Khamis, 4 Julai 2013

Sakitnya Sakaratul Maut


Syed Mahadzir Syed Ibrahim


Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielak kerana setiap manusia pasti menghadapi maut. Tentang kesakitan yang dirasai ketika sedang bertarung dengan maut, Rasulullah s.a.w menjelaskan dalam hadis-hadisnya bahawa sakit ketika hampir mati itu laksana kesakitan ditetak seratus kali dengan pedang yang tajam atau seperti dikoyak kulit dari daging ketika hidup-hidup.
Amatlah beruntung seseorang itu sekiranya dia mati dalam keadaan khusnul khatimah (kebajikan) dan adalah menyedihkan sekiranya dia mati dalam keadaan suul-khatimah.
Tentang tanda-tanda sama ada seseorang itu akan mendapat kebajikan atau tidak, terdapat hadis Rasulullah s.a.w dari Salman Al Farisi yang bermaksud: ‘Perhatikanlah tiga perkara kepada orang yang sudah hampir mati itu: Pertama: berpeluh pada pelipis pipinya. Kedua: berlenang air matanya dan. Ketiga: lubang hidungnya kembang kempis. Itu adalah tanda bahawa rahmat Allah s.w.t sedang turun dan dirasai oleh orang yang hampir mati itu. Sebaliknya jika ia mengeruh seperti tercekik, air mukanya nampak gelap dan keruh dan mulutnya berbuih, ini menandakan azab Allah s.w.t sedang menimpa dia.’ (Hadis riwayat Abdullah, Al-Hakim dan At-Tarmizi)
Berdasarkan hadis ini, ada sebilangan mukmin yang ketika hampir mati, masih  terdapat sisa-sisa dosa padanya. Namun Allah s.w.t yang Maha Pemurah lagi Maha  Mengasihani menentukan orang itu mati dalam keadaan khusnul khatimah dan  mengampuni segala dosa-dosanya itu.
Dipercayai bahawa kematian berlaku pada jasad manusia secara beransur, dari  hujung kaki ke paha. Apabila rahmat diturunkan padanya kerana mati dalam khusnul  khatimah ini, si mati akan merasa terlalu gembira dan kegembiraaan itu terlahir  dengan keluarnya peluh pada pelipisnya.
Air mata yang keluar dan hidung yang kembang kempis pula adalah tanda bahawa si mati amat malu pada Allah s.w.t terhadap sisa-sisa dosanya yang belum sempat ditaubatinya. Orang-orang yang kuat imannya akan merasa malu untuk melakukan dosa semasa hidupnya kerana merasa bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhatikannya. Oleh itu, sewaktu kematiannya, Allah s.w.t melimpahkan rahmat-Nya dengan mengampunkan  dosa-dosanya.
Orang-orang yang kafir pula, dia tidak merasa malu pada Allah s.w.t. Oleh itu apabila nyawanya hendak dicabut oleh Izrail, wajahnya gelap dan keruh dan dia mengeruh seperti binatang yang disembelih. Ini juga merupakan penanda bagi azab yang diterimanya disebabkan oleh dosa-dosa dan kekufurannya.
Dari Alqamah bin Abdullah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ‘Bahawa roh orang mukmin akan ditarik oleh Izrail dari jasadnya dengan perlahan-lahan dan bersopan sementara roh orang kafir pula akan direntap dengan kasar oleh malaikat maut bagaikan mencabut nyawa seekor khimar.’
Terdapat juga orang mukmin yang berdosa, dan Allah s.w.t menimpakan kekasaran dan mala petaka sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir sebagai kaffarah atas segala dosanya. Oleh itu apabila rohnya keluar dari jasad, dosanya telahpun terhapus.
Kadang-kadang kita melihat seorang mukmin yang mati dalam kepayahan dan seorang kafir yang mati dalam ketenangan. Hendaklah kita berbaik sangka dengan orang mukmin tersebut kerana mungkin itu merupakan kaffrarah terhadap dosanya dan dia menemui Allah s.w.t dalam keampunan kerana sisa-sisa dosanya telah pun dikaffarah.
Orang kafir yang mati dalam ketenangan pula, mungkin semasa hidupnya dia berbuat kebajikan dan itu adalah balasan terhadapnya kerana janji Allah s.w.t bahawa setiap kebajikan akan dibalas. Tetapi kerana dia tidak beriman, kebajikan itu tidak menjadi pahala dan kekufurannya akan diazab di akhirat kelak.
Oleh itu, kita yang masih hidup harus sentiasa berbaik sangka dan mengambil iktibar terhadap segala yang berlaku. Moga-moga kita akan menemui Allah s.w.t dalam keadaan khusnul khatimah dan dalam limpahan rahmat dan keampunan-Nya.

Sakitnya Mati

Allah s.w.t merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya. Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah s.w.t. Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.
Kesakitan bila nyawa dicabut oleh malaikatul maut tidak dapat dibayangkan sama sekali. Walau bagaimanapun Rasulullah s.a.w mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: ‘Iaitulah sakitnya tiga ratus kali tetakan pedang.’
Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan banyak, cuma sekali saja, itupun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan tiga ratus tetakan. Bayangkanlah sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan.
Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkannya. Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut, malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu.
Oleh itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut,maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan. Antaranya, sebelum tidur:
Bacalah surah Al-Ikhlas 3 kali
Selawat ke atas Nabi
Membaca tasbih

Amalan harian:

1.     Sentiasa membaca Al-Quran
2.     Memelihara solat terutama solat fardu
3.     Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan
4.     Membaca tasbih
5.     Membanyakkan sedekah
6.     Sentiasa berzikir menyebut Allah s.w.t

Amalan yang perlu dijauhi:

1.     Dusta
2.     Khianat
3.     Mengadu domba
4.     Kencing berdiri

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ‘Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.’
Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idariis as lalu Nabi Idariis meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah s.w.t menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idariis as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah s.w.t memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa nabi Idariis dan dia meninggal ketika itu juga.
Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah s.w.t supaya Dia (Allah s.w.t) menghidupkan kembali Nabi Idariis lalu dimakbulkan Allah s.w.t. Setelah di dapati Nabi Idariis as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: ‘Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?’ Jawab Nabi Idariis: ‘Sesungguhnya jika dibandingkan sakit terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup dan rasa sakit menghadapi maut adalah 1000 kali sakitnya.’ Kata malaikat maut: ‘Sesungguhnya saya melakukan dengan secara berhati-hati dan tidak kasar apabila mencabut nyawa engkau itu dan belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.’
Dirawayatkan lagi bahawa Nabi Isa as telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah s.w.t. Maka sebahagian orang kafir berkata: ‘Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu.’ Kata Nabi Isa as: ‘Cubalah kamu pilihkan?’
Mereka berkata: Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh).’ Maka Nabi Isa as pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah s.w.t. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban. Nabi Isa as hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: ‘Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat.’

Berkata Nabi Isa as: ‘Sudah berapa tahun kamu meninggal dunia?’ Kata Sam: ‘Semenjak 4000 tahun lalu dan masih belum hilang sakit dari sakaratul maut.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA