Khamis, 4 Julai 2013

Al-Tabari (Ahli Psikologi Tersohor)

SMAHADZIR

DUNIA psikologi Islam mengenalinya sebagai pencetus terapi penyakit jiwa. Nama penuh ahli psikologi tersohor Islam dari abad ke-9 Masehi ini ialah Abu Al-Hasan Ali ibnu Sahl Rabban Al-Tabari. Selain dikenali sebagai seorang ahli psikologi, Al-Tabari juga menguasai ilmu fizik dan kedoktoran. Namanya tetap dikenang berkat karya-karya tulisannya yang sangat berpengaruh.

Melalui buku Firdous Al-Hikmah yang ditulisnya pada abad ke-9 Masehi, dia telah mengembangkan psikoterapi untuk menyembuhkan pesakit yang mengalami gangguan jiwa. Al-Tabari menekankan kuatnya hubungan antara ahli psikologi dengan kedoktoran. Beliau berpendapat, untuk mengubati pesakit gangguan jiwa memerlukan kaunseling dan psikoterapi.

Al-Tabari menjelaskan, pesakit kerap kali mengalami sakit kerana imaginasi atau keyakinan yang sesat. Untuk mengubatinya, kata Al-Tabari, boleh dilakukan melalui ‘kaunseling bijak’. Terapi ini boleh dilakukan oleh seorang doktor yang bijak dan punya humor yang tinggi. Caranya dengan membangkitkan kembali ke percayaan diri pesakitnya. Pemikirannya di abad ke-9 Masehi ternyata masih relevan hingga sekarang.

Ahli psikologi kenamaan ini lahir pada 838 Masehi. Beliau merupakan keturunan Yahudi Parsi yang menganut Zoroaster. Menurut SN Nasr, dalam karyanya yang bertajuk Life Sciences, Alchemy and Medicine. Al-Tabari semasa hidupnya telah berpindah keyakinan menjadi seorang Islam. Awalnya, dia berasal dari keluarga Yahudi dari Merv di Tabaristan. Kerana itu nama belakangnya ditambahkan Al-Tabari sesuai dengan nama daerah asalnya. Beliau lalu memutuskan berhijrah ke dunia Islam sewaktu Khalifah Abbasiyah, Al-Mu’tasim (833-842) berkuasa.

Al-Tabari lalu mengabdi di istana khalifah Dinasti Abbasiyah hingga kepemimpinan Al-Mutawakkil (847-861). Al-Tabari berasal dari keluarga ilmuwan. Ayahnya, Sahl Ibnu Bishr merupakan seorang ahli pengubatan, pakar astrologi dan ahli matematik yang terkenal. Dia tergolong dalam keluarga bangsawan dan ramai orang di sekitarnya memanggilnya Raban yang ertinya ‘pemimpin kami’.

Ayahnya iaitu Sahl Ibnu Bishr adalah guru pertama bagi Al-Tabari. Dari ayahnya, beliau mempelajari ilmu pengubatan dan kaligrafi. Sebagai seorang pemuda berotak pintar, Al-Tabari juga sangat mahir berbahasa Suriah dan Yunani. Nama besarnya dicacat dan diabadikan dalam dalam karya muridnya Muhammad Ibnu Zakariya Al-Razi alias Rhazes, salah seorang ahli fizik agung.

Al-Tabari dinilai muridnya sebagai seorang guru yang berdedikasi tinggi. Tak hairanlah, jika murid-muridnya juga meraih kejayaan seperti dirinya, salah seorangnya ialah Al-Razi. Beliau mengajar Al-Razi ilmu pengubatan sewaktu menetap di wilayah Rai. Lalu dia berhijrah ke Samarra dan menjadi setiausaha kepada Mazyar ibnu Marin.

Buku Firdous Al-Hikmah atau Paradise of Wisdom merupakan karya agung Al-Tabari. ‘Beliau menghasilkan karya pertamanya dalam bidang pengubatan. Dia merupakan orang pertama yang mengusung ilmu kesihatan kanak-kanak dan bidang pertumbuhan anak,’ ujar Amber Haque dalam bukunya yang berjudul Psychology from Islamic Perspec: Contributions of Early Islam Scholars and Challenges to Contemporary Islam Psychologists.

Bukunya yang monumental itu juga diterjemahkannya ke dalam bahasa Suriah. Al-Tabari memiliki dua kompilasi untuk karyanya yang dinamakan Deen-Al-Doulat dan Hifdh Al-Sehhat. Karya besar ilmuwan itu boleh ditemui di perpustakaan Universiti Oxford, England. Al-Tabari meninggal dunia pada tahun 870 Masehi, namun namanya hingga kini tetap abadi.

Buku Firdous Al-Hikmah berisi tentang sistem pengubatan yang dibuat dalam tujuh bahagian. Buku pertama itu dikategorikan sebagai ensiklopedia kedoktoran dan dibuat dalam tujuh volume dan 30 bahagian, dengan jumlah 360 bab. Dalam bukunya itu, Al-Tabari membahagi ilmu pengubatan dalam beberapa bahagian, antara lain: ilmu kesihatan kanak-kanak dan pertumbuhan kanak-kanak serta psikologi dan psikoterapi. Di bahagian pengubatan dan psikoterapi, Al-Tabari menekankan kekuatan antara psikologi dan pengubatan, dan keperluan psikoterapi dan kaunseling pada pelayanan pengubatan pesakit.

Menurut Amber Haque, Al-Tabari menulis dalam risalahnya, untuk mengubati pesakit gangguan jiwa memerlukan kaunseling dan psikoterapi. Beliau melakukan pendekatan terhadap pesakit dengan bantuan kaunseling, atau mengarahkan pesakitnya mengungkapkan isi hati serta perasaan yang menggangu. Beliau juga mengajarkan agar para doktor, memberikan perhatian, tidak hanya dalam bentuk pengubatan, namun juga dalam bentuk berdialog. Inilah usaha yang diyakini Al-Tabari akan membantu kejayaannya sebuah pengubatan.

Pemikirannya dalam bidang ahli psikologi banyak mempengaruhi Al-Razi. Melalui buku yang ditulisnya yakni El-Mansuri dan Al-Hawi, Al-Razi juga telah berhasil mengungkapkan definisi symptoms (gejala) dan perawatannya untuk menangani sakit mental dan masalah-masalah yang berhubungan dengan kesihatan mental. Al-Razi juga tercatat sebagai doktor atau ahli psikologi pertama yang membuka ruang psikiatri di sebuah hospital di Kota Baghdad.

Pemikir Islam lainnya pada masa keemasan Islam yang turut menyumbangkan pemikirannya untuk pengubatan penyakit kejiwaan adalah Al-Farabi. Ilmuwan termasyhur ini secara khusus menulis risalah berkaitan dengan psikologi sosial dan hubungan dengan kajian kesedaran. Hingga kini, sebanyak lima karya Al-Tabari masih tetap tersimpan di perpustakaan. Dr Mohammed Zubair Siddiqui telah membandingkan dan mengedit manuskrip karya Al-Tabari. Dalam kata pengantarnya, Siddiqui mengaku sangat kagum dengan karya ilmuwan dari abad ke-9 Masehi itu. Menurutnya, buah fikir Al-Tabari sangat berguna.

Al-Quran Di Mata Al-Tabari

Ali bin Rabban Al-Tabari awalnya adalah penganut Zoroaster. Beliau lalu memutuskan untuk masuk Islam, kerana begitu kagum dengan Al-Quran. Ahli psikologi terkemuka itu mengaku tidak pernah menemui tulisan mahupun bahasa yang lebih hebat dan sempurna selain dari Al-Quran.

Pengakuan Al-Tabari terhadap kehebatan Al-Quran itu dikutip MSM Saifullah dalam karyanya yang bertajuk Topics Relating to The Al-Quran: I’jaz, Grammarians & Jews. ‘Apa yang dikatakan Quran itu adalah benar. Kenyataannya adalah saya tidak menemui satu buku pun, dalam bahasa Arab dan Parsi serta dalam bahasa India atau Yunani yang sempurna seperti Al-Quran,’ ujarnya.

Karya Besar Al-Tabari


  1. Firdous Al-Hikmah atau Paradise of Wisdom
  2. Tuhfat Al-Muluk atau The King’s Present
  3. Hafzh Al-Sihhah atau The Proper Care of Health
  4. Al-Ruqa atau Book of Magic or Amulets
  5. Fi Al-Hijamah atau Treatise on Cupping
  6. Fi Tartib Al-’Ardhiyah atau Treatise on the Preparation of Food   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA