Khamis, 4 Julai 2013

An-Nabhani (Cendekiawan Berpemikiran Bijak Dan Beranalisis Cermat)


SMAHADZIR

SYEIKH TAQIYUDDIN AN-NABHANI (1909-1977) adalah seorang qadi (hakim), penyair, sasterawan dan salah seorang ulama terkemuka dalam Daulah Utsmaniyah. Nama penuhnya ialah Syeikh Muhammad Taqiyyuddin bin Ibrahim bin Musthafa bin Ismail bin Yusuf An-Nabhani. Beliau dilahirkan di daerah Ijzim, Syeikh An-Nabhani dinisbahkan kepada kabilah Bani Nabhan yang termasuk orang Arab, penghuni padang sahara di Palestin. Mereka bermukim di daerah Ijzim yang termasuk wilayah Haifa di Palestin Utara.

Pendidikan

Syeikh Taqiyyuddin mendapat didikan ilmu syariah dan agama di rumah, daripada ayah dan datuknya. Ayahnya seorang syeikh yang faqih fid din (arif dalam agama) serta seorang pengajar ilmu-ilmu syariah di Kementerian Pendidikan Palestin. Datuknya telah mengajar hafalan Al-Quran sehingga beliau hafal kitab suci tersebut seluruhnya sebelum baligh. Ibunya juga menguasai beberapa cabang ilmu syariah, yang diperolehi dari ayahnya, Syeikh Yusuf bin Ismail bin Yusuf An-Nabhani.

Di samping itu, Syeikh Taqiyyuddin juga mendapat pendidikan di sekolah-sekolah negeri ketika beliau bersekolah di sekolah rendah di daerah Ijzim. Pertumbuhan Syeikh Taqiyyuddin dalam suasana keagamaan yang kental seperti itu, ternyata mempunyai pengaruh yang besar dalam pembentukan keperibadian dan pandangan hidupnya. Beliau telah hafal Al-Quran seluruhnya dalam usia yang amat muda, iaitu di bawah usia 13 tahun.

Kemudian Syeikh Taqiyyuddin berpindah ke sebuah sekolah menengah di Akka untuk melanjutkan pelajarannya. Sebelum menamatkan persekolahannya di Akka, beliau telah bertolak ke Kaherah untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, hasil dorongan datuknya, Syeikh Yusuf An-Nabhani.

Syeikh Taqiyyuddin kemudiannya meneruskan pelajarannya di Tsanawiyah Al-Azhar pada tahun 1928 dan pada tahun yang sama, beliau meraih ijazah dengan keputusan yang cemerlang. Lalu beliau melanjutkan pelajarannya di Kulliyah Darul Ulum yang ketika itu merupakan cawangan Universiti Al-Azhar.

Di samping itu, beliau banyak menghadiri halaqah-halaqah ilmiah di Universiti Al-Azhar yang dihadiri oleh Syeikh-Syeikh Universiti Al-Azhar, seperti Syeikh Muhammad Al-Hidlir Husain sebagaimana yang pernah disarankan oleh datuknya. Hal itu dimungkinkan kerana sistem pengajaran lama Al-Azhar membolehkannya.

Meskipun Syeikh Taqiyyuddin menghimpun sistem Universiti Al-Azhar lama dengan Darul Ulum, akan tetapi beliau tetap memperlihatkan keunggulan dan keistimewaan dalam kesungguhan dan ketekunan belajar. Beliau telah menarik perhatian kawan-kawan dan pensyarah-pensyarahnya kerana kecermatannya dalam berfikir dan kuatnya pendapat serta hujah yang beliau lontarkan dalam perdebatan-perdebatan dan perbincangan-perbincangan fikriyah, yang diselenggarakan oleh lembaga-lembaga ilmu yang ada ketika itu di Kaherah dan di negeri-negeri Islam lainnya.

Syeikh Taqiyyuddin menamatkan kuliahnya di Darul Ulum pada tahun 1932. Pada tahun yang sama beliau menamatkan pula kuliahnya di Al-Azhar Asy-Syarif menurut sistem lama, di mana para mahasiswanya boleh memilih beberapa orang Syeikh Al-Azhar dan menghadiri halaqah-halaqah mereka mengenai bahasa Arab, dan ilmu-ilmu syariah seperti fiqh, ushul fiqh, hadis, tafsir, tauhid (ilmu kalam) dan yang sebagainya.

Dalam forum-forum halaqah ilmiah tersebut, An-Nabhani dikenali oleh kawan-kawan dan sahabat-sahabat terdekatnya dari kalangan cendekiawan Universiti Al-Azhar sebagai seseorang dengan pemikiran yang genius, pendapat yang kukuh, pemahaman dan pemikiran yang mendalam, serta berkemampuan tinggi untuk menyakinkan orang dalam perdebatan-perdebatan dan perbincangan-perbincangan fikriyah. Demikian juga beliau sangatlah bersungguh-sungguh, tekun, dan bersemangat dalam memanfaatkan waktu bagi menimba ilmu.

Kerjaya

Setelah menyelesaikan pengajiannya, Syeikh Taqiyyuddin kembali ke Palestin untuk bekerja di Kementerian Pendidikan Palestin sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah kerajaan di Haifa. Di samping itu, beliau juga mengajar di sebuah Madrasah Islamiyah di Haifa.

Pada tahun 1940, Syeikh Taqiyyuddin dilantik sebagai Musyawir (Pembantu Qadi) dan beliau terus memegang jawatan ini hingga tahun 1945, yakni ketika beliau dipindahkan ke Ramallah untuk menjadi qadi di Mahkamah Ramallah sehingga tahun 1948.

Selepas itu, beliau keluar dari Ramallah menuju Syam akibat jatuhnya Palestin ke tangan Yahudi. Pada tahun 1948 itu pula, sahabatnya Ustaz Anwar Al-Khatib mengirim surat kepada beliau memintanya kembali ke Palestin untuk dilantik sebagai qadi di Mahkamah Syariyah Al-Quds. Syeikh Taqiyyuddin mengabulkan permintaan itu dan kemudian beliau dilantik sebagai qadi di Mahkamah Syariyah Al Quds pada tahun 1948.

Pada tahun 1951, Syeikh Taqiyyuddin menziarahi kota Amman untuk menyampaikan ceramah-ceramahnya kepada para pelajar Madrasah Tsanawiyah di Kulliyah Ilmiyah Islamiyah. Fenomena ini terus berlangsung sehingga awal tahun 1953, ketika beliau mulai sibuk dalam Hizbut Tahrir yang telah beliau rintis antara tahun 1949 hingga 1953.

Sejak remaja, Syeikh Taqiyyuddin sudah memulai kegiatan politiknya kerana pengaruh datuknya, Syeikh Yusuf An-Nabhani. Pengalaman itulah yang membolehkannya mendirikan parti politik Islam, Parti Hizbut Tahrir di Al-Quds pada tahun 1953. Syeikh Taqiyyuddin meninggal dunia pada tahun 1398 Hijrah bersama tahun 1977 Masehi dan dikuburkan di Perkuburan Al-Auza’i di Beirut.

Sumbangan Kepada Islam

Syeikh Taqiyyuddin telah meninggalkan kitab-kitab penting yang boleh dianggap sebagai kekayaan pemikiran yang tidak ternilai harganya. Karya-karya ini menunjukkan bahawa Syeikh Taqiyyuddin An-Nabhani merupakan seorang yang mempunyai pemikiran bijak dan beranalisis yang cermat. Karya-karya Syeikh Taqiyyuddin yang paling terkenal dan yang memuatkan pemikiran dan ijtihad beliau antara lain termasuk:

1.     Nizhamul Islam
2.     At Takattul Al Hizbi
3.     Mahafim Hizbut Tahrir
4.     An Nizhamul Iqthishadi fil Islam
5.     An Nizhamul Ijtima’i fil Islam
6.     Nizhamul Hukm fil Islam
7.     Ad Dustur
8.     Muqaddimah Dustur
9.     Ad Daulatul Islamiyah
10. Asy Syakhshiyah Al Islamiyah (3 jilid)
11. Mafahim Siyasiyah li Hizbit Tahrir
12. Nazharat Siyasiyah li Hizbit Tahrir
13. Nida’ Haar
14. Al Khilafah
15. At Tafkir
16. Ad Dusiyah
17. Sur’atul Badihah
18. Nuqthatul Inthilaq
19. Dukhulul Mujtama’
20. Inqadzu Filisthin
21. Risalatul Arab
22. Tasalluh Mishr
23. Al Ittifaqiyyah Ats Tsana’iyyah Al Mishriyyah As Suriyyah wal
24. Yamaniyyah
25. Hallu Qadliyah Filisthin ala Ath Thariqah Al Amrikiyyah wal
26. Inkiliziyyah
27. Nazhariyatul Firagh As Siyasi Haula Masyru’ Aizanhawar.


Semua ini belum termasuk ribuan risalah (nasyrah) mengenai pemikiran, politik dan ekonomi, serta beberapa kitab yang dikeluarkan atas nama anggota Hizbut Tahrir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA