SMAHADZIR
‘PAKAR fizik terbesar sepanjang
sejarah.’ Begitulah Charles C Jilispe, editor Dictionary of Scientyfic
Bibliography menjuluki saintis Islam, Al-Khazini. Para sejarawan sains
menempatkan saintis kelahiran Bizantium alias Yunani ini dalam kedudukan
yang sangat terhormat. Betapa tidak, ilmuan Islam yang berjaya di abad ke 12
Masehi – tepatnya 1115-1130 Masehi – itu telah memberi sumbangan yang sangat
besar bagi perkembangan sains moden, terutama dalam bidang fizik dan astronomi.
Al-Khazini merupakan saintis Islam serba boleh yang menguasai bidang astronomi,
fizik, biologi, kimia, matematik dan falsafah.
Sederet buah fikiran yang dicetuskannya
tetap abadi sepanjang zaman. Al-Khazini merupakan ilmuan yang mencetuskan
beragam teori penting dalam sains seperti: kaedah ilmiah eksperimental dalam
mekanik; tenaga potensial graviti; perbezaan daya, masa dan berat; serta jarak
graviti. ‘Teori keseimbangan hidrostatik yang dicetuskannya telah mendorong
penciptaan peralatan ilmiah. Al-Khazini adalah salah seorang saintis terbesar
sepanjang masa,’ ujar Robert E Hall (1973) dalam tulisannya yang berjudul ‘Al-Khazini’
yang dimuatkan dalam A Dictionary of Scientific Biography Volume
VII.
Hakikatnya, Al-Khazini yang
nama penuhnya Abdurrahman Al-Khazini, menurut Irving Masehi Klotz, dalam
tulisannya yang berjudul Multicultural Perspectives in Science
Education: One Prescription for Failure, ilmuan ini hidup di abad ke 12
Masehi. Dia berasal dari Bizantium atau Yunani. Al-Khazini menjadi hamba
Dinasti Seljuk Turki, setelah kerajaan Islam itu menakluk wilayah kekuasaan
Maharaja Konstantinopel, Romanus IV Diogenes.
Al-Khazini kemudian dibawa ke
Merv, sebuah metropolitan terkemuka pada abad ke 12 Masehi. Merv berada di Parsi
dan kini Turkmenistan. Sebagai seorang hamba, nasib Al-Khazini sungguh
beruntung. Oleh tuannya yang bernama Al-Khazin, beliau diberi pendidikan yang
sangat baik. Beliau diajarkan ilmu matematik dan falsafah. Tidak hanya itu,
Al-Khazini juga dikirimkan belajar pada seorang ilmuan dan penyair agung dari Parsi
bernama Omar Khayyam. Dari guru tersebut, dia mempelajari sastera, matematik,
astronomi dan falsafah. Menurut Boris Rosenfeld (1994) dalam bukunya Abu’l-Fath
Abd Al-Rahman Al-Khazini, waktu itu Omar Khayyam juga menetap di kota Merv.
Berbekalkan otak yang pintar,
Al-Khazini kemudiannya menjelma menjadi seorang ilmuan yang berpengaruh. Beliau
menjadi seorang pakar matematik tersohor yang berada di bawah perlindungan
Sultan Ahmed Sanjar, penguasa Dinasti Seljuk. Sayangnya, kisah dan perjalanan
hidup Al-Khazini tidak banyak terakam dalam buku-buku sejarah. Zaimeche (2005)
dalam bukunya berjudul Merv menyatakan bahawa Al-Khazini adalah seorang
ilmuan yang bersahaja. Meski kepandaiannya sangat dikagumi dan berpengaruh,
beliau tidak silau dengan kekayaan. Menurut Zaimeche, Al-Khazini sempat menolak
dan mengembalikan hadiah sebesar 1,000 keping emas (dinar) dari seorang isteri
Emir Seljuk. ‘Beliau hanya merasa cukup dengan wang tiga dinar dalam setahun,’
ujar Zaimeche.
Para sejarawan sains
mengungkapkan, pemikiran-pemikiran Al-Khazini sangat dipengaruhi oleh sejumlah
ilmuan besar seperti Aristoteles, Archimedes, Al-Quhi, Ibnu Haitham atau Alhacen,
Al-Biruni serta Omar Khayyam. Selain itu, pemikiran Al-Khazini juga sangat
berpengaruh bagi pengembangan sains di dunia Barat dan Islam. Salah seorang
ilmuan Barat yang banyak dipengaruhi oleh Al-Khazini ialah Gregory Choniades –
pakar astronomi Yunani yang meninggal dunia pada abad ke 13 Masehi.
Pemikiran
Salah satu sumbangan penting
yang diwariskan oleh Al-Khazini dalam bidang astronomi adalah Tabel Sinjaric.
Tabel itu dituliskannya dalam sebuah risalah astronomi berjudul az-Zij
as-Sanjari. Dalam manuskrip itu, dia menjelaskan bahawa jam air 24 jam
yang direkabentuk untuk kegunaan astronomi. Inilah salah satu jam astronomi
pertama yang dikenali di dunia Islam.
Selain itu, Al-Khazini juga
menjelaskan tentang kedudukan 46 bintang. Risalahnya yang berjudul Al-Khazini’s
Zij as-Sanjari itu kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani
oleh Gregory Choniades pada abad ke 13 Masehi. Risalah astronomi yang ditulis
Al-Khazini juga menjadi rujukan para ilmuan dan pelajar di Kemaharajaan
Bizantium.
Sumbangan penting lainnya yang
diwariskan oleh Al-Khazini dalam bidang fizik adalah buku Mizan
Al-Hikmah atau Balance of Wisdom. Buku yang ditulis pada
1121 Masehi itu mengungkapkan sebahagian penting fizik Islam. Dalam buku itu,
Al-Khazini menjelaskan sacara lengkap pemikiran dan teori yang diciptakannya
tentang keseimbangan hidrostatik, konstruksi dan kegunaan, serta teori statik
atau ilmu keseimbangan dan hidrostatik.
Selain menjelaskan pemikirannya
tentang teori-terori itu, Al-Khazani juga menguraikan perkembangan ilmu
tersebut dari para pendahulu serta ilmuan yang sezaman dengannya. Dalam bukunya
itu, Al-Khazini juga menjelaskan beberapa peralatan yang diciptakan oleh ilmuan
pendahulunya seperti araeometer buatan Pappus serta pycnometer flask
yang diciptakan oleh Al-Biruni.
Buku itu dinilai oleh Nasr
sebagai sebuah karya ilmiah Islam yang paling esensial tentang mekanik dan
hidrostatik, terutama kajian mengenai pusat graviti. Dalam buku itu juga
Al-Khazini mengupas prinsip keseimbangan hidrostatik dengan tingkat ketelitian
objek sehingga ukuran mikrogram (10-6 gr), suatu tahap ketelitian yang menurut
K Ajram dalam The Miracle of Islamic Science hanya tercapai pada abad ke
20 Masehi.
Al-Biruni dan Al-Khazini
merupakan dua orang ilmuan Islam yang pertama kali mengembangkan kaedah ilmiah
dalam bidang ilmu keseimbangan atau statik dan dinamik. Kaedah itu dikembangkan
untuk menentukan berat yang didasarkan pada teori kesembangan dan berat.
Al-Khazini dan ilmuan pendahulunya menyatukan ilmu statik dan dinamik ke dalam
ilmu baru bernama mekanik.
Selain itu, mereka juga
menggabungkan ilmu hidrostatik dengan dinamik sehingga melahirkan ilmu baru
yang bernama hidrodinamik. Mereka juga menerapkan teori rasio matematik dan
teknik infinitesimal serta memperkenalkan aljabar dan teknik penghitung
ke dalam statik. Al-Khazini dan ilmuan Islam lainnya juga merupakan yang
pertama mengeneralisasi teori pusat graviti dan mereka adalah yang pertama kali
menerapkannya ke dalam benda tiga dimensi.
Para ilmuan Islam, salah
satunya Al-Khazini telah melahirkan ilmu graviti yang kemudiannya berkembang di
Eropah. Al-Khazini telah berjasa dalam meletakkan asas bagi pengembangan
mekanik klasik di era Renaisans Eropah. Al-Khazini meninggal dunia pada abad ke
12 Masehi. Meski begitu, pemikiran-pemikiran yang telah diwariskannya bagi
peradaban dunia hingga kini masih tetap abadi dan dikenang.
Sumbangan
Al-Khazini sungguh luar biasa.
Ilmuan Islam dari abad ke 12 Masehi itu tidak hanya mencetuskan sejumlah teori
penting dalam bidang fizik dan astronomi. Namun, dia juga telah berjaya
mencipta sejumlah peralatan penting untuk kajian dan pengembangan astronomi.
Beliau berjaya menemui sekitar tujuh peralatan ilmiah yang terbilang sangat
penting. Ketujuh-tujuh peralatan yang diciptakannya itu dituliskannya dalam Risala
fi’l-alat atau Manuskrip tentang Peralatan. Ketujuh-tujuh alat yang
diciptakannya itu adalah triquetrum, dioptra, peralatan segi tiga, quadran dan
sektan, astrolab serta peralatan asli tentang refleksi.
Selain berjasa mengembangkan fizik
dan astronomi, Al-Khazimi juga turut membesarkan ilmu kimia dan biologi. Secara
khusus, beliau menulis tentang evolusi dalam kimia dan biologi. Dia
membandingkan transmutasi unsur dengan transmutasi spesies. Secara khusus,
Al-Khazini juga meneliti dan menjelaskan definisi ‘berat’. Menurut beliau,
berat merupakan gaya yang inheren dalam tubuh benda-benda padat yang
menyebabkan mereka bergerak dengan sendirinya, dalam suatu garis lurus terhadap
pusat bumi dan terhadap pusat benda itu sendiri. Gaya ini pada gilirannya akan
bergantung dari kerapatan benda yang bersangkutan.
Al-Khazini juga mempunyai
gagasan mengenai pengaruh suhu terhadap kerapatan, dan tabel-tabel berat
spesifik umumnya tersusun dengan cermat. Sebelum Roger Bacon menemui dan
membuktikan suatu hipotesis tentang kerapatan air sewaktu beliau berada dekat
pusat bumi, Al-Khazini lebih dahulu telah mendalaminya. Al-Khazini juga telah
banyak melakukan observasi mengenai kapilari dan menggunakan aerometer untuk
kerapatan dan yang berkenaan dengan suhu zat-zat cair, teori tentang tuas
(pengungkit) serta penggunaan neraca untuk bangunan-bangunan dan untuk
pengukuran waktu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan