SMAHADZIR
DUNIA Islam telah melahirkan ramai ahli falsafah yang
hebat. Namun begitu, falsafah Islam tetap dianggap sebagai satu kelompok yang
hilang dalam sejarah pemikiran manusia. Maka tidak hairanlah, sejarah lebih
mengenali tokoh-tokoh falsafah Yunani dan barat jika dibandingkan dengan ahli
falsafah Islam.
Walaupun beberapa tokoh falsafah Islam seperti al-Kindi,
al-Farabi, dan Ibnu Sina mendapat pengiktirafan dari Barat, tetapi mereka tidak
mendapat tempat yang sewajarnya jika dibandingkan dengan ahli falsafah Yunani
seperti Plato dan Aristotle. Kajian-kajian mengenai tokoh berkenaan masih belum
memadai dan jauh daripada memuaskan.
Walaupun para sarjana, ilmuwan, dan ahli falsafah Islam
telah menghasilkan sejumlah karya-karya yang besar tetapi kebanyakan tulisan
mereka belum diterjemahkan. Tidak kurang juga yang musnah disebabkan oleh
peperangan dan penaklukan yang dilakukan oleh kuasa asing. Malahan kajian yang
dibuat terhadap pemikiran falsafah beberapa tokoh terkenal seperti Ibnu Rushd
tidak diberikan penilaian yang adil.
Kajian dan terjemahan yang dibuat oleh S. Van den Berg
terhadap kitab Lima Baida al-Thaan, tulisan Ibnu Rushd mengenai
metafizik misalnya tidak mendapat sorotan yang meluas wahal kajian tersebut
dapat membantu kita memahami dan mendekati pemikiran ahli falsafah itu dengan
lebih mendalam lagi. Begitu juga dengan pemikiran falsafah Ibnu Tufail tidak
banyak diketahui oleh umat Islam sendiri.
Ibnu Tufail yang lahir pada tahun 1106 Masehi di Asya,
Granada lebih dikenali sebagai ahli hukum, perubatan, dan ahli politik yang
hebat. Semasa pemerintahan al-Mu’min ibn Ali, Ibnu Tufail atau nama asalnya,
Abu Bakr Muhammad ibn Abdul Malik ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Tufail al-Qisi
pernah dilantik sebagai pembantu gabenor wilayah Sabtah dan Tonjah di Maghribi.
Beliau juga pernah menjadi doktor peribadi kepada
pemerintah al-Muwahidin, Abu Ya’kub Yusuf. Selepas bersara, tempatnya
digantikan oleh anak muridnya iaitu Ibnu Rushd. Semasa hayatnya, Ibnu Tufail
pernah dilantik sebagai menteri dan merupakan ahli politik yang dihormati oleh
pihak pemerintah.
Selain itu, beliau juga melibatkan dirinya dalam bidang
pendidikan, pengadilan, dan penulisan. Walaupun Ibnu Tufail dikatakan telah
menulis banyak buku tetapi hanya sebuah sahaja kitab yang diwariskan kepada
generasi umat Islam hari ini. Kitab itu ialah Hay ibn Yaqzan yang
memuatkan pandangannya secara umum, dengan gaya bahasa yang menarik dan
imiginasi yang indah. Buku ini dianggap sebagai warisan paling unik yang
ditinggalkan oleh seorang ahli falsafah Islam.
Buku ini kemudiannya diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai
bahasa dunia. Yang menarik dalam buku itu, Ibnu Tufail berusaha menerangkan
bagaimana manusia mempunyai potensi untuk mengenali Allah. Katanya, semua ini
dapat dilakukan dengan membuat penelitian terhadap alam sekitar dan
sekelilingnya.
Menerusi buku itu, Ibnu Tufail cuba merangka satu sistem
falsafah berdasarkan perkembangan pemikiran yang ada pada diri manusia. Beliau
berusaha mengungkap persoalan serta hubungan antara manusia, akal, dan Tuhan.
Untuk itu, beliau telah menggunakan watak Hayibn Yaqzan yang hidup di sebuah
pulau di Khatulistiwa sebagai gambaran percampuran empat unsur penting dalam
kehidupan iaitu panas, sejuk, kering, dan basah dengan tanah.
Watak itu hidup terpencil dan dapat mempertahankan
kelangsungan hidupnya dengan pimpinan akal dan bantuan pancaindera. Langkah
Ibnu Tufail menggunakan analogi watak tersebut dalam bukunya dianggap sebagai
suatu perkara yang luar biasa dalam penulisan karya yang berbentuk falsafah.
Watak itu tidak pernah mengenali kedua-dua ibu bapanya.
Tetapi alam telah memberinya seekor kijang yang menyusu dan memberinya makan.
Setelah dewasa, dia mengarahkan pandangannya terhadap perkara yang ada di
sekelilingnya. Di sini dia mulai membahaskan tentang kejadian dan rahsia
perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Pada anggapannya di sebalik alamnya
terdapat sebab-sebab yang tersembunyi yang mentadbir dan membentuknya.
Hay bin Yaqzan selalu membahas dan menganalisa sesuatu
perkara sehingga dia mampu mengetahui bahawa kebahagian dan kesengsaraan
manusia itu bergantung kepada hubungannya dengan Allah. Dengan watak ‘Hay’ itu,
Ibnu Tufail berjaya membuat huraian yang menarik sekaligus membantu kita
memahami pemikiran falsafahnya.
Buku itu juga mengandungi pemerhatian Ibnu Tufail
mengenai ilmu metafizik, matematik, fizik, dan sebagainya. Ibnu Tufail melihat
alam ini sebagai baru dan ditadbir oleh Tuhan yang satu dan berkuasa penuh.
Dalam diri manusia pula terdapat roh yang menjadi sumber dan asas kehidupan
mereka di muka bumi ini.
Falsafah Ibnu Tufail bukan sekadar menyentuh perkara yang
berkaitan dengan metafizik tetapi juga sains tabii seperti fizik. Ibnu Tufail
mendapati bahawa lapisan udara yang tinggi lebih sejuk dan nipis daripada
lapisan yang rendah. Hal ini disebabkan kepanasan berlaku di permukaan bumi
bukannya di ruang dan lapisan udara.
Beliau juga mendapati bahawa kepanasan boleh dihasilkan
melalui geselan, gerakan cahaya sama ada daripada apt ataupun matahari.
Meskipun pandangan itu dianggap sebagai satu perkara yang biasa pada hari ini
tetapi pandangan ini sebenarnya telah menyediakan landasan kepada ahli sains
untuk melakukan kajian terhadap kepanasan dan segala fenomena yang berkaitan
dengannya.
Pemikiran falsafah Ibnu Tufail juga meliputi perkara yang
berhubung dengan masyarakat. Beliau menyifatkan masyarakat terdiri daripada
sebahagian besar anggota-anggota yang malas. Lantaran itu, mereka mudah
terpengaruhi dan terikut-ikut dengan nilai yang sedia ada tanpa mahu
memperbahaskannya. Ibnu Tufail hidup hampir sezaman dengan Ibnu Bajjah. Maka
sebab itu beliau mudah menerima pandangan falsafah Ibnu Bajjah, al-Farabi, dan
beberapa ahli falsafah Islam yang lain dengan baik.
Menurut sesetengah pengkaji dan pemikir, Ibnu Tufail
banyak dipengaruhi oleh falsafah Ibnu Bajjah sebagaimana yang dapat
diperhatikan pada pertengahan buku Hay bin Yaqzan yang banyak membawa saranan
yang terdapat dalam kitab al-Mutawwahid. Dalam buku itu, Ibnu Bajjah
telah melakukan pembelaan terhadap tulisan-tulisan al-Farabi dan Ibnu Sina.
Namun begitu, Ibnu Tufail tidak menerima sarangan itu
bulat-bulat melainkan selepas dibahaskan secara kritis. Selain itu beliau
seorang yang berpegang kepada logik dalam mengungkap realiti alam dan kehidupan
manusia. Barangkali bertitik tolak daripada sikapnya itu, beliau tidak menyepi
dan mengasingkan diri seperti mana yang dilakukan oleh segelintir ahli falsafah
lain. Sebaliknya beliau bergiat dalam hal-hal yang berkaitan dengan
kemasyarakatan dan mengambil bahagian secara aktif dalam urusan pemerintahan
serta kenegaraan. Kegiatan ini dilakukannya sehingga beliau menghembuskan nafas
yang terakhir pada 1185 Masehi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan