Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
‘Apakah patut orang
(wanita) yang dibesarkan dalam keadaan berperhiasan, sedang dia tidak dapat
memberi alasan yang jelas dalam pertengkaran.’ (surah Az-Zukhruf: 18) Kenyataan
menunjukkan bahawa wanita memang senang berhias sebagaimana firman Allah s.w.t
dalam ayat di atas. Islam datang menetapkan aturan, mana perhiasan yang boleh
dipakai dan mana yang terlarang.
Berbagai Jenis Dan
Bentuk Perhiasan
Dibolehkan bagi
wanita untuk memakai berbagai jenis perhiasan, baik yang terbuat dari emas,
perak, mutiara atau yang lainnya. Sama saja apakah perhiasan itu diletakkan di
telinga, tangan, ataupun kakinya. Hal ini boleh diketahui di antaranya dari
hadis-hadis berikut ini:
Jabir bin Abdillah
berkata: ‘Rasulullah s.a.w solat mengimami manusia pada hari Aidil Fitri,
kemudian baginda berkhutbah. Selepas itu baginda mendatangi tempat wanita untuk
memberikan peringatan dan nasihat kepada mereka dalam keadaan baginda bersandar
pada tangan Bilal. Baginda mendorong mereka untuk bersedekah. Bilal pun
membentangkan bajunya untuk menadah sedekah tersebut.’
Ibnu Juraij yang
mendengar hadis ini dari ‘Atha, rawi yang menyampaikan riwayat dari Jabir,
bertanya: ‘Apakah yang mereka berikan itu zakat Aidil Fitri?’
‘Bukan,’ kata Atha.
‘Tetapi itu adalah sedekah mereka pada hari tersebut,’ lanjutnya.
‘Para wanita itu
melemparkan cincin-cincin mereka dan perhiasan lainnya sebagai sedekah.’
(Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 978 dan Muslim no. 885)
Dalam riwayat Ibnu
‘Abbas disebutkan: ‘Rasulullah s.a.w solat dua rakaat dan tidak melaksanakan
solat sunnah sebelum dan sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita
dengan ditemani Bilal. Maka baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah.
Mendengar anjuran tersebut, mulailah wanita yang hadir melemparkan
anting-antingnya.’ (Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 5883 dan Muslim no.
884)
‘Aisyah r.a pernah
meminjam kalung milik saudara perempuannya, Asma bintu Abi Bakar, untuk berhias
di depan Rasulullah s.a.w. Kalung ini kemudian jatuh dari ‘Aisyah dalam satu safar
(perjalanan)-nya bersama Rasulullah, dan dicari oleh para sahabat hingga mereka
tertahan di tempat yang tidak ada air sedangkan mereka hendak solat. Dari
peristiwa ini, turun syariat tayammum dalam Al-Quran surah AlMaidah.
(Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 336, 5882 dan Muslim no. 367)
Rasulullah s.a.w
pernah mendapat hadiah dari raja Najasyi berupa perhiasan, di antaranya ada
bentuk cincin emas bertatahkan batu permata Habasyi. Baginda mengambilnya
kemudian memanggil cucunya Umamah puteri Zainab. Lalu baginda berkata:
‘Berhiaslah dengan cincin ini wahai cucuku.’ (hadis riwayat Abu Dawud no. 3697,
dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/312)
Dalam kitab sahihnya,
Imam Al-Bukhari membuat bab khusus yang berjudul Cincin Bagi Wanita, dan
baginda s.a.w menyatakan bahawa ‘Aisyah memakai cincin-cincin emas. (Sahih
Al-Bukhari dengan Fathul Bari, 10/342)
Berkata Imam
An-Nawawi: ‘Kaum wanita diperkenankan memakai sutera dan semua jenisnya,
sebagaimana dibolehkan bagi mereka memakai cincin emas dan semua perhiasan dari
emas, demikian juga dari perak. Sama saja apakah wanita itu sudah menikah atau
belum, masih muda atau sudah tua, kaya ataupun miskin.’ (Syarah Sahih Muslim,
14/32)
Baginda s.a.w juga
menyatakan bahawa kaum muslimin bersepakat tentang bolehnya wanita memakai
cincin emas. (Syarah Sahih Muslim,14/65)
Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni
(2/324) berkata: ‘Dibolehkan bagi wanita memakai perhiasan dari emas, perak dan
permata dengan bentuk yang biasa mereka pakai, misalnya gelang tangan, gelang
kaki, anting-anting dan cincin. Termasuk juga perhiasan yang dipakai di
wajah-wajah mereka, di leher, di tangan, di kaki, di telinga mereka dan
selainnya. Adapun perhiasan yang menurut kebiasaan mereka tidak lazim dipakai
seperti sabuk dan sebagainya dari perhiasan laki-laki, maka diharamkan bagi
wanita memakainya.’
Ibnu Taimiyyah
menyatakan bahawa perhiasan emas dan perak boleh dipakai wanita dengan
kesepakatan ulama. (Majmu’ Fatawa, 25/64)
Selain emas, perak
dan batu-batu seperti berlian dan lainnya, wanita dibolehkan juga memakai
perhiasan dari mutiara (al-lu’lu’). Allah s.w.t berfirman: ‘Dan dari
masing-masing laut itu (yang airnya tawar mahupun yang asin), kalian dapat
memakan daging yang segar dan kalian dapat mengeluarkan perhiasan yang boleh
kalian pakai.’ (surah Fathir: 12)
Ibnu Hazm berkata:
‘Tidak ada perhiasan yang dikeluarkan dari laut kecuali mutiara. Maka dari ayat
Al-Quran di atas, ada penetapan halalnya mutiara ini bagi lelaki mahupun
wanita.’ (Al-Muhalla, 9/246)
Di Jari Mana Diletakkan
Cincin?
‘Ali berkata:
‘Rasulullah s.a.w melarangku memakai cincin di jariku ini atau yang ini,’
sambil menunjukkan jari tengah dan jari selepasnya (jari telunjuk).’ (hadis
riwayat Al-Bukhari no. 5874 dan Muslim no. 2078)
Larangan yang
disebutkan dalam hadis ‘Ali di atas berlaku bagi laki-laki sementara bagi
wanita tidak diterapkan larangan demikian, lantaran itu Imam An-Nawawi berkata:
‘Kaum muslimin sepakat, sunnah bagi laki-laki memakai cincin di jari
kelingkingnya sedangkan wanita boleh memakai cincin di seluruh jarinya.’ (Syarah
Sahih Muslim, 14/71)
Melubangi Cuping
Telinga
Dalam masalah
kebolehan wanita melubangi cuping telinganya untuk menggantungkan
anting-anting, diperselisihkan oleh ulama. Dalam Ash-Sahihain
disebutkan, ketika Rasulullah s.a.w menekankan para wanita untuk bersedekah,
ada di antara mereka yang menyedekahkan anting-anting. Hadis ini cukuplah
sebagai dalil tentang bolehnya wanita memakai anting-anting.
Imam Ibnul Qayyim
Al-Jauziyyah berkata: ‘Dibolehkan melubangi cuping telinga anak perempuan dalam
rangka berhias, demikian dinyatakan oleh Al-Imam Ahmad. Sedangkan untuk anak
laki-laki baginda s.a.w membencinya. Perbezaan keduanya adalah perempuan perlu
akan perhiasan sehingga ada kemaslahatan melubangi cuping telinganya. Berbeza
halnya dengan anak laki-laki.’
Baginda s.a.w juga
menyatakan bila ada yang berkata: Allah s.w.t mengkhabarkan tentang musuhnya
Iblis yang pernah menyatakan: ‘Dan sungguh aku akan memerintahkan mereka hingga
mereka benar-benar akan memotong telinga-telinga haiwan ternak mereka.’ (surah
An-Nisa: 119)
Ini menunjukkan
bahawa memotong telinga, membelah dan melubanginya merupakan perintah syaitan.
Maka dijawab, bahawa qiyas ini termasuk qiyas yang paling rosak.
Kerana mereka yang diperintah oleh syaitan untuk memotong telinga haiwan mereka
dengan ketentuan bila seekor unta betina telah beranak sebanyak lima kali,
kemudian bunting lagi untuk kali ke-6 dan ternyata yang lahir adalah jantan,
mereka pun membelah telinga unta betina tersebut. Dan mereka juga mengharamkan
untuk ditunggangi serta diambil manfaatnya, tidak boleh dihalau dari sumber air
yang sedang diminumnya, tidak juga dari tanaman. Mereka mengistilahkannya
dengan bahirah. Syaitan mensyariatkan untuk mereka dengan satu syariat
dari sisinya.
Jika demikian,
bagaimana boleh dibandingkan dengan perbuatan melubangi cuping telinga anak
perempuan untuk diletakkan perhiasan yang dibolehkan oleh Allah s.w.t? Adapun
melubangi telinga anak laki-laki maka tidak ada kemaslahatan padanya, baik dari
aspek agama mahupun dunia, lantaran itu tidaklah diperkenankan.’ (Tuhfatul
Maudud bi Ahkamil Maulud, hal. 178-179)
Minyak Wangi
Wangi yang semerbak
memberi nuansa tersendiri, melapangkan dada, dan menyenangkan hati. Sehingga
wajar bila setiap insan menyukainya, termasuk Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik
berkata, ‘Rasulullah s.a.w pernah bersabda: ‘Wanita dan minyak wangi dijadikan
sebagai kecintaanku dari dunia ini dan solat dijadikan sebagai penyejuk
mataku.’ (hadis riwayat Ahmad, 3/128. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Ash-Sahihul
Musnad Mimma Laisa fish Sahihain, 1/82)
Rasulullah s.a.w
sendiri tidak pernah menolak bila diberikan wangian (Sahih, hadis riwayat
Al-Bukhari no. 5929). Baginda menyatakan kepada sahabatnya: ‘Siapa yang
ditawari raihan (minyak wangi) maka janganlah dia menolak, kerana raihan
ini ringan dibawa dan aromanya wangi.’ (hadis riwayat Muslim no. 2253)
Hadis ini menunjukkan
dimakruhkannya menolak tawaran berupa minyak wangi terkecuali bila seseorang
memiliki keuzuran hingga dia terpaksa menolaknya, demikian dinyatakan oleh Imam
An-Nawawi. (Syarah Sahih Muslim, 15/10)
Seorang sahabat dari
kalangan Anshar mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tiga perkara
yang seharusnya dilakukan oleh seorang muslim iaitu mandi pada hari Jumaat,
bersiwak, dan menyentuh (memakai) winyak wangi jika ada.’ (hadis riwayat Ahmad
4/34, disahihkan Syaikh Muqbil dalam Al Jami’ush Sahih, 4/309)
Seorang wanita juga
disukai untuk selalu menyebarkan keharuman dari tubuhnya di hadapan sang suami.
Sehingga sepantasnya kalau dia selalu memakai minyak wangi atau yang sepertinya
dari wangian yang diperkenankan.
Adapun perbezaan
antara minyak wangi laki-laki dengan minyak wangi wanita, disebutkan beritanya
dari Anas r.a. Beliau berkata: ‘Rasulullah s.a.w berkata kepadaku: ‘Minyak
wangi laki-laki adalah yang tercium jelas baunya dan tidak jelas (samar)
warnanya. Sedangkan minyak wangi wanita adalah yang jelas warnanya dan
tersembunyi baunya.’ (hadis riwayat Al Bazzar dalam Kasyful Astar,
3/376, disahihkan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/308)
Berkata Al-Munawi
dalam Faidhul Qadir (3/284): ‘Sabda Rasulullah s.a.w: iaitu jelas
warnanya dan tersembunyi baunya dari laki-laki yang bukan mahram, seperti za’faran.’
Berkata Al-Baghawi
dalam karyanya Syarhus Sunnah: ‘Sa’ad menyatakan: ‘Aku berpandangan,
mereka membawa pengertian sabda Rasulullah s.a.w ini apabila si wanita hendak
keluar rumah. Adapun bila dia berada di sisi suaminya maka dia boleh memakai
minyak wangi atau wangian apa saja yang diinginkan.’
Dalam syariat yang
mulia ini, diharamkan bagi wanita bila tercium wanginya oleh laki-laki selain
mahramnya. Bahkan wanita yang memakai wangian kemudian sengaja melalui
sekumpulan lelaki yang bukan mahramnya dikatakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai
wanita penzina.
‘Setiap mata itu
berzina. Bila seorang wanita memakai wangian kemudian dia melalui majlis
laki-laki (yang bukan mahramnya) maka wanita itu begini dan begitu.’ (hadis
riwayat At-Tirmidzi no. 2937, disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Sahih
Sunan At-Tirmidzi, no. 2237)
Dalam riwayat Ahmad
(4/414) disebutkan: ‘Wanita mana saja yang memakai wangi-wangian, kemudian dia
melalui satu kaum agar mereka mencium wanginya, maka wanita itu penzina.’
(Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/311)
Mengapa si wanita
disebut demikian? Kerana dia mengobarkan syahwat lelaki dengan aroma yang
berasal dari wangian yang dipakainya. Sehingga mereka terpancing untuk
memandangnya. Bila demikian, si lelaki menjadi berzina dengan kedua matanya dan
si wanitalah penyebabnya, maka dia berdosa. Demikian kata Al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul
Ahwadzi (8/58).
Lantaran itu
Rasulullah s.a.w melarang wanita yang ingin ikut solat berjemaah di masjid
memakai minyak wangi sebagaimana sabdanya: ‘Apabila salah seorang dari kalian
(para wanita) ingin ikut solat Isya berjemaah (di masjid), maka janganlah dia
memakai minyak wangi pada
malam itu.’ (Sahih, hadis riwayat Muslim no. 443)
Pun baginda melarang wanita yang terlanjur
memakai wangian untuk hadir dalam solat berjemaah di masjid. ‘Wanita siapa saja
yang memakai wangian maka jangan dia hadir bersama kami dalam solat Isya.’
(Sahih, hadis riwayat Muslim no. 444)
Semua aturan ini ditetapkan untuk menutup
pintu fitnah, agar kaum lelaki tidak terfitnah dengan wanita dan demikian juga
sebaliknya. Demikian apa yang dapat penulis jelas dan susun untuk pembaca,
semoga Allah s.w.t menjadikannya bermanfaat.
Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan