SMAHADZIR
UMAT Islam dipercayai telah sampai ke Sepanyol pada zaman
sahabat lagi. Kedatangan mereka telah berjaya mempengaruhi kehidupan masyarakat
di sana khususnya dalam bidang yang berkaitan keilmuan dan ketamadunan. Bahkan
kesan tamadun Islam masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Sepanjang
pemerintahan Islam di Sepanyol yang juga dikenali sebagai Andalusia, telah
lahir ramai cendekiawan dan sarjana dalam pelbagai bidang. Sebahagian mereka
ialah ahli sains, matematik, astronomi, perubatan, falsafah, sastera, dan
sebagainya. Salah seorang mereka ialah Abu Bakr Muhammad Ibnu Yahya Al-Saigh
atau lebih terkenal sebagai Ibnu Bajjah. Beliau dilahirkan di Saragossa pada
tahun 1082 Masehi.
Ibnu Bajjah merupakan seorang sasterawan dan ahli bahasa
yang unggul. Dalam hal ini, beliau pernah menjadi penyair bagi golongan
Al-Murabbitin yang dipimpin oleh Abu Bakr Ibrahim Ibnu Tafalwit. Selain itu,
Ibnu Bajjah juga merupakan seorang ahli muzik dan pemain gambus yang handal.
Sungguhpun begitu beliau juga seorang yang hafiz Al-Quran. Dalam masa yang
sama, Ibnu Bajjah amat terkenal dalam bidang perubatan dan merupakan salah
seorang doktor teragung yang pernah dilahirkan di Andalusia. Walau
bagaimanapun, kehebatannya turut terserlah dalam bidang politik sehingga beliau
dilantik menjadi menteri semasa Abu Bakr Ibrahim berkuasa di Saragossa.
Lebih menakjubkan lagi apabila beliau dapat menguasai
ilmu matematik, fizik, dan falak. Pada kesempatan itu beliau banyak menulis
buku yang berkaitan dengan ilmu logik. Kemampuannya menguasai berbagai-bagai
ilmu itu menjadikannya seorang sarjana yang teragung bahkan tiada bandingannya
di Andalusia dan barangkali di dunia Islam. Jadi, sumbangannya dalam bidang
keilmuan begitu besar sekali.
Dalam bidang falsafah umpamanya, Ibnu Bajjah boleh
diletakkan setaraf dengan Al-Farabi dan Aristotle. Dalam bidang ini beliau
telah mengemukakan gagasan falsafah ketuhanan yang menetapkan bahawa manusia
boleh berhubung dengan akal fa’al melalui perantaraan ilmu pengetahuan dan
pembangunan potensi manusia. Menurut Ibnu Bajjah, manusia boleh mendekati Tuhan
melalui amalan berfikir dan tidak semestinya melalui amalan tasawuf yang
dikemukakan oleh Iman Al-Ghazali. Dengan ilmu dan amalan berfikir, segala
keutamaan dan perbuatan moral dapat diarahkan untuk memimpin serta menguasai
jiwa. Usaha ini boleh menumpaskan sifat haiwaniah yang bersarang dalam hati dan
diri manusia.
Berdasarkan pendapatnya, seseorang itu harus mengusahakan
perjuangannya untuk berhubung dengan alam sama ada bersama-sama dengan
masyarakatnya ataupun secara terpisah. Kalau masyarakat itu tidak baik maka
seseorang itu harus menyepi dan menyendiri. Pandangan falsafah Ibnu Bajjah ini
jelas dipengaruhi oleh idea-idea Al-Farabi.
Pemikiran falsafah Ibnu Bajjah ini dapat dibaca dalam Risalah Al-Wida’ dan kitab Tadbir Al-Muttawwahid yang secara
umumnya merupakan pembelaan kepada karya-karya Al-Farabi dan Ibnu Sina kecuali
bahagian yang berkenaan dengan sistem menyepi dan menyendiri. Namun, ada
sesetengah pengkaji mengatakan bahawa kitab tersebut sama dengan buku Al-Madinah al’Fadhilah yang ditulis oleh
Al-Farabi. Dalam buku itu, Al-Farabi menjelaskan pandangan beliau mengenai
politik dan falsafah. Al-Farabi semasa membicarakan tentang politik telah
mencadangkan supaya sebuah negara kebajikan yang diketuai oleh ahli falsafah
diwujudkan.
Satu persamaan yang ketara antara Al-Farabi dengan Ibnu
Bajjah ialah kedua-duanya meletakkan ilmu mengatasi segala-galanya. Mereka
hampir sependapat bahawa akal dan wahyu merupakan satu hakikat yang padu.
Sebarang percubaan untuk memisahkan kedua-duanya hanya akan melahirkan sebuah
masyarakat dan negara yang pincang.
Oleh sebab itu, akal dan wahyu harus menjadi dasar dan
asas pembinaan sebuah negara serta masyarakat yang bahagia. Ibnu Bajjah
berpendapat bahawa akal boleh menyebabkan manusia mengenali apa sahaja
kewujudan sama ada benda atau Tuhan. Akal boleh mengenali dengan sendiri
perkara-perkara tersebut tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur kerohanian melalui
amalan tasawuf.
Selain itu, Ibnu Bajjah juga telah menulis sebuah buku
yang berjudul aI-Nafs’ yang
membicarakan persoalan yang berkaitan dengan jiwa. Pembicaraan itu banyak
dipengaruhi oleh gagasan pemikiran falsafah Yunani. Oleh sebab itulah, Ibnu
Bajjah banyak membuat ulasan terhadap karya dan hasil tulisan Aristotle,
Galenos, Al-Farabi, dan Al-Razi.
Minatnya dalam soAl-soal yang berkaitan dengan ketuhanan
dan metafizik jauh mengatasi bidang ilmu yang lain meskipun beliau turut mahir
dalam ilmu psikologi, politik, perubatan, algebra, dan sebagainya. Sewaktu
membicarakan ilmu logik, Ibnu Bajjah berpendapat bahawa sesuatu yang dianggap
ada itu sama ada benar-benar ada atau tidak ada bergantung pada sama ada diyakini
ada atau hanyalah suatu kemungkinan. Justeru itu, apa yang diyakini itulah
sebenarnya satu kebenaran dan sesuatu kemungkinan itu boleh jadi mungkin benar
dan tidak benar.
Sebenarnya, banyak perkara di dunia ini yang tidak dapat
dihuraikan menggunakan logik. Jadi, Ibnu Bajjah belajar ilmu-ilmu lain untuk
membantunya memahaminya hAl-hal berkaitan dengan metafizik. Ilmu sains dan
fizik misalnya digunakan oleh Ibnu Bajjah untuk menghuraikan persoalan benda
dan rupa. Menurut Ibnu Bajjah, benda tidak mungkin wujud tanpa rupa tetapi rupa
tanpa benda mungkin wujud. Oleh sebab itu, kita boleh menggambarkan sesuatu
dalam bentuk dan rupa yang berbeza-beza.
Kemahiran Ibnu Bajjah dalam bidang matematik dan fizik
sememangnya diperakui tetapi beliau tidak cuba menyelesaikan permasalahan yang
timbul. Sebaliknya ilmu itu digunakan untuk menguatkan hujah dan pandangannya
mengenai falsafah serta persoalan metafizik. Masih banyak lagi pemikiran
falsafah Ibnu Bajjah yang tidak diketahui kerana sebahagian besar karya
tulisannya telah musnah. Bahan yang tinggal dan sampai kepada kita hanya
merupakan sisa-sisa dokumen yang berselerakan di beberapa perpustakaan di
Eropah.
Sesetengah pandangan falsafahnya jelas mendahului
zamannya. Sebagai contoh, beliau telah lama menggunakan ungkapan manusia
sebagai makhluk sosial, sebelum para sarjana Barat berbuat demikian. Begitu
juga konsep masyarakat madani telah dibicarakan dalam tulisannya secara tidak
langsung. Sesungguhnya Ibnu Bajjah merupakan tokoh ilmuwan yang hebat. Sesuai
dengan itu beliau telah diberikan kedudukan dan penghormatan yang tinggi oleh
orang Murabbitin.
Tetapi perasaan dengki dan cemburu telah menyebabkan
beliau diracun dan akhirnya meninggal dunia pada tahun 1138 (M) dalam usia yang
masih muda. Biarpun umur Ibnu Bajjah tidak panjang tetapi sumbangan dan
pemikirannya telah meletakkan tapak yang kukuh kepada perkembangan ilmu dan
falsafah di bumi Andalusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan