SMAHADZIR
Warisan seni
zaman berzaman,
Gurindam
seloka perahan minda;
Pantun ini
bukan kecaman,
Sekadar
jenaka gurauan senda.
Gurindam
seloka perahan minda,
Ilham
berkejaran tatkala sabar;
Sekadar
jenaka gurauan senda,
Tersisip
sindiran sebagai iktibar.
Ilham
berkejaran tatkala sabar,
Tenang
bersemadi dalam nubari;
Tersisip
sindiran sebagai iktibar,
Menilai
peribadi dan maruah diri.
Tenang
bersemadi dalam nubari,
Harmoni
terasa dipuput bayu;
Menilai
peribadi dan maruah diri,
Suatu bangsa
bernama Melayu.
Harmoni
terasa dipuput bayu,
Laksana
dihias kencana saduran;
Suatu bangsa
bernama Melayu,
Yang dikias
pelbagai gelaran.
Laksana
dihias kencana saduran,
Pinggir
pedaka pahlawan sakti;
Yang dikias
pelbagai gelaran,
Tersayat
luka memedihkan hati.
Pinggir
pedaka pahlawan sakti,
Sundang
berbalut dari Semarang;
Tersayat
luka memedihkan hati,
Kekal
berparut sampai sekarang.
Sundang
berbalut dari Semarang,
Buat
sandaran di anjung seri;
Kekal
berparut sampai sekarang,
Jadi cabaran
mengubah diri.
Buat sandaran
di anjung seri,
Umbut tepus
di dalam talam;
Jadi cabaran
mengubah diri,
Supaya
terhapus gelaran silam.
Umbut tepus
di dalam talam,
Berbunga
ungu keliling berukir;
Supaya
terhapus gelaran silam,
Kononnya
dungu macam Pak Pandir.
Berbunga
ungu keliling berukir,
Di tiang
seri mengadap pintu;
Kononnya
dungu macam Pak Pandir,
Tugas diberi
jadi tak tentu.
Di tiang
seri mengadap pintu,
Bingkai kayu
berjurai renda;
Tugas diberi
jadi tak tentu,
Kiasan
Melayu tidak berminda.
Bingkai kayu
berjurai renda,
Membelai
tiara di puncak semayam;
Kiasan
Melayu tidak berminda,
Sekadar
juara bersabung ayam.
Membelai
tiara di puncak semayam,
Duduk
bersila di bantal hiasan;
Sekadar
juara bersabung ayam,
Pak Kaduk
pula jadi kiasan.
Duduk
bersila di bantal hiasan,
Sambil
berborak meraga cindai;
Pak Kaduk
pula jadi kiasan,
Menang sorak
kampung tergadai.
Sambil
berborak meraga cindai,
Kain sentung
berbunga melati;
Menang sorak
kampung tergadai,
Mengharapkan
untung jadi realiti.
Kain sentung
berbunga melati,
Di atas
rakit dikebas bajingan;
Mengharapkan
untung jadi realiti,
Usaha sedikit
lebih berangan.
Di atas
rakit dikebas bajingan,
Musim panen
hujan menimpa;
Usaha
sedikit lebih berangan,
Umpama Mat
Jenin di puncak kelapa.
Musim panen
hujan menimpa,
Ganas
mendatang beriring ribut;
Umpama Mat
Jenin di puncak kelapa,
Jatuh
terlentang nyawa tercabut.
Ganas
mendatang beriring ribut,
Hiba
merenung malinja mengurai;
Jatuh
terlentang nyawa tercabut,
Impian
menggunung hancur berderai.
Hiba
merenung malinja mengurai,
Hampa padi
berguni sarat;
Impian
menggunung hancur berderai,
Hidup jadi
tambah melarat.
Hampa padi
berguni sarat,
Serunai
mendayu di senja hari;
Hidup jadi
tambah melarat,
Bangsa
Melayu di tanah sendiri.
Serunai
mendayu di senja hari,
Daun bayam
gugur bertapuk;
Bangsa
Melayu di tanah sendiri,
Laksana ayam
mati di kepuk.
Daun bayam
gugur bertapuk,
Pohon pedada
tumbuh di pongsu;
Laksana ayam
mati di kepuk,
Selagi minda
jumud dan lesu.
Pohon pedada
tumbuh di pongsu,
Anak haruan
beremut di kolong;
Selagi minda
jumud dan lesu,
Warna
kemajuan berlorek bolong.
Anak haruan
beremut di kolong,
Menjadi
mangsa toman betina;
Warna
kemajuan berlorek bolong,
Martabat
bangsa dipandang hina.
Menjadi
mangsa toman betina,
Sembunyi
segera tindakan bijak;
Martabat
bangsa dipandang hina,
Maruah
negara turut dipijak.
Sembunyi
segera tindakan bijak,
Di lubang
tanah bawah jerami;
Maruah
negara turut dipijak,
Ini pernah
kita alami.
Di lubang
tanah bawah jerami,
Tunjang ara
akar berbulu;
Ini pernah
kita alami,
Sewaktu
negara dijajah dahulu.
Tunjang ara
akar berbulu,
Tempat
panggu syaitan dan pari;
Sewaktu
negara dijajah dahulu,
Minda
dibelenggu kebebasan digari.
Tempat
panggu syaitan dan pari,
Tepi teratak
subur menerung;
Minda
dibelenggu kebebasan digari,
Macam katak
di bawah tempurung.
Tepi teratak
subur menerung,
Burung
perling mati digodam;
Macam katak
di bawah tempurung,
Dunia
sekeliling bagai terpadam.
Burung
perling mati digodam,
Pelatuk
nanar di kayu beluti;
Dunia
sekeliling bagai terpadam,
Mentari
bersinar tak membawa erti.
Pelatuk
nanar di kayu beluti,
Suara sang
balam bersahut manja;
Mentari bersinar
tak membawa erti,
Siang dan
malam sama sahaja.
Suara sang
balam bersahut manja,
Unggas
bergegas mencari makan;
Siang dan
malam sama sahaja,
Semakin
cergas penjajah menekan.
Unggas
bergegas mencari makan,
Batang
tembusu dibuat tuas;
Semakin
cergas penjajah menekan,
Doktrin
palsu disebar meluas.
Batang
tembusu dibuat tuas,
Perdu
pulasan di pinggir tubir;
Doktrin
palsu disebar meluas,
Bersalut
manisan terukir di bibir.
Perdu
pulasan di pinggir tubir,
Dihubub bayu
ranting terkulai;
Bersalut manisan
terukir di bibir,
Supaya
Melayu menjadi longlai.
Dihubub bayu
ranting terkulai,
Jatuh
menujah hujung batasan;
Supaya
Melayu menjadi longlai,
Hasrat
menjajah terus-terusan.
Jatuh
menujah hujung batasan,
Congkak kayu
jadi kurnia;
Hasrat
menjajah terus-terusan,
Biar Melayu
hilang di dunia.
Congkak kayu
jadi kurnia,
Wira perkasa
beradu sama;
Biar Melayu
hilang di dunia,
Lenyap
bangsa lenyaplah agama.
Wira perkasa
beradu sama,
Terima padah
di tangan arjuna;
Lenyap
bangsa lenyaplah agama,
Tertegak
sudah hasrat rencana.
Terima padah
di tangan arjuna,
Lalu
berbalah menunjuk sasa;
Tertegak
sudah hasrat rencana,
Tetapi Allah
lebih berkuasa.
Lalu
berbalah menunjuk sasa,
Panas baran
dada terbakar;
Tetapi Allah
lebih berkuasa,
Rahmat
kesedaran disubur mekar.
Panas baran
dada terbakar,
Tiup tetuang
panjang berjela;
Rahmat
kesedaran disubur mekar,
Bangun
berjuang menuntut bela.
Tiup tetuang
panjang berjela,
Mengusik
rusa di belantara nyaman;
Bangun berjuang
menuntut bela,
Membebas
nusa dari cengkaman.
Mengusik
rusa di belantara nyaman,
Bagai
rentaka meluah letusan;
Membebas
nusa dari cengkaman,
Hidup
merdeka sebagai insan.
Bagai
rentaka meluah letusan,
Tubuh rengsa
menggigil segala;
Hidup
merdeka sebagai insan,
Maruah
bangsa ditegakkan semula.
Tubuh rengsa
menggigil segala,
Murup aroma
gerbak setanggi;
Maruah
bangsa ditegakkan semula,
Martabat
agama dijulang tinggi.
Murup aroma
gerbak setanggi,
Segar terasa
menghapus duka;
Martabat
agama dijulang tinggi,
Negara dan
bangsa perlu merdeka.
Segar terasa
menghapus duka,
Berarak
keluang di bawah mega;
Negara dan
bangsa perlu merdeka,
Peranan
pejuang amat berharga.
Berarak
keluang di bawah mega,
Buah
semangka sajian enak;
Peranan
pejuang amat berharga,
Hasrat
merdeka dipohon lunak.
Buah
semangka sajian enak,
Menjalar
melata di atas para;
Hasrat
merdeka dipohon lunak,
Menjulang
senjata bukanlah cara.
Menjalar
melata di atas para,
Tanah Rompin
subur dibajak;
Menjulang
senjata bukanlah cara,
Minda
pemimpin teruji bijak.
Tanah Rompin
subur dibajak,
Sungguh
serasi ditanam nangka;
Minda
pemimpin teruji bijak,
Secara
diplomasi kita merdeka.
Sungguh
serasi ditanam nangka;
Disulam
betik bergilir-gilir;
Secara
diplomasi kita merdeka,
Tanpa
setitik darah mengalir.
Disulam
betik bergilir-gilir,
Buluh
disayat pagar dicegat;
Tanpa
setitik darah mengalir,
Kesejahteraan
rakyat tidak tergugat.
Buluh
disayat pagar dicegat,
Monyet dan
kera dapat dihalang;
Kesejahteraan
rakyat tidak tergugat,
Kemakmuran
negara dapat dijulang.
Monyet dan
kera dapat dihalang,
Pagar
disangga kanan dan kiri;
Kemakmuran negara
dapat dijulang,
Ekonomi
warga tegak berdiri.
Pagar
disangga kanan dan kiri,
Kukuh
menampan walau ditabrak;
Ekonomi
warga tegak berdiri,
Itu harapan
paling semarak.
Kukuh
menampan walau ditabrak,
Siap siaga
bertindak segera;
Itu harapan
paling semarak,
Diganggu
juga petualang negara.
Siap siaga
bertindak segera,
Awas
sentiasa di pohon cenderai;
Diganggu
juga petualang negara,
Paduan
bangsa mahu diburai.
Awas
sentiasa di pohon cenderai,
Biar
tersanggat haluan musuh;
Paduan bangsa
mahu diburai,
Harmoni
tergugat memarak rusuh.
Biar
tersanggat haluan musuh,
Banir tolang
tempat menembak;
Harmoni
tergugat memarak rusuh,
Berjaya
dihalang dari merebak.
Banir tolang
tempat menembak,
Bidik dituju
mencari mangsa;
Berjaya
dihalang dari merebak,
Wawasan maju
jadi selesa.
Bidik dituju
mencari mangsa,
Tersengkang
suara mati diragu;
Wawasan maju
jadi selesa,
Pembangunan
negara tidak terganggu.
Tersengkang
suara mati diragu,
Dibebat rami
humban ke paya;
Pembangunan
negara tidak terganggu,
Dasar
ekonomi baru berjaya.
Dibebat rami
humban ke paya,
Haiwan
mencecap rezeki di baruh;
Dasar
ekonomi baru berjaya,
Nikmat
dikecap rakyat seluruh.
Haiwan
mencecap rezeki di baruh,
Tempat
rimbunan pohon selepat;
Nikmat dikecap
rakyat seluruh,
Jurang kemiskinan
berjaya dirapat.
Tempat
rimbunan pohon selepat,
Limau
kedangsa dahan berduri;
Jurang
kemiskinan berjaya dirapat,
Martabat
bangsa mula berdiri.
Limau
kedangsa dahan berduri,
Berkulit
kasar seimbas puru;
Martabat
bangsa mula berdiri,
Hasil dasar
ekonomi baru.
Berkulit
kasar seimbas puru,
Dibarut
lampin nampak beruas;
Hasil dasar
ekonomi baru,
Gagasan
pemimpin berminda luas.
Dibarut
lampin nampak beruas,
Dibawa
senteri keluar kawasan;
Gagasan
pemimpin berminda luas,
Negara
industri jadi wawasan.
Dibawa
senteri keluar kawasan,
Bertemu
fakir hidup sengsara;
Negara
industri jadi wawasan,
Penswastaan
diukir membina negara.
Bertemu
fakir hidup sengsara,
Tanah
bendang tumbuh berembang;
Penswastaan
diukir membina negara,
Pelbagai
bidang maju berkembang.
Tanah
bendang tumbuh berembang,
Petani
kempunan harum setanggi;
Pelbagai
bidang maju berkembang,
Sektor
pembangunan menjulang tinggi.
Petani
kempunan harum setanggi,
Atur kembara
ke tepian sumur;
Sektor
pembangunan menjulang tinggi,
Ekonomi
negara subur dan makmur.
Atur kembara
ke tepian sumur,
Menjinjing
raga meredah pagi;
Ekonomi
negara subur dan makmur,
Projek mega
berteknologi tinggi.
Menjinjing
raga meredah pagi,
Rasa
merengsa menyusur tanjung;
Projek mega
berteknologi tinggi,
Kemampuan
bangsa terus disanjung.
Rasa
merengsa menyusur tanjung,
Pedih lidah
mengunyah kuinin;
Kemampuan
bangsa terus disanjung,
Hilang sudah
gelaran Mat Jenin.
Pedih lidah
mengunyah kuinin,
Buah
senduduk dikenyap-kenyap;
Hilang sudah
gelaran Mat Jenin,
Nama Pak
Kaduk turut melenyap.
Buah
senduduk dikenyap-kenyap,
Pasang
lamunan ceria tergambar;
Nama Pak
Kaduk turut melenyap,
Di hadang
bangunan Menara Berkembar.
Pasang
lamunan ceria tergambar,
Kasih
ditagih gadis pingitan;
Di hadang
bangunan Menara Berkembar,
Putrajaya
canggih jadi sebutan.
Kasih
ditagih gadis pingitan,
Cinta
tercalar angkara janji;
Putrajaya
canggih jadi sebutan,
LRT menjalar
turut dipuji.
Cinta
tercalar angkara janji,
Tengah
segara derita disimbah;
LRT menjalar
turut dipuji,
Bukti negara
mampu berubah.
Tengah
segara derita disimbah,
Gelombang
gigih meredah gagah;
Bukti negara
mampu berubah,
MSC canggih
tersergam megah.
Gelombang
gigih meredah gagah,
Pantai
selamat angin menderu;
MSC canggih
tersergam megah,
Teknologi
maklumat di alaf baru.
Pantai
selamat angin menderu,
Ikan ketuka
disambar undan;
Teknologi
maklumat di alaf baru,
Langit
terbuka tiada sempadan.
Ikan ketuka
disambar undan,
Laut membiru
tersarat rahsia;
Langit
terbuka tiada sempadan,
Cabaran baru
warga Malaysia.
Laut membiru
tersarat rahsia,
Jadi idaman
pengutip batu;
Cabaran baru
warga Malaysia,
Akal dan
iman jadi penentu.
Jadi idaman
pengutip batu,
Tatapan tamu
di tengah beranda;
Akal dan
iman jadi penentu,
Menyaring
ilmu ke dalam dada.
Tatapan tamu
di tengah beranda,
Cantik
digerudi bersulam kencana;
Menyaring
ilmu ke dalam dada,
Supaya jadi
bangsa berguna.
Cantik
digerudi bersulam kencana,
Arca gagak
kemas dibaji;
Supaya jadi
bangsa berguna,
Martabat
tegak maruah terpuji.
Arca gagak
kemas dibaji,
Tinggi
lampai beriak berang;
Martabat
tegak maruah terpuji,
Seperti
dicapai Melayu sekarang.
Tinggi
lampai beriak berang,
Jalan
mendada hati berkobar;
Seperti
dicapai Melayu sekarang,
Bangsa
berminda tabah dicabar.
Jalan
mendada hati berkobar,
Tidak
tertahan dendam ditebus;
Bangsa
berminda tabah dicabar,
Segala
cemuhan sudah terhapus.
Tidak
tertahan dendam ditebus,
Musuh diburu
sampai ke baruh;
Segala
cemuhan sudah terhapus,
Melayu baru
berpandangan jauh.
Musuh diburu
sampai ke baruh,
Memohon
ehsan seikhlas hati;
Melayu baru
berpandangan jauh,
Semua
wawasan jadi realiti.
Memohon
ehsan seikhlas hati,
Mandi di
sumur tidak berbaju;
Semua
wawasan jadi realiti,
Rakyat
makmur negara maju.
Mandi di
sumur tidak berbaju,
Tidak
tertahan sejuk membeku;
Rakyat
makmur negara maju,
Amanah saham
membuka pintu.
Tidak
tertahan sejuk membeku,
Pandangan
kabur ceria menghilang;
Amanah saham
membuka pintu,
Banyak
melabur esok gemilang.
Pandangan
kabur ceria menghilang,
Daun
setampin nampak meyongyat;
Banyak
melabur esok gemilang,
Wawasan
pemimpin terhadap rakyat.
Daun
setampin nampak meyongyat,
Ditampar
bayu menujah-nujah;
Wawasan
pemimpin terhadap rakyat,
Bangsa
Melayu berubah wajah.
Ditampar
bayu menujah-nujah,
Bangsa
Melayu berubah wajah,
Taraf hina
ke puncak mulia.
Mendung
sirna disingkap suria,
Mudik ke
hulu membawa madah;
Taraf hina
ke puncak mulia,
Wawasan
dahulu terserlah sudah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan