Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
Dari Abu Umamah ra
dia berkata: ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Bacalah Al-Quran,
sesungguhnya dia akan datang pada hari kiamat menjadi syafaat (penolong) bagi
pembacanya.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Nawwas bin Sam’an
ra telah berkata: ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Di hari akhirat
kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkannya,
didahului dengan surah Al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran, kedua-duanya menjadi
hujah (pembela) orang yang membaca dan mengamalkannya.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Usman bin ‘Affan
ra telah berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sebaik-baik manusia di antara
kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.’ (hadis riwayat
Bukhari)
Dari Aisyah ra telah
berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Orang yang membaca Al-Quran dengan
terbata-bata kerana susah, akan mendapat dua pahala.’ (hadis riwayat Bukhari
dan Muslim)
Dari Abu Musa Al
Asy’ari ra telah berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Perumpamaan orang mukmin
yang membaca Al-Quran seperti buah utrujjah (sejenis limau), baunya
harum dan rasanya sedap. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca
Al-Quran seperti buah kurma, tidak ada baunya tetapi rasanya manis. Dan
perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran seperti raihanah (jenis
tumbuhan), baunya wangi tetapi rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik
yang tidak membaca Al-Quran seperti buah hanzhal (seperti buah peria),
tidak berbau dan rasanya pahit.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Umar bin al
Khatthab ra berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya Allah s.w.t
mengangkat (martabat) sebahagian orang dan merendahkan sebahagian lainnya
dengan sebab Al-Quran.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Ibnu Umar ra
bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, ‘Tidak boleh iri kecuali pada dua
perkara: Laki-laki yang dianugerahi (kefahaman yang sahih tentang) Al-Quran
sedang dia membaca dan mengamalkannya siang dan malam, dan laki-laki yang
dianugerahi harta sedang dia menginfakkannya siang dan malam.’ (hadis riwayat
Bukhari dan Muslim)
Dari Barra’ bin ‘Azib
ra telah berkata: Seorang laki-laki membaca surah Al-Kahfi dan di sisinya ada
seekor kuda yang diikat dengan dua tali panjang, tiba-tiba ada awan
melindunginya dan semakin mendekat dan kudanya menjauhinya. Pagi-paginya
laki-laki itu mendatangi Rasulullah s.a.w dan menceritakan peristiwa tersebut,
maka baginda bersabda, ‘Itu adalah ketenangan yang turun kerana Al-Quran.’
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu ‘Abbas ra
beliau berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya orang yang tidak ada
dalam dirinya sesuatu pun dari Al-Quran laksana sebuah rumah yang runtuh.’
(hadis riwayat Tarmidzi, beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Dari Abdullah bin
‘Amru bin Al ‘Ash ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Akan dikatakan kepada
orang yang membaca Al-Quran: Baca, tingkatkan, dan perindahkan bacaanmu
sebagaimana kamu memperindahkan urusan di dunia, sesungguhnya kedudukanmu pada
akhir ayat yang kamu baca.’ (hadis riwayat Abu Daud dan Tarmidzi, beliau
berkata: Hadis ini hasan sahih)
Dari ‘Uqbah Bin ‘Amir
ra berkata; ‘Rasulullah s.a.w keluar dan kami berada di beranda masjid. Baginda
bersabda: ‘Siapakah di antara kalian yang tiap hari ingin pergi ke Buthan atau
‘Aqiq dan kembali dengan membawa dua ekor unta yang gemuk sedang dia tidak
melakukan dosa dan tidak memutuskan hubungan silaturahmi?’ Kami
menjawab, ‘Kami ingin ya Rasulullah.’ Lantas baginda bersabda, ‘Mengapa tidak
pergi saja ke masjid; belajar atau membaca dua ayat Al-Quran akan lebih baik
baginya dari dua ekor unta, dan tiga ayat lebih baik dari tiga ekor unta, dan
empat ayat lebih baik dari empat ekor unta, demikianlah seterusnya mengikuti
hitungan unta.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Ibnu Mas’ud ra
bahawasannya Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Yang paling layak mengimami kaum dalam
solat adalah mereka yang paling fasih membaca Al-Quran.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Jabir bin
Abdullah ra bahawasanya; ‘Ketika Rasulullah s.a.w mengumpulkan dua mayat
laki-laki di antara korban perang Uhud kemudian baginda bersabda, ‘Siapa di
antara keduanya yang lebih banyak menghafal Al-Quran?’ Dan ketika ditunjuk
salah satunya baginda mendahulukannya untuk dimasukkan ke dalam liang lahad.’
(hadis riwayat Bukhari, Tarmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Dari Imran bin
Hushoin bahawa baginda melalui seseorang yang sedang membaca Al-Quran kemudian
dia berdoa kepada Allah s.w.t lalu dia kembali membaca, lantas dia berkata aku
pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Barangsiapa yang membaca Al-Quran
maka berdoalah kepada Allah s.w.t dengan Al-Quran, kerana sesungguhnya akan
datang beberapa kaum yang membaca Al-Quran dan orang-orang berdoa dengannya.’
(hadis riwayat Tarmidzi, beliau berkata: Hadis ini hasan)
Dari Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Barangsiapa membaca satu
huruf dari Al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan sama dengan
sepuluh pahala, aku tidak bermaksud ‘Alif, Laam, Miim’ satu huruf, melainkan
Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf. (hadis riwayat Ad Darami
dan Tarmidzi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan