Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
Sebagai seorang
mukmin, kita tentunya berkeinginan untuk dapat menghafal Al-Quran dan setiap
kita pasti memimpikan agar dapat melahirkan anak-anak yang hafal Al-Quran
(hafidz atau hafidzah). Berikut ini ada beberapa cara atau kaedah asas untuk
memudahkan menghafal, di antaranya:
1. Mengikhlaskan Niat
Hanya Untuk Allah s.w.t
Memperbaiki tujuan
dan bersungguh-sungguh menghafal Al-Quran hanya kerana Allah s.w.t serta untuk
mendapatkan syurga dan keredhaan-Nya. Tidak ada pahala bagi siapa saja yang
membaca Al-Quran dan menghafalnya kerana tujuan keduniaan, kerana riyak atau sumah
(ingin didengar orang), dan perbuatan seperti ini jelas menjerumuskan pelakunya
kepada dosa.
2. Dorongan Dari Diri
Sendiri, Bukan Kerana Terpaksa
Ini adalah asas bagi
setiap orang yang berusaha untuk menghafal Al-Quran. Sesungguhnya siapa yang
mencari kelazatan dan kebahagiaan ketika membaca Al-Quran maka dia akan
mendapatkannya.
3. Membenarkan Ucapan
Dan Bacaan
Perkara ini tidak
akan tercapai kecuali dengan mendengar dari orang yang baik bacaan Al-Qurannya
atau dari orang yang hafal Al-Quran. Rasulullah s.a.w sendiri mengambil atau
belajar Al-Quran dari Jibril secara lisan. Setahun sekali pada bulan Ramadhan
secara rutin Jibril menemui baginda untuk murajaah hafalan baginda. Pada
tahun Rasulullah s.a.w diwafatkan, Jibril menemui baginda sampai dua kali.
Para sahabat juga
belajar Al-Quran dari Rasulullah s.a.w secara lisan, demikian juga
generasi-generasi terbaik selepas mereka. Pada masa sekarang boleh dibantu
dengan mendengar kaset-kaset murattal yang dibaca oleh qari yang
baik dan bagus bacaannya. Wajib bagi penghafal Al-Quran untuk tidak
menyandarkan kepada dirinya sendiri dalam hal bacaan Al-Quran dan tajwidnya.
4. Membuat Matlamat
Hafalan Setiap Hari
Misalnya merancang
sepuluh ayat setiap hari atau satu halaman, satu hizb, seperempat hizb
atau boleh ditambah atau dikurangi dari matlamat tersebut sesuai dengan
kemampuan. Yang jelas matlamat yang telah ditetapkan seboleh mungkin perlu
dipenuhi.
5. Membaguskan
Hafalan
Tidak boleh beralih
hafalan sebelum mendapat hafalan yang sempurna. Perkara ini dimaksudkan untuk
memantapkan hafalan di hati. Dan yang demikian dapat dibantu dengan
mengamalkannya dalam setiap masa sepanjang siang dan malam.
6. Menghafal Dengan
Satu Mushaf
Hal ini disebabkan
manusia boleh menghafal dengan melihat sebagaimana mampu menghafal dengan
mendengar. Dengan membaca atau melihat akan terbekas dalam hati bentuk-bentuk
ayat dan tempat-tempatnya dalam mushaf.
Bila orang yang
menghafal Al-Quran itu merubah atau mengganti mushaf yang biasa dia
menghafal dengannya maka hafalannya pun akan berbeza-beza juga dan ini akan
menyukarkan dirinya.
7. Memahami Adalah
Salah Satu Jalan Untuk Menghafal
Di antara hal-hal
yang paling besar atau dominan yang dapat membantu untuk menghafal Al-Quran
adalah dengan memahami ayat-ayat yang dihafalkan dan juga mengenali segi-segi
keterkaitan antara ayat yang satu dengan ayat yang lainnya.
Oleh sebab itu
seharusnyalah bagi penghafal Al-Quran untuk membaca tafsir dari ayat-ayat yang
dihafalnya, untuk mendapatkan keterangan tentang kata-kata yang asing atau
untuk mengetahui sebab turunnya ayat atau memahami makna yang sukar atau untuk
mengenal hukum yang khusus.
Ada beberapa kitab
tafsir yang ringkas yang boleh ditelaah oleh pemula seperti kitab Zubdatut
Tafsir oleh Asy-Syaikh Muhammad Sulaiman Al-Asyqar.
Setelah memiliki
kemampuan yang cukup, untuk meluaskan pemahaman, boleh menelaah kitab-kitab
tafsir yang berisi penjelasan yang panjang seperti Tafsir Ibnu Katsier,
Tafsir Ath-Thabari, Tafsir As-Sadi dan Adhwaaul Bayaan oleh
Asy-Syanqithi. Wajib juga menghadirkan hatinya pada ketika membaca Al-Quran.
8. Tidak Pindah Ke
Surah Lain Sebelum Hafal Benar Surah Yang Sedang Dihafal
Setelah sempurna satu
surah dihafalkan, tidak sewajarnya berpindah ke surah lain kecuali setelah
benar-benar sempurna hafalannya dan telah kukuh dalam dada.
9. Selalu
Memperdengarkan Hafalan (Disemak Oleh Orang Lain)
Orang yang menghafal
Al-Quran tidak sewajarnya menyandarkan hafalannya kepada dirinya sendiri.
Tetapi wajib atasnya untuk memperdengarkan kepada seorang hafidz atau
menyesuaikannya dengan mushaf. Perkara ini dimaksudkan untuk
mengingatkan kesalahan dalam ucapan, atau syakal ataupun lupa.
Ramai sekali orang
yang menghafal dengan hanya bersandar pada dirinya sendiri, sehingga
kadang-kadang ada yang salah atau keliru dalam hafalannya tetapi tidak ada yang
memperingatkan kesalahan tersebut.
10. Selalu Menjaga
Hafalan Dengan Murajaah
Bersabda Rasulullah
s.a.w: ‘Jagalah benar-benar Al-Quran ini, demi yang jiwaku berada di
tangan-Nya, Al-Quran lebih cepat terlepas daripada unta yang terikat dari
ikatannya.’
Maka seseorang yang
menghafal Al-Quran bila membiarkan hafalannya sebentar saja nescaya dia akan
terlupa. Lantaran itu hendaklah hafalan Al-Quran terus diulang setiap hari.
Bila ternyata hafalan yang ada hilang dalam dada tidak sewajarnya mengatakan:
‘Aku lupa ayat (surah) ini atau ayat (surah) itu.’ Akan tetapi hendaklah
mengatakan: ‘Aku dilupakan.’
11.
Bersungguh-Sungguh Dan Memperhatikan Ayat Yang Serupa
Khususnya yang serupa
atau hampir serupa dalam lafaz, maka wajib untuk memperhatikannya agar dapat
dihafal dengan baik dan tidak tercampur dengan surah lain.
12. Mencatat
Ayat-Ayat Yang Dibaca Atau Dihafal
Ada baiknya penghafal
Al-Quran menulis ayat-ayat yang sedang dibaca atau dihafalkannya, sehingga
hafalannya tidak hanya di dada dan di lisan tetapi dia juga dapat menuliskannya
dalam bentuk tulisan.
Ramai penghafal
Al-Quran yang ditemui, mereka kadang-kadang hafal satu atau beberapa surah dari
Al-Quran tetapi apabila diminta untuk menuliskan hafalan tersebut mereka tidak
boleh atau banyak kesalahan dalam penulisannya.
13. Memperhatikan
Usia Yang Baik Untuk Menghafal
Usia yang baik untuk
menghafal ialah kira-kira dari umur 5 tahun hingga 25 tahun. Wallahu alam
dalam batasan usia tersebut. Namun yang jelas menghafal pada usia muda adalah
lebih mudah dan lebih baik daripada menghafal pada usia tua.
Pepatah ada
mengatakan: Menghafal pada waktu kecil seperti mengukir di atas batu, menghafal
pada waktu tua seperti mengukir di atas air.
Hal-Hal Yang Boleh
Menghalangi Hafalan
Setelah kita
mengetahui beberapa kaedah dasar untuk menghafal Al-Quran maka sudah sewajarnya
bagi kita mengetahui beberapa hal yang menghalang dan menyulitkan hafalan agar
kita dapat berwaspada dari penghalang-penghalang tersebut. Di antaranya ialah:
1. Banyaknya dosa dan
maksiat. Sesungguhnya dosa dan maksiat akan melupakan hamba terhadap Al-Quran
dan terhadap dirinya sendiri. Hatinya akan buta dari zikrullah.
2. Tidak adanya usaha
untuk menjaga hafalan dan mengulangnya secara terus-menerus. Tidak mahu
memperdengarkan (meminta orang lain untuk menyemak) dari apa yang telah dihafal
dari Al-Quran kepada orang lain.
3. Perhatian yang
berlebihan terhadap urusan dunia yang menjadikan hatinya bergantung dengannya
dan selanjutnya tidak mampu untuk menghafal dengan mudah.
4. Bercita-cita
menghafal ayat-ayat yang banyak dalam waktu yang singkat dan pindah ke hafalan
lain sebelum kukuhnya hafalan yang lama.
Kita mohon pada
Allah s.w.t semoga Dia menganugerahkan dan memudahkan kita untuk menghafal
kitab-Nya, mengamalkannya serta dapat membacanya di tengah malam dan di siang
hari. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan