Ahad, 11 November 2012

Pembudayaan Budi Bahasa Dan Nilai Murni Di Sekolah


Budi bahasa dan nilai-nilai murni adalah sesuatu yang amat perlu dalam kehidupan manusia. Budi bahasa dan nilai-nilai murni ini perlu diperkenalkan sejak di bangku sekolah lagi. Jika dilihat fenomena melata pada hari ini, kelunturan budi bahasa dan nilai-nilai murni begitu ketara sekali. Fenomena ’murid buli murid’ dan ’murid pukul guru’ adalah petunjuk kepada fenomena tersebut. 

Setiap warga sekolah perlulah menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni sebagai budaya atau trade mark sekolah mereka. Dalam melaksanakan budi bahasa dan nilai-nilai murni di sekolah, imej diri yang positif dalam cara berfikir dan bertindak, melahirkan perasaan dan pertuturan yang menunjukkan kemurnian budi bahasa dan nilai-nilai murni. Setiap warga sekolah hendaklah berusaha untuk melahirkan sekolah berwatakkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dijelmakan di sekolah akan memberi manfaat dan faedah kepada semua pihak. 

Dalam menentukan kecapaian misi dan visi sesebuah sekolah, budi bahasa dan nilai-nilai murni seharusnya menjadi asas dan tunjangnya. Berbagai program dan aktiviti boleh dirancang untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni berakar umbi dan menjadi budaya di sekolah. Kempen-kempen, seminar, kem-kem boleh diberi imej dan pengolahan baru dalam menjayakan hasrat melahirkan pelajar yang berbudi bahasa dan hidup berdasarkan nilai-nilai murni yang disepakati. Disamping itu juga, sokongan dan dokongan yang kuat seluruh warga sekolah akan mempercepatkan usaha-usaha murni yang diidamkan dan dicita-citakan ini.

Pengenalan

Dalam era pelbagai pembangunan yang begitu hebat dirancang, seperti pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kualiti hidup, seharusnya merancang pembangunan budi bahasa dan nilai-nilai murni juga perlu diselarikan. Budi bahasa dan nilai-nilai murni amat dititikberatkan dalam masyarakat Malaysia dan Melayu khususnya, Kata-kata puitis yang begitu kaya dalam masyarakat kita sudah cukup membuktikan hasrat dan cita-cita masyarakat dan pemimpin kita, antaranya:

 Yang kurik itu kendi,
 Yang merah itu saga,
 Yang baik it budi,
 Yang indah itu bahasa.

Ianya diperkuatkan lagi dengan kata-kata puitis di bawah, yang cukup jelas menggambar budaya hidup masyarakat kita yang begitu halus akal budinya.

 Tegak rumah kerana sendi,
 Runtuh sendi rumah binasa,
 Send bangsa ialah budi,
 Runtuh budi, runtuhlah bangsa.

Dalam memenuhi hasrat negara melahirkan warga negara minda kelas pertama yang berteraskan modal insan, aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni tidak boleh dikesampingkan. Institut integriti Malaysia (IIM) telah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) dalam memenuhi cabaran keempat, wawasan 2020 iaitu .’....membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur...’ sebagai usaha sokongan untuk melahirkan masyarakat maju yang berintegriti dengan bertunjangkan budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, ketika melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni pada 11 Januari 2005 menegaskan, ’Pada hemat saya, dalam kesibukan kita sehari-hari, kita mungkin semakin lupa memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri ataupun untuk anak-anak kita. Sebelum budaya masyarakat kita merosot lagi, kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula budi bahasa dan nilai-nilai murni warisan kita. Usaha ini harus dimulakan pada peringkat diri sendiri, peringkat keluarga dan pada peringkat masyarakat amnya..’ menggambarkan kebimbangan beliau terhadap fenomena baru yang negatif ini.

Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam ucapan aluan di Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni, menjelaskan sasaran kempen tersebut yang meliputi institusi pendidikan formal antaranya: ’Kempen ini akan memberi tumpuan kepada pemupukan dan penghayatan budi bahasa dan nilai-nilai murni di semua lapisan masyarakat, dari murid hingga ke pensyarah, dari petani hingga ke pegawai daerah.’ Ini menunjukkan usaha-usaha membina jati diri bangsa berasaskan budi bahasa dan nilai-nilai murni diberi perhatian oleh semua golongan, termasuk pimpinan tertinggi negara.

Lagipun, Islam adalah agama yang sangat mementingkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Lihat sahaja kepada ayat 148, surah An-Nisa' yang membawa maksud: ‘Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’

Manakala sebuah hadis dari Aisyah r.a. pula membawa maksud: ’Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.’ (Sahih Muslim).

Definisi Budi Bahasa Dan Nilai-Nilai Murni

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, budi ditakrifkan sebagai kebajikan, bahasa sebagai sistem lambang yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Berkenaan dengan budi Dato Dr Hassan Ahmad ada berkata: ‘Makna perkataan budi ini luas, tidak terhad pada makna yang berkaitan dengan tingkah laku atau pekerti manusia sahaja, tetapi mencakup seluruh aspek tindakan, perbuatan dan pemikiran manusia yang melahirkan, mengaturkan dan menentukan peradaban atau tamadun manusia. Istilah lain yang boleh kita samakan maknanya dengan perkataan budi adalah adab atau budaya.’

Menurut Clyde Kluckhohn, nilai adalah suatu standard yang agak berkekalan dari segi masa, atau dalam pengertian yang luas, suatu standard yang mengaturkan satu sistem perlakuan. Beliau juga menaktifkan nilai sebagai satu preference, iaitu sesuatu yang lebih disukai, baik mengenai hubungan sosial, mahupun mengenai matlamat-matlamat serta ikhtiar untuk mencapainya.

Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai: ’Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.’ (Wan Mohd. Zahid, 1988)

Budi bahasa dan nilai-nilai murni boleh disimpulkan sebagai budi pekerti, tingkahlaku, perangai atau perlakuan yang diamalkan seseorang semasa berinteraksi dengan orang lain berdasarkan neraca atau nilai baik yang disepakati bersama. Budi bahasa juga menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi seseorang atau sesuatu bangsa.

Kenapa Perlunya Budi Bahasa dan Nila-Nilai Murni Dibudayakan Di Peringkat Sekolah

Budi bahasa dan nilai-nilai murni perlu ditekankan di peringkat sekolah atau peringkat kecil lagi kerana pada peringkat ini adalah peringkat peniruan tingkahlaku.Pada peringkat kecil atau persekolahan, pelajar amat mudah dibentuk kerana merujuk kepada apa yang pernah diungkapkan oleh ulamak terkenal Nusantara, Dr. Hamka, ’Hendaklah adab sopan anak-anak dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang sukar ditinggalkan.’ Imam Al-Ghazali pula menegaskan, ‘Anak-anak bagaikan permata yang boleh dibentuk mengikut kehendak pengukirnya.’

Sekolah adalah kilang yang sesuai untuk memproses dan menghasilkan pelajar yang berbudi bahasa dan mempunyai nilai-nilai murni. Institusi pendidikan seperti sekolah adalah sebaik-baik tempat untuk mendidik dan membentuk budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Merealisasikan Hasrat Melahirkan Pelajar Berakhlak Mulia Di Sekolah

Tanggungjawab Siapa

Dalam usaha merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia di sekolah, seluruh warga sekolah dan institusi yang berkaitan dengan sekolah perlu digerakkan dan diselaraskan gerak kerjanya. Di antara pihak yang perlu digembeling tenaga ialah:

i. Guru-guru
ii. Murid-murid
iii. Kakitangan sekolah
iv. Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG)
i) Guru

Guru-guru adalah komponan penting dalam merealisasikan hasrat ini. Guru-guru perlu menjadi contoh dan teladan kepada pelajar-pelajar mereka. Guru sebagai nukleus perubah akhlak dan budi bahasa pelajar telah ditegaskan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam perutusan Perayaan Hari Guru 2007 yang bertemakan ’Guru Penjana Modal Insan Gemilang’ dengan katanya: ’Dalam usaha menyuntik nilai murni kepada murid, guru perlu terlebih dahulu menjadi contoh pengamal dan pemelihara nilai-nilai tersebut. Ini adalah kerana tutur kata dan tindak tanduk guru menjadi perhatian dan rujukan murid, ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, guru harus memiliki peribadi yang cemerlang dan menjadi teladan atau role model terbaik kepada anak didik dan masyarakatnya. Guru sebagai ibu bapa kedua berperanan mencorak masa depan murid. Sikap proaktif, berdaya saing, bersemangat kental, berakhlak mulia dan ketrampilan diri perlu menjadi amalan dan budaya kerja. Hanya guru yang versatile dapat menghasilkan generasi murid yang berkualiti iaitu murid yang mampu mencipta kelainan, mampu memberi sumbangan bermakna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara serta mampu menjadi modal insan yang gemilang...’

Kakitangan Sekolah

Satu lagi golongan penting dalam membantu merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia ialah kakitangan sekolah bukan guru. Mereka juga perlu memahami dan menghayati misi dan visi sekolah serta hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melahirkan pelajar berakhlak mulia. Mereka juga menjadi cermin dan rujukan pelajar selama berada di sekolah. Oleh itu amat penting kakitangan sekolah juga mempastikan mereka berakhlak mulia dengan berbudi bahasa dan menghayati nilai-nilai murni yang dihayati bersama.

Pelajar-Pelajar

Golongan pelajar adalah golongan sasar dalam merealisasi hasrat ini. Kesediaan pelajar perlu ada untuk merubah akhlak mereka. Mereka perlu difahamkan kepentingan perubahan ini dengan perkongsian misi dan visi sekolah serta hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia. Halangan yang berlaku perlu dihadapi demi merealisasikan usaha murni ini.

Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG)

PIBG adalah ases yang cukup baik antara guru dengan ibu bapa. Ibu bapa perlu membantu hasrat sekolah demi masa depan anak-anak mereka. Ibu bapa adalah cerminan pelajar sewaktu di rumah. Visi dan misi sekolah dalam melahirkan pelajar berakhlak mulia perlu dikongsi bersama antara sekolah dan ibu bapa melalui PIBG.Tindakan seiring sejalan antara sekolah dan PIBG perlu dipereratkan. Tindakan sederap cukup penting supaya tiada pihak yang memandang rendah dan mengabaikan aspek yang penting ini. Penglibatan ibu bapa dalam semua program sekolah perlu diberi perhatian oleh PIBG.

Asas Dalam Merealisasikan Hasrat Melahirkan Pelajar Berakhlak Mulia Di Sekolah

Pelajar yang berakhlak mulia boleh dilahirkan dengan melihat kepada asas-asas pembinaannya. Secara umumnya, seorang cendikiawan, Ibnu Maskawaih dalam penulisannya Tahdzub Al-Akhlaq menyenaraikan perkara-perkara yang menjadi asas kepada perubahan seseorang, iaitu:

 i) Mencari teman yang baik
 ii) Selalu muhasabah diri
 iii) Tidak mengikut dorongan hawa nafsu
 iv) Berterusan melakukan kebaikan
 v) Berusaha meningkatkan diri melalui kelemahan diri

Budaya kemesraan dan sayang-menyayangi adalah dua teras utama yang perlu dalam membina akhlak mulia pelajar. Hubungan yang mesra antara guru dan murid, guru dan ibubapa serta sayang-menyayangi antara satu sama lain ádalah mekanisme penting dalam pembinaan akhlak dan budi bahasa. Dua teras ini perlu dilihat secara bertanggungjawab dan serius, jika ingin melihat palajar yang dilahirkan berakhlak mulia.

Sikap ambil tahu merupakan satu lagi budaya yang perlu wujud untuk menjayakan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia. Kadangkala berlaku ibubapa yang menyerahkan sepenuhnya anak kepada sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan akademik anak-anak mereka. Bagi mereka, apabila yuran sekolah telah dibayar dan kelengkapan persekolahan mencukupi, maka terlepaslah tugas menghantar anak ke sekolah. Kadangkala terdapat juga ibubapa yang tidak mengetahui bilakah Mesyuarat Agung PIBG, Hari Anugerah, Hari Penyerahan Rekod Prestasi anak-anak mereka. Budaya ambil tahu patut terus dipromosikan supaya pelajar-pelajar berakhlak mulia dapat dijelmakan walaupun menghadapi berbagai cabaran.

Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak. Di antara 16 nilai yang boleh diajar ialah baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesedaran, kesyukuran, rasional dan semangat bermasyarakat.

Di sekolah penerapan nilai murni boleh disepadukan melalui:

a. Secara pertuturan
b. Secara perlakuan
c. Secara teladan
d. Secara isyarat
e. Secara kefahaman
f. Secara interpretasi
g. Secara konteksual

Program dan Aktiviti Dalam Merealisasikan Hasrat Melahirkan Pelajar Berakhlak Mulia Di Sekolah

Penekanan Akhlak Mulia Merentasi Kurikulum Dan Kokurikulum

Setiap guru mata pelajaran perlu difahamkan bahawa akhlak mulia yang dihasratkan perlulah merentasi kurikulum.Semua guru perlu sedar bahawa akhlak mulia perlu ditekankan semasa pengajaran dan pembelajaran. Dalam semua pelajaran yang diajar, akhlak mulia tidak boleh diketepikan. Jika boleh apa saja bahan yang dibekalkan kepada pelajar berasaskan kepada unsur-unsur pemurnian akhlak. Pangajaran dan pembelajaran tidak dapat berjalan sejajar dan ouput pengajarannya akan minimum hasilnya, jika dinafikan persoalan pemurnian akhlak ini. Aktiviti kokurikulum juga perlu menjadikan pembinaan pelajar berakhlak mulia sebagai teras aktivitinya di samping kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar. 

Sehubungan itu Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein ketika majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni peringkat kebangsaan pada 21 Jun 2005 yang baru berlalu menegaskan, ’Dalam alam pendidikan, ilmu pengetahuan tanpa budi belum tentu dapat menjamin kemajuan bangsa terutamanya dari segi ketahanan budaya dan moralnya. Oleh itu, saya menyeru kepada warga pendidikan terutamanya guru-guru untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam memperkasa budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan...’

Persekitaran Sekolah

Persekitaran sekolah yang kondusif dan mendorong kepada penyempurnaan akhlak pelajar perlu dititiberatkan. Kata-kata, poster, banner dan mural yang menekankan kebaikan budi bahasa, nilai murni dan kesan akhlak yang mulia perlu diperbanyakkan. Untuk menghiasi sekolah dengan perkara di atas, ibu bapa dan pelajar perlu dilibatkan. Ibubapa dan pelajar boleh menjadi bapa angkat dan rakan angkat kepada sudut-sudut dan kawasan yang meletakkan kata-kata, banner, poster dan mural tadi. 

Mereka boleh dilibatkan untuk menjaga kebersihan dan keselamatannya. Perasaan milik bersama dan bertanggungjawab menjaganya adalah antara akhlak yang mulia perlu disemai. Dalam membina persekitaran yang ceria, kegiatan 8R yang pernah diperkenalkan oleh SRJKC Chi Hwa, Sandakan, Sabah boleh dijadikan asas. ’Lapan R’ yang dimaksudkan itu ialah reduce (mengurangkan), reuse (guna semula), recycle (kitar semula), repair (membaiki), rethink (pertimbang semula), reject (buang), repaint (cat semula) dan replace (ganti). Aktiviti 8R ini boleh melibatkan guru, kakitangan sekolah, pelajar dan ibubapa.

Budaya Sapa-Menyapa

Budaya ini sudah mula luntur di kalangan pelajar. Mereka terasa berat untuk melafazkan: ‘Assalaamualaikum, selamat pagi, terima kasih, cikgu, boleh saya bantu, cikgu, maafkan saya’ cikgu dan lain-lain lagi. Budaya ini perlu dibajai semula dalam membina akhlak mulia di kalangan pelajar. Kadang-kadang guru boleh memulakan budaya sapa-menyapa ini. Mungkin contoh guru ingin dilihat oleh pelajar. 

Rasanya, bukan satu yang mengaibkan jika guru yang memulakannya. Guru dan pelajar boleh berlumba-lumba memberi salam antara mereka. Kad dan hadiah juga adalah cara sapaan yang boleh menimbulkan kemesraan dan sayang-menyayangi antara guru dan pelajar. Kad hari lahir, kad dan hadiah untuk kejayaan dalam ujian dan peperiksaan adalah satu cara untuk guru menghargai murid dan murid akan menyayangi dan menghormati guru. Apabila unsur sayang dan hormati tersemai, akhlak mulia mula bertunas.

Pengukuhan Positif

Membudayakan kita dengan pengukuhan positif adalah satu lagi cara untuk merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia. Semua orang suka dipuji dan menerima hadiah. Oleh itu budaya pengukuhan positif adalah resepi penting dalam membina pelajar berakhlak mulia, berbudi bahasa dan memiliki nilai-nilai murni. 

Namun begitu, kadangkala unsur yang kecil ini menatijahkan kesan yang besar dalam membina pelajar yang diingini. Pujian juga boleh diberikan kepada para pelajar di atas jasa dan kejayaan mereka. Kadangkala cara menepuk bahu pelajar dengan sesuatu kebaikan yang dilakukan akan menimbulkan rasa seronok dan merasa dihormati.Seharusnya mencela dan mengejek mereka di atas kesalahan yang dilakukan patut dielakkan. Cuba terangkan kesalahan yang dilakukan dan kenapa patut dijauhi. 

Ini akan menjadikan mereka mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara. Lawatan secara percuma untuk pelajar yang berakhlak mulia juga merupakan satu contoh pengukuhan positif yang boleh disediakan oleh sekolah dengan bantuan PIBG. A. Waty M.Noor dalam penulisannya,Disiplin Pelajar (Pendidik: Julai 2006) mengatakan, ’Beberapa kajian telah membuktikan bahawa ganjaran sosial seperti senyuman, pujian, hadiah, pengiktirafan, dan sebagainya adalah berkesan untuk meningkatkan tingkah laku positif yang diharapkan.’

Perhimpunan Pagi

Melalui perhimpunan ini yang mengambil masa 5 hingga 10 minit, guru atau murid sendiri berbincang tentang kepentingan budi bahasa, akhlak mulia dan nilai-nilai murni samada di rumah mahupun di sekolah. Dalam perhimpunan pagi ini, guru boleh menyelaraskan banyak perkara dengan pelajar berkaitan pembinaan akhlak mulia. Pelajar akan berasa dirinya dihargai dan disayangi apabila guru mengambil berat tentang mereka. Slot ini boleh diambil pada perhimpunan hari Isnin atau mengadakannya pada hari Jumaat sebagai Hari Pemurnian Akhlak.

Perkongsian Misi dan Visi Sekolah dan Dasar Kerajaan

Misi dan visi sekolah mestilah memasukkan unsur-unsur pembinaan akhlak mulia pelajar. Setelah itu, para pelajar dikongsikan bersama dengan misi ini melalui ceramah, kuiz, pertandingan bahas, pertandingan poster, pertandingan kebersihan kelas dan menghiasi sudut-sudut kelas, tingkatan maupun sudut- sudut yang terdapat di sekitar sekolah yang bertemakan budi bahasa, nilai-nilai murni dan akhlak yang mulia. Pertandingan kelas terbersih terus dikekalkan untuk membina akhlak mulia seperti bekerjasama, tolong-menolong dan menjaga kebersihan. 

Ada baiknya jika pelajar juga dikongsi bersama dalam menghasilkan misi dan visi sekolah untuk menimbulkan perasaan sayang kepada sekolah sendiri dan menjaga nama sekolah. Di samping itu beberapa dasar dan program kerajaan yang menjurus kepada pemurnian akhlak ini perlu dikongsikan dengan pelajar dan ibu bapa seperti rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan dan prinsip kelima dalam pelaksanaan Islam Hadahari iaitu keutuhan budaya dan moral.

Kempen

Kempen ‘Minggu Budi Bahasa’, ‘Sifar Buli’, ‘Datang Sekolah Dengan Hormat Balik Sekolah Dengan Selamat’, ‘Sekolah Kita Rumah Kita’, ‘Kutip Sehari Satu Sampah’ dan lain-lain lagi boleh dibuat untuk membina akhlak pelajar. Kempen Memberi Salam dan Senyum juga boleh dijalankan menjurus ke arah itu. Kempen ini perlu disusun dengan baik dan terancang supaya dapat memberi kesan yang mendalam dalam pembinaan akhlak mulia yang bertunjangkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Kempen-kempen ini boleh dijalankan dalam bentuk pidato, perbahasan, kuiz, berbalas pantun dan penulisan kreatif.

Anugerah Tokoh Pelajar Berakhlak

Biasanya sekolah menyediakan hadiah dan piala untuk kategori pelajar terbaik mata pelajaran, pelajar kedatangan terbaik, pelajar harapan kokurikulum setiap tahun pada hari anugerah kecemerlangan sekolah. Antara perkara yang boleh dicadangkan ialah memperkenalkan anugerah Tokoh Pelajar Berakhlak Sekolah yang diadakan setiap tahun untuk menggalakkan pelajar menghiasi diri mereka dengan akhlak yang terpuji. Pelajar Berakhlak Mulia bulanan juga boleh diperkenalkan untuk mendorong minat pelajar membaiki akhlak mereka.

Program Mentor-mantee

Pelajar yang mempunyai akhlak mulia dan dihormati boleh dipilih untuk menjadi mentor manakala yang kurang akhlaknya akan menjadi manteenya. Mereka diberikan tugasan untuk membimbing rakan-rakan supaya berlaku perubahan positif diri mereka. Semangat tolong-menolong dan pesan memesan kepada kebaikan dan pemurnian akhlak akan berlaku dan mantee akan menyayangi mentornya yang bersedia memberikan bimbingan kepada mereka.. Dalam setengah situasi, pelajar lebih mudah menguasai lebih mudah berubah melalui rakan sebaya berbanding dengan gurunya. Badan pengawas boleh dilibatkan dalam program mentor-mantee ini.

Program Anak Kita

Ibubapa boleh dilibatkan sepenuhnya dalam merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia. Ibubapa boleh dilibatkan dalam perbincangan mengenai anak-anak mereka yang bermasalah. Ibubapa ini boleh dikumpulkan bersama-sama untuk membantu pihak sekolah menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak mereka. Mereka yang lebih kenal pelajar-pelajar ini dan sudah tentu boleh berkongsi tips yang berfaedah untuk membina pelajar berakhlak mulia. 

Perkongsian maklumat dan pengalaman antara ibu bapa dan guru akan memudahkan usaha tersebut. Menurut Rita Sommers dan John Sommers Flanagan dalam buku mereka Counseling and Psychotheraphy Theories in Context and Practice, pembinaan sahsiah, perwatakan, sikap atau keperibadian anak-anak bermula di rumah dan berterusan pula di sekolah. Ini membuktikan ibu bapa tidak boleh sekali-kali melepas tangan kepada pihak sekolah semata-mata untuk membentuk akhlak dan tingkah laku anak-anak mereka. Tindakan awal di rumah dalam menangani isu ini amat diharapkan.

Penglibatan Swasta Dengan Sekolah

Pihak-pihak swasta boleh dilibatkan dengan program pemurnian akhlak ini kerana mereka mempunyai banyak infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah. Pihak swasta dan korporat biasanya mempunyai peruntukan kewangan untuk program pendidikan dan kebajikan, di samping kepakaran dalam motivasi, pembangunan sumber manusia dan kaunseling yang mampu dimanfaatkan untuk membina generasi pelajar yang berakhlak mulia. Program motivasi, kemahiran belajar, TOT penyayang untuk pelajar bermasalah boleh diadakan dengan bantuan pihak swasta.

Persatuan Murid-Murid Tua (Alumni Sekolah)

Persatuan Murid Tua atau alumni sekolah boleh digandingkan dengan warga sekolah dalam merancang dan melaksanakan program pembinaan pelajar yang berakhlak mulia. Apabila alumni sekolah boleh digerakkan seaktif mungkin dalam merancang dan menjayakan program-program seperti seminar jati diri, kem pemurnian akhlak dan lain-lain manakala warga sekolah yang lain, khususnya para pendidik boleh menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran. Persatuan Alumni ini juga boleh menaja poster, banting dan banner yang mengandungi perkataan-perkataan yang merangsang perubahan tingkahlaku dan akhlak pelajar kepada lebih positif, misalnya, ‘Selamat Datang Pelajar Berakhlak Mulia’, ‘Akhlak Mulia Semua Orang Suka’, ‘Pelajar Berakhlak Mulia Aset Kecemerlangan Sekolah.’

Perkongsian Pintar (Smart Partnership)

Melahirkan pelajar yang berbudi bahasa, berakhlak mulia dan menghayati nilai-nilai murni satu tugas yang amat berat, lebih-lebih lagi cabaran di hadapan yang bertali arus dan menggila. Perkongsian pintar yang dilakukan antara warga sekolah dengan badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) seperti JPA3, tentera akan membantu membentuk pelajar yang kita idami bersama. Dalam setengah perkara, pihak-pihak luar boleh memainkan peranan untuk menjayakan misi dan visi sekolah. 

Jika sekiranya pihak sekolah ingin mengindahkan landskap persekitaran sekolah untuk melahirkan rasa selesa, selamat, kondusif dan menanamkan rasa tanggungjawab pelajar kepada sekolah, Majlis Perbandaran dan Jabatan Pertanian boleh memberikan khidmat nasihat mereka. Pihak masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah pula boleh menurunkan ilmu dan pengalaman bagaimana membentuk pelajar berakhlak dalam konteks pelajar sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Organisasi ini boleh dilibatkan dalam menjayakan misi dan visi sekolah. Untuk menangani masalah dadah pula, pihak PEMADAM dan AADK boleh dilibatkan untuk majlis penerangan dan aktiviti-aktiviti yang dapat menjauhi para pelajar dari gejala ini.

Banyakkan Aktiviti Tidak Formal

Salah satu faktor yang membantu membina perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan bertolak ansur ialah apabila kekerapan aktiviti tidak formal dijalankan. Kadangkala program yang tidak formal sepertimajlis as-syura, perarakan keputeraan Rasulullah peringkat sekolah, sambutan hari-hari kebesaran Islam dan program-program lain yang melibatkan warga sekolah, para pelajar dan pihak ibubapa akan mewujudkan perasaan kebersamaan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati.

Apabila kebersamaan yang didasarkan atas hormat menghormati dan kasih sayang ini diikat erat, maka mudahlah usaha-usaha untuk membina akhlak mulia dilakukan kerana mendapat sokongan dan dokongan padu dari semua pihak. Pihak Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) atau Rukun Tetangga boleh dilibatkan untuk menjayakan hasrat murni ini.

Melalui aktiviti tidak formal juga dapat membantu pelajar mengenalpasti perlakuan dan tingkah laku yang sepatutnya mereka lakukan.Menurut Black dan Downs (1992), masalah tingkah laku juga berlaku kerana pelajar tidak tahu perlakuan yang bagaimana yang seharusnya diamalkan.

Faktor Kejayaan Dalam Merealisasikan Hasrat Melahirkan Pelajar Berakhlak Mulia Di Sekolah

Semua warga sekolah yang terlibat dengan usaha-usaha pemurnian akhlak pelajar ini mengharapkan natijah yang positif hasil daripada pengorbanan mereka. Tidak ada satu kerja yang dilakukan tanpa mengharapkan kesan dan hasil yang baik. Pelajar yang berakhlak mulia, berbudi bahasa dan menghayati nilai-nilai murni adalah aset negara masa depan. Namun begitu, kita melihat terdapat beberapa perkara yang kecil, jika diabaikan akan menggagalkan usaha murni ini. Antara perkara berikut ialah:

Bersungguh-sungguh dan Tanggungjawab

Dua unsur ini amat perlu dalam menjayakan usaha pembentukan pelajar yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia. Komited dan rasa bertanggungjawab yang tinggi jika ada para warga sekolah, pelajar, ibubapa dan PIBG tidak mustahil masalah vandalisme, buli dan gejala negatif lain lenyap di arena pendidikan tanah air kita. Sifat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing perlu dihumbankan sejauh-jauhnya dari kamus kehidupan kita demi melihat kejayaan apa yang kita sama-sama perjuangkan.

Doa

Hasrat yang ingin direalisasikan ini adalah urusan yang berkaitan dengan akal dan jiwa manusia. Kita menyedari bahawa manusia ini terdiri daripada intelek, jasmani, emosi dan rohaninya. Hubungan spiritual antara semua pihak yang terlibat dengan usaha ini dengan Allah adalah perlu kerana manusia dicipta oleh-Nya. 

Oleh itu amalan doa mendoakan antara satu sama lain dan sentiasa memohon agar segala usaha murni ini diberkati dan berjaya adalah satu amalan yang baik. Kadangkala kita memberikan penumpuan yang lebih dari aspek jasmani dan mengabaikan aspek rohani.Apabila aspek ini diabaikan, maka ramailah yang mudah kecewa, merajuk, tidak dapat bersabar dengan kerenah dan kepayahan sewaktu menjayakan hasrat ini. Sesungguhnya tanggungjawab kita adalah merancang dan berusaha menjayakannya, tetapi Allahlah yang menentukan segala-galanya.

Menjadi Pendengar Yang Baik

Pelajar berakhlak mulia dapat terhasil apabila ianya dirancang dengan teliti dan dijayakan sepenuh hati. Perancangan ini mestilah melalui beberapa siri perbincangan dan ’brainstorming.’ Sesi ini memerlukan kita menyuarakan pandangan dan mendengar pandangan orang lain. Banyak kegagalan berlaku disebabkan kita lebih suka menjadi pencadang daripada pendengar yang baik.

Sebenarnya pendengar yang baik adalah kunci kepada perpaduan dan kemantapan tindakan yang diambil. Semua pihak yang terlibat perlulah membuka dada dan pemikiran mereka untuk menerima cadangan dan saranan daripada orang lain. Semua cadangan adalah baik dan kita memilih hanya yang terbaik untuk dilaksanakan. Berdasarkan pengalaman, ramai yang sanggup memberi cadangan yang bernas dan sedikit yang sanggup melaksanakan cadangan itu sebaik mungkin.

Menjadi pendengar yang baik tidak menghalang kita memberi cadangan yang dirasakan bernas. Apabila cadangan-cadangan itu dilihat dari segi keutamaan dan kesan maksimum ke atas matlamat yang hendak dicapai, kemungkinan ada cadangan kita yang disisihkan. Seharusnya, ia tidak sedikit pun mengguris perasaan kita tetapi kita menyatukan hati kita untuk melaksanakan apa yang terbaik yang telah dipilih itu.

Kesimpulan

Institusi pendidikan seperti sekolah adalah takungan yang penting untuk memproses dan melahirkan pelajar berakhlak mulia yang menghayati nilai-nilai murni dan berbudi bahasa. Kejayaannya juga amat bergantung kepada kerjasama guru, kakitangan sekolah, pelajar dan ibu bapa. Jika empat unsur penting ini digembeling secara mantap, kita akan mampu melahirkan generasi baru pelajar. Usaha-usaha menjadikan budi bahasa, nilai-nilai murni dan akhlak ini perlu ditumpukan supaya kebaikan yang terhasil darinya bukan mesti disuruh-suruh tetapi dijadikan tabiat dan tercerna dalam kehidupannya.

Budi bahasa dan nila-nilai murni bukanlah seperti tumbuhan dan haiwan yang akan bercambah dan beranak tanpa dijaga dan dibajai. Oleh itu ianya perlu dipupuk dan diperkukuhkan dari masa ke masa. Kecemerlangan dan kegemilangan sesuatu bangsa tidak akan tercapai jika bangsanya tidak memiliki akhlak mulia, berbudi bahasa dan mempunyai nilai-nilai murni yang boleh menjadi tempat berteduh orang lain. Budi bahasa dan akhlak mulia perlu diperkayakan supaya ianya terus bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain.

Hasrat murni untuk melihat warga pelajar yang berakhlak mulia yang digagaskan berdasarkan Rukun Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Wawasan 2020 dan Konsep Islam Hadhari serta diperincikan melalui surat-surat pekeliling ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia akan berjaya apabila ianya dikongsikan bersama.Kunci kepada budi bahasa dan akhlak yang mulia ialah diri itu sendiri yang ingin berubah.

Kita sedang berusaha untuk membina satu masyarakat yang ditunjangi oleh para belia yang menghayati budi bahasa dan akhlak mulia. Kehebatan bangsa kita tidak hanya dinilai dengan kemajuan material tetapi juga budi bahasanya. Inilah generasi baru yang bakal kita lahirkan. Merenungi beberapa rangkap pantun di bawah sudah menggambar kehebatan budi bahasa dalam masyarakat Melayu kita.

 Tingkap papan kayu bersegi,
 Sampan sakat di Pulau Angsa,
 Indah tampan kerana budi,
 Tinggi bangsa kerana bahasa.

 Kalau ribut runduklah padi,
 Padi cupak Datuk Temenggung,
 Kalau hidup tidak berbudi,
 Duduk tegak berdiri canggung.

 Anak teruna menanam betik,
 Buah cempedak di dalam raga,
 Apa guna berwajah cantik,
 Kalau kurang budi bahasa.

Rujukan:

  1. Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2002). ‘Komunikasi Untuk Pemimpin.’ Bentong: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.
  2. Arieff Salleh Rosman dan Wardah Mokhtar (2005). ’Remaja Sukses.’ Bentong: PTS Millennia Sdn. Bhd.
  3. Hassan Hj Mohd Ali, Dato’ Dr (2001). ‘Mendidik Anak Berakhlak Mulia.’ Kuala Lumpur: Akademi Keluarga Bahagia Malaysia (AKRAB).
  4. Hassan Hj Mohd Ali, Dato’ Dr (2001). ‘Teknik Mendidik Anak Bermasalah.’ Kuala Lumpur: Akademi Keluarga Bahagia Malaysia (AKRAB).
  5. Md Hashim bin Hj. Yahaya (1987). ’Tanggungjawab Ibubapa dan Anak Menurut Islam.’ Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
  6. Mohamed Jamli Hj. Awang Lirai (1991). ’Nasihat dan Teladan’ Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri.
  7. Mohd Yusoff bin Haji Othman (1998). ’Perkongsian Bijak Komuniti Dan Sekolah: Harapan Dan Cabaran Bagi Merealisasikan Sekolah Berkesan.’ dalam Jurnal Dakwah Bil.1 Jilid 1. Kuala Lumpur :Bahagian Dakwah dan Kepimpinan JAPIM.
  8. Tajul Ariffin Nordin & Dr. Nor Aini Dan, Dr.(1992). ’Pendidikan dan Wawasan 2020.’ Kuala Lumpur : Arena Ilmu Sdn. Bhd,.
  9. Wan Mohd Nor Wan Daud, (Jan-Mac 1996). Insan Baik Teras Kewarganegaraan.Pemikir.
  10. Yaakub Isa (1994). ’Guru Yang Efektif.’ Kuantan: Jawatankuasa Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang.
  11. Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (1998). ’Pentadbiran Pendidikan.’ Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
  12. ‘Jejak-Jejak Kecemerlangan Dalam Pengurusan Pendidikan Sekolah’ (2002). Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.
  13. Prosiding Kolokium Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan, ‘Manhaj Rabbani Generasi Qur’ani.’ Anjuran Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH).
  14. Jurnal Dakwah Bil.1.Jilid.1. Disember 1998, Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA