Khamis, 4 Julai 2013

Al-Jahiz (Peletak Asas Zoologi)


SMAHADZIR

RATUSAN tahun sebelum pakar biologi Barat mencetuskan berbagai teori seperti evolusi, pilihan alam, perjuangan untuk hidup (struggle for existence), serta rantai makanan, Al-Jahiz pada abad ke 9 Masehi telah mengungkapkannya. Al-Jahiz atau nama sebenarnya Abu Uthman Amr Ibn Bahr Al-Kinani Al-Fuqaimi Al-Basri adalah seorang ilmuan Islam termasyhur pada abad ke 9 Masehi. Al-Jahiz merupakan sarjana Islam tersohor serba boleh yang menguasai sastera Arab, ilmu-ilmu keislaman, biologi, tata bahasa, sejarah, psikologi, retorika serta zoologi.

‘Al-Jahiz adalah seorang ilmuan terhebat dan pengarang dengan gaya bahasa menakjubkan di abad ke 9 Masehi,’ puji ilmuan Barat, Christopher Dawson. Kehebatannya sebagai sasterawan agung telah membuatkan dunia Barat mengaguminya. ‘Dia adalah salah seorang penulis prosa terhebat dalam dunia sastera Arab klasik,’ ujar Bernard Lewis. Pujian serupa juga diungkapkan oleh H A R Gibb dan Philip K Hitti.

Philip K Hitti yang termasyhur dengan bukunya berjudul History of Arabs mengatakan, ‘Al-Jahiz adalah salah seorang penulis yang produktif dan kerap dikutip para sarjana dalam literatur Arab.’ Gibb menjuluki Al-Jahiz sebagai sasterawan yang mencetuskan gaya prosa Arab. Semua komentar dan pujian itu menunjukkan betapa Al-Jahiz adalah sarjana Islam fenomenal yang karyanya mampu menembusi sekat waktu dan geografi.

Selain dikenali sebagai sasterawan besar sepanjang masa, Al-Jahiz juga telah berjasa mengembangkan ilmu biologi. Ratusan tahun sebelum pakar biologi Barat mencetuskan berbagai teori seperti evolusi, pilihan alam, perjuangan untuk hidup (struggle for existence), serta rantai makanan, Al-Jahiz pada abad ke 9 Masehi telah mengungkapkannya. Sayangnya, buah fikirannya itu telah didakwa milik peradaban Barat. Ironisnya, umat Islam di era moden tidak mengetahui pencapaian ilmuan Islam di era keemasan.

Tidak hairanlah jika sekolah-sekolah di negara Islam di dunia ini tidak mengajar tentang penemuan penting itu kepada para pelajarnya. Para pelajar hanya diajar ilmu biologi Barat yang telah ‘mencuri’ buah pemikiran ilmuan Islam. Akibatnya, mereka lebih mengagumi Barat berbanding pencapaian ilmuan Islam di era kekhalifahan. Gagasan tulen Al-Jahiz mengenai sederet teori penting dalam ilmu biologi itu, dipaparkannya dalam buku Al-Hayawan (buku tentang binatang).

Buku Al-Hayawan merupakan sebuah ensiklopedia zoologi yang terdiri atas tujuh jilid. Di dalamnya, Al-Jahiz mengupas dan menguraikan lebih dari 350 jenis binatang. Buku ini dipandang sejarawan sains sebagai karya besar dan terpenting yang telah disumbangkan oleh Al-Jahiz bagi peradaban manusia moden. Secara khusus, Al-Jahiz telah menguraikan teori evolusi dalam bukunya itu. Teori itu diasaskan pada pengaruh lingkungan terhadap binatang.

Selain itu, beliau juga sudah memikirkan kesan lingkungan terhadap keberlangsungan hidup binatang. Inilah yang dikatakan sebagai teori struggle for existence. Dalam buku itu juga, Al-Jahiz telah menguraikan idea pilihan alam dan rantai makanan. ‘Binatang terlibat dalam sebuah perjuangan untuk mempertahankan hidupnya; mencari makanan, menghindar jadi mangsa, dan ber kembang biak. Faktor-faktor lingkungan mempengaruhi organisme untuk mengembangkan karakteristik baru bagi menjamin tetap bertahan hidup, kemudian bertransformasi menjadi spesies baru,’ demikian bunyi teori stuggle for existence yang tertulis dalam buku Al-Hayawan.

Teori-teorinya yang briliant tentang ilmu haiwan itu membuatkan Al-Jahiz layak ditabalkan sebagai peletak asas zoologi moden. Lalu, siapa sebenarnya Al-Jahiz itu? H A R Gibb telah mengungkapkan bahawa Al-Jahiz adalah cucu seorang hamba berkulit hitam. Beliau lahir di Basrah, Iraq, pada 781 Masehi. Hakikatnya, Al-Jahiz berasal dari keluarga miskin yang kerap dililit masalah kewangan. Beliau sudah menjadi anak yatim pada usia beberapa bulan. Kemiskinan tidak membuatkan keluarga Al-Jahiz menyerah. Ibu mendorong puteranya untuk terus belajar. Al-Jahiz disekolahkan di sekolah Al-Quran yang ada di tanah kelahirannya.

Kala itu, Al-Jahiz sering berkumpul dengan sebuah perkumpulan pemuda di sebuah masjid di Basrah. Di tempat itu, mereka mendiskusikan berbagai macam subjek ilmu pengetahuan. Al-Jahiz kemudiannya berguru kepada sederet ilmuan. Beliau melanjutkan pelajarannya hingga usia 25 tahun. Otaknya yang pintar dan briliant membuatkannya mampu menguasai beragam ilmu pengetahuan. Kemahuannya yang keras untuk menguasai beragam ilmu memicunya untuk lebih rajin membaca.

Semua tulisan dan karya-karya penting dilahapnya, termasuk buku terjemahan Yunani dan falsafah Yunani, khususnya buah pemikiran Aristoteles. Kemilau Baghdad sebagai metropolis intelektual dunia juga telah menarik perhatian Al-Jahiz. Beliau lalu memutuskan untuk berhijrah ke pusat pemerintahan Dinasti Abbasiyah itu. Salah satu tempat pertama yang didatanginya di Baghdad adalah Bait Al-Hikmah atau House of Wisdom - pusat kajian dan keilmuan terbesar di dunia. Beliau memanfaatkan peluang yang diberikan para khalifah yang gemar dengan ilmu pengetahuan untuk mengembangkan kemampuannya.

Ketika menetap di Basrah, Al-Jahiz sudah dikenali sebagai seorang penulis. Sejak kecil, ibu beliau telah menanamkan kecintaan terhadap buku. Alkisah, suatu hari ibu beliau telah menawarkannya sebuah sampan penuh dengan buku-buku catatan. Ibunya lalu berkata bahawa kelak dia akan mendapat kehidupan dari menulis. Menulis menjadi sebahagian hidup yang tidak terpisahkan dalam kehidupan Al-Jahiz. Selama hidupnya, dia telah mengarang lebih dari 450 judul buku. Itulah yang membuatkan Philp K Hitti mendaulatnya sebagai salah seorang ilmuan Islam prolifik. Sayangnya, yang masih tersisa dan bertahan menembusi ruang dan waktu hanyalah 30 judul.

Setelah 50 tahun menetap di Baghdad, Al-Jahiz kemudian memutuskan untuk kembali ke tanah kelahirannya, Basrah. Beliau meninggal dunia di kota itu pada Januari 869. Ada juga yang meyakini, ilmuan ini dilahirkan pada Disember 868 Masehi. Namun, penyebab kematiannya belum jelas. Ada sebuah riwayat yang mengatakan bahawa beliau mengalami kemalangan, tertimbun buku di perpustakaan peribadinya. Namun, ada sebuah versi lain mengatakan bahawa dia menderita sakit dan meninggal dunia pada bulan Muharram.

Al-Jahiz telah mengarang banyak buku. Buku Al-Hayawan merupakan salah sebuah karyanya yang paling terkenal. Al-Jahiz merupakan lelaki hebat yang boleh membuktikan bahawa orang dari keluarga miskin, bukan halangan untuk mendapat pendidikan tinggi, lebih dari 12 abad yang lalu. Bukunya Al-Hayawan merupakan pengaruh yang hebat dalam ilmuan Islam mahupun Eropah, seperti Lamark dan Darwin. Al-Hayawan juga merupakan ensiklopedia tentang beragam jenis binatang yang terdiri atas tujuh jilid. Dalam ensiklopedia itu, Al-Jahiz menulis sekitar 350 jenis haiwan. Beliau mengungkapkan sederet teori penting dalam biologi seperti evolusi, struggle for existence, rantai makanan, serta pilihan alam.

Buku Al-Bukhala - sebuah kumpulan cerita tentang ketamakan. Dipaparkan dengan gaya penulisan yang humor dan menyindir. Buku ini merupakan salah satu contoh gaya menulis prosa Al-Jahiz yang hebat. Buku itu juga mengupas tentang psikologi manusia. Dalam buku itu, Al-Jahiz cuba menyindir guru sekolah, pengemis, penyanyi, dan penulis yang tamak. Buku itu dinilai sebagai karya sasteranya yang paling bagus.


Buku Al-Bayan wa Al-Tabyin pula adalah buku tentang retorika yang ditulis Al-Jahiz. Dalam buku ini, beliau memaparkan tentang teknik pidato, syair kepahlawanan, gaya berbicara, teknik berdebat, serta tips-tips berkomunikasi lainnya. Manakala buku Moufakharat al Jawari wal Ghilman - dalam bahasa Arab, kata jawari merupakan bentuk jamak dari jariya yang bererti seorang pelayan wanita alias gundik. Dalam buku itu, Al-Jahiz memaparkan ada dua jenis jariya. Buku itu mengisahkan kehidupan dua jenis jariya. Sedangkan kata ghilman merupakan bentuk jamak ghoulam atau seorang pelayan laki-laki muda. Buku ini menarik perhatian kerana memaparkan cerita erotik masyarakat Arab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA