Khamis, 4 Julai 2013

Ad-Dinawari (Bapa Botani Dari Dunia Islam)


SMAHADZIR

KETIKA Revolusi Pertanian Islam bergulir di era kekhalifahan, para jurutera Islam berjaya mencapai kemajuan yang begitu gemilang dalam ilmu tumbuh-tumbuhan alias botani. Para pakar botani Muslim pada zaman keemasan Islam mampu menampilkan kepakarannya dalam bidang agronomi, agroteknik, meteorologi, klimatologi, hidrologi, penguasaan lahan, serta pengurusan usaha pertanian.

Tidak hanya itu, para pakar botani dan pertanian Islam juga sudah menguasai beragam pengetahuan lainnya seperti ekologi, pertanian, pedologi, irigasi, serta pengetahuan penunjang pertanian lainnya. Berkat penguasaan pengetahuan itulah, Revolusi Hijau yang dikembangkan dunia Islam mencapai puncak kejayaan.

Salah seorang jurutera Islam yang menjadi perancang di sebalik kejayaan Revolusi Hijau itu adalah ad-Dinawari (828-896 Masehi). Toufic Fahd (1996), dalam bukunya yang berjudul Botany and Agriculture menabalkan ad-Dinawari sebagai pendiri botani atau ilmu tumbuh-tumbuhan di dunia Islam. Hakikatnya, dia layak ditahbiskan sebagai Bapa Botani.

Botani merupakan kajian saintifik untuk kehidupan tumbuhan. Sebagai satu cabang biologi, botani kadangkala dirujuk sebagai sains tumbuhan atau biologi tumbuhan. Botani merangkumi berbagai disiplin saintifik yang mengkaji struktur, pertumbuhan, pembiakan, metabolisme, perkembangan, penyakit, ekologi, dan evolusi tumbuhan. Ad-Dinawari telah menulis sebuah buku botani yang sangat menakjubkan pada abad ke 9 Masehi yang berjudul Al-Nabat (Tumbuh-tumbuhan).

Dalam bukunya itu, ad-Dinawari mampu menjelaskan sekitar 637 jenis tanaman. ‘Ad-Dinawari juga membahas tentang evolusi tanaman mulai dari kemunculan hingga kematian,’ ungkap Taufic Fahd. Tidak hanya itu, beliau juga mengupas fasa pertumbuhan tanaman, penghasilan bunga dan buah.

Ad-Dinawari atau nama penuhnya Abu Hanifah Ahmad ibnu Dawud Dinawari, berasal dari Parsi itu dikenali sebagai ilmuwan serba boleh. Selain sebagai perintis botani, ad-Dinawari juga dikenali menguasai beragam ilmu seperti astronomi, pertanian, metalurgi, geografi, matematik, dan sejarah. Ad-Dinawari dilahirkan pada tahun 828 Masehi di Kota Dinawar, perbatasan antara wilayah Hamadan dan Kermanshah - kini berada di Iran Barat. Ayahnya bernama Abu Hanifa Ahmad bin Dawud bin Wanand. Ilmuan Islam ini sejak kecil sudah menunjukkan minatnya yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan. Beliau mempelajari beragam ilmu seperti pakar astronomi, matematik dan mekanik di Ishafan, Iran.

Selain itu, ilmu bahasa dan sastera juga telah menarik perhatian ad-Dinawari. Untuk mempelajari bahasa dan sastera, ad-Dinawari telah berhijrah ke dua kota penting di Iraq pada zaman kejayaan Dinasti Abbasiyah, yakni Kufah dan Basrah. Ilmuan ini Islam fenomenal ini meninggal dunia pada 24 Julai 896 Masehi di kota kelahirannya, Dinawar. Nama ad-Dinawari juga diambil dari kota tempat kelahiran dan kematiannya.

Prof MR Izady dalam karyanya yang berjudul The 1,100 Anniversary of Abu-Hanifa Dinawari menyatakan, waktu itu, Kota Dinawar telah menjelma sebagai kota besar di Kurdistan Selatan. Dinawar terletak di kawasan yang strategik kerana berada di antara wilayah Timur dan Barat yang dikenali sebagai jalur utama perdagangan antarabangsa, Jalur Sutera. ‘Hingga kini, kota itu dikenali sebagai penghasil ilmuwan dan pemikir, seperti ad-Dinawari,’ ujar Prof Izady.

Menurut catatan sejarah, ad-Dinawari adalah keturunan bangsa Kurdi. Beliau merupakan keturunan Wanand. Ad-Dinawari merupakan generasi kedua yang memeluk agama Islam. Dari kota itu, lahir juga seorang ulama dan pakar agama bernama Muhammad ibnu Abdullah ibnu Mihran Dinawari dan pakar tatabahasa yang bernama Abu-Ali Ahmad ibnu Jafar ibnu Badh Dinawari. ‘Mereka juga adalah generasi kedua yang memeluk Islam,’ ujar Prof Izady.

Menurut beliau, hingga kini, penduduk Kota Dinawar tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan yang diberikan Abu Hanifa ad-Dinawari dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. ‘Setiap tahun, masyarakat di kota itu memperingati hari Abu Hanifa Dinawari. Sungguh luar biasa, penduduk asli kota itu sangat menghormati Abu Hanifah Dinawari berkat sumbangannya bagi sejarah dan kebudayaan,’ tegas Prof Izady. Salah satu sumbangan paling penting yang diberikan ad-Dinawari bagi peradaban manusia adalah buku Al-Nabat. Itulah sebabnya dia dianggap sebagai penemu botani dari Arab.

Ad-Dinawari juga dianggap sebagai penulis pertama yang mendiskusikan tentang bangsa Kurdi. Beliau mengupas jejak dan sejarah bangsa Kurdi melalui bukunya yang berjudul Ansab Al-Akrad (Keturunan Kurdi). Ad-Dinawari juga dikenali sebagai seorang sejarawan. Karya sejarahnya dituangkan dalam buku berjudul Al-Akhbar Al-Tiwal (Book of Long Narratives). Buku itu mengisahkan tentang jejak kehidupan manusia mulai dari pra-Islam hingga era Islam.

Ad-Dinawari dikenali sebagai seorang pemikir bertaraf dunia. Para ilmuan moden mengagumi ketelitian, ketepatan, serta kehebatan ilmuan Parsi itu. Tidak hairanlah jika namanya disejajarkan dengan ilmuan Islam legenda seperti Ibnu Khaldun yang dikenal melalui bukunya yang berjudul Al-Muqaddimah. Ad-Dinawari dikenali dengan keluasan ilmu pengetahuannya. Karya ad-Dinawari yang sudah hilang ternyata boleh ditemui lagi dalam karya ilmuan lain. Ramai ilmuan yang menjadikan buah fikirnya sebagai rujukan dan ada juga yang menulis ulang bukunya.

Sejarawan dan pakar etnografi terkenal, Mas’udi, mengatakan bahawa Ibnu Qutayba Dinawari telah menyalin buku Orientasi Perbintangan (Book of Astral Orientations) karya Abu Hanifa ke dalam karyanya. Dalam bidang astronomi, ad-Dinawari juga begitu dihormati dan dikagumi. Beliau dikenali sebagai seorang astronomi hebat asal Parsi yang menemui Galaksi Andromeda. Sejarawan B Lewin dalam biografi tentang Abu Hanifa ad-Dinawari mengatakan, generasi muda Islam patut mencontoh ilmuwan ini. Salah satu hal yang menarik dari ad-Dinawari adalah ketepatan dan ketelitiannya sewaktu melakukan kajian.

Satu lagi, kita menemui tokoh Islam yang begitu hebat dari era kejayaan Islam. Seorang ilmuan yang tidak pernah dilupakan masyarakat kota Dinawar. Setiap tahun, masyarakat kota itu memperingati hari meninggal dunia Abu Hanifa ad-Dinawari. Semangat dan perjuangan hidupnya tetap dilestarikan. Itulah sebabnya Dinawar menjadi kota penghasil pemikir dan ilmuan.

Sumbangan Dalam Bidang Botani

Pada abad ke 9 Masehi, ad-Dinawari telah menemui ilmu tumbuhan-tumbuhan alias botani. Beliau mengupas dan membedah botani melalui karyanya Al-Nabat (Tumbuh-tumbuhan) yang terdiri atas enam jilid. Sayangnya, beberapa jilid telah punah, hanya jilid ketiga dan kelima yang tersisa. Meski begitu, jilid keenam dari bukunya itu telah menjadi sebahagian rekonstruksi asas dalam kutipan dari karya terakhirnya. Dalam bukunya itu, ad-Dinawari menguraikan sekitar 637 jenis tanaman. Buku itu ditulis dalam bahasa Arab.

Ilmuan ini menjelaskan aneka jenis tanaman yang ditemuinya dari huruf sin hingga ya. Tidak hanya itu, dia juga mendiskusikan evolusi tanaman dari tumbuh atau hidup hingga mati, penjelasan tahap tanaman tumbuh, dan menghasilkan buah dan bunga. Buku itu menjadi sumber utama tentang tanaman-tanaman dan penggolongan analisis (morfologi), morfologi tanah dan tentang ilmu air. Selain itu, buku yang fenomenal itu juga menjadi risalah tata bahasa paling lengkap dalam nama-nama tanaman.

Bab Astronomi dan Meteorologi Bahagian dalam bukunya mengulas tentang tanaman, peranan astronomi dan meteorologi Islam dalam pertanian. Beliau sudah boleh menentukan awal musim dengan fenomena alam tersebut. Fenomena alam lainnya seperti ribut, guruh, kilat, salji, banjir, lembah, sungai, tasik, telaga-telaga, dan sumber air lainnya dikaji dan dibahas. Semua itu digunakan untuk kepentingan pertanian.

Bab Ilmu Bumi Bahagian dalam bukunya mengulas tentang ilmu bumi dalam konteks pertanian. Dia memasukkan batu dan pasir serta menjelaskan perbezaan jenis-jenis tanah serta menandakan jenis-jenis yang sesuai untuk tanaman, kualitinya, dan kandungan tanah yang baik. Melalui buku Al-Akhbar at-Tiwal, Ad-Dinawari juga dianggap sebagai seorang sejarawan. Selain menceritakan zaman pra-Islam, buku sejarahnya juga mengisahkan hari-hari terakhir kekuasaan Dinasti Umayyah di Khurasan. Dalam buku itu, diceritakan bagaimana Marwan IIkhalifah terakhir Umayyah dikalahkan oleh pasukan Abbasiyah.

Hasil Karya Ad-Dinawari


  1. Al-Jabr wa’l-Muqabila (Al-Jabar)
  2. Al-Nabat (Buku tentang Tanaman)
  3. Al-Kusuf (buku tentang Gerhana Matahari)
  4. Al-Radd ala Rasad Al-Isfahani (Reputasi Pemerhatian Astronomi Al-Isfahani)
  5. Al-Hisab (Aritmatik)
  6. Bahth fi Hisb Al-Hind (Analisis Aritmatik India)
  7. Al-Jam’ wa’l-Tafriq (buku tentang Aritmatik)
  8. Al-Qibla wa’l-Ziwal (buku tentang Orientasi Perbintangan)
  9. Al-Anwa’ (buku tentang Cuaca)
  10. Islah Al-Mantiq (Perbaikan Logika)
  11. Akhbar Al-Tiwal (Sejarah Umum)
  12. Al-Kabir (buku Besar Ilmu Sejarah)
  13. Al-Fisaha (buku Retorika)
  14. Al-Buldan (buku Geografi)
  15. Al-Shi’r wa’l-Shu’ara (buku Syair dan Penyair)
  16. Ansab Al-Akrad (Keturunan Kurdi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA