Khamis, 4 Julai 2013

Jaga Lidah Dalam Menilai Sesuatu


Syed Mahadzir Syed Ibrahim


Bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat utama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-Nya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah s.w.t, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia.
Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah, memaki-hamun, mencaci-cerca, mengadu domba dan sebaginya. Lidah diibaratkan seperti mata pedang yang amat tajam, mampu menyiat kulit dan hati sehingga tercetusnya pergaduhan, masam muka, persengketaan malah mampu menghasilkan peperangan antara  kaum. Apabila ini berlaku ia boleh menghancurkan sesebuah komuniti atau negara.

Mudah Membuat Penilaian

Dalam kehidupan seharian kita, kita amat mudah menilai seseorang hanya dengan melihat orang tersebut sekali imbas. Seorang wanita yang hendak ke pasar dituduh hendak ke tempat maksiat. Seorang bekas penagih dadah hendak ke masjid dituduh hendak mencuri kasut. Seorang peminta sedekah yang meminta sedikit derma dituduh cuba menipu orang ramai dan pelbagai lagi tuduhan tanpa siasatan yang teliti sehingga kadang-kadang apa yang diucapkan oleh kita merupakan fitnah yang amat dimurkai Allah s.w.t.
Justeru, janganlah cepat menilai seseorang atau sesuatu perkara tanpa usul periksa. Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Firman-Nya bermaksud: “Manusia memang makhluk yang diciptakan suka tergesa-gesa dalam segala perkaranya.” (surah al-Anbia 21:37)
Menurut catatan sejarah, ulama-ulama terdahulu beristiqarah terlebih dahulu sebelum memulakan penulisan sesuatu buku. Antara yang tercatat melakukan amalan sebegini sebelum menulis adalah Imam al-Bukhari, al-Muzani dan Ibnu Khuzaimah. Mereka meminta petunjuk dari Allah s.w.t, apakah harus menulis sesuatu idea dalam minda mereka itu atau tidak, kerana seringkali sesebuah tulisan menjadi mangsa fitnah orang yang cepat menilai. Mengambil pelajaran inilah, kita  harus bersikap berhati-hati dalam membuat apa juga tulisan, kata-kata, penilaian dan sebagainya agar kita tidak terjerumus ke lembah fitnah.
Imam Ahmad bin Hambal, seorang ulama hebat pernah menghabiskan masa selama 3 tahun untuk memikirkan sesuatu hukum, namun katanya beliau masih belum menemukan jawapan yang meyakinkan. Belajarlah dari peribadi dan sikap ulama ini. Pandanglah dengan mata hati, kerana dengan pandangan mata hati sahaja seseorang akan memperoleh sesuatu yang sangat luar biasa.
Firman Allah s.w.t bermaksud: “Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau dengan telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada.” (surah al-Hajj 22:46).
Melihat sesuatu masalah menerusi satu sudut yang tidak sempurna menatijahkan kesimpulan yang tidak sempurna. Berfikirlah dengan tenang, panjang dan berhikmah. Sebuah berita yang belum dikaji kesahihannya atau tidak sempurna versinya, kalau dinilai dengan negatif, tentu kita akan memusuhinya. Padahal, kalau kita bersedia membuka diri untuk versi lain dari berita itu, atau berusaha memahami mesej di sebaliknya, boleh jadi fikiran negatif itu tidak akan lahir dalam diri kita.
Apabila kita meninggalkan sifat tergesa-gesa dan sifat cepat menilai dan menggantikannya dengan sifat tenang dan berfikiran luas, kita akan menjadi insan baru yang terbuka, selesa dalam menelusuri hidup di dunia sementara ini.

Menganggap Diri Cukup Pengetahuan

Kita kadang-kadang terlalu yakin dengan pengetahuan diri. Kita merasa tahu segalanya sehingga seolah-olah memiliki autoriti untuk membuat kesimpulan mengenai sesuatu hal. Atau kalau berkaitan keperibadian orang lain, kita sering merasa tidak perlu informasi lebih lanjut kerana kita merasa cukup pengetahuan mengenai jati diri orang itu sebenarnya.
Kesalahan terbesar seseorang adalah ketika dia menganggap dirinya telah cukup pengetahuan sehingga dia tidak memiliki itikad sedikit pun untuk melakukan penelitian, tabayyun, atau pastikan betul-betul. Tentang suatu kejadian, dia langsung menyimpulkan begini begitu sesedap mulutnya saja. Tentang diri seseorang, dia terus menyimpulkan begini begitu sesedap cakapnya saja. Dengan pengetahuan sedikitnya, dia merasa sudah banyak pengetahuan. Dengan interaksinya bersama orang lain dalam masa yang sebentar, dia merasa sudah berhak membuat kesimpulan mengenai diri seseorang itu padahal boleh jadi apa yang disimpulkannya itu hanya akan membuahkan fitnah dan pembohongan, jauh dari fakta sebenarnya.
Keterbatasan yang dimilikinya tiada pernah disedari. Dia terjebak dalam ujub diri, merasa ada kemampuan untuk membuat penilaian terhadap sesuatu hal atau orang lain tanpa diiringi dengan sikap berhati-hatian. Maka dia pun mudah mengeluarkan pendapat tanpa difikir lebih dalam lagi. Dia mudah menilai sesuatu tanpa mencari dulu fakta yang benar.
Yang lebih malang lagi adalah ketika keburukan sikap ini disebarkan kepada orang lain. Kalau berkaitan diri seseorang, maka betapa dia akan menumbuhkan sikap kebencian dari orang yang dirugikannya atas pemberitaan yang tidak benar. Prasangka dikira kebenaran. Prasangka melahirkan pembohongan. Prasangka yang tidak disertai tabayyun akan melahirkan kerenggangan hubungan sesama.
Kita berlindung dari Allah s.w.t dari sifat sombong, ujub diri, dengki, dan fitnah. Kita ini makhluk yang sangat terbatas. Terbatas ilmunya. Terbatas pengetahuannya. Bila kita sedar bahawa kita terbatas, maka kita akan menjadi manusia yang sangat berhati-hati. Berhati-hati dalam menyingkapi sesuatu. Berhati-hati dalam menilai sesuatu. Berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu kejadian. Berhati-hati meski sekadar dalam hati.

Lidah Penyebar Fitnah

Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia bukan sahaja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Tujuan kemudahan itu dicipta adalah untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa juga berita dan maklumat tentang keadaan yang berlaku di sekeliling kita, sama ada apa yang berlaku di dalam negeri mahupun di luar negeri.
Oleh itu kita hendaklah menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut dengan baik dan bijaksana. Namun apa yang membimbangkan pada masa ini terdapat segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan menyalahgunakannya untuk menyebarkan berita-berita yang tidak benar, khabar-khabar angin apatah lagi yang mengandungi unsur-unsur fitnah.
Kita perlu mengetahui fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan sama ada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerakan dan sebagainya, sama ada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.
Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Qalam ayat 10-11 bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyabarkan fitnah hasutan.”
Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a, beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba).”
Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Berusaha Mengelakkan Diri

Memang tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan kita berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, sememangnya kita tidak dapat mengelakkan diri dari mendengar berita-berita atau cerita-cerita yang diperbualkan ketika bertemu, sama ada ketika berada di majlis-majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis kenduri atau di kedai-kedai makan dan sebagainya.
Dalam hal sedemikian, jika kita mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka-reka, memburukkan orang lain, memfitnah dan sebagainya, maka kita hendaklah berusaha mengelakkan diri kita daripadanya, seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa yang disampaikan itu kerana orang yang membawa fitnah itu adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang fasik dan berita yang dibawa oleh mereka itu tidak boleh dipercayai.
Selain itu, kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah itu daripada meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan kepadanya bahawa perbuatannya itu adalah salah di sisi agama. Janganlah pula cerita yang disampaikan oleh orang yang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada benar atau sebaliknya. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Hujuraat ayat 21, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.”

Mengembirakan Orang Yang Berhati Busuk

Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Oleh itu jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain.
Jika difikirkan, apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ia tidak lain hanyalah mengembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah diperdaya oleh syaitan sehingga mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar.
Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara, begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebarkan khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan, yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak, maka dalam hal ini, perbuatan tersebut akan diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah dalam memastikan keharmonian dan kententeraman awam.

Jangan Terpengaruh Dengan Cerita Fitnah

Sebagai bahan renungan, pernah berlaku suatu peristiwa pada zaman Rasulullah s.a.w, yang lebih dikenalkan dalam kitab-kitab sirah Rasulullah s.a.w sebagai Hadisul Ifkhi, bila mana terjadinya fitnah ke atas isteri Rasulullah s.a.w iaitu Sayidatina Aisyah r.a. Dalam peristiwa tersebut, Sayidatina Aisyah r.a telah difitnah oleh orang-orang munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, dan beberapa orang dalam kalangan Muslimin telah terpengaruh dengan cerita fitnah yang disebarkan itu.
Mereka menabur fitnah mengatakan bahawa Sayidatina Aisyah r.a telah berlaku curang atau membuat hubungan sulit dengan seorang sahabat yang terkenal jujur dan amanah iaitu Safwan bin Al-Muathal. Akhirnya Allah s.w.t menurunkan ayat Al-Quran sebagai penjelasan bersihnya Sayidatina Aisyah r.a di atas fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Nuur ayat 19, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian.”
Membuat fitnah itu dipandang berat dan berat dan dilarang oleh agama Islam sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah s.w.t pada hari kiamat.
Akhirnya peliharalah diri dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” Semoga dengan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram, dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah s.w.t.

Wallahhu’alam. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA