Khamis, 4 Julai 2013

Ibnu Taimiyyah (Menentang Allah Boleh Hulul (Bertempat) Dalam Tubuh Makhluk)


SMAHADZIR

DI DALAM sejarah Islam, terdapat seorang lagi pejuang yang tidak boleh dilupakan begitu saja kerana jasa-jasa yang telah dipamerkan semasa hayat dalam menegakkan syiar agama di mercu gemilang. Beliau yang dimaksudkan ialah Ibnu Taimiyyah. Nama lengkap beliau ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad Bin Abdul Salam Bin Abdullah Bin Muhammad Bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali dan lebih dikenali sebagai Ibnu Taimiyyah.

Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan 22 Januari 1263 Masehi di Harran. Ayah beliau adalah seorang yang warak, berilmu tinggi, pakar agama selain seorang yang boleh dianggap besar dalam bidang agama Islam iaitu Syihabuddin Abu Ahmad Halim Ibnu Taimiyah.

Ayah beliau ini adalah seorang Imam Muhaqqiq yang tinggi ilmunya, meninggal dunia pada tahun 681 Hijrah. Datuknya adalah Syeikhul Islam, Majduddin Abul Barakat Abbas Salam Ibnu Taimiyah, seorang Hafiz Hadis yang ternama. Begitulah rentetan sejarah ringkas keturunan Ibnu Taimiyyah.

Pada waktu tersebut, keadaan negeri kelahiranyan sentiasa saja dalam keadaan kacau-bilau,. Ini adalah kerana ketenteraman digugah oleh bangsa Monggol menyebabkan Syihabuddin Abu Ahmad Halim Ibnu Taimiyyah terpaksa berpindah ke Damsyik bersama-sama seluruh keluarganya. Di Damaskus itulah beliau mempelajari serta mendalami agama Islam.

Sebagai seorang kanak-kanak yang dianugerah Allah s.w.t akan kecerdasan akal, ketangkasan berfikir dan kepintaran memahami setiap pelajaran yang diberikan, dengan mudah beliau berjaya menerima apa saja yang diajarkan kepadanya sehingga muncul sebagai seorang pelajar terpintar. Antara guru yang pernah mengasuh dan mengajar beliau ialah seorang ulama besar yang bernama Zainuddin Abdul Daim Al-Mukaddasi, Najmuddin Ibnu Asakir termasuk seorang ulama wanita terkenal iaitu Zainab binti Makki.

Walaupun begitu, menurut catatan sejarah, guru yang mengajar beliau melebihi seratus orang. Ini menunjukkan betapa beliau amat mencintai ilmu. Beliau tidak akan merasa puas hanya belajar dengan seorang guru. Oleh sebab itu beliau berusaha mencari dan menimba ilmu daripada seberapa ramai guru yang boleh.

Ada pendapat mengatakan, beliau tidak pernah berhenti belajar sehinggalah pada ketika beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Sesungguhnya beliau kuat ingatan, cepat hafal, lekas faham, dan tidak bosan membaca serta tidak pernah beristirahat daripada menambah ilmu, juga dalam perjuangannya.

Setelah ayah beliau meninggal dunia, beliau menggantikan ayah beliau mengajarkan ilmu fiqh dalam mazhab Hambali dan dalam ilmu tafsir. Pada tahun 691 Hijrah bersamaan 1292 Masehi beliau pergi mengerjakan haji, dan di kota Mekah beliau bertemu dengan ramai ulama besar. Banyak ulama yang beliau hindari kerana salah dalam sesuatu debat dan pendapat di dalam masalah hukum. Itulah Ibnu Taimiyah, ulama besar yang merengkuk dalam penjara Mesir.

Baru saja beliau bebas dari penjara, kemudian ditangkap lagi dan dipenjarakan yang kedua kalinya selama setengah tahun lagi. Sebabnya kerana beliau menulis sebuah kitab yang isinya mengenai masalah ketuhanan yang tidak dipersetujui oleh sebilangan para ulama. Di dalam penjara yang hanya setengah tahun itu, beliau berhasil menginsafkan banduan yang merengkuk bersama beliau sehingga semua yang insaf itu menjadi pendukung dan pengikut yang setia. (Ada sumber yang mengatakan bahawa di penjara yang kedua ini selama satu setengah tahun lagi lamanya).

Adapun isi kitab yang menyebabkan beliau di penjara yang kedua itu ialah beliau menentang ajaran Tasawwuf Ittihadiyah yang menyatakan bahawa Allah boleh hulul (bertempat) dalam tubuh makhluk. Jelasnya kepercayaan hulul ialah kepercayaan bahawa Allah bersemayam di dalam tubuh seseorang disebabkan kemurnian atau kesucian rohnya. Adapun kepercayaan ittihad (al-lttihad) ialah kepercayaan mengenai Allah yang dapat bersatu dengan manusia. Apabila telah terjadi ittihad, maka orang yang berkenaan tidak sedar diri.

Hal ini mereka namakan makwu, atau sampai kepada tingkat lenyapnya zat yang fana dengan Zat Allah yang baqa. Kalau sudah sampai ke tingkat yang sebegini, maka segala yang diucapkan tidak terkena hukum syirik walaupun pada zahirnya syirik, kerana orang yang mengucapkan itu sedang dalam keadaan sukar atau mabuk kepayang.

Di antara kaum sufi dan Guru Thariqat mempercayai melancarkan faham ini adalah Umar Ibnul Faridh dan Ibnu Ath allal. Itulah faham sesat yang beliau tentang, tetapi beliau bahkan di penjara selama satu setengah tahun di Syam (kini Syria). Baru beberapa hari keluar dari penjara yang kedua, beliau ditangkap lagi dan dipenjarakan selama lapan bulan lamanya di Alexanderia, kerana fatwa beliau pula yang tidak sesuai dengan fahaman kebanyakan para ulama.

Keluar dari penjara Alexandaria, beliau dipanggil oleh Sultan Nashir Qalaun untuk memberikan fatwa di hadapan khayalak umum. Ini disebabkan sultan menyenangi sifat terus-terang dan keterbukaan beliau. Beliau bersedia memberikan fatwa atau ceramah di khalayak ramai, dan ternyata fatwa beliau itu menggemparkan para ulama yang bermazhab Syafie, namun beliau tetap dikasihi oleh sultan. Bahkan beliau mendapat tawaran menjadi professor di sebuah Sekolah Tinggi yang didirikan oleh Putera Mahkota.

Beliau dilantik lagi menjadi professor di sebuah Sekolah Tinggi, tetapi pada bulan Ogos 1318 beliau dilarang mengeluarkan fatwa oleh Penguasa, padahal fatwa-fatwa beliau itu diperlukan umat Islam ketika itu. Dalam diam-diam murid-murid beliau mengumpulkan fatwa-fatwa beliau yang cemerlang itu dan berhasil membukukannya, kemudian dicetak, yang kemudian dinamakan Fatwa Ibnu Taimiyyah.

Alangkah sedih hati rakyat yang yang mencintai den menghormati beliau. Mereka tetap mengunjunginya, meminta fatwa-fatwa, lebih-lebih lagi untuk melepas rindu terhadap beliau yang baru pulang ke kota Damsyik yang beliau tinggalkan selama lebih daripada tujuh tahun (dalam waktu itu beliau hidup dari penjara ke penjara). Beberapa waktu kemudian beliau ditangkap lagi dan dipenjarakan untuk kali keempat selama lima bulan lapan hari.

Demikianlah hidup beliau, dari penjara ke penjara. Semua perkara yang dijadikan masalah telah beliau keluarkan fatwanya. Soal talak tiga di dalam satu majlis hanya satu yang jatuh, tentang beliau melarang berziarah ke Masjid atas kubur keramat kecuali Masjid Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Kota Madinah dan Baitul Muqaddis di Jerusalem.

Juga sekitar masalah ketuhanan dan memurnikan ajaran Islam, mengamalkan ibadah yang murni menurut faham yang terdahulu, iaitu faham salaf. Juga masalah syirik dan bid’ah yang membahayakan akidah Islam beliau tentang, agar Islam kembali kepada kemurniannya sepertizaman salaf.

Yang terakhir beliau ditangkap lagi atas perintah Sultan dalam bulan Syaaban 726 Hijrah. (Julai 1326 Masehi) dan kemudian dipenjarakan yang kelima kalinya selama 20 bulan. Kali ini kamar tahanannya amat sempit dan bertembok tebal. Dalam kamar tahanannya itu beliau tetap menulis, kerana menulis itu yang membawa kebahagiaan bagi beliau. Beliau dilarang berfatwa kemudian menulis, bahkan isi tulisannya sangat bagus.

Maka walaupun beliau hidup dalam lingkungan tembok penjara yang tebal, tetapi hati beliau tidak sedih dan tidak pula gundah. Dalam penjara inilah beliau berkata yang kemudian terkenal sampai sekarang, iaitu: ‘Orang yang terpenjara ialah yang dipenjara syaitan, orang yang terkurung ialah orang yang dikurung syaitan. Dan dipenjara yang sebenarnya ialah yang dipenjarakan hawa nafsunya.

Bila orang-orang yang memenjarakan saya ini tahu bahawa saya dalam penjara ini merasa bahagia dan merasa merdeka, maka mereka pun akan dengki atas kemerdekaan saya ini, dan akhirnya mereka tentulah mengeluarkan saya dari penjara ini.’

Setelah petugas tahu bahawa beliau dalam penjara terus menulis, maka semua kitab dan alat-alat tulis beliau dirampas dan dikeluarkan dari kamar penjara. Itulah hukuman yang paling kejam bagi beliau. Keadaan ini beliau terima de-ngan hati sedih dan bercucuran air mata. Dalam penjara terakhir ini beliau bersama dengan para murid beliau yang juga dimasukkan dalam tahanan.

Namun semua pengikut beliau yang ditahan itu telah dibebaskan, kecuali seorang murid beliau yang paling setia yang masih menyertai beliau dalam penjara, iaitu Ibnul Qayyim Al-Jauziyah (691-751 Hijrah). Setelah tidak boleh menulis lagi, beliau pun mengambil kitab suci Al-Quran yang tidak ikut dirampas. Beliau baca Al-Quran itu sampai penat, kemudian berzikir dan solat, membaca Al-Quran lagi bertilawat, kemudian solat dan berzikir.

Demikianlah yang beliau kerjakan, sehingga sejak beliau tidak boleh menulis telah menamatkan (mengkhatamkan) membaca Al-Quran 80 (lapan puluh kali). Dan ketika beliau membaca akan masuk ke-81 kalinya, tetapi ketika sampai kepada ayat yang ertinya, ‘Sesungguhnya orang yang muttaqin itu akan duduk di dalam syurga dan sungai-sungai yang mengalir di bawahnya, di dalam kedudukan yang benar, pada sisi Tuhan Allah Yang Maha Kuasa.’

Beliau pun tidak dapat meneruskan bacaannya lagi, kerana jatuh sakit selama 20 hari. Saat itu beliau telah berusia 67 tahun, dan telah merengkuk dalam penjara yang terakhir itu selama lebih dari 20 bulan lamanya, dan ketika itu sakit beliau semakin bertambah. Orang ramai tidak mengetahui bahawa beliau dalam keadaan sakit, kerana yang mengurus diri beliau hanyalah Ibnul Qayyim Al-Jauziyah muridnya yang setia.

Baru setelah muadzin berseru dari atas menara bahawa beliau telah pulang ke rahmatullah, berduyun-duyun orang mengerumuni gerbang penjara. Ramai orang yang terisak menangis dan meratapi kematian beliau. Juga ramai orang yang ingin mengambil berkah dari hanya melihat wajah beliau, memegang jenazah beliau dan bahkan ada yang mencium beliau.


Beliau meninggal dunia hari Isnin, 20 Zul Kaedah 728 Hijrah bersamaan 26-28 September 1328 Masehi, dalam usia 67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam keadaan membaca Al-Quran. Walaupun begitu beliau seorang yang banyak dibenci terutama oleh mereka yang bermazhab Syafie, tetapi jenazah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA