Syed Mahadzir Syed
Ibrahim
Kebanyakan
kemerosotan terhadap Islam kebelakangan ini terjadi akibat kebodohan, kesilauan
rasa pemujaan keterlaluan terhadap peradaban Barat. Menurut Prof. Naquib
al-Attas, bukan hanya dari segi ajaran, Islam membongkar dasar-dasar
kepercayaan agama Kristian, tetapi kemuncuan Islam pada awal abad ke-7 Masehi,
juga memberikan halangan atau cabaran hebat terhadap eksistensi politik,
ekonomi, dan geografi Kristian.
Fajar Islam kemudian
mengubah peta sejarah, khususnya di kawasan Timur Tengah. Islam menggantikan
kedudukan Kristian sebagai agama dominan ketika itu. Secara panjang lebar hal
ini dikatakan oleh al-Attas dalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin sebagai
berikut:
‘Pada waktu fajar
Islam mulai menyingsing maka agama Kristian itu sudah pun menguasai kawasan
yang luasnya melingkungi Eropah Barat hingga ke Timur, termasuk Asia Barat dan
Afrika Utara. Akan tetapi impian agung dan idam-idaman yang tentu giat memujuk
hasrat dan ghairah penganjur serta penganut-penganut agama Kristian Barat itu
tiba-tiba getar gugur hancur akibat terbitnya Islam. Islamlah agama yang
mula-mula mendakwahkan peranannya sebagai agama yang bersifat menyeluruh bagi
anutan segenap masyarakat insani; agama yang merupakan fitrah atau mengandungi
bawaan asal sifat insani; yang mula-mula mendakwah bagi membetul dan
melengkapkan agama-agama lampau, khususnya agama Yahudi dan Kristian; yang
mula-mula menggugat dan menghancurkan dasar-dasar akidah agama Kristian.’
Kemudian gugatan
serta kepercayaan batin terhadap agama Kristian itu disusuli segera dengan
cabaran zahir yang merupakan perkobaran panji Islam, dalam masa sejarah yang
sesingkat lebih kurang lima puluh tahun sahaja, laksana api yang merebak
menjalar keluar dari tanah Arab ke Mesir; ke Afrika Utara (al-Maghrib); ke
Sepanyol; ke Iraq; ke Syria; ke Farsi; ke India dan China sehingga sampai juga
ke Kepulauan Melayu ini.
Dalam masa hampir dua
ratus tahun sesudah Hijratu’l-Nabiy, maka jajahan dan kawasan Islam itu luasnya
lebih jauh besar dari jajahan dan kawasan agama dan imperaturia manapun dalam
dunia, dan melingkungi kawasan-kawasan Eropah Barat dan Timur termasuk negeri
Turki. Orang-orang Islamlah yang pertama menawan orang Barat; yang pertama
memainkan peranan besar dalam menyanjung tinggi pelita ilmu pengetahuan ke
Eropah dan dengan demikian menerangi suasana gelap gelita yang menyelubungi
dunia Barat ketika itu; yang pertama melangsungkan pembicaraan akliah menerusi
ilmu kalam dengan para failasuf dan ahli teologi agama Kristian Barat.
Pukulan zahir batin
yang hebat yang telah dikenakan oleh Islam kepada agama Kristian dan kebudayaan
Barat itu tentulah terasa oleh hati sanubari bagai sebatan cemeti yang terlalu
amat pedih menggeleparkan, hingga memaksa keluar dari dalam kunhi
jiwanya satu laungan maha dahshat yang ngilunya masih dirasai santak kini.
Maka sesungguhnya
tidak hairan bagi kita jikalau agama Kristaan Barat dan orang Barat yang
menjelmakan kebudayaan Barat itu, dalam serang balasnya terhadap agama dan
orang Islam, akan senantiasa menganggap Islam sebagai bandingnya, sebagai
tandingnya, sebagai taranya dan seterunya yang tunggal dalam usaha mereka untuk
mencapai kedaulatan duniawi.
Menghadapi
Serangan Kebudayaan Barat
Dan kita pun tahu
bahawa tidaklah dapat Islam itu bertolak-ansur dalam menghadapi serangan
kebudayaan Barat, justeru sehingga kebudayaan Barat itu tentulah menganggap
Islam sebagai seterunya yang mutlak; dan kesejahteraannya hanya akan dapat
terjamin dengan kemenangannya dalam pertandingan secara bermati-matian dengan
Islam, sebab selagi Islam belum dapat ditewaskan olehnya maka akan terus ada
tandingan dan seteru yang tiada akan berganjak daripada mencabar dan menggugat
kedaulatan serta fahaman dasar-dasar hidup yang didakyahkan oleh mereka.
Prof. Naquib al-Attas
mengimbau agar kaum Muslimin tidak alpa dan lena dalam mengemban tugasnya
sebagai umat Islam. Umat Islam tidak seharusnya secara bulat-bulat menerima dan
mengharapkan harapan yang sia-sia bantuan dan kerjasama serta persahabatan yang
ikhlas dari yang lain. Beliau mengajak umat Islam merenungkan makna firman
Allah dalam surat al-Baqarah 120: ‘Tiada akan orang Yahudi dan Kristian itu
rela menerimamu melainkan kau jua yang dikehendaki mereka mengikut cara
agamanya. Katakanlah (olehmu): Sesungguhnya petunjuk Allah – itulah
satu-satunya petunjuk. Andai kata kau mengikut hawa nafsu mereka, sesudah
sampai kepadamu Ilmu yang Sebenarnya, maka tiada akan kau dapati bagimu
Pelindung mahupun Penolong yang akan dapat mencegah tindak balasan Allah.’
Diingatkan oleh Prof.
Naquib al-Attas dengan bahasa yang lugas: ‘Bukankah pada zaman kita ini pun
jelas bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian, keduanya menjelmakan sifat asasi
kebudayaan Barat, memang tiada rela menerima baik seruan Islam dan kaum
Muslimin, melainkan kita juga yang dikehendaki mereka mengikut cara agamanya,
menganuti sikap hidup yang berdasarkan semata-mata keutamaan kebendaan,
kenegaraan dan keduniaan belaka. Dan agama dijadikannya hanya sebagai alat bagi
melayani hawa nafsu. Bukankah ilmu yang sebenarnya sudah sampai kepada kita?
Maka mengapa pula kita
membiarkan sahaja nasib umat kita dipimpin oleh pemimpin-pemimpin politik,
kebudayaan dan ilmu pengetahuan dan juga para ulama yang lemah dan palsu yang
sebenarnya tidak sedar bahawa mereka sedang mengekori hawa nafsu kebudayaan
Barat. Mereka membayangi kebudayaan Barat dalam cara berfikir, dalam sikap
beragama, dalam memahami nilai-nilai kebudayaan dan mengelirukan faham serta
tujuan ilmu. Kepada kebudayaan Baratkah akan kita berlindung, akan kita memohon
pertolongan, yang akan dapat mencegah tindak balasan Allah kelak?
Berbeza dengan Samuel
P. Huntington yang sejak tahun 1960-an sudah menjadi penasihat politik Amerika
Syarikat, dan menulis bukunya, Clash of Civilizations and the Remaking of
World Order, untuk bahan merumuskan tindakan politik negaranya. Prof.
Naquib al-Attas adalah tokoh seorang ilmuwan dan akademik yang sangat prihatin
dan berkecimpung dalam hampir seluruh hidupnya dalam dunia pendidikan dan
pengembangan ilmu pengetahuan.
Prof. Naquib al-Attas
sama sekali bukan ahli politik. Beliau jenis ilmuwan tulen, ulama, yang
meyakini bahawa masalah asas yang dihadapi umat Islam dan dunia antarabangsa
adalah masalah keilmuan (knowledge). Beliau seperti mengikut jejak
ulama-ulama Islam terdahulu seperti al-Shafii, al-Ghazali, Imam Ahmad, dan
sebagainya, yang bergiat dalam ilmu dan menjaga kemandirian dan sikap kritis
terhadap penguasa.
Sebagai ulama yang
memiliki tanggungjawab keilmuan dan penjagaan akidah dan eksistensi umat Islam,
Prof. Naquib al-Attas menyerukan agar kaum Muslim, di samping memahami Islam
dengan baik juga memahami secara mendalam realiti peradaban Barat. Beliau
mencatat bahawa, ‘Kebanyakan orang Islam belum lagi mengetahui dan mengenali
apa dia sebenarnya kebudayaan Barat itu. Sebelum dapat kita mengukuhkan diri
terhadap serangan yang ditujukan kepada kita oleh kebudayaan Barat maka
perlulah bagi kita mengenali sifat-sifat asasi kebudayaan itu.’
Teori Prof. Naquib
al-Attas tentang sifat-sifat asasi peradaban Barat dan Islam telah menarik
banyak perhatian dunia antarabangsa. Buku-bukunya diterjemahkan dalam berbagai
bahasa. Beliau memiliki pendirian yang kukuh dan tajam, meskipun harus
memberikan kritikan secara langsung terhadap peradaban Barat di depan para
cendekiawan Barat itu sendiri.
Sebagai contoh,
perhatian terhadap teori Prof. Naquib al-Attas adalah apa yang dilakukan oleh
sebuah yayasan The Cranlana Program di Australia yang menerbitkan dua
jilid buku berjudul Powerful Ideas: Perspectives on the Good Society
(2002). Buku ini menghimpun gagasan pemikir-pemikir besar dalam sejarah umat
manusia. Gagasan Prof. Naquib al-Attas yang diambil adalah pemikirannya yang
tertuang dalam sebuah tulisan berjudul Dewesternization of Knowledge.
Hakikat
Peradaban Barat
Secara lebih
sederhana, hakikat peradaban Barat dijelaskan oleh Prof. Naquib al-Attas dalam
buku Risalah Untuk Kaum Muslimin: ‘Biasanya yang disebutkan orang
sebagai kebudayaan Barat itu adalah hasil warisan yang telah dipupuk oleh
bangsa-bangsa Eropah dari kebudayaan Yunani kuno yang kemudian diadun pula
dengan campuran kebudayaan Rumawi dan unsur-unsur lain dari hasil cita-rasa dan
gerak-daya bangsa-bangsa Eropah sendiri, khususnya dari suku-suku bangsa
Jerman, Britain dan Perancis. Dari kebudayaan Yunani kuno mereka telah
meletakkan dasar-dasar falsafah kenegaraan serta pendidikan dan ilmu
pengetahuan dan kesenian; dari kebudayaan Rumawi purbakala mereka telah
merumuskan dasar-dasar undang-undang dan hukum serta ketatanegaraan.’
Agama Kristian,
sungguhpun berjaya memasuki benua Eropah, namun tidak juga mampu meresap ke dalam
kalbu Eropah. Justeru sesungguhnya agama yang berasal dari Asia Barat dan
merupakan, pada tafsiran aslinya, bukan agama baharu tetapi suatu kesinambungan
dari agama Yahudi itu, telah diambil alih dan diubah ganti oleh kebudayaan
Barat demi melayani ajaran-ajaran dan kepercayaan yang telah lama dianutnya
sebelum kedatangan ‘agama Kristian’.
Mereka telah
mencampuradukkan ajaran-ajaran yang kemudian menjelma sebagai agama Kristian
dengan kepercayaan-kepercayaan kuno Yunani dan Rumawi, Mesir dan Parsi dan juga
anutan-anutan golongan ‘Kaum Biadab.’ Dengan sifat dan kedudukan agama
Kristian, sebagai agama majoriti bangsa Barat, seperti itu, maka kebudayaan
Barat sejatinya bukanlah berdasarkan pada agama, tetapi pada falsafah.
Dalam hal ini,
pandangan Prof. Naquib al-Attas sejajar dengan pandangan Iqbal, Sayyid Qutb,
Ali an-Nadwi, Muhammad Asad, dan ramai cendekiawan Muslim lainnya. Namun,
pandangan Prof. Naquib al-Attas tentang peradaban Barat ini kelihatan lebih
mendalam dan sistematik. Beliau berhasil meramu unsur-unsur pembentukan
peradaban Barat itu dengan proporsional, terutama ketika meletakkan kedudukan
warisan Yunani Kuno, Romawi, dan Kristian dalam peradaban Barat.
Dengan mengetepikan
agama dan menjadikan falsafah sebagai asas berfikirnya, maka tiada tempat dalam
jiwa pengalaman mereka itu beragama sesuatu ketetapan mengenai keyakinan. Mereka
hanya menegaskan dasar ‘teori’, iaitu ilmu pengetahuan atau hasil akal-nazari
yang berlandaskan dugaan dan sangkaan-sangkaan dan pencapaian akal jasmani yang
mungkin benar dan mungkin tidak benar. Maka dari itu, dasar ‘ilmu’ yang
demikian dan sikap hidup yang menjadi akibatnya, tidaklah akan dapat membawa
kepada keyakinan.
Sifat agama Kristian
itu sendiri, yang bermasalah dalam asas-asas kepercayaannya, menurut Prof.
Naquib al-Attas, juga turut membentuk sikap peradaban Barat. Secara ringkas,
Prof. Naquib al-Attas menyimpulkan sifat-sifat asasi kebudayaan Barat, kepada:
1. berdasarkan falsafah
dan bukan agama,
2. falsafah yang
menjelmakan sifatnya sebagai humanisme, mengikrarkan fahaman penduaan
(dualisme) yang mutlak dan bukan kesatuan sebagai nilai serta kebenaran hakikat
semesta,
3. kebudayaan Barat juga
berdasarkan pandangan hidup yang tragik. Yakni, mereka menerima pengalaman
‘kesengsaraan hidup’ sebagai suatu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi
peranan manusia dalam dunia.
Dengan memahami
hakikat peradaban Barat yang tidak berdasarkan agama dan hanya berdasarkan
kepada spekulasi seperti itu, Prof. Naquib al-Attas sampai pada kesimpulan
bahawa masalah terberat yang dihadapi manusia dewasa ini adalah hegemoni dan
dominasi keilmuan Barat yang mengarah pada kehancuran umat manusia. Satu
fenomena yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia.
Prof. Naquib al-Attas
memulakan tulisannya dalam Dewesternization of Knowledge dengan
ungkapan, bahawa sepanjang sejarahnya, manusia telah menghadapi banyak halangan
atau cabaran dan kekacauan. Tetapi, belum pernah, mereka menghadapi halangan
atau cabaran yang lebih serius daripada yang ditimbulkan oleh peradaban Barat
dewasa ini.
Kritikan-kritikan
Prof. Naquib al-Attas terhadap karakteristik keilmuan Barat moden, misalnya,
juga disampaikan sewaktu Persidangan Antarabangsa Para Filosof pada bulan
Januari 2000, di University of Hawai. Persidangan ini disertai oleh sekitar 160
orang cendekiawan dari 30 buah negara dan berlangsung selama dua minggu. Tema
yang dibahas ialah Technology and Cultural Values on the Edge of the Third
Millennium.
Dalam editorialnya
terhadap buku kompilasi hasil persidangan tersebut, tiga ilmuwan terkenal iaitu
Pater D. Hershock, Marietta Stepaniants dan Roger T. Ames, mencatatkan bahawa
paparan Prof. Naquib al-Attas yang menyorot kesesuain dan ketidaksesuaian
antara tradisi Barat dalam sains dan teknologi dengan sistem epistemologi dan
metafizik Islam, merupakan paparan yang artikulatif, cermat, dan sistematik,
tentang asas revision Islami terhadap tujuan dan premis-premis moral
dalam sains dan teknologi.
Dalam huraian ini,
Prof. Naquib al-Attas banyak menjelaskan berbagai perbezaan fundamental antara
konsep sekular Barat dan Islam dalam berbagai persoalan. Dalam soal konsep
kebahagiaan (happiness), misalnya, beliau menjelaskan sikap Muslim yang
menolak konsep Aristotelian tentang kebahagiaan yang hanya menyentuh aspek
duniawi, dan hingga kini diikuti oleh konsep moden. Beliau menegaskan tentang
sikap pandangan hidup (worldview) Islam yang tidak memisahkan aspek
duniawi dengan akhirat. Konsepsi moden tentang kebahagiaan (sa’adah)
menurut Prof. Naquib al-Attas, esensinya sama dengan konseps manusia masa lalu,
pada era paganisme.
Sedangkan konsep
kebahagiaan dalam Islam, akan dialami dan disedari oleh orang-orang yang
benar-benar tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t dan mengikuti bimbingan-Nya.
Puncak kebaikan dalam hidup adalah cinta kepada Allah s.w.t.
Dalam berbagai
tulisan dan ceramahnya, Prof. Naquib al-Attas jelas berusaha keras memberikan
keyakinan kepada kaum Muslimin, terutama para cendekiawan, tentang keagungan
konsep peradaban Islam, dibandingkan konsep peradaban lainnya. Beliau sangat
menekankan perlunya kaum Muslimin mengkaji dan memahami khazanah keilmuan yang
telah dicapai para ulama Muslim yang agung pada masa lalu.
Beliau menanamkan
jiwa optimisme, meskipun Islam menghadapi serangan hebat dari berbagai penjuru.
Tahun 1959, jauh sebelum menempuh jinjang pendidikan tinggi di Barat, Prof.
Naquib al-Attas sudah mengamati kedudukan kaum Muslimin yang memilukan. Ketika
itu, beliau menulis sebuah puisi:
Muslim tergenggam
belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia
tercicir,
Budaya jahil luas
membanjir,
Banyak yang karam
tiada tertaksir.
Sebab utama yang
melilit keadaan kaum Muslimin, kata Prof. Naquib al-Attas, adalah kejahilan
masyarakat Islam terhadap Islam, sebagai agama yang sebenarnya dan peradaban
yang luhur dan agung yang telah menghasilkan ilmu-ilmu Islamiyah yang mampu
mewujudkan pandangan hidup (worldview) tersendiri yang unik.
Paparan Prof. Naquib
al-Attas tentang peradaban Barat perlu dikaji secara cermat. Sebab, apa yang
disampaikannya berpuluh tahun lalu kini banyak menjadi kenyataan. Kaum Muslimin
kini disuguhi satu tragedi intelektual yang memilukan. Begitu banyak sarjana
Muslim yang terpesona dan mengagungkan pandangan hidup Barat dan teori-teori
para ilmuwan Barat, meskipun harus mengorbankan keyakinan Islam.
Prof. Naquib al-Attas
mengajak kaum Muslimin supaya memahami Barat secara mendalam, bukan bersikap
anti-Barat. Banyak hal yang dapat diambil dan dipelajari dari Barat, tetapi
bukan menciplak pandangan hidup Barat yang mengembiri dan membunuh agama
sendiri, seperti fahaman sekularisme dan pluralisme agama.
Jika Barat maju
secara fizikal dengan membuang dan mengembiri agamanya, kaum Muslimin tidak
perlu mencontohi mereka. Sebab, Islam memang berbeza dengan Kristian. Dengan
mengkaji Barat secara baik, dan juga Islam dengan baik, menurut Prof. Naquib
al-Attas, maka kaum Muslimin tidak akan mengalami sikap rendah diri. Sebab
mereka memiliki ajaran agama dan Kitab Suci yang agung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan