Khamis, 4 Julai 2013

Ibnu Khaldun (Cendekiawan Agung Disanjung Barat Kerana Buah Fikiran)


SMAHADZIR

IBN KHALDUN atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Itali, dan Sepanyol. Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.

Sebagaimana yang beliau sebutkan sendiri dalam riwayat hidupnya (at-Ta’rif bi bni Khaldun), keluarganya berasal daripada keturunan Khaldun yang berasal dari Arab Selatan, datang ke Sepanyol pada tahun-tahun awal masa pembukaan Sepanyol oleh tentera Arab Muslimin; kemudian mereka menetap di Carmona, kemudian berpindah ke Seville dan memainkan peranan penting dalam perang-perang saudara pada abad ke-9 itu, dan mereka dianggap termasuk ke dalam satu daripada tiga keluarga yang terpenting dalam kota itu.

Dalam abad-abad berikutnya keluarga Ibnu Khaldun itu secara berturutan memegang jawatan-jawatan pentadbiran dan politik yang tinggi di bawah pemerintahan kerajaan Umayyah, Al-Murabitun dan Al-Muwahhidun; pakar-pakar lain keluarga itu berkhidmat dalam tentera dan beberapa orang dari mereka terkorban dalam peperangan az-Zallaqah (1086) yang buat sementara waktu menghentikan pengambilan kembali Sepanyol oleh tentera Kristian.

Bagaimanapun selepas kejatuhan Seville, keluarga Ibnu Khaldun berpindah ke Tunis, di mana Ibnu Khaldun dilahirkan, dan juga di mana beliau mendapat pendidikan awalnya. Di sana juga, semasa dalam umur belasan tahun beliau masuk dalam perkhidmatan Sultan Mesir iaitu Sultan Barquq; bagaimanapun minatnya kepada ilmu dan pendidikan menyebabkan beliau meninggalkan perkhidmatan itu dan berpindah ke Fez; di sini timbul lama suasana tidak tenang dari segi politiknya yang ditandai dengan persaingan dari segi politik yang memberi kesan atas kerjayanya.

Masa yang tidak aman ini termasuk ke dalamnya masa tiga tahun yang di dalamnya beliau berlindung di kampung kecil Qalat ibn Salamah di Algeria, di situlah beliau berpeluang untuk mengarang kitab Al-Muqaddimah yang terkenal itu, yang berupa jilid pertama daripada kitab sejarah dunia yang menjadikan beliau mendapat nama yang kekal abadi antara para pakar sejarah, sosiologi dan falsafah.

Keadaan tidak menentu dalam kerjayanya masih berterusan, dengan negeri Mesir menjadi tempat beliau menetap dalam 24 tahun terakhir dalam umurnya. Di sini beliau hidup dalam keadaan mendapat kemasyhuran dan penghormatan sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Hakim dalam mazhab Maliki dan juga guru yang memberi kuliah di Universiti Al-Azhar yang masyhur itu; tetapi dikatakan kedengkian menyebabkan beliau dipecat dari jawatannya sebanyak lima kali.

Dalam hidupnya Ibnu Khaldun terpaksa berpindah dari suatu istana ke sebuah istana yang lain, kadangkala dengan keinginannya sendiri, kadang-kadang pula terpaksa melakukan demikian kerana rancangan seteru-seterunya atau raja-raja yang berkuasa penuh. Beliau mendapat banyak pengajaran daripada hubungannya dengan para pemerintah, duta-duta, pakar-pakar politik dan para ulama dan sarjana di Afrika Utara, Sepanyol di bawah kerajaan Islamnya, Mesir, dan lain-lain wilayah Islam.

Kitabnya yang terkenal sekali ialah Al-Muqaddimah atau Pendahuluan yang merupakan kitab terbesarnya (masterpiece) dalam persuratan tentang sejarah, falsafah dan sosiologi, termasuk pendidikan. Tema utama daripada kitab yang monumental ini ialah untuk menganalisis fakta-fakta psikologi, ekonomi, alam sekitar, dan kemasyarakatan yang memainkan peranan dalam proses memajukan peradaban manusia dan perjalanan sejarahnya.

Beliau membuat analisis tentang dinamika hubungan kumpulan-kumpulan dan menunjukkan bagaimana kesetiakawanan, atau perpaduan sosial (as-asabiyyah) melahirkan satu tamadun baru dan juga kekuasaan siasah. Beliau berpendapat adanya ulangan yang berlaku hampir-hampir sebagai rentak yang sama dalam proses naik turun dan jatuhnya peradaban manusia. Beliau membuat analisis tentang faktor-faktor yang membawa ke arah yang sedemikian. Pandangan-pandangan beliau yang revolusioner dan asli itu menarik perhatian ulama dan sarjana Islam, juga para pemikir Barat.

Dalam pemerhatiannya tentang pengajian sejarah beliau berupa sarjana pertama, pengasas, dalam meletakkan laporan-laporan sejarah di bawah dua ujian iaitu ujian kemunasabahan pada akal dan ujian hukum sosial dan fizikal yang diperhatikan. Beliau menunjukkan ada empat perkara dalam penelitian dan analisis laporan sejarah:

1.     menghubungkan peristiwa-peristiwa satu dengan yang lainnya melalui kaedah sebab dan musabab;
2.     mengambil kiasan antara yang telah lalu dengan apa yang berlaku masa akan datang;
3.     mengambil kira kesan dari alam sekitar dalam apa yang berlaku;
4.     mengambil kira kesan daripada keadaan-keadaan perekonomian dan perkara-perkara yang diwarisi.

Ibnu Khaldun memulakan pengajian sejarah secara kritikal. Beliau memberi pengajian dan penelitian secara analisis ke atas peradaban manusia, permulaannya, faktor-faktor yang membawa kepada pembangunannya, dan juga faktor-faktor yang membawa kepada kejatuhannya. Dengan itu nampaknya beliau mula mengasaskan satu ilmu baharu, iaitu ilmu berkenaan dengan pembangunan sosial atau sosiologi sebagaimana yang dipanggil sekarang ini. Beliau menulis demikian:

‘Saya telah menulis dalam bidang sejarah sebuah buku yang di dalamnya saya bincangkan sebab-sebab dan kesan-kesan pembangunan dan perkembangan negara-negara dan peradaban-peradaban, dan saya ikuti satu cara yang bukan biasa dilakukan orang bagi menyusun bahan-bahan kitab itu, dan saya ikuti jalan yang bukan biasa dilakukan dan yang baharu dalam menulisnya.’

Dengan memilih kaedah atau cara istimewa dan baharu dalam analisis, beliau mencipta dua ilmu baharu iaitu historiologi atau analisis dan kajian sejarah sebagai ilmu khusus dan juga sosiologi sekali gus. Beliau berhujah menyatakan bahawa sejarah adalah tertakluk kepada hukum sarwajagat dan beliau menyatakan kriteria untuk kebenaran sejarah. Kaedah untuk membezakan antara apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah ialah berdasarkan kepada kemungkinannya berlaku atau mustahilnya berlaku.

Ertinya ialah: kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan bezakan antara ciri-ciri yang bersifat asasi yang penting dan yang tidak boleh terpisah daripadanya dalam tabiat kejadiannya dan apa yang bersifat mendatang, dan yang tidak perlu diambil kira, dengan mengenali secara lebih jauh lagi apa yang tidak mungkin menjadi milik baginya.

Kalau kita lakukan ini, maka kita ada peraturan untuk membezakan kebenaran sejarah daripada kesilapan dengan cara kaedah pendalilan (kaedah demonstratif) yang tidak ada syak lagi padanya. Ia adalah dasar yang murni, yang dengannya pakar sejarah boleh mengesahkan apa-apa yang mereka laporkan. Oleh kerana beliau memberi penekanan kepada akal fikiran dan keperluannya dalam menghakiki sejarah dan peristiwa-peristiwa kemasyarakatan, setengah sarjana mendakwa beliau cuba menolak pengetahuan agama yang biasa dan konvensional dan menggantikannya dengan akal fikiran dan falsafah rasional. Ini tidak berasas sama sekali.

Boleh diperhatikan bahawa setengah aliran berfikir mengajar perkara-perkara yang tidak rasional tetapi ini bukan sifat Islam yang selalu memberi penekanan kepada pemerhatian dan pencerapan serta pemikiran, dan ia memberi peringatan kepada mereka yang tidak membawa iman kerana tidak menggunakan akal fikiran dan renungan.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 164 terdapat ayat yang bermaksud: ‘Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dalam pergantian siang dan malam, dan berlayarnya kapal-kapal melalui lautan untuk faedah umat manusia, dan hujan yang Tuhan turunkan dari langit, dan kehidupan yang diadakan-Nya melaluinya kepada bumi yang meninggal dunia, dan haiwan-haiwan semua jenisnya yang ada di serata bumi, dan perubahan angin dan awan yang mengekori yang ditundukkan antara langit dan bumi - (di dalam ini semuanya) sesungguhnya ada tanda-tanda bagi orang-orang yang bijaksana dan berfikir.’

Dan dalam (2.170), ada ayat yang bermaksud: Bila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa yang Allah telah wahyukan. Mereka berkata: Tidak: kami akan ikuti jalan-jalan datuk nenek kami. Apa? Walaupun datuk nenek mereka tidak mempunyai mempunyai ilmu kebijaksanaan atau akal serta bimbingan? Tentang kaedah penyelidikan beliau memberi penekanan tentang perlunya perkara-perkara kemasyarakatan dan peristiwa sejarah diberi analisis secara saintifik dan objektif.

Beliau menyatakan bahawa semua yang berlaku dalam sejarah dan mesyarakat itu bukannya hasil daripada perkara-perkara yang berlaku secara berkebetulan, tetapi semuanya dikawal oleh undang-undangnya yang tersendiri, undang-undang yang boleh dicari dan didapati dan kemudian boleh diaplikasikan dalam penyelidikan tentang masyarakat, tamadun dan sejarah. Beliau menyatakan bahawa para pakar sejarah membuat kesilapan dalam penyelidikan mereka tentang peristiwa sejarah kerana tiga faktor iaitu:

1.     kejahilan mereka tentang hakikat dan keadaan peradaban dan umat manusia;
2.     sikap prejudis atau prasangka mereka;
3.     sikap mereka bertaklid mengikut laporan-laporan yang diberi oleh orang lain tanpa usul periksa.

Ibnu Khaldun menunjukkan bahawa kemajuan yang sebenarnya serta pembangunan datang melalui kefahaman yang tepat tentang sejarah dan kefahaman yang tepat dan benar itu boleh dicapai melalui pemerhatian terhadap tiga perkara penting iaitu:

1.     Seseorang pakar sejarah itu hendaklah jangan ada prasangka dengan apa cara sekalipun sama ada pro atau kontra terhadap sesuatu perkara sama ada manusia atau idea
2.     Seseorang itu hendaklah mengesahkan dan memeriksa laporan-laporan yang didapati. Beliau hendaklah mempelajari apa yang boleh dipelajari seboleh-bolehnya berkenaan dengan pakar-pakar sejarah dan laporan-laporan yang didengari dan dibaca
3.     Seseorang itu hendaklah memeriksa akhlak mereka yang berkenaan serta adakah mereka itu beramanah dalam ilmu sebelum diterima laporan-laporan mereka. Seseorang itu hendaklah jangan membataskan sejarah kepada penelitian tentanhg sejarah politik dan ketenteraan sahaja ataupun berita-berita berkenaan dengan para pemerintah dan negara-negara sahaja. Ini kerana sejarah bukan sahaja terdiri daripada yang demikian sahaja bahkan terdiri daripada penelitian terhadap suasana-suasana kemasyarakatan, kesagamaan dan perekonomian.

Al-Muqaddimah itu dikenali sebagai kitab yang penting semenjak dari masa hayat pengarangnya sendiri lagi. Jilid-jilid kitabnya yang lain itu berbicara berkenaan dengan sejarah dunia. Kitab Al-Ibar - membicarakan sejarah bangsa Arab, sejarah para penguasa semasa, penguasa-penguasa Eropah sezaman dengannya, sejarah Arab zaman purba, Yahudi, Yunani, Rom, Parsi purba, dan sejarah Islam, dan sejarah Mesir dan sejarah Afrika Utara, terutamanya sejarah bangsa Barbar dan kabilah-kabilah yang berdekatan.

Jilid terakhir Al-Tasrif, sebahagian besarnya membicarakan hal kehidupan beliau sendiri. Sebagaimana halnya dengan kitab-kitabnya yang lain, ia ditulis dari segi perspektif analitikal dan memulakan cara baharu dalam menulis seni biografi. Kitab yang ditulisnya tentang matematik tidak ditemui. Ringkasnya, pengaruh Ibnu Khaldun dalam sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, sains politik, dan pendidikan -pendeknya jasanya dalam epistemologi Sunni - kekal dan mendominasi sampai ke zaman kita ini.

Beliau juga diakui sebagai pemimpin dalam menulis biografi dan pembaharu dalam pendidikan dan psikologi pendidikan serta penulisan persuratan yang indah dan tinggi kualitinya dalam bahasa. Buku-bukunya telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa Barat dan Timur, dan menimbulkan pengaruh dalam perkembangan pelbagai cabang ilmu.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Ibnu Khaldun mendapat pendidikan dalam pelbagai ilmu Islam seperti Al-Quran, al-hadith, perundangan Islam, kesusasteraan, falsafah, bahasa, dan mantik. Antara gurunya ialah Muhammad Ibrahim al-Abili, Abu Abd Allah al-Jayyani, Abd Allah Muhammad bin Abd al-Salam. Ibnu Khaldun menjadi cendekiawan yang agung sehingga disanjung oleh Barat kerana buah fikirannya, Walau bagaimana pun jarang umat Islam mengkajinya.

Sebenarnya, sumbangan pemikiran Ibnu Khaldun dalam ekonomi banyak dimuatkan dalam hasil karya agungnya, al-Muqaddimah. Antara teori ekonomi yang terdapat dalam karyanya masih lagi relevan dengan masalah ekonomi semasa. Ibnu Khaldun telah membincangkan beberapa prinsip dan falsafah ekonomi seperti keadilan (al adl), hardworking, kerjasama (cooperation), kesederhanaan (moderation), dan fairness. Berhubung dengan keadilan (justice), Ibnu Khaldun telah menekankan bahawa keadilan merupakan tulang belakang dan asas kekuatan sesebuah ekonom. Apabila keadilan tidak dapat dilaksanakan, sesebuah negara akan hancur dan musnah.

Menurut beliau, ketidakadilan tidak sahaja difahami sebagai merampas wang atau harta orang lain tanpa sebarang sebab yang diharuskan. Malah, mengambil harta orang lain atau menggunakan tenaganya secara paksa atau membuat dakwaan palsu terhadap orang lain.

Begitu juga kalau meminta seseorang melakukan sesuatu yang berlawanan dengan Islam.Beliau mengkategorikan perampas harta orang lain secara tidak sah hingga memberi kesan kepada kehidupan isteri dan keluarga sebagai paling tidak adil.

Menurut beliau lagi, seseorang yang membeli harta seseorang dengan harga yang paling murah termasuk dalam kategori memiliki harta cara yang tidak betul.Ketidakadilan seumpama di atas membawa kepada kejatuhan sesebuah negara dan keruntuhan sesebuah tamadun dengan segera. Menurut Ibnu Khaldun, atas sebab sebab tersebutlah semua bentuk ketidakadilan dilarang oleh Islam.

Berdasarkan analisis mendalam, didapati kesemua teori ekonomi dan idea Ibnu Khaldun tentang manusia berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan falsafah Islam. Ibnu Khaldun tidak melihat fungsi utama manusia dalam aktiviti perekonomiannya seumpama haiwan ekonomi (economic animal). Sebaliknya beliau menganggap manusia itu sebagai manusia Islam (Islamic man/homo Islamicus) yang memerlukan pengetahuan ekonomi untuk memenuhi misinya di atas muka bumi ini.

Dalam hal ini, Ibnu Khaldun menekankan perlunya manusia menjauhi perbuatan jahat. Sebaliknya manusia wajib mengikuti ajaran Islam sebagai model untuk memperbaiki dirinya dan mesti memberikan keutamaan kepada kehidupan akhirat.

Ibnu Khaldun mengemukakan teori bahawa kehidupan perekonomian sentiasa menghala ke arah pelaksanaan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan. Menurut beliau pengeluaran berasaskan kepada faktor buruh dan kerjasama masyarakat. Bahkan beliau menganggap buruh merupakan faktor terpenting dalam proses pengeluaran walaupun faktor-faktor lain seperti tanah tersedia, tenaga buruh perlu untuk menghasilkan matlamat akhir.

Selain itu beliau berpendapat bahawa kenaikan yang tetap pada paras harga amat perlu untuk mengekalkan tahap produktiviti. Dalam hal ini beliau menyarankan agar masyarakat melakukan perancangan supaya setiap bidang pekerjaan dilakukan oleh orang yang mahir dan cekap.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi (economic growth) dan pembahagian tenaga buruh bergantung rapat dengan pasaran. Di sini dapatlah dinyatakan bahawa teori pembahagian tenaga buruh, pengkhususan tenaga buruh, dan pertukaran yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun 100 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang juga mengemukakan teori yang sama.

Ibnu Khaldun tidak secara jelas membezakan antara teori nilai diguna (use value) dengan nilai pertukaran (exchange value). Tetapi beliau dengan tegas berhujah bahawa nilai sesuatu barangan bergantung kepada nilai buruh yang terlibat dalam proses pengeluaran. ‘

Semua usaha manusia dan semua tenaga buruh perlu digunakan untuk mendapatkan modal dan keuntungan. Tidak ada jalan lain bagi manusia untuk mendapatkan keuntungan melainkan melalui penggunaan buruh,’ kata Ibnu Khaldun.

Menurut Ibnu Khaldun harga barangan terdiri daripada tiga elemen utama iaitu gaji atau upah, keuntungan, dan cukai. Ketiga-tiga elemen ini merupakan pulangan kepada masyarakat. Oleh sebab itu, beliau membahagikan ekonomi kepada tiga sektor iaitu sektor pengeluaran, pertukaran, dan perkhidmatan awam.


Menurut Ibnu Khaldun, nilai atau harga sesuatu barangan sama dengan kuantiti buruh yang terlibat dalam pengeluaran barangan berkenaan. Harga buruh merupakan asas kepada penentuan harga sesuatu barangan dan harga buruh itu sendiri ditentukan oleh mekanisme permintaan dan penawaran dalam pasaran. Manakala keuntungan terhasil daripada perbezaan yang diperoleh oleh peniaga antara harga jualan dengan harga belian. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA