SMAHADZIR
DUNIA psikologi Islam
mengenalinya sebagai pencetus terapi penyakit jiwa. Nama penuh ahli psikologi
tersohor Islam dari abad ke-9 Masehi ini ialah Abu Al-Hasan Ali ibnu Sahl
Rabban Al-Tabari. Selain dikenali sebagai seorang ahli psikologi, Al-Tabari
juga menguasai ilmu fizik dan kedoktoran. Namanya tetap dikenang berkat
karya-karya tulisannya yang sangat berpengaruh.
Melalui buku Firdous Al-Hikmah
yang ditulisnya pada abad ke-9 Masehi, dia telah mengembangkan psikoterapi
untuk menyembuhkan pesakit yang mengalami gangguan jiwa. Al-Tabari menekankan
kuatnya hubungan antara ahli psikologi dengan kedoktoran. Beliau berpendapat,
untuk mengubati pesakit gangguan jiwa memerlukan kaunseling dan psikoterapi.
Al-Tabari menjelaskan, pesakit
kerap kali mengalami sakit kerana imaginasi atau keyakinan yang sesat. Untuk
mengubatinya, kata Al-Tabari, boleh dilakukan melalui ‘kaunseling bijak’.
Terapi ini boleh dilakukan oleh seorang doktor yang bijak dan punya humor yang
tinggi. Caranya dengan membangkitkan kembali ke percayaan diri pesakitnya.
Pemikirannya di abad ke-9 Masehi ternyata masih relevan hingga sekarang.
Ahli psikologi kenamaan ini
lahir pada 838 Masehi. Beliau merupakan keturunan Yahudi Parsi yang menganut
Zoroaster. Menurut SN Nasr, dalam karyanya yang bertajuk Life Sciences,
Alchemy and Medicine. Al-Tabari semasa hidupnya telah berpindah keyakinan
menjadi seorang Islam. Awalnya, dia berasal dari keluarga Yahudi dari Merv di
Tabaristan. Kerana itu nama belakangnya ditambahkan Al-Tabari sesuai dengan
nama daerah asalnya. Beliau lalu memutuskan berhijrah ke dunia Islam sewaktu
Khalifah Abbasiyah, Al-Mu’tasim (833-842) berkuasa.
Al-Tabari lalu mengabdi di
istana khalifah Dinasti Abbasiyah hingga kepemimpinan Al-Mutawakkil (847-861).
Al-Tabari berasal dari keluarga ilmuwan. Ayahnya, Sahl Ibnu Bishr merupakan
seorang ahli pengubatan, pakar astrologi dan ahli matematik yang terkenal. Dia
tergolong dalam keluarga bangsawan dan ramai orang di sekitarnya memanggilnya
Raban yang ertinya ‘pemimpin kami’.
Ayahnya iaitu Sahl Ibnu Bishr
adalah guru pertama bagi Al-Tabari. Dari ayahnya, beliau mempelajari ilmu
pengubatan dan kaligrafi. Sebagai seorang pemuda berotak pintar, Al-Tabari juga
sangat mahir berbahasa Suriah dan Yunani. Nama besarnya dicacat dan diabadikan
dalam dalam karya muridnya Muhammad Ibnu Zakariya Al-Razi alias Rhazes,
salah seorang ahli fizik agung.
Al-Tabari dinilai muridnya
sebagai seorang guru yang berdedikasi tinggi. Tak hairanlah, jika
murid-muridnya juga meraih kejayaan seperti dirinya, salah seorangnya ialah
Al-Razi. Beliau mengajar Al-Razi ilmu pengubatan sewaktu menetap di wilayah
Rai. Lalu dia berhijrah ke Samarra dan menjadi setiausaha kepada Mazyar ibnu
Marin.
Buku Firdous Al-Hikmah
atau Paradise of Wisdom merupakan karya agung Al-Tabari. ‘Beliau
menghasilkan karya pertamanya dalam bidang pengubatan. Dia merupakan orang
pertama yang mengusung ilmu kesihatan kanak-kanak dan bidang pertumbuhan anak,’
ujar Amber Haque dalam bukunya yang berjudul Psychology from Islamic
Perspec: Contributions of Early Islam Scholars and Challenges to Contemporary Islam
Psychologists.
Bukunya yang monumental itu
juga diterjemahkannya ke dalam bahasa Suriah. Al-Tabari memiliki dua kompilasi
untuk karyanya yang dinamakan Deen-Al-Doulat dan Hifdh Al-Sehhat.
Karya besar ilmuwan itu boleh ditemui di perpustakaan Universiti Oxford,
England. Al-Tabari meninggal dunia pada tahun 870 Masehi, namun namanya hingga
kini tetap abadi.
Buku Firdous Al-Hikmah
berisi tentang sistem pengubatan yang dibuat dalam tujuh bahagian. Buku pertama
itu dikategorikan sebagai ensiklopedia kedoktoran dan dibuat dalam tujuh volume
dan 30 bahagian, dengan jumlah 360 bab. Dalam bukunya itu, Al-Tabari membahagi
ilmu pengubatan dalam beberapa bahagian, antara lain: ilmu kesihatan
kanak-kanak dan pertumbuhan kanak-kanak serta psikologi dan psikoterapi. Di
bahagian pengubatan dan psikoterapi, Al-Tabari menekankan kekuatan antara
psikologi dan pengubatan, dan keperluan psikoterapi dan kaunseling pada
pelayanan pengubatan pesakit.
Menurut Amber Haque, Al-Tabari
menulis dalam risalahnya, untuk mengubati pesakit gangguan jiwa memerlukan
kaunseling dan psikoterapi. Beliau melakukan pendekatan terhadap pesakit dengan
bantuan kaunseling, atau mengarahkan pesakitnya mengungkapkan isi hati serta
perasaan yang menggangu. Beliau juga mengajarkan agar para doktor, memberikan
perhatian, tidak hanya dalam bentuk pengubatan, namun juga dalam bentuk
berdialog. Inilah usaha yang diyakini Al-Tabari akan membantu kejayaannya
sebuah pengubatan.
Pemikirannya dalam bidang ahli
psikologi banyak mempengaruhi Al-Razi. Melalui buku yang ditulisnya yakni El-Mansuri
dan Al-Hawi, Al-Razi juga telah berhasil mengungkapkan definisi symptoms
(gejala) dan perawatannya untuk menangani sakit mental dan masalah-masalah yang
berhubungan dengan kesihatan mental. Al-Razi juga tercatat sebagai doktor atau
ahli psikologi pertama yang membuka ruang psikiatri di sebuah hospital di Kota
Baghdad.
Pemikir Islam lainnya pada masa
keemasan Islam yang turut menyumbangkan pemikirannya untuk pengubatan penyakit
kejiwaan adalah Al-Farabi. Ilmuwan termasyhur ini secara khusus menulis risalah
berkaitan dengan psikologi sosial dan hubungan dengan kajian kesedaran. Hingga
kini, sebanyak lima karya Al-Tabari masih tetap tersimpan di perpustakaan. Dr
Mohammed Zubair Siddiqui telah membandingkan dan mengedit manuskrip karya
Al-Tabari. Dalam kata pengantarnya, Siddiqui mengaku sangat kagum dengan karya
ilmuwan dari abad ke-9 Masehi itu. Menurutnya, buah fikir Al-Tabari sangat
berguna.
Al-Quran Di
Mata Al-Tabari
Ali bin Rabban Al-Tabari
awalnya adalah penganut Zoroaster. Beliau lalu memutuskan untuk masuk Islam,
kerana begitu kagum dengan Al-Quran. Ahli psikologi terkemuka itu mengaku tidak
pernah menemui tulisan mahupun bahasa yang lebih hebat dan sempurna selain dari
Al-Quran.
Pengakuan Al-Tabari terhadap
kehebatan Al-Quran itu dikutip MSM Saifullah dalam karyanya yang bertajuk Topics
Relating to The Al-Quran: I’jaz, Grammarians & Jews. ‘Apa yang
dikatakan Quran itu adalah benar. Kenyataannya adalah saya tidak menemui satu
buku pun, dalam bahasa Arab dan Parsi serta dalam bahasa India atau Yunani yang
sempurna seperti Al-Quran,’ ujarnya.
Karya Besar Al-Tabari
- Firdous Al-Hikmah atau
Paradise of Wisdom
- Tuhfat Al-Muluk atau
The King’s Present
- Hafzh Al-Sihhah atau
The Proper Care of Health
- Al-Ruqa atau
Book of Magic or Amulets
- Fi Al-Hijamah atau
Treatise on Cupping
- Fi Tartib Al-’Ardhiyah atau
Treatise on the Preparation of Food
Tiada ulasan:
Catat Ulasan