Jumaat, 19 Julai 2013

PANTUN: Wawasan Ditempa Gemilang Diukir


SMAHADZIR

Cantik anggun di balik salju,
Gadis melayan gurindam seloka;
Negara membangun subur dan maju,
Hasrat wawasan anak merdeka.

Gadis melayan gurindam seloka,
Bulan redup ditabir gerhana;
Hasrat wawasan anak merdeka,
Supaya hidup lebih sempurna.

Bulan redup ditabir gerhana,
Kenanga rengsa di hujung setanggi;
Supaya hidup lebih sempurna,
Maruah bangsa tertegak tinggi.

Kenanga rengsa di hujung setanggi,
Di dalam piring majlis kenduri;
Maruah bangsa tertegak tinggi,
Setaraf seiring duduk berdiri.

Di dalam piring majlis kenduri,
Hidangan bertambun ikan gelama;
Setaraf seiring duduk berdiri,
Di naung rimbun syiar agama.

Hidangan bertambun ikan gelama,
Tetamu diundang dirai sudah;
Di naung rimbun syiar agama,
Wawasan gemilang terukir indah.

Tetamu diundang dirai sudah,
Tengah halaman berpaut tangan;
Wawasan gemilang terukir indah,
Selaras firman sabda Junjungan.

Tengah halaman berpaut tangan,
Bersatu hati seia sekata;
Selaras firman sabda Junjungan,
Hidup diberkati sepanjang masa.

Bersatu hati seia sekata,
Silap salah usah dibena;
Hidup diberkati sepanjang masa,
Dilindungi Allah dari bencana.

Silap salah usah dibena,
Perpaduan dijulang muafakat dipikul;
Dilindungi Allah dari bencana,
Tanda gemilang wawasan terunggul.

Perpaduan dijulang muafakat dipikul,
Mengerat barisan kukuh terjunjung;
Tanda gemilang wawasan terunggul,
Hasil gagasan pemimpin ulung.

Mengerat barisan kukuh terjunjung,
Laksana belati tersimpul mati;
Hasil gagasan pemimpin ulung,
Membangun negara sepenuh hati.

Laksana belati tersimpul mati,
Kukuh membebat alam semesta;
Membangun negara sepenuh hati,
Walau diumpat difitnah dinista.

Kukuh membebat alam semesta,
Tiap pelosok kampung daerah;
Walau diumpat difitnah dinista,
Biarlah esok mencatat sejarah.

Tiap pelosok kampung daerah,
Pelbagai rupa warga berfikir;
Biarlah esok mencatat sejarah,
Wawasan ditempa gemilang diukir.

Pelbagai rupa warga berfikir,
Melirik senyum dada berdebar;
Wawasan ditempa gemilang diukir,
Abad milineum lebih mencabar.

Melirik senyum dada berdebar,
Gadis Kadayan melayan tetamu;
Abad milineum lebih mencabar,
Perlu penguasaan pelbagai ilmu.

Gadis Kadayan melayan tetamu,
Tetamu bersimpuh bersubang gangsa;
Perlu penguasaan pelbagai ilmu,
Demi menempuh cabaran semasa.

Tetamu bersimpuh bersubang gangsa,
Di pinggir ambang masam mencuka;
Demi menempuh cabaran semasa,
Taufan gelombang langit terbuka.

Di pinggir ambang masam mencuka,
Laksana gelemat di wajah malam;
Taufan gelombang langit terbuka,
Teknologi maklumat serata alam.

Laksana gelemat di wajah malam,
Kejora tabah menembusi mega;
Teknologi maklumat serata alam,
Total mengubah kehidupan warga.

Kejora tabah menembusi mega,
Cahaya mengimbas bulan purnama;
Total mengubah kehidupan warga,
Jangan terbabas landasan agama.

Cahaya mengimbas bulan purnama,
Punai berdekut di dahan tembusu;
Jangan terbabas landasan agama,
Semata mengikut suruhan nafsu.

Punai berdekut di dahan tembusu,
Perangkap di galah jadi halangan;
Semata mengikut suruhan nafsu,
Dimurka Allah ditegah Junjungan.

Perangkap di galah jadi halangan,
Dinaung redup pohon meranti;
Dimurka Allah ditegah Junjungan,
Supaya hidup selalu diberkati.

Dinaung redup pohon meranti,
Denak terjerat berhati bimbang;
Supaya hidup selalu diberkati,
Dunia akhirat wajar seimbang.

Denak terjerat berhati bimbang,
Budak nakal melastik batu;
Dunia akhirat wajar seimbang,
Peranan akal jadi penantu.

Budak nakal melastik batu,
Dalam genggaman pisau belati;
Peranan akal jadi penantu,
Beriring iman kukuh di hati.

Dalam genggaman pisau belati,
Damak sumpitan ditatang-tatang;
Beriring iman kukuh di hati,
Segala kebejatan dapat ditentang.

Damak sumpitan ditatang-tatang,
Menanti tiupan nyawa menghilang;
Segala kebejatan dapat ditentang,
Bahtera kehidupan lebih gemilang.

Menanti tiupan nyawa menghilang,
Belas ehsan tiada di hati;
Bahtera kehidupan lebih gemilang,
Hasrat wawasan jadi realiti.

Belas ehsan tiada di hati,
Gelodar dada terasa mendera;
Hasrat wawasan jadi realiti,
Perahan minda pemimpin negara.

Gelodar dada terasa mendera,
Mohonlah inayat Allah Yang Satu;
Perahan minda pemimpin negara,
Kemajuan rakyat terjulang di mercu.

Mohonlah inayat Allah Yang Satu,
Sejadah direntang setawaduk hati;
Kemajuan rakyat terjulang di mercu,
Pembangunan terbentang sama dinikmati.

Sejadah direntang setawaduk hati,
Tawajuh rasa menyegar nubari;
Pembangunan terbentang sama dinikmati,
Martabat bangsa tercegat berdiri.

Tawajuh rasa menyegar nubari,
Sedingin belaian hububan pawana;
Martabat bangsa tercegat berdiri,
Wawasan impian lebih sempurna.

Sedingin belaian hububan pawana,
Mazmumah menghilang sakinah menjelma;
Wawasan impian lebih sempurna,
Ukiran gemilang menobatkan nama.

Mazmumah menghilang sakinah menjelma,
Hening situasi di malam nyaman;
Ukiran gemilang menobatkan nama,
Dikenang generasi zaman berzaman.

Hening situasi di malam nyaman,
Lazuardi pesona berkilauan cerah;
Dikenang generasi zaman berzaman,
Bertinta kencana buku sejarah.

Lazuardi pesona berkilauan cerah,
Sinar hiasan ke horizon cerlang;
Bertinta kencana buku sejarah,
Bukti wawasan terukir gemilang.


PANTUN 1:
Dirgahayu Tanah Airku
SMAHADZIR

Gagah perkasa pahlawan dahulu,
Dari Melaka lembing ditujah;
Lima dasawarsa sudah berlalu,
Kita merdeka dari penjajah.

Dari Melaka lembing ditujah,
Serdadau Cina mati digari;
Kita merdeka dari penjajah,
Untuk membina negara sendiri.

Serdadau Cina mati digari,
Diarak tawanan ke hujung bendang;
Untuk membina negara sendiri,
Menempa kejayaan pelbagai bidang.

Diarak tawanan ke hujung bendang,
Jirat bersimen keranda ditandu;
Menempa kejayaan pelbagai bidang,
Perlu komitmen jitu dan padu.

Jirat bersimen keranda ditandu,
Nisan gangsa tidak bernama;
Perlu komitmen jitu dan padu,
Semua bangsa berganding sama.

Nisan gangsa tidak bernama,
Ditanam jangkat separas hasta;
Semua bangsa berganding sama,
Muhibah muafakat seia sekata.

Ditanam jangkat separas hasta,
Siap siaga dipagar cemara;
Muhibah muafakat seia sekata,
Hidup warga aman sejahtera.

Siap siaga dipagar cemara,
Dari pangkalan sukar dipandang;
Hidup warga aman sejahtera,
Ekonomi berjalan tidak terhadang.

Dari pangkalan sukar dipandang,
Mentari redup terbenam di timur;
Ekonomi berjalan tidak terhadang,
Taraf hidup mewah dan makmur.

Mentari redup terbenam di timur,
Jerijit kempunan di tenga paya;
Taraf hidup mewah dan makmur,
Program pembangunan menempah jaya.

Jerijit kempunan di tenga paya,
Batang cendana tidak berduri;
Program pembangunan menempah jaya,
Wawasan terbina megah berdiri.

Batang cendana tidak berduri,
Tempat angsa mengirai bulunya;
Wawasan terbina megah berdiri,
Martabat bangsa disanjung dunia.

Tempat angsa mengirai bulunya,
Dahan senduduk dibuat para;
Martabat bangsa disanjung dunia,
Berdiri duduk sama setara.

Dahan senduduk dibuat para,
Akar melata pelbagai guna;
Berdiri duduk sama setara,
Bangsa kita tak lagi dihina.

Akar melata pelbagai guna,
Dibebat megah tidak terbekah;
Bangsa kita tak lagi dihina,
Semakin gagah mengorak langkah.

Dibebat megah tidak terbekah,
Kukuh lestari sepanjang masa;
Semakin gagah mengorak langkah,
Negara industri nikmat dirasa.

Kukuh lestari sepanjang masa,
Sinar mega memancar-mancar;
Negara industri nikmat dirasa,
Proton Saga pertama dilancar.

Sinar mega memancar-mancar,
Cantik ketara seluruh bentala;
Proton Saga pertama dilancar,
Wira Iswara menyusul pula.

Cantik ketara seluruh bentala,
Air dipancur menyiram kencana;
Wira Iswara menyusul pula,
Megah meluncur di sini sana.

Air dipancur menyiram kencana,
Danau kecil membiak seluang;
Megah meluncur di sini sana,
Tiara Kancil tak lepas peluang.

Danau kecil membiak seluang,
Nelayan pantas menahan pukat;
Tiara Kancil tak lepas peluang,
Cuba memintas Satria memikat.

Nelayan pantas menahan pukat,
Kayu cendana di dalam sampan;
Cuba memintas Satria memikat,
Putra Perdana hebat dan tampan.

Kayu cendana di dalam sampan,
Ditempah tukang besi tempawan;
Putra Perdana hebat dan tampan,
Pesona di belakang comel menawan.

Ditempah tukang besi tempawan,
Rambu cemara berumbai di atap;
Pesona di belakang comel menawan,
Pacuan Kembara kukuh dan mantap.

Rambu cemara berumbai di atap,
Musuh mencabar bermain pedang;
Pacuan Kembara kukuh dan mantap,
Menara Berkembar tempat ditandang.

Musuh mencabar bermain pedang,
Mati berkalang gelanggang ditawan;
Menara Berkembar tempat ditandang,
Bangunan menjulang di puncak awan.

Mati berkalang gelanggang ditawan,
Sundang kersani sebagai ganti;
Bangunan menjulang di puncak awan,
Jelak di sini KLCC menanti.

Sundang kersani sebagai ganti,
Berulu jati dari Jakarta;
Jelak di sini KLCC menanti,
Naik LRT keliling kota.

Berulu jati dari Jakarta,
Pandang selayang cantik ketara;
Naik LRT keliling kota,
Singgah sembahyang di Masjid Negara.

Pandang selayang cantik ketara,
Diukir cermat seni menyerlah;
Singgah sembahyang di Masjid Negara,
Memohon rahmat ke hadrat Allah.

Diukir cermat seni menyerlah,
Tontonan saudara di majlis tahlil;
Memohon rahmat ke hadrat Allah,
Sebelum mengembara ke Bukit Jalil.

Tontonan saudara di majlis tahlil,
Letak disangga kayu pedati;
Sebelum mengembara ke Bukit Jalil,
Rasa bangga memurup di hati.

Letak disangga kayu pedati,
Pelbagai rewel beriak marah;
Rasa bangga memurup di hati,
Sukan Komenwel mencatat sejarah.

Pelbagai rewel beriak marah,
Kayu tolang dimakan gergaji;
Sukan Komenwel mencatat sejarah,
Malaysia dijulang kemampuan dipuji.

Kayu tolang dimakan gergaji,
Malu didera disekang sabar;
Malaysia dijulang kemampuan dipuji,
Atlet negara gagah mencabar.

Malu didera disekang sabar,
Silap salah amat dikesali;
Atlet negara gagah mencabar,
Mengaku kalah tidak sekali.

Silap salah amat dikesali,
Selesai sudah episod baru;
Mengaku kalah tidak sekali,
Cabaran diredah ke alaf baru.

Selesai sudah episod baru,
Semuanya rahmat Al-Khalik belaka;
Cabaran diredah ke alaf baru,
Teknologi maklumat langit terbuka.

Semuanya rahmat Al-Khalik belaka,
Yakin berjaya sentiasa bersedia;
Teknologi maklumat langit terbuka,
Di Koridor Raya Multimedia.

Yakin berjaya sentiasa bersedia,
Bina ketabahan hadapi gelora;
Di Koridor Raya Multimedia,
Mercu kecanggihan milik negara.

Bina ketabahan hadapi gelora,
Cerna gagasan memurup di hati;
Mercu kecanggihan milik negara,
Hasil wawasan pemimpin berkualiti.

Cerna gagasan memurup di hati,
Walau rengsa menjerba dada;
Hasil wawasan pemimpin berkualiti,
Setiap masa mencanai minda.

Walau rengsa menjerba dada,
Asal ceria hari mendatang;
Setiap masa mencanai minda,
Di Putrajaya wawasan dibentang.

Asal ceria hari mendatang,
Anak bangsa menjulang nama;
Di Putrajaya wawasan dibentang,
Kemakmuran nusa perspektif utama.

Anak bangsa menjulang nama,
Budi ditabur bakti disukat;
Kemakmuran nusa perspektif utama,
Keyakinan pelabur terus meningkat.

Budi ditabur bakti disukat,
Nama dijulang tidak dipinta;
Keyakinan pelabur terus meningkat,
Bukti cemerlang wawasan dicipta.

Nama dijulang tidak dipinta;
Satu pengorbanan mulus terluah;
Bukti cemerlang wawasan dicipta,
Tegak pembangunan kekayaan meruah.

Satu pengorbanan mulus terluah,
Budi dan jasa di neraca Tuhan;
Tegak pembangunan kekayaan meruah,
Agama dan bangsa tetap dipertahan.

Budi dan jasa di neraca Tuhan,
Balasan akhirat dinisab sepadan;
Agama dan bangsa tetap dipertahan,
Selagi hayat dikandung badan.

Balasan akhirat dinisab sepadan,
Sebiji sawi tetap dikira;
Selagi hayat dikandung badan,
Ibu pertiwi dijaga sejahtera.

Sebiji sawi tetap dikira,
Sekumin cela ataupun fitnah;
Ibu pertiwi dijaga sejahtera,
Tubuh rela berkalang tanah.

Sekumin cela ataupun fitnah,
Amat keji mazmumah belaka;
Tubuh rela berkalang tanah,
Inilah janji anak merdeka.

Amat keji mazmumah belaka,
Dimuka Allah ditegah Junjungan;
Inilah janji anak merdeka,
Insya-Allah, tiada halangan.

Dimuka Allah ditegah Junjungan,
Perlu dijauhi usah didekati;
Insya-Allah, tiada halangan,
Mohon direstui hasrat berbakti.

Perlu dijauhi usah didekati,
Budaya Melayu lembut tingkah laku;
Mohon direstui hasrat berbakti,

Semoga dirgahayu tanah airku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA