Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Belia
Tonggak Negara merupakan frasa yang sudah mangli dicagunkan sejak sekian lama.
Realitinya adalah benar bahawa golongan belia merupakan aset bernilai kerana
mereka adalah pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara.
Golongan belia yang mapan dalam akademik, kemahiran, sahsiah, dan jati diri
adalah perlu untuk mereka menyumbang secara positif kepada kecemerlangan dan
mengukuhkan ekonomi serta masa depan negara.
Sebab itulah program pembangunan belia sejak sekian lama telah dirancang dengan
teliti untuk melengkapkan mereka dengan sikap yang positif, berpengetahuan,
berkeupayaan memimpin, mempunyai sikap keusahawanan dan mempunyai kemahiran
terutamanya dalam bidang ICT supaya mereka boleh mengatasi segala halangan yang
dihadapi dalam persaingan pembangunan ekonomi yang pesat serta arus
globalisasi.
Selain didedahkan dengan pengetahuan bercorak akademik, golongan belia juga
telah dilengkapi dengan sifat dan keperibadian mulia, berpengetahuan tentang
nilai dan budaya sendiri serta masyarakat majmuk yang lain. Untuk mencapai
pembangunan belia mapan, perancangan dasar dan strategi khusus telah pun
dilaksanakan. Negara kita sudah mempunyai Dasar Pembangunan Belia Negara dalam
usaha meningkatkan dan mengembeleng potensi belia, namun kemahiran yang tinggi
tetap diperlukan supaya ianya bersesuaian dengan masa dan keadaan.
Mengikut Dasar Belia Negara, belia dikategorikan kepada golongan yang
berumur antara 15 hingga 40 tahun, di mana golongan belia ini meliputi 42.1%
daripada jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah 23.27 juta orang pada tahun
2000. Golongan ini merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi,
kebudayaan dan pendidikan. Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan
negara serta sebagai bakal pemimpin negara, golongan belia harus sedar bahawa
hanya kemahiran saja yang dapat merealisasikan cita-cita ke arah negara yang
bertamadun tinggi sebagaimana yang telah dicagunkan oleh zaman kegemilangan
Islam di kota Baghdad, Damsyik dan Kordova suatu ketika dulu.
Lantaran itu golongan belia harus menyedari peranan dan tanggungjawab bagi
mencapai agenda pembangunan negara. Bagi tujuan tersebut, belia perlu
melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memudahkan penglibatan
dan penyertaan mereka dalam pembinaan nusa bangsa serta menghadapi cabaran
globalisasi.
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa generasi muda kini masih
terbelenggu dengan krisis kurangnya budaya keilmuan, kemahiran dan
keintelektualan yang mana merupakan asas kepada kemajuan dan kepembangunan sesebuah
tamadun. Kejayaan tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga
hari ini ialah tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan
peloporan dalam sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan ilmu,
kemahiran dan keintelektualan. Tamadun Yunani, China, India, Bizantin, Rom,
Parsi dan sebagainya amat menyerlah dalam sejarah kerana keterampilan dan
kemahiran mereka memajukan idea. Lebih-lebih lagi Tamadun Islam amat gemilang
sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan suatu ketika dulu.
Muhammad Natsir, bekas Perdana Menteri Indonesia pernah mengungkapkan
bahawa generasi muda kini khususnya di peringkat kepimpinan dan masyarakat
dilanda dengan ketiadaan inventariasi. Ketiadaan inventariasi ini merujuk
kepada kekeringan idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu
mengembang dan memanfaatkan potensinya sebagai golongan yang benar-benar mampu
mencipta kecemerlangan.
Kata-kata beliau ini ada kebenarannya, apabila kita meneliti senario
generasi muda kini ramai yang mempunyai ijazah, diploma, sijil-sijil kemahiran
dan sebagainya tetapi tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu-ilmu yang
diperolehi di menara gading untuk dikembangkan dengan penuh inovasi dan
kreativiti. Contoh termudah, ramai graduan yang menganggur gagal memanfaat
potensi diri mencipta peluang-peluang pekerjaan baru selain daripada mengharap
untuk bekerja makan gaji. Bagi yang telah mendapat pekerjaan, ada di antaranya
masih terbelenggu dengan cara kerja lama dan tidak pro-aktif kerana kekurangan
daya kreativiti, inovasi dan kemahiran mengolah ilmu-ilmu yang telah dipelajari
agar sesuai untuk dimanfaatkan kepada realiti semasa.
Fenomena kegersangan asas kemahiran, kreativiti dan keintelektualan ini
khususnya kepada generasi muda akan menyebabkan kelesuan daya fikir yang
akhirnya menyebabkan kegagalan untuk memahami realiti semasa dalam masyarakat
kini. Akibatnya lahirlah program-program pembangunan, projek-projek dan
aktiviti-aktiviti meliputi soal ekonomi, politik dan sosial yang gagal
mengubati simptom sebenar yang menjadi puncanya. Banyak tenaga, wang dan
keringat dihabiskan tetapi tiada sebarang kesan yang boleh dibanggakan apalagi
bermanfaat untuk pembangunan negara.
Yang jelasnya, tanpa kemahiran yang utuh akan menyebabkan negara gagal
bersaing di peringkat global dan akibatnya negara akan lemah dan akan terus
dijajah walaupun telah mencapai kemerdekaan kerana penyakit yang dinyatakan
oleh Malek Binnabi sebagai penyakit colonsibilite
yang bermaksud suka merelakan diri diperhambakan dan hanya mahu menjadi manusia
pengguna lantaran daripada minda yang lemah dan tiada kemahiran yang mampu
mencipta sesuatu yang baru. Penyakit ini menyebabkan kita masih terjajah kerana
kita meniru segalanya akibat lemah dari aspek pendidikan, keilmuan, kemahiran,
pembangunan dan sebagainya. Apabila kita tidak mampu menjadi manusia pencipta
dan hanya mampu menjadi manusia pengguna, kita akan terus terdedah dengan
pelbagai eksploitasi terutama oleh negara lain yang lebih ke hadapan dalam
aspek penciptaan.
Ketidakmampuan negara-negara Islam mencipta senjata yang moden dan canggih
telah menyebabkan mereka dijajah oleh negara kuasa besar sehingga meranapkan
seluruh maruah. Apa yang telah terjadi kepada Afghanistan, Iraq, Bosnia dan
sebagainya merupakan catatan tinta sejarah yang begitu memilukan lantaran
hakikat ini diabaikan.
Justeru, golongan belia di negara kita harus memulakan langkah-langkah
proaktif bagi merekayarsakan budaya keilmuan, tradisi keintelektualan dan
kemahiran. Ilmu merupakan suatu perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh
setiap individu belia kerana ia adalah perkara pokok pembinaan negara dan
ketamadunan.
YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menegaskan
bahawa program pembangunan belia harus berpaksikan kepada 3K iaitu
kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan. Bagi YAB Perdana Menteri, setiap
belia harus memiliki ciri kepemimpinan yang baik. Paling kurang, belia harus
mampu memimpin dirinya sendiri. Belia yang mampu memimpin diri sendiri bukan
saja tidak menjerumuskan dirinya dengan kegiatan tidak sihat, sebaliknya mereka
akan menjadi rakyat yang patriotik, bersemangat kemasyarakatan dan kesukarelaan
yang tinggi.
Kemahiran pula menyediakan belia untuk pekerjaan. Kemahiran tidak sama
dengan ijazah atau diploma. Kemahiran tidak boleh dipelajari dari mana-mana
universiti. Kemahiran ialah kemampuan menguasai dan mempraktikkan ilmu yang
dipelajari secara sistematik dan profesional dalam suasana sebenar. Belia
berkemahiran tidak akan menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan. Apabila
kemahiran tersebut dipraktikkan, secara tidak langsung dapat pula memberi
pulangan kepada pembangunan negara.
Belia juga mesti mempunyai ilmu dan semangat keusahawanan. YAB Perdana
Menteri telah menegaskan bahawa belia harus mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Ia lebih bersifat mewujudkan pekerjaan dengan belia yang membabitkan diri dalam
keusahawanan menyediakan peluang pekerjaan untuk dirinya sendiri dan orang
lain.
Sementara itu, dalam mengambil semangat 3K ini, Menteri Belia dan Sukan,
Datuk Azalina Othman Said telah mengajak generasi muda supaya melakukan anjakan
paradigma untuk melihat pendidikan bukan sekadar mengejar segulung ijazah,
tetapi meraih kemahiran hidup. Sering kali kemahiran dikaitkan dengan latihan
teknikal dan vokasional. Sebut saja perkataan kemahiran, tentu saja akan
terbayang di minda kita nama-nama seperti Institut Kemahiran Belia Negara
(IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM), Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan
(MLVK), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan sebagainya.
Sebenarnya kemahiran lebih daripada itu. Umumnya, kemahiran boleh
dibahagikan kepada dua. Pertama ialah kemahiran asas. Ini ialah kemahiran yang
perlu ada untuk seseorang melakukan pekerjaan. Kewujudan pusat latihan ialah
untuk menyediakan kemahiran kepada belia dalam bidang terpilih. Bagaimanapun,
kesilapan kita yang paling besar ialah apabila mengaitkan kemahiran dengan
institusi latihan saja. Ramai yang gagal melihat pusat pengajian tinggi sebagai
tempat membina kemahiran. Lantaran itulah pusat pengajian tinggi menjadi tempat
untuk mengumpul ijazah dan diploma semata-mata.
Generasi muda harus melakukan anjakan paradigma dan melihat bahawa
pengajian sama ada pada peringkat sijil, diploma atau ijazah ialah untuk
mendapatkan kemahiran bukannya sekeping kertas semata-mata. Mendapat kemahiran
asas saja tidak cukup. Dalam soal ini, Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk
Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah menegaskan bahawa kemahiran harus dilihat dari
skop yang luas.
Oleh itu, belia juga harus mendapatkan soft
skills atau kemahiran yang diperlukan bagi melengkapkan kemahiran asas. Soft skills yang diperlukan termasuk
kemahiran pengurusan, kemahiran berkomunikasi dan hubungan perseorangan,
keterampilan diri, kemahiran menyelesaikan masalah dan sengketa, kemahiran
berhadapan dengan masalah dan sebagainya. Datuk Seri Dr Mohamad Khir seterusnya
berkata bahawa pertubuhan belia adalah wadah yang cukup baik untuk mendedahkan
generasi muda kepada kemahiran seperti yang telah disebutkan di atas. Melalui
pembabitan dalam persatuan belia, anak muda dapat belajar mengurus,
berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan berhubung dengan pelbagai pihak. Ini
adalah kemahiran yang penting dan berguna dalam hidup mereka. Ketidakmampuan
sebahagian graduan mendapat pekerjaan dengan cepat berpunca daripada kegagalan
mereka untuk menguasai soft skills
ini.
Sesungguhnya aset dan kekayaan yang paling bernilai bagi sesebuah negara
atau bangsa bukanlah emas dan perak mahupun hasil-mahsulnya tetapi yang
bernilai dan berharga itulah manusia. Demikianlah yang dilafazkan oleh Dr.
Yusuf al-Qaradawi dalam ucapannya kepada golongan belia dalam kunjungannya ke
Malaysia suatu ketika dahulu. Jika pandangan beliau ini dapat ditafsirkan
dengan lebih lanjut, ia boleh memberi maksud bahawa keutuhan, kejayaan dan
kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada manusia yang mencorakkan
pemerintahan serta pentadbirannya selain menggerakkan perancangan yang diatur.
Di sinilah juga terserlahnya peranan yang perlu dilaksanakan oleh
pemerintah dan rakyatnya yang khusus ditujukan kepada golongan belia.
Pemerintah yang berwibawa akan menjalankan pemerintahan berdasarkan
prinsip-prinsip yang digariskan dengan adil, amanah lagi cemerlang manakala
rakyat atau golongan belia memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi
kepada pemerintah dan mencurahkan bakti dengan sepenuh hati.
Banyak bangsa dan negara di dunia yang telah berjaya membuktikan kemampuan
mereka untuk membina tamadun yang dikagumi dan dijadikan teladan. Namun, apakah
sebenarnya ciri yang menjadikan bangsa atau negara tersebut berbeza dari sudut
pencapaian masing-masing? Ia tidak lain dan tidak bukan, hanyalah prinsip yang
menjadi asas tamadun yang dibina iaitu ilmu dan kemahiran. Inilah keistimewaan
dan keunikan misalnya yang ada pada tamadun Islam dan umatnya yang mendirikan
tamadun yang sungguh gemilang bermula sejak 7 Masihi lagi.
Apa yang penting di sini ialah betapa pentingnya golongan belia di negara
ini memiliki dan menguasai kemahiran yang tertentu dan kemahiran tersebut
relevan dengan tuntutan serta keperluan semasa negara. Dengan kemahiran
tersebut, golongan belia mampu bersaing dalam pelbagai asas sumber tenaga
manusia serta pewaris kepimpinan dan masa depan negara. Negara kita
sesungguhnya telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang.
Dalam usaha mengekalkan kecemerlangan ini, generasi belia perlu memberikan
komitmen yang sepenuhnya dan bekerja kuat bagi mencapai matlamat sesebuah
negara yang terbilang. Belia di negara ini bukan sahaja perlu menjadi lebih
cekap serta dilengkapi dengan kemahiran baru yang lebih baik, bahkan juga perlu
lebih inovatif, pintar, berdisiplin, mempunyai nilai dan etika kerja yang luhur
dan bertunjangkan jati diri yang kukuh.
Selain itu, apa yang perlu difahami oleh generasi belia ialah, ilmu tidak
boleh dihadkan hanya kepada maklumat atau data-data semata-mata, tetapi yang
lebih penting ialah ilmu yang boleh memberi nilai-tambah (value-added knowledge) kepada keluaran dan perkhidmatan. Ini akan
membantu untuk bertindakbalas dengan cepat terhadap sebarang perubahan yang
mendatang.
Profesor Paul Kennedy dari University of Yale, Amerika Syarikat di dalam
bukunya yang berjudul The Rise and Fall
of the Great Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500-2000,
telah menganalisis tentang kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar dunia. Beliau
mendapati faktor penting yang menentukan kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa
besar ini ialah sikap bangsa tersebut terhadap ilmu dan penghayatan budaya
ilmunya.
Manakala, Ibn Khaldun, seorang pemikir Islam di abad ke -14 pernah
menyatakan bahawa bangsa yang mempunyai kekuatan tenaga manusia serta kekuatan
tentera, walaupun berperanan untuk menjadikan bangsa itu kuat, tetapi ianya
tidak menjadi faktor utama bagi memberi kekuatan hakiki. Malah telah berlaku
beberapa peristiwa dalam sejarah bagaimana sesuatu bangsa yang kuat tetapi
tidak ditunjangi oleh budaya ilmu dan kemahiran yang baik, lambat-laun akan
memeluk dan menganuti ciri-ciri tamadun bangsa yang ditaklukinya.
Budaya ilmu dan kemahiran bagi sesebuah masyarakat memberi maksud bahawa
keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung,
mahupun tidak langsung dengan teratur dalam kegiatan keilmuan dan kemahiran
bagi setiap kesempatan. Ia juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan di mana
segala tindakan manusia baik di tahap individu, organisasi, mahupun masyarakat
diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Di dalam
budaya ilmu dan kemahiran, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam
sistem nilai peribadi dan masyarakat, sementara kemahiran pula mampu menjadikan
sesuatu ilmu itu lebih bermanfaat kepada semua golongan masyarakat.
Selain itu, budaya ilmu dan kemahiran tidak mengiktiraf sifat jahil, bebal,
malas, segan, mandom, kelesa, anti ilmu dan anti kemahiran. Pada zaman moden
ini, makna ilmu telah disempitkan kepada pengetahuan tentang fakta, maklumat
dan kemahiran sahaja. Dari segi worldview
Barat, knowledge denotes `acquaintance
with or clear perceptions of facts.
Sebagaimana kata Aristotle, “Kecemerlangan bukanlah satu perbuatan tetapi
kebiasaan.” Walau bagaimanapun, ia akan mengambil masa yang panjang dan
memerlukan kemahiran dan usaha yang gigih. Individu yang berilmu dan
berkemahiran mampu membentuk sebuah masyarakat dan negara yang cekap dan
berkesan. Jika semua warga negara mempunyai ilmu, kemahiran dan kompetensi yang
sesuai dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing, maka kita tidak mempunyai
masalah untuk menyedia dan memberi sumbangan yang bermanfaat dan berkesan
kepada dunia. Bagi mendalami ilmu dan kemahiran dalam bidang tugas kita adalah
fardu ain bagi kita semua.
Selain itu golongan belia juga harus mempunyai bukan sahaja ilmu
pengetahuan tetapi juga kemahiran yang sentiasa diperbaharui dan
dipertingkatkan dari masa ke semasa supaya dapat menggunakan secara maksimum
sumber-sumber yang ada, untuk kepentingan negara dan juga masyarakat
keseluruhannya. Seperti kata Warren Bennis, ‘The
major challenges for leaders in the 21st century will be how to release the
brainpower of their organization.’ Di abad ke-21 ini, untuk menguasai
bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) contohnya, golongan belia perlu
memberi perhatian kepada membentuk sebuah generasi yang menggalakkan
pembelajaran, kemahiran dan inovasi. Pengenalan beberapa konsep seperti konsep
Organisasi Pembelajaran (Learning
Organisation), Pembelajaran Sepanjang Hayat (Life-Long Learning), dan K-Worker
(K-Based Economy) dengan jelas
menunjukkan betapa pentingnya meningkatkan ilmu, kemahiran dan inovasi melalui
nilai-tambah ilmu (value-added knowledge).
Generasi belia harus sedar bahawa dunia kini sedang mengalami perubahan
pesat akibat daripada globalisasi serta kemajuan teknologi maklumat dan
komunikasi. Setiap pencapaian atau kemajuan memerlukan tahap pengetahuan,
inovasi, kemahiran dan kreativiti yang lebih tinggi. Apa yang perlu ialah
persiapan untuk menerima dan melibatkan diri sepenuhnya dengan peraturan baru
ini.
Oleh itu generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang sesuai untuk menghadapi persaingan ini. Menurut Lester Thurow
(1997), ‘The dominant competitive weapon
of the 21st century will be education and skills of the workforce.’
Lantaran itulah golongan belia ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu,
kemahiran dan kompetensi tertentu supaya mereka boleh melibatkan diri secara
aktif dan bermakna dalam perundingan dan perbincangan mengenai isu-isu ekonomi,
politik dan sosial di peringkat antarabangsa. Antara ilmu dan kemahiran yang
perlu ialah fasih berbahasa Inggeris dan bahasa-bahasa utama lain, bijak
berkomunikasi, mahir berunding, cekap membuat keputusan dan sebagainya. Bagi
mencapai matlamat ini, peranan latihan adalah penting.
Dalam era K-Ekonomi, tidak dapat dinafikan bahawa ilmu adalah penjana utama
pertumbuhan ekonomi. Penggunaan ilmu yang cekap dan berkesan akan menjurus
kepada pertambahan pengeluaran dengan kualiti yang lebih baik dan kos yang
lebih rendah dan dengan itu memperolehi untung yang lebih tinggi. Dengan kata
lain, ‘the brain is more superior than
the brawn, or the mind is better than the muscle’. Bagi merealisasikan
K-Ekonomi, dua perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah sumber manusia
dan perubahan sikap. Ini hanya boleh dicapai melalui latihan dan kemahiran.
Perkembangan pesat dalam bidang ICT menjadikan kos komunikasi dan
pengangkutan lebih murah serta dapat bergerak dengan pantas. Internet, e-mel,
laman web dan alat komunikasi lain seperti telefon selular, mesin faksimili dan
satelit merupakan keperluan harian yang membolehkan kita berkomunikasi dengan
warga dunia secara mudah, cekap dan segera. Kita perlu meningkatkan keupayaan
untuk menerima dan menyerap teknologi yang sentiasa berubah ini untuk sentiasa
berada di hadapan. Kita perlu terima kenyataan bahawa kita tidak dapat lari
daripada ledakan ICT ini. Dengan itu kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu dan
kemahiran dalam bidang ICT bagi membolehkan kita mampu bersaing dengan orang
lain yang lebih maju. Sekiranya aspek ini diabaikan, mustahil kita akan mampu
mencipta kecemerlangan sebagaimana yang diimpikan oleh negara.
Proses pembelajaran dan mencari pengalaman serta mencipta kemahiran tidak
terhad kepada zaman persekolahan dan zaman lepas sekolah sahaja, tetapi ia
berterusan sehingga akhir hayat. Dalam era ICT, maklumat, data, fakta,
pengetahuan dan kemahiran menjadi lapuk setiap masa. Manakala kemahiran pula
perlu diperbaharui setiap masa untuk membolehkan pengendalian peralatan yang
sentiasa berubah dan semakin canggih. Supaya tidak ketinggalan, setiap individu
terutama generasi belia perlu sedar mengenai keperluan berterusan untuk menambah
ilmu, kemahiran dan membaiki kompetensi. Dengan itu, mereka perlu sentiasa
mengambil peluang yang sedia ada untuk terus meningkatkan pengetahuan dan
kemahiran, terutamanya untuk menentukan kerja dapat dilaksanakan dengan cekap
dan sempurna.
Golongan belia juga digalakkan menghadiri program latihan untuk
meningkatkan kemahiran masing-masing selaras dengan strategi pembangunan diri
atau modal insan. Selain itu golongan belia juga perlu dijadikan masyarakat
iqra dalam hasrat membina kemampuan negara dari segi peningkatan penguasaan
ilmu, kemahiran dan kepakaran. Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu
dan kemahiran dalam semua bidang perlu dihayati. Penguasaan sains dan teknologi
serta peningkatan kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan
Islam. Begitu banyak ayat di dalam Al-Quran yang menyentuh soal penguasaan
sains dan teknologi, yang perlu diberikan perhatian oleh golongan belia.
Sumbangan tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran
renaissance di Eropah wajib diketahui
oleh golongan terbabit. Usaha melahirkan saintis Malaysia yang dapat
menghasilkan penemuan-penemuan baru wajar direalisasikan.
Manusia tidak mungkin berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap
dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam
dan fenomenanya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah SWT untuk manusia yang
diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu
diperlengkap dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran, supaya membolehkan manusia
menguasai dunia.
Amatlah penting generasi belia memahami dan menghayati Islam sebagai sistem
kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan
menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab
akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada
akhirat semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang
mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi.
Kini hasrat kerajaan adalah menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf
dunia. Peruntukan terbesar telah diberi kepada sektor pendidikan iaitu hampir
satu perempat daripada peruntukan mengurus dalam tahun 2005. Perbelanjaan
mengurus sebanyak 16.3 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran dan
5.2 bilion ringgit bagi Kementerian Pengajian Tinggi. Beberapa program
memantapkan sistem pelajaran telah diteruskan termasuk Program Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, perluasan program ICT
melalui projek pengkomputeran dan Schoolnet. Institusi baru yang bakal
beroperasi mulai tahun 2005 termasuk 85 buah sekolah menengah, 45 buah sekolah
rendah, 7 buah sekolah berasrama penuh dan 32 buah asrama baru.
Bagi memenuhi keperluan peralihan strategik dalam industri, enrolmen di
peringkat diploma akan dipertingkatkan. Ini termasuk enrolmen pelajar
vokasional dan teknik di Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan
Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara.
Sebanyak 670 juta ringgit telah disediakan bagi membina institusi baru. Di
samping itu, 248 juta ringgit telah disediakan bagi menaiktaraf kemudahan sedia
ada.
Untuk meningkatkan jumlah pelajar lepasan sekolah menengah berpeluang
mengikuti latihan kemahiran, kerajaan bakal mengoptimumkan kemudahan sedia ada.
Sebanyak 190 juta ringgit telah diperuntukkan bagi tahun 2005. Program dua syif
bakal dijalankan di Politeknik, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti
dan Institut Kemahiran Mara. Kerajaan juga telah mengenal pasti 30 ribu tempat
tambahan bagi tempoh tiga tahun. Selain dari itu, Program Pembangunan Kemahiran
Teknikal dan Peningkatan Kemahiran Perindustrian bakal dilaksanakan oleh Pusat
Pembangunan Kemahiran Negeri. Pelaksanaan program ini bakal membantu mengatasi
masalah bekalan tenaga kerja mahir. Secara purata seramai 4,000 pelajar telah
ditaja untuk melanjutkan pelajaran di luar negeri setiap tahun oleh agensi
utama seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA, Petronas dan Bank Negara
Malaysia.
Kerajaan juga telah menambah bilangan tempat bagi pelajar tajaan MARA luar
negeri di bawah Skim Pelajar Cemerlang daripada 700 kepada 1,000 pelajar setiap
tahun. Di samping itu, Khazanah Nasional bakal menaja 100 pelajar cemerlang
untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka luar negara dalam subjek
teknikal dan profesional. Program ini bermatlamat untuk memilih dan membimbing
kerjaya mereka yang akan memimpin Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government
Linked Companies (GLC) kelak. Ini akan meninggikan lagi keupayaan dan kualiti
pengurusan syarikat GLC.
Program memperkasa belia juga bakal dilaksanakan dengan fokus diberi kepada
meningkatkan pengetahuan, kemahiran vokasional dan keusahawanan serta
menggalakkan interaksi sosial dan gaya hidup sihat. Selain dari itu, tumpuan
adalah ke atas program menanam nilai murni dan membentuk kepimpinan berkualiti.
Semangat jati diri, tabah dan patriotik merupakan ciri penting yang harus
dimiliki oleh setiap belia.
Sementara itu, Jamaluddin Al-Afghani pernah menyebutkan tentang sikap umat
Islam yang hanya bermegah tentang kejayaan datuk nenek mereka dalam mencipta
tamadun dan sejarah. Tetapi malangnya mereka sendiri tidak pernah berusaha
untuk mencapai tahap sedemikian. Shakib Arsalan pernah menceritakan kepada
Jamaluddin Al-Afghani bahawa bangsa Arab dahulu pernah berjaya menyeberangi
lautan Atlantik dan menemui benua Amerika sebelum ditemui oleh orang Eropah.
Lalu dijawab oleh Jamaluddin Al-Afghani: ‘Memang benar datuk nenek kamu dahulu
orang yang berjaya. Tetapi kamu adalah kamu, tidak layak kamu mengingatkan
kemegahan masa lalu tentang keturunan kamu tanpa sebarang usaha gigih seperti
mereka.’
Itulah realiti kehidupan generasi belia kini yang hanya mengulangi
babak-babak sejarah datuk nenek mereka tanpa memikirkan masa depan sendiri dan
negara. Generasi belia tidak dapat bangun kecuali mereka mempunyai pemikiran
masa depan (fikr al-mustaqbal) dan
cipta masa depan untuk masyarakat (sina‘at
al-mustaqbaliyyah). Golongan belia harus sedar bahawa kita mundur bukanlah
kerana kurangnya harta tetapi kita tidak menggunakan akal pemikiran yang
dianugerahkan oleh Allah dengan sebaiknya. Kita leka dengan puji-pujian dan
sanjungan orang lain tentang nenek moyang kita. Kita dibuai dengan mimpi-mimpi
indah tanpa ada usaha untuk merubah diri dan menerima perubahan.
Seorang penulis dan pakar sejarah berbangsa Lebanon, Amir Shakib Arsalan,
dalam bukunya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Our Decline: Its Causes and Remedies
telah memetik catatan seorang penulis Perancis bernama Marquis Lamazier, yang
mengembara ke negeri Jepun. Catatan itu yang disiarkan dalam Journal De Geneva bertarikh 20 Oktober
1930, menggambarkan bagaimana bangganya orang Jepun memelihara identiti
nasional mereka, bahasa mereka, seni mereka, kemahiran mereka dan apa juga budaya
tradisi yang mereka miliki.
Menurut Lamazier, pada
masa yang sama, Jepun meniru ciri-ciri terbaik pembangunan tamadun Eropah dan
Amerika dari sudut material, sistem ketenteraan, pendidikan massa dan
metodologi pentadbiran kewangan, untuk dimanfaatkan sebagai amalan di negara
mereka. Ini bermakna bangsa Jepun hanya mengambil model atau pendekatan yang
terbaik dalam pembangunan tamadun kedua-dua kuasa besar dunia itu, dalam
membangunkan semula bangsa mereka. Dengan ilmu dan kemahiran yang mereka
miliki, kini Jepun telah berupaya membina sebuah kecemerlangan sehingga membuka
mata negara-negara Barat. Generasi belia di negara kita juga harus menjadikan
Jepun sebagai model untuk membina sebuah tamadun baru sebagaimana yang
dihasratkan oleh Islam Hadhari.
Lantaran itu generasi belia di negara kita ini perlu
menghadhorikan Islam sebagai sebuah tamadun baru dan bukannya terus berbangga
dengan tamadun Islam silam yang pernah tersohor suatu ketika dulu di mana zaman
kegemilangan Islam yang telah melahirkan ramai cendekiawan di Baghdad, Damsyik
dan juga Andalusia. Apa yang harus difahami oleh generasi muda sekarang ialah
mencipta sebuah tamadun baru sebagai umat pencipta dan bukannya sebagai umat
pengguna. Kedatangan Rasulullah SAW sebagai rahmatanlilalamin
harus dijadikan asas untuk kita berubah menjadi masyarakat yang bertamadun
berlandaskan konsep kecemerlangan dalam semua aspek hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan