Jumaat, 19 Julai 2013

SYAIR: Anak Bertuah Bentala Merdeka


SMAHADZIR

Insafkan diri kala dijajah
Siang dan malam hidup gelisah
Bentala menangis dirundung gundah
Ke hadrat Allah hanya berserah

Bulan di langit udam temaram
Mentari pula bersinar kelam
Cahaya terhalang berwajah muram
Sama sahaja siang dan malam

Syukur ke hadrat Yang Maha Esa
Curah hidayah pejuang bangsa
Menyimbah darah bergadai nyawa
Bangun membela membebas nusa

Bukannya mudah julang persada
Mengusir penjajah untuk merdeka
Jasa pejuang jangan dilupa
Patut dikenang sepanjang masa

Anak bertuah bentala merdeka
Usahlah lalai usahlah leka
Merdeka bukan untuk bersenda
Tidak ternilai emas permata

Setelah merdeka bentala sejahtera
Warganya hidup aman bahagia
Kekayaan bumi anugerah Yang Esa
Digarap dikaut setiap masa

Rezeki melimpah subur melata
Kencana meruah merata-rata
Rajin bertusaha beriring doa
Keluarga bahagia hidup sempurna

Pemimpin negara bijak berbudi
Membangun negara megah berdiri
Dasar ekonomi pentas berbakti
Jurang kemiskinan tiada lagi

Maruah bangsa dicegat gagah
Martabat agama sukar digoyah
Walau dihina disakat digugah
Mahsyur persada dijulang megah

Kereta nasional di lebuh raya
Bangunan tertinggi megah di kota
Laman internet tersohor merata
Tanda bentala membangun nyata

Bila bentala bertakhta di mercu
Musuh menjelma bernada cemburu
Bangun bangsaku usah membatu
Hapus petualang penjajahan baru

Cintai bentala sepenuh jiwa
Sayang agama lindungi bangsa
Anak bertuah dijajah tak rela
Jadi boneka musuh durjana

Usah diturut kehendak hati
Dihasut petualang perosak negeri
Mementing nafsu beragenda sendiri
Kelak bentala dijajah lagi

Anak bertuah bentala merdeka
Generasi esok jangan dilupa
Cegatkan wawasan pemimpin kita
Oraklah langkah teguhkan persada

Inilah syair anak bertuah
Bentala merdeka subur meruah
Bersama pemimpin jangan berpisah
Bersatulah kita usah berpecah

Bersatu erat asas pembangunan
Genggam kukuh turus keamanan
Tegakkan pancang pagar perpaduan
Nescaya subur pohon keharmonian

Bersama menuju ke satu arah
Negara membangun hidup bermaruah
Seluruh tenaga ikhlas diserah
Gunung maklumat digondol ditarah

Bila warga kaya maklumat
Wawasan negara capai matlamat
Tertegak kukuh pembangunan umat
Tinggilah kalimat Allah Muhammad

Agama Islam di puncak tinggi
Pembangunan negara tentu diberkati
Mulia martabat rohani jasmani
Di mercu agung masyarakat madani

Anak bertuah bentala merdeka
Inilah perjuangan yang harus ditempa
Kemajuan duniawi bersungguh dikerja
Bekalan akhirat jangan dilupa

Ingatlah wahai anak bertuah
Bentala merdeka semakin berubah
Pelbagai cabaran memarak bercambah
Akal anugerah penentu arah

Dunia teknologi canggih ketara
Semakin luas menjangkau dunia
Jaringan internet mencabar minda
Saring dan pilih ilmu berguna

Menuntut ilmu satu tuntutan
Ke Negeri China pernah disaran
Ada iktibar sabda Junjungan
Pengukur taraf kualiti insan

Lantaran itu anak bertuah
Cekalkan hati berusaha gagah
Penuhkan dada agar meruah
Ilmu dikaut amal dicurah

Masyarakat madani hasrat wawasan
Tabah menempuh segala cabaran
Seiring dengan suruhan Tuhan
Sifat mahmudah jadi amalan

Insan berkualiti jadi harapan
Tonggak utama dalam gagasan
Penegak negara masa hadapan
Yakin boleh moto perjuangan

Sifat mazmumah harus dibenci
Jangan diamalkan di dalam hati
Boleh rosak perpaduan harmoni
Antara kita warga pertiwi

Bila perpaduan rosak binasa
Musuh menerpa membuat angkara
Wawasan pembangunan jadi tergendala
Anak merdeka harus waspada

Musuh negara bukannya satu
Di mana saja mungkin beribu
Berniat jahat bernafsu cemburu
Menyekat segala wawasan maju

Anak merdeka perlulah sedar
Petualang negara berminda pintar
Setiap detik merayap menjalar
Keharmonian bentala mahu dikelar

Bila negara disergap rusuh
Kemajuan terhalang pembangunan tertangguh
Pelabur menghilang lari menjauh
Saham menjunam ekonomi jatuh

Inilah idaman musuh durjana
Bijak berselindung di pelbagai nama
Sudah menyelinap ke dalam agama
Merosak paduan kita sesama

Jangan termakan janji yang palsu
Rasionalkan minda usah keliru
Muslihat musuh memang begitu
Emas permata semuanya batu

Ringgit meredum angkara mereka
Untuk menjajah kali kedua
Syukur ke hadrat Allah Yang Esa
Cepat disedarkan dari terleka

Terima kasih pemimpin bestari
Membawa bentala dari tergari
Usaha musuh berjaya diatasi
Bersama rakyat yang satu hati

Ekonomi tersungkur terus dicegat
Keyakinan pelabur ditawan dipikat
Anak merdeka sepadu sepakat
Membina semula segala nikmat

Pelbagai cabaran yang datang melanda
Menguji minda anak merdeka
Apakah mereka sedar dan rela
Menyerah jiwa menjaga bentala

Terbukti sudah di depan mata
Anak merdeka tak mudah digula
Walau disogok emas permata
Maruah negara tetap dibela

Anak merdeka bukannya hamba
Bodoh dan dungu tidak berminda
Akal diberi bijak bekerja
Menilai intan ataupun kaca

Kini negara semakin menjulang
Pelbagai aspek pelbagai bidang
Ekonomi mencanak tidak terhalang
Amanah saham terus berkembang

Kesedaran rakyat membantu negara
Usah diragu usah curiga
Tambah pelaburan setiap masa
Kaut dividen berlipat ganda

Sungguh mulia jasa PNB
Mengubah hidup rakyat peribumi
Seruan melabur mengukuh ekonomi
Masa hadapan cerlang berseri

Tidak terbalas budi dan jasa
Sumbangan bermakna dari negara
Anak merdeka hidup sejahtera
Hasil wawasan pemimpin wibawa

Sungguh beruntung hidup di sini
Bentala Malaysia yang aman harmoni
Pembangunan pesat hari ke hari
Kekayaan meruah serata negeri

Anak merdeka yang bijak bestari
Rajin berusaha martabatkan diri
Setiap bidang harus diceburi
Demi tingkatkan taraf ekonomi

Berpeluk tubuh mengundang rugi
Melepak di tembok perbuatan keji
Menghisap dadah menempah mati
Tuah di mata bergolek pergi

Lantaran itu anak merdeka
Usah dirasuk iblis celaka
Bangggakan negara banggakan keluarga
Jadilah warga berakhlak mulia

Akhlak mulia tuntutan agama
Buruk peribadi bangsa terhina
Wawasan gemilang tidak terlaksana
Pembangunan dibangga tidak bermakna

Insafkan diri anak merdeka
Jangan hancurkan maruah negara
Realisasikan semua wawasan dicipta
Biar gemilang seantero dunia

Sampai di sini syair berhenti
Anak merdeka memohon diri
Percayalah segala janji terpateri

Bentala Malaysia terpaku di hati

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA