Jumaat, 19 Julai 2013

SELOKA 2


Seloka Cinta Remaja
SMAHADZIR

Cinta remaja masa sekarang,
Tak boleh disekat tak boleh dilarang,
Sopan di depan tak sama di belakang,
Ibu bapa tak mampu nak halang,
Kalau dimarah terus menghilang,
Tak balik rumah sampai ke petang.

Kalau cinta mereka dihalang disekat,
SMS dikirim menggantikan surat,
Ibu bapa tak tahu apa yang dibuat,
Tiba masa mereka sepakat,
Membuat janji bertemu rapat,
Lalu berjumpalah mereka di suatu tempat
Tempat yang jauh bukannya dekat,
Taman bunga yang cantik memikat,
Di tempat gelap yang sukar dilihat,
Oleh sesiapa pun termasuk pencegah maksiat.

Mula-mula jauh kemudian duduk rapat,
Mata bertentang senyum pun memahat,
Maka bermulalah kata-kata memikat,
Cinta dipadu dibebat erat,
Sayang disulam janji manis ditambat,
Syaitan pun ketawa menggoncang syahwat,
Tak sedar duduk dalam hujan lebat,
Nafas dan nafsu berperang hebat,
Tidak tertanggung dosa maksiat,
Memang sukar untuk selamat,
Bila syaitan sudah menambat,
Maka berlakukan dosa terlaknat.

Cinta remaja selalu mengundang bejat,
Kononnya cinta yang agung cinta keramat,
Lupa Allah lupa malaikat apalagi nasihat,
Lenyap sudah agama dan adat,
Nafsu sendiri lebih diberat,
Apa peduli pada hakikat,
Masa masih panjang untuk bertaubat.

Inilah cinta remaja zaman sekarang,
Tak boleh ditegur tak boleh dilarang,
Kalau dilarang kita ditentang,
Tak pernah fikirkan hari mendatang,
Walau diselimut gebar malang,
Yang penting hatinya senang.


SELOKA 1:
Seloka Teringin Kahwin
SMAHADZIR


Bila mata bertentang mata,
Lidah kelu hilang suara,
Bila sudah seiya sekata,
Kata sepakat jumpa keluarga.

Ibu bapa minta direstu,
Sanak-saudara pun perlu tahu,
Buat kenduri jemput tetamu,
Moga bahagia ke anak cucu.

Bila melihat pengantin bersanding,
Tersenyum simpul mata menjeling,
Tetamu yang hadir turut mengerling,
Duda dan janda mata terjuling.

Lembu terkorban tidak terkira,
Berhabis duit sesekali tak apa,
Bergotong-royong sanak-saudara,
Emak dan bapa tersengih saja.

Naik pelamin hasrat tersirat,
Bermula dengan orat-mengorat,
Bila jodoh sudah tersurat,
Diberkati Allah dunia akhirat.


SELOKA 1:
Seloka Nasihat Untuk Remaja
SMAHADZIR

Bila syaitan berjaya memikat,
Hati yang gersang mudah terpikat,
Tidak takut berbuat maksiat,
Zaman sekarang zaman hebat
Segalanya mudah, pantas dan cepat,
Generasi remaja berfikiran singkat,
Tidak peduli tegur nasihat,
Seronok membuta tuli tidak bertempat.

Bila berhibur lupa dunia,
Arak dan zina dipandang sama,
Lupa adat lupa tegahan-Nya,
Bila terlanjur menyesal tidak berguna,
Wang dan ringgit tidak lagi bermakna,
Syaitan ketawa kerana gembira,
Seorang manusia berjaya dalam perangkapnya.

Gadis yang ramping kini tubuhnya membulat,
Baju mengandung mulai melekat,
Semakin lama semakin sarat,
Teruna dihubungi tak pernah dapat,
Siapa yang akan bertanggungjawab,
Gadis yang malang tidak berkudrat,
Menempuh hari yang penuh azab.

Janji yang dilafaz mahu sehidup semati,
Kini melenyap bagai dikunci,
Gelisah resah penat mencari,
Tetapi lelaki yang dihajati,
Entah ke mana pergi,
Tinggallah gadis menjeruk hati.

Bila masa zuriat keluar bernyawa,
Rasa malu mulai menyerang minda,
Dengan hati dibalut gundah,
Zuriat dibuang dalam tong sampah,
Bila sudah ditangkap polis,
Baru hati bagai dihiris,
Baru terfikir insaf dan taubat,
Sayangnya kini sudah terlambat,
Hanya kepada Khalik dipohon rahmat,
Taubat nasuha belum terlambat,
Selagi dunia belum kiamat.

Wahai remaja sedarlah cepat,
Gurindam ini sekadar nasihat,
Hidup di dunia ini terlalu singkat,
Bersamalah kita mencari berkat,
Agama tak menghalang cinta sejagat,
Tetapi biarlah dibenarkan syariat,
Nikah yang molek hukumnya sunat,
Agar zuriat beroleh rahmat,

Hidup menjadi lebih selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA