SMAHADZIR
Dengarlah ini kisah berlaku
Di sebuah negeri waktu dahulu
Belum merdeka tatkala itu
Negerinya mundur rakyatnya dungu
Tanah Melayu negeri digelar
Belantara tebal tumbuh melebar
Binatang liar ganas berkeliar
Semua manusia hidup terbiar
Rakyat di sini bernama Melayu
Tinggal di hutan kerja memburu
Tak ada pelajaran mindanya beku
Tindak statik bak tunggul kayu
Walaupun negeri hutan belantara
Hasil buminya menyegarkan mata
Jadi rebutan pelbagai bangsa
Berduyunlah mereka mahu berkuasa
Berbagai usaha mula dicari
Mahu menawan negeri ini
Kekayaan bumi hasrat di hati
Hendak dikaut dikorek digali
Mereka penjajah nama diberi
Kononnya bangsa bertamadun tinggi
Sebagai pedagang menyamar diri
Senjata di kapal sarat terisi
Pada mulanya memanglah susah
Tanah Melayu mahu dijarah
Satuan rakyatnya sukar dibelah
Lalu dirancang pelbagai helah
Rasuah dicipta untuk menggula
Dihulur kepada sesiapa yang suka
Tak kita rakyat tak kira raja
Akhir berjaya muslihat mereka
Pembesar negeri yang buta mata
Terima rasuah sambil ketawa
Tak sedar kiasan makna peribahasa
Semut kan mati kerana gula
Rasuah memang perbuatan serakah
Perosak bangsa penggadai maruah
Lantaran itu negeri dijajah
Ketawalah mereka berdekah-dekah
Langkah pertama dicari kelemahan
Bangsa Melayu di tanah jajahan
Ditelusur adat dan corak pemikiran
Diselidik dikaji dibuat rumusan
Satu hipotesis berjaya dibina
Tersemat kukuh di minda mereka
Orang Melayu malas berusaha
Mendoakan rezeki jatuh ke riba
Dikatanya lagi orang Melayu
Terlalu percaya tahayul dan hantu
Pantang melihat lembaga berbulu
Cepat membuka langkah seribu
Orang Melayu kuat berangan
Memikat burung cukup berkenan
Bersabung ayam jadi mainan
Kerbau dilaga dalam kurungan
Konon Mat Jenin mentor idola
Jadi ikutan dijulang minda
Sekadar berangan tak payah berusaha
Segala impian kan jadi nyata
Angan dicanai tinggi menjulang
Di puncak kelapa impian dipasang
Beras secupak berganda segantang
Akhirnya jatuh tertunggging kejang
Selepas Mat Jenin mati berangan
Pak Pandir pula jadi kiasan
Orang Melayu bodoh dan lamban
Anak sendiri tak tahu dibezakan
Pelbagai gelaran diukir dituju
Kepada kita bangsa Melayu
Konon termundur berotak beku
Jumud primitif statik dan kaku
Usaha penjajah terus-terusan
Di sebalik idea juga gagasan
Semata-mata mahu menekan
Bangsa Melayu bangsa hingusan
Mereka kenalkan corak ekonomi
Mengajar kita cara bertani
Hasil meruah berguni-guni
Dikaut dibawa keluar negeri
Sekolah dibuka mengajar kita
Kononnya mahu mengubah minda
Disebar meluas sistem sekular
Terbentuklah kita ikut acuannya
Setelah sistem terserap sebati
Disuburkan pula pelbagai ideologi
Bangsa Melayu tak ubah abdi
Hidup mengharap ehsan subsidi
Jadilah kita bangsa merempat
Di tanah sendiri lenyap martabat
Kebebasan minda digari dibebat
Hidung dicucuk punggung disebat
Kereta besar menjalar di jalan
Kita pemandu mereka tuan
Upah diberi sekali sebulan
Penjajah bersandar memberi arahan
Ladang dan estet mereka terajui
Kita sekadar dijadikan kuli
Peluh mengalir membasahi bumi
Mereka bersenang bergoyang kaki
Sesungguhnya apa yang kita dapat
Setelah menyimbah peluh keringat
Memeras segala tenaga dan kudrat
Sedang kehidupan makin melarat
Tidak seharusnya disalahkan diri
Tatkala itu kita tergari
Tubuh dijajah kebebasan dicuri
Di dalam tempurung kita berlari
Tanah sebidang untuk bertani
Sebuah madrasah membersih rohani
Selebihnya muzik penyegar naluri
Itulah hadiah yang penjajah beri
Kita dianggap bangsa terbangang
Senang dibuli disepak terajang
Beras secupak tak jadi segantang
Bangsa fatalis minda tak matang
Sinonimnya kita dengan sebutan
Bangsa Melayu lemah bersopan
Cepat terkulai disergah cabaran
Harmoni hidup di dalam hutan
Syukur kepada Allah Yang Esa
Memberi hidayah kesedaran bangsa
Mengubah fikiran dan juga minda
Bangun berjuang menuntut bela
Lahirlah pahlawan bangsa Melayu
Cita merdeka digalas di bahu
Kepada penjajah dipujuk dirayu
Bebaskan negeri dari belenggu
Semangat juang terpahat nubari
Rela berkorban dan sanggup mati
Semua rakyat bersatu hati
Akhirnya penjajah mengundur diri
Orang Melayu mula berkuasa
Membangun negara dan juga bangsa
Kesedaran dipupuk setiap warga
Supaya bersatu membentuk nusa
Kalau dulu penjajah tuan
Tapi kini mereka di depan
Kita di belakang bersandar badan
Beri arahan stereng haluan
Sedarlah mereka siapa kita
Bangsa Melayu yang pernah dihina
Kini sudah menjulang nama
Sebagai bangsa terkenal di dunia
Anak Melayu di arena global
Dipandang setaraf batang pengimbal
Hina primitif berotak bebal
Segala dakwaan usahlah kesal
Kita sudah tunjukkan bukti
Pelbagai bidang pelbagai kategori
Hasil semangat pencapaian diri
Terbangun megah jadi realiti
Kalau dulu dikata mereka
Orang Melayu macam boneka
Boleh diarah ke mana saja
Macam Pak Pandir dengan bodohnya
Itu semua hipotesis prejudis
Dari penjajah berhati iblis
Memang Melayu sekerdil bilis
Tapi hati tak hancur digilis
Kisah Pak Kaduk kita insafi
Tragedi Mat Jenin kita jauhi
Angkara Si Kitul kita awasi
Haloba Si Soros kita perangi
Dulu Melayu dianggap abdi
Hidup mengharap ehsan subsidi
Malas berusaha mengubah diri
Senang dijajah seronok dibuli
Sebelum merdeka kita ketawa
Segala cemuhan dianggap senda
Sebenarnya takut hendak membela
Walau maruah bangsa dicela
Tetapi kini jangan dicuba
Bangsa Melayu tak mudah digula
Bijak menilai kaca permata
Terkejut penjajah terbeliak biji mata
Bangsa Melayu tak lagi hingusan
Goyah dan mudah dikotak-katikkan
Umpama karang di tengah lautan
Kental menempuh segala cabaran
Sekarang kita sudah berjaya
Memajukan ekonomi memakmurkan nusa
Pembangunan dibina seluruh mandala
Semakin tinggi martabat bangsa
Kebolehan diri bangsa Melayu
Tidak diduga sejak dahulu
Memecah ruang jumud dan beku
Menuju gagah ke alaf baru
Kini terbukti kemampuan kita
Bangsa Melayu yang dulu dihina
Membina wawasan memerah minda
Merubah segala menjadi nyata
Kemajuan kita semakin pesat
Pembangunan moden sukar disekat
Bangunan menjulang berpuluh tingkat
Kemakmuran meruah serata tempat
Kereta nasional kita berjaya
Menjalar seluruh pelosok dunia
Kalau nak lihat penjajah terkesima
Hadiahkan sebuah Proton Exora
Bila mereka datang ke mari
Melihat KLIA tegak berdiri
Hebat canggih berteknologi tinggi
Pasti terbelangah mulut terkunci
Ajaklah mereka melawat MSC
Supaya dapat melihat sendiri
Teknologi maklumat canggih di sini
Tentu mereka terkejur mati
Menara Berkembar mencapai awan
Laluan LRT jauh pandangan
KLCC canggih indah menawan
Itu semua tanda kemajuan
Di Bukit Jalil stadium terulung
Sukan Komenwel di sini berlangsung
Negara Malaysia dipuji disanjung
Amanah dunia mampu ditanggung
Hati penjajah tentu terluka
Pedih laksana tersiram cuka
Kalau melewar di Putrajaya
Canggih unik tersergam nyata
Katakan kepada penjajah itu
Supaya mereka sedar dan malu
Bangsa Melayu kini dan dulu
Jauh berbeza seluar dan baju
Budaya kita tidak begitu
Menyimpan dendam amarah di kalbu
Biar penghinaan umpama sembilu
Itu pencetus semangat baru
Kalaulah tidak kerana mereka
Menjajah kita sebelum merdeka
Melayu mungkin belum terjaga
Masih dibuai mimpi pesona
Kemerdekaan ini mengajar kita
Lebih kreatif mencanai minda
Bina impian menjadi nyata
Cerna wawasan martabatkan bangsa
Impian mencapai wawasan gemilang
Bersalut rusuh sengsara diserang
Pelbagai tohmahan kejian dicanang
Bagai tersungkur cita-cita dipancang
Sungguh berliku jalan impian
Sebelum digarap jadi kenyataan
Beriring dengan semangat pencapaian
Tercapai akhirnya cita wawasan
Kematangan minda atasi segala
Cabaran merempuh umpama gelora
Syukur kepada Allah Yang Esa
Memberi kudrat menempah jaya
Tekad wawasan jadi teraju
Mencapai status negara maju
Perindustrian moden hala dituju
Rakyat berjuang sama membantu
Kita berbangga atas kecemerlangan
Negara dijulang status perindustrian
Tidak sekadar bidang pertanian
Kereta tempatan megah di jalan
Gigih berusaha jadi peneraju
Rekabentuk intelektual mahu diburu
Teknologi canggih dipadu satu
Semangat pencapaian berganding bahu
Berbekal dengan wawasan jelas
Bermula dari perancangan waras
Arah aliran disukat diparas
Keputusan pintar kreatif dikupas
Gandingan sentuhan warga berilmu
Kacamata seni erat berpadu
Merealisasikan bentuk produk terbaru
Rekabentuk kreatif wahana bermutu
Anak Malaysia bijak merancang
Perahan idea tegak dipancang
Membantu produk para pengilang
Menjimat masa dan juga wang
Ilham ciptaan anak Malaysia
Diakui canggih hebat nilainya
Menjulang nama satu dunia
Satu wawasan negara kita
Dengan inspirasi juga keutuhan
Keunggulan disulam semangat pencapaian
Berjaya menukar semua impian
Terbina kukuh jadi kenyataan
Kejayaan dibangun bukannya senang
Visi wawasan berakar tunjang
Pengurusan mahir menjadi tulang
Perkongsian bijak asas cemerlang
Dalam semua aspek ekonomi
Wawasan dicipta penuh teliti
Segala cemuhan dipandang sepi
Untuk membangun rakyat peribumi
Pembangunan pesat yang kita kecapi
Mengundang dengki dan iri hati
Terutama musuh di luar negeri
Diterajui Yahudi kapitalis ekonomi
Kononnya mereka bangsa mulia
Pilihan Allah seluruh semesta
Tidak berdosa buat apa saja
Hatta membunuh sesama manusia
Lantaran itu mereka menyerang
Ekonomi kita biar terkedang
Meredumlah jatuh nilai matawang
Pembangunan kita gesit terhalang
Bangsa Melayu berminda bijak
Muslihat musuh pantas dijejak
Walau ekonomi tersungkur ditabrak
Pemimpin berwibawa gesit bertindak
Begitulah kejamnya musuh agama
Bergelar Yahudi bangsa ternama
Sejak Perang Salib dendam membara
Tak pernah padam terus menyala
Syukur lagi ke hadrat Yang Esa
Krisis ekonomi menginsafkan kita
Bersama pemimpin menyatukan usaha
Yang rebah tersungkur dicegatkan semula
Tindakan bijak membuahkan jaya
Saham diniaga melonjak ketara
Keyakinan pelabur melangkah mara
Tertutuplah semua fitnah dan cela
Begitulah antara kisah paparan
Bangsa Melayu merempuh cabaran
Mencapai impian jadi kenyataan
Berpadu dengan semangat pencapaian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan