ke dalam dadanya ilmu-ilmu keagamaan, terutama ilmu-ilmu tentang disiplin hadis dan ilmu hadis.

Menurut catatan sejarah, sewaktu beliau berusia lima belas tahun, beliau sudah berjaya melakukan pengembaraan ke pelbagai wilayah Islam seperti Mesir, Hijaz, Iraq, Syam, Khurasan dan sebagainya. Sebenarnya, lawatan intelektual yang sedemikian, bahkan dilakukan pada usia yang terlalu muda, bukan merupakan hal yang aneh di kalangan para ulama hadis.

Boleh dikatakan hampir semua ulama hadis, terutama enam ulama hadis yang terkenal, gemar melakukan pengembaraan intelektual ke pelbagai wilayah Islam semenjak usia mereka masih belasan tahun. Proses mencari ilmu begini merupakan ciri khas ulama-ulama hadis, termasuk Imam Al-Nasa’i.

Kemampuan intelektual Imam Al-Nasa’i menjadi kian matang dan berisi dalam masa pengembaraannya. Namun demikian, pada awal proses pembelajarannya di daerah Nasa’ tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja, kerana menurut catatan sejarah, di daerah kelahiran inilah, beliau mengalami proses pembentukan intelektual, sementara masa pengembaraannya dinilai sebagai proses kematangan dan peluasan pengetahuannya.

Seperti imam-imam atau para ulama terdahulu iaitu Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud, dan Imam Al-Tirmidzi, Imam Al-Nasa’i juga tercatat dalam sejarah sebagai imam yang mempunyai banyak guru dan muridnya. Para guru beliau yang nama mereka amat harum tercatat oleh pena sejarah antara lain ialah Qutaibah Bin Sa’id, Ishaq Bin Ibrahim, Ishaq Bin Rahawaih, Al-Harits Bin Miskin, Saidina Ali Bin Kasyram, Imam Abu Dawud (penyusun Sunan Abi Dawud), serta Imam Abu Isa Al-Tirmidzi (penyusun kitab Al-Jami’ atau Sunan Al-Tirmidzi).

Manakala murid-murid yang setia mendengar, menghadiri serta mempraktikkan ilmu-ilmu daripada fatwa-fatwa dan ceramah-ceramah beliau, antara lain ialah Abu Al-Qasim Al-Thabarani (pengarang tiga buku kitab Mu’jam), Abu Ja’far Al-Thahawi, Al-Hasan Bin Al-Khadir Al-Suyuti, Muhammad Bin Muawiyah Bin Al-Ahmar Al-Andalusi, Abu Nashr Al-Dalaby dan Abu Bakar Bin Ahmad Al-Sunni.

Abu Bakar Bin Ahmad Al-Sunni lebih dikenali kerana di samping sebagai murid kepada Imam Al-Nasa’i, beliau juga tercatat sebagai ‘penyambung lidah’ Imam Al-Nasa’i terutama dalam tugas-tugas meriwayatkan kitab Sunan Al-Nasa’i. Sudah menjadi fakta yang tidak dapat dinafikan di kalangan pengkaji hadis dan ilmu hadis, para imam hadis merupakan insan-insan istimewa yang memiliki ketekunan dan ketabahan yang wajar diteladani. Dalam masa ketekunannya inilah, para imam hadis sering menghasilkan karya yang amat berharga, tidak terhingga nilainya.

Begitulah yang terjadi kepada Imam Al-Nasa’i. Karangan-karangan atau hasil tulisan beliau yang sampai kepada kita dan telah diabadikan oleh pena sejarah antara lain ialah Al-Sunan Al-Kubra, Al-Sunan Al-Sughra (kitab ini merupakan bentuk perampingan dari kitab Al-Sunan Al-Kubra), Al-Khashais, Fadhail Al-Shahabah, dan Al-Manasik. Menurut sebuah keterangan yang diberikan oleh Imam Ibnu Al-Atsir Al-Jazairi dalam kitabnya yang berjudul Jami Al-Ushul, kitab ini disusun berdasarkan pandangan-pandangan fiqh mazhab Syafie. Kini, tulisan Imam Al-Nasa’i paling terkenal ialah Sunan Al-Nasa’i.

Sebenarnya, apabila ditelusuri secara menyeluruh dan lengkap, akan terlihatlah oleh kita bahawa penamaan karya monumental beliau sehingga menjadi Sunan Al-Nasa’i sebagaimana yang kita kenal sekarang telah melalui proses yang amat panjang iaitu dari Al-Sunan Al-Kubra, Al-Sunan Al-Sughra, Al-Mujtaba’, dan akhir sekali barulah terkenal dengan sebutan Sunan Al-Nasa’i.

Buat pertama kali, sebelum disebut dengan sebutan Sunan Al-Nasa’i, kitab ini terkenal dengan sebutan Al-Sunan Al-Kubra. Setelah tamat menulis kitab ini, beliau kemudian menghadiahkan kitab ini kepada Amir Ramallah iaitu seorang pentadbir kota Ramallah sebagai tanda penghormatan. Amir Ramallah kemudiannya telah bertanya kepada Al-Nasa’i, ‘Apakah kitab ini seluruhnya berisi hadis-hadis yang sahih?’

Beliau menjawab dengan penuh ikhlas dan jujur; ‘Ada yang sahih, was-was dan ada pula yang hampir serupa dengannya.’ Kemudian Amir Ramallah berkata lagi, ‘Kalau demikian halnya, maka pisahkanlah hadis yang sahih-sahih sahaja.’

Di atas permintaan Amir Ramallah ini, beliau kemudiannya membuat pemisahan antara hadis-hadis yang sahih, was-was dan sebagainya dengan teliti terhadap semua hadis yang terdapat dalam kitab Al-Sunan Al-Kubra. Dan akhirnya beliau berhasil melakukan kerja-kerja pemisahan tersebut terhadap Al-Sunan Al-Kubra, sehingga ia menjadi Al-Sunan Al-Sughra.

Imam Al-Nasa’i sangat teliti dalam membuat pemisahan hadis-hadis yang telah dimuatkan dalam kitab pertama. Oleh kerananya, ramai ulama berkata bahawa kedudukan kitab Al-Sunan Al-Sughra di bawah darjat Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim. Dalam dua kitab terakhir, sedikit sekali hadis dhaif yang terdapat di dalamnya.

Justeru hadis-hadis yang dimuatkan di dalam kitab kedua, iaitu Al-Sunan Al-Sughra merupakan hadis-hadis pilihan yang telah dipilih dengan begitu teliti dan ketat, maka kitab ini juga dinamakan Al-Mujtaba. Pengertian Al-Mujtaba bersinonim dengan Al-Maukhtar, iaitu yang terpilih.

Ini adalah kerana memang kitab ini berisi hadis-hadis pilihan, hadis-hadis hasil terpilih dari kitab Al-Sunan Al-Kubra. Di samping Al-Mujtaba, dalam salah satu riwayat, kitab ini juga dinamakan dengan Al-Mujtana. Ada pada suatu waktu, kitab ini lebih terkenal dengan sebutan Al-Mujtaba, sehingga nama Al-Sunan Al-Sughra seolah-olah tenggelam langsung ditelan keharuman nama Al-Mujtaba itu. Dari Al-Mujtaba inilah kemudiannya kitab ini tersohor dengan sebutan Sunan Al-Nasa’i, sebagaimana yang kita kenal kini.

Di atas ada disebutkan pertanyaan daripada Amir Ramallah kepada Imam Al-Nasa’i. Dalam hal ini kita perlu menilai jawapan Imam Al-Nasa’i terhadap pertanyaan Amir Ramallah itu secara kritis, di mana beliau mengatakan dengan sejujurnya bahawa hadis-hadis yang termaktub dalam kitabnya tidak semuanya sahih, tetapi ada yang was-was dan ada yang menyerupainya.

Beliau tidak mengatakan bahawa di dalamnya terdapat hadis dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Ini bermakna beliau tidak pernah memasukkan sebuah hadis pun yang dinilai sebagai hadis dhaif atau maudhu’, minima menurut pandangan beliau. Setelah hadis-hadis yang ada di dalam kitab pertama dipilih dengan teliti, sesuai dengan permintaan Amir Ramallah supaya beliau hanya menulis hadis yang berkualiti dan sahih sahaja.

Dari sini dapatlah kita ambil kesimpulan bahawa apabila hadis yang was-was tidak dimasukkan ke dalam kitabnya, maka hadis yang dhaif dan maudhu’ tentu sahaja tidak layak untuk disegandingkan dengan hadis-hadis yang sahih. Namun demikian, Ibnu Al-Jauzy, iaitu pengarang kitab Al-Maudhuat (hadis-hadis palsu), mengatakan bahawa hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab Al-Sunan Al-Sughra tidak semuanya sahih.

Menurutnya, ada yang maudhu’ (palsu). Menurut Ibnu Al-Jauzy lagi, dia telah menemukan sepuluh hadis maudhu’ di dalamnya. Seperti yang telah dijelaskan di atas, hadis itu semuanya sahih menurut Imam Al-Nasa’i. Bagaimanapun, orang-orang yang terkemudian telah menilai hadis tersebut ada yang maudhu’, itu merupakan pandangan berbentuk subjektif dari penilai tersebut.

Dan masing-masing mempunyai kaedah-kaedah tersendiri dalam menilai kualiti sesebuah hadis. Begitulah juga kaedah yang digunakan oleh Imam Al-Nasa’i dalam menilai kesahihan sesebuah hadis. Nampak ada perbezaan dengan kaedah yang diguna pakai oleh Ibnu Al-Jauzy. Sehingga, memunculkan pandangan yang berbeza, dan itu dirasakan sesuatu yang wajar terjadi.

Sudut pandang yang berbeza akan menimbulkan kesimpulan yang berbeza pula. Kritikan pedas Ibnu Al-Jauzy terhadap karya terkenal Imam Al-Nasa’i ini, menerima sanggahan yang cukup keras pula daripada pakar hadis abad ke-9, iaitu Imam Jalal Al-Din Al-Suyuti. Dalam Sunan Al-Nasa’i, memang terdapat hadis yang sahih, was-was dan dhaif. Tetapi jumlahnya amat sedikit.

Imam Al-Suyuti pula tidak sampai menghasilkan kesimpulan bahawa ada hadis maudhu’ yang termuat dalam Sunan Al-Nasa’i, sebagaimana kesimpulan yang dibuat oleh Imam Ibnu Al-Jauzy. Bagaimanapun, pendapat ulama yang mengatakan bahawa hadis yang ada di dalam kitab Sunan Al-Nasa’i semuanya sahih, merupakan pandangan yang menurut Muhammad Abu Syahbah, tidak didukung oleh penelitian mendalam dan jitu.

Imam Al-Nasa’i merupakan tokoh Islam yang cermat dan teliti dalam meneliti dan memilih para periwayat hadis. Beliau juga telah menetapkan syarat-syarat tertentu dalam proses pemilihan hadis-hadis yang diterimanya. Dalam hal ini Abu Saidina Ali Al-Naisapuri pernah mengatakan, ‘Orang yang meriwayatkan hadis kepada kami adalah seorang imam hadis yang telah diakui oleh para ulama, beliau bernama Abu Abd Al-Rahman Al-Nasa’i.’

Manakala Imam Al-Naisapuri pula mengatakan, syarat-syarat yang ditetapkan Al-Nasa’i dalam menilai para periwayat hadis lebih ketat dan teliti berbanding syarat-syarat yang digunakan Muslim Bin Al-Hajjaj. Ini juga merupakan pendapat subjektif daripada Imam Al-Naisapuri terhadap peribadi Al-Nasa’i yang boleh dikatakan berbeza dengan pendapat ulama pada umumnya.

Ulama pada umumnya lebih menekankan ketelitian penilaian Imam Muslim Bin Al-Hajjaj berbanding Al-Nasa’i. Bahkan pendapat majoriti ulama ini pulalah yang meletakkan Imam Muslim sebagai pakar hadis nombor dua, sesudah Al-Bukhari. Meskipun begitu, bukan bermakna majoriti ulama merendahkan kredibiliti Imam Al-Nasa’i.

Imam Al-Nasa’i tidak hanya pakar dalam bidang hadis dan ilmu hadis, tetapi juga pakar dalam bidang fiqh. Al-Daruquthni pernah mengatakan, Al-Nasa’i adalah salah seorang Syeikh di Mesir yang paling berketrampilan dan pakar dalam bidang fiqh pada masanya dan paling mengetahui tentang hadis dan para perawi.

Al-Hakim Abu Abdullah berkata, ‘Pendapat-pendapat Abu Abdul Al-Rahman mengenai fiqh yang diambil dari hadis terlalu banyak untuk kita kemukakan seluruhnya. Sesiapa yang menelaah dan mengkaji kitab Sunan Al-Nasa’i, mereka tentunya akan terpesona dengan keindahan kata-katanya.’ Tidak pula pernah diketemukan riwayat yang jelas tentang pandangan fiqh beliau.

Setahun menjelang kematiannya, beliau berpindah dari Mesir ke Damsyik. Tidak ada ‘kata sepakat’ ulama tentang tempat meninggal beliau. Al-Daruqutni mengatakan, beliau meninggal dunia di kota Mekah dan dikebumikan di antara Safa dan Marwah. Pendapat yang serupa dikemukakan oleh Abdullah Bin Mandah daripada Hamzah Al-’Uqbi Al-Mishri.


Manakala ulama yang lain seperti Imam Al-Dzahabi, menolak pendapat tersebut. Beliau mengatakan bahawa Imam Al-Nasa’i meninggal di Ramallah, sebuah daerah di Palestin. Pendapat ini disokong oleh Ibnu Yunus, Abu Jaafar Al-Thahawi (murid Al-Nasa’i) dan Abu Bakar Al-Naqatah. Menurut pendapat terakhir ini, Imam Al-Nasa’i meninggal dunia pada tahun 303 Hijrah dan dikebumikan di Baitulmaqdis, Palestin. 

1 ulasan:

  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk

    Web: almawaddah.info

    Salam


    Kepada:

     

    Redaksi, rektor dan para akademik


    Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


    Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

    Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


    Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA