Selasa, 13 November 2012

Belia Mapan Penyumbang Kecemerlangan Masa Depan Negara


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Belia Tonggak Negara merupakan frasa yang sudah mangli dicagunkan sejak sekian lama. Realitinya adalah benar bahawa golongan belia merupakan aset bernilai kerana mereka adalah pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan negara. Golongan belia yang mapan dalam akademik, kemahiran, sahsiah, dan jati diri adalah perlu untuk mereka menyumbang secara positif kepada kecemerlangan dan mengukuhkan ekonomi serta masa depan negara.
Sebab itulah program pembangunan belia sejak sekian lama telah dirancang dengan teliti untuk melengkapkan mereka dengan sikap yang positif, berpengetahuan, berkeupayaan memimpin, mempunyai sikap keusahawanan dan mempunyai kemahiran terutamanya dalam bidang ICT supaya mereka boleh mengatasi segala halangan yang dihadapi dalam persaingan pembangunan ekonomi yang pesat serta arus globalisasi.
Selain didedahkan dengan pengetahuan bercorak akademik, golongan belia juga telah dilengkapi dengan sifat dan keperibadian mulia, berpengetahuan tentang nilai dan budaya sendiri serta masyarakat majmuk yang lain. Untuk mencapai pembangunan belia mapan, perancangan dasar dan strategi khusus telah pun dilaksanakan. Negara kita sudah mempunyai Dasar Pembangunan Belia Negara dalam usaha meningkatkan dan mengembeleng potensi belia, namun kemahiran yang tinggi tetap diperlukan supaya ianya bersesuaian dengan masa dan keadaan.
Mengikut Dasar Belia Negara, belia dikategorikan kepada golongan yang berumur antara 15 hingga 40 tahun, di mana golongan belia ini meliputi 42.1% daripada jumlah penduduk Malaysia yang berjumlah 23.27 juta orang pada tahun 2000. Golongan ini merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan. Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara serta sebagai bakal pemimpin negara, golongan belia harus sedar bahawa hanya kemahiran saja yang dapat merealisasikan cita-cita ke arah negara yang bertamadun tinggi sebagaimana yang telah dicagunkan oleh zaman kegemilangan Islam di kota Baghdad, Damsyik dan Kordova suatu ketika dulu.
Lantaran itu golongan belia harus menyedari peranan dan tanggungjawab bagi mencapai agenda pembangunan negara. Bagi tujuan tersebut, belia perlu melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memudahkan penglibatan dan penyertaan mereka dalam pembinaan nusa bangsa serta menghadapi cabaran globalisasi.
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa generasi muda kini masih terbelenggu dengan krisis kurangnya budaya keilmuan, kemahiran dan keintelektualan yang mana merupakan asas kepada kemajuan dan kepembangunan sesebuah tamadun. Kejayaan tamadun-tamadun silam yang berjaya mempengaruhi dunia hingga hari ini ialah tamadun yang mampu menghasilkan idea, tulisan, ciptaan dan peloporan dalam sesuatu perkara baru hasil tercetusnya perkembangan ilmu, kemahiran dan keintelektualan. Tamadun Yunani, China, India, Bizantin, Rom, Parsi dan sebagainya amat menyerlah dalam sejarah kerana keterampilan dan kemahiran mereka memajukan idea. Lebih-lebih lagi Tamadun Islam amat gemilang sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan suatu ketika dulu.
Muhammad Natsir, bekas Perdana Menteri Indonesia pernah mengungkapkan bahawa generasi muda kini khususnya di peringkat kepimpinan dan masyarakat dilanda dengan ketiadaan inventariasi. Ketiadaan inventariasi ini merujuk kepada kekeringan idea dan kemuflisan daya cipta sehingga tidak mampu mengembang dan memanfaatkan potensinya sebagai golongan yang benar-benar mampu mencipta kecemerlangan.
Kata-kata beliau ini ada kebenarannya, apabila kita meneliti senario generasi muda kini ramai yang mempunyai ijazah, diploma, sijil-sijil kemahiran dan sebagainya tetapi tidak berupaya untuk memanfaatkan ilmu-ilmu yang diperolehi di menara gading untuk dikembangkan dengan penuh inovasi dan kreativiti. Contoh termudah, ramai graduan yang menganggur gagal memanfaat potensi diri mencipta peluang-peluang pekerjaan baru selain daripada mengharap untuk bekerja makan gaji. Bagi yang telah mendapat pekerjaan, ada di antaranya masih terbelenggu dengan cara kerja lama dan tidak pro-aktif kerana kekurangan daya kreativiti, inovasi dan kemahiran mengolah ilmu-ilmu yang telah dipelajari agar sesuai untuk dimanfaatkan kepada realiti semasa.
Fenomena kegersangan asas kemahiran, kreativiti dan keintelektualan ini khususnya kepada generasi muda akan menyebabkan kelesuan daya fikir yang akhirnya menyebabkan kegagalan untuk memahami realiti semasa dalam masyarakat kini. Akibatnya lahirlah program-program pembangunan, projek-projek dan aktiviti-aktiviti meliputi soal ekonomi, politik dan sosial yang gagal mengubati simptom sebenar yang menjadi puncanya. Banyak tenaga, wang dan keringat dihabiskan tetapi tiada sebarang kesan yang boleh dibanggakan apalagi bermanfaat untuk pembangunan negara.
Yang jelasnya, tanpa kemahiran yang utuh akan menyebabkan negara gagal bersaing di peringkat global dan akibatnya negara akan lemah dan akan terus dijajah walaupun telah mencapai kemerdekaan kerana penyakit yang dinyatakan oleh Malek Binnabi sebagai penyakit colonsibilite yang bermaksud suka merelakan diri diperhambakan dan hanya mahu menjadi manusia pengguna lantaran daripada minda yang lemah dan tiada kemahiran yang mampu mencipta sesuatu yang baru. Penyakit ini menyebabkan kita masih terjajah kerana kita meniru segalanya akibat lemah dari aspek pendidikan, keilmuan, kemahiran, pembangunan dan sebagainya. Apabila kita tidak mampu menjadi manusia pencipta dan hanya mampu menjadi manusia pengguna, kita akan terus terdedah dengan pelbagai eksploitasi terutama oleh negara lain yang lebih ke hadapan dalam aspek penciptaan.
Ketidakmampuan negara-negara Islam mencipta senjata yang moden dan canggih telah menyebabkan mereka dijajah oleh negara kuasa besar sehingga meranapkan seluruh maruah. Apa yang telah terjadi kepada Afghanistan, Iraq, Bosnia dan sebagainya merupakan catatan tinta sejarah yang begitu memilukan lantaran hakikat ini diabaikan.
Justeru, golongan belia di negara kita harus memulakan langkah-langkah proaktif bagi merekayarsakan budaya keilmuan, tradisi keintelektualan dan kemahiran. Ilmu merupakan suatu perkara asas yang perlu diberi perhatian oleh setiap individu belia kerana ia adalah perkara pokok pembinaan negara dan ketamadunan.
YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menegaskan bahawa program pembangunan belia harus berpaksikan kepada 3K iaitu kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan. Bagi YAB Perdana Menteri, setiap belia harus memiliki ciri kepemimpinan yang baik. Paling kurang, belia harus mampu memimpin dirinya sendiri. Belia yang mampu memimpin diri sendiri bukan saja tidak menjerumuskan dirinya dengan kegiatan tidak sihat, sebaliknya mereka akan menjadi rakyat yang patriotik, bersemangat kemasyarakatan dan kesukarelaan yang tinggi.
Kemahiran pula menyediakan belia untuk pekerjaan. Kemahiran tidak sama dengan ijazah atau diploma. Kemahiran tidak boleh dipelajari dari mana-mana universiti. Kemahiran ialah kemampuan menguasai dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari secara sistematik dan profesional dalam suasana sebenar. Belia berkemahiran tidak akan menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan. Apabila kemahiran tersebut dipraktikkan, secara tidak langsung dapat pula memberi pulangan kepada pembangunan negara.
Belia juga mesti mempunyai ilmu dan semangat keusahawanan. YAB Perdana Menteri telah menegaskan bahawa belia harus mencipta peluang pekerjaan sendiri. Ia lebih bersifat mewujudkan pekerjaan dengan belia yang membabitkan diri dalam keusahawanan menyediakan peluang pekerjaan untuk dirinya sendiri dan orang lain.
Sementara itu, dalam mengambil semangat 3K ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said telah mengajak generasi muda supaya melakukan anjakan paradigma untuk melihat pendidikan bukan sekadar mengejar segulung ijazah, tetapi meraih kemahiran hidup. Sering kali kemahiran dikaitkan dengan latihan teknikal dan vokasional. Sebut saja perkataan kemahiran, tentu saja akan terbayang di minda kita nama-nama seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM), Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan sebagainya.
Sebenarnya kemahiran lebih daripada itu. Umumnya, kemahiran boleh dibahagikan kepada dua. Pertama ialah kemahiran asas. Ini ialah kemahiran yang perlu ada untuk seseorang melakukan pekerjaan. Kewujudan pusat latihan ialah untuk menyediakan kemahiran kepada belia dalam bidang terpilih. Bagaimanapun, kesilapan kita yang paling besar ialah apabila mengaitkan kemahiran dengan institusi latihan saja. Ramai yang gagal melihat pusat pengajian tinggi sebagai tempat membina kemahiran. Lantaran itulah pusat pengajian tinggi menjadi tempat untuk mengumpul ijazah dan diploma semata-mata.
Generasi muda harus melakukan anjakan paradigma dan melihat bahawa pengajian sama ada pada peringkat sijil, diploma atau ijazah ialah untuk mendapatkan kemahiran bukannya sekeping kertas semata-mata. Mendapat kemahiran asas saja tidak cukup. Dalam soal ini, Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah menegaskan bahawa kemahiran harus dilihat dari skop yang luas.
 itu, belia juga harus mendapatkan soft skills atau kemahiran yang diperlukan bagi melengkapkan kemahiran asas. Soft skills yang diperlukan termasuk kemahiran pengurusan, kemahiran berkomunikasi dan hubungan perseorangan, keterampilan diri, kemahiran menyelesaikan masalah dan sengketa, kemahiran berhadapan dengan masalah dan sebagainya. Datuk Seri Dr Mohamad Khir seterusnya berkata bahawa pertubuhan belia adalah wadah yang cukup baik untuk mendedahkan generasi muda kepada kemahiran seperti yang telah disebutkan di atas. Melalui pembabitan dalam persatuan belia, anak muda dapat belajar mengurus, berkomunikasi, menyelesaikan masalah dan berhubung dengan pelbagai pihak. Ini adalah kemahiran yang penting dan berguna dalam hidup mereka. Ketidakmampuan sebahagian graduan mendapat pekerjaan dengan cepat berpunca daripada kegagalan mereka untuk menguasai soft skills ini.
Sesungguhnya aset dan kekayaan yang paling bernilai bagi sesebuah negara atau bangsa bukanlah emas dan perak mahupun hasil-mahsulnya tetapi yang bernilai dan berharga itulah manusia. Demikianlah yang dilafazkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam ucapannya kepada golongan belia dalam kunjungannya ke Malaysia suatu ketika dahulu. Jika pandangan beliau ini dapat ditafsirkan dengan lebih lanjut, ia boleh memberi maksud bahawa keutuhan, kejayaan dan kegemilangan sesebuah negara bergantung kepada manusia yang mencorakkan pemerintahan serta pentadbirannya selain menggerakkan perancangan yang diatur.
Di sinilah juga terserlahnya peranan yang perlu dilaksanakan oleh pemerintah dan rakyatnya yang khusus ditujukan kepada golongan belia. Pemerintah yang berwibawa akan menjalankan pemerintahan berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan dengan adil, amanah lagi cemerlang manakala rakyat atau golongan belia memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pemerintah dan mencurahkan bakti dengan sepenuh hati.
Banyak bangsa dan negara di dunia yang telah berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk membina tamadun yang dikagumi dan dijadikan teladan. Namun, apakah sebenarnya ciri yang menjadikan bangsa atau negara tersebut berbeza dari sudut pencapaian masing-masing? Ia tidak lain dan tidak bukan, hanyalah prinsip yang menjadi asas tamadun yang dibina iaitu ilmu dan kemahiran. Inilah keistimewaan dan keunikan misalnya yang ada pada tamadun Islam dan umatnya yang mendirikan tamadun yang sungguh gemilang bermula sejak 7 Masihi lagi.
Apa yang penting di sini ialah betapa pentingnya golongan belia di negara ini memiliki dan menguasai kemahiran yang tertentu dan kemahiran tersebut relevan dengan tuntutan serta keperluan semasa negara. Dengan kemahiran tersebut, golongan belia mampu bersaing dalam pelbagai asas sumber tenaga manusia serta pewaris kepimpinan dan masa depan negara. Negara kita sesungguhnya telah mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Dalam usaha mengekalkan kecemerlangan ini, generasi belia perlu memberikan komitmen yang sepenuhnya dan bekerja kuat bagi mencapai matlamat sesebuah negara yang terbilang. Belia di negara ini bukan sahaja perlu menjadi lebih cekap serta dilengkapi dengan kemahiran baru yang lebih baik, bahkan juga perlu lebih inovatif, pintar, berdisiplin, mempunyai nilai dan etika kerja yang luhur dan bertunjangkan jati diri yang kukuh.
Selain itu, apa yang perlu difahami oleh generasi belia ialah, ilmu tidak boleh dihadkan hanya kepada maklumat atau data-data semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah ilmu yang boleh memberi nilai-tambah (value-added knowledge) kepada keluaran dan perkhidmatan. Ini akan membantu untuk bertindakbalas dengan cepat terhadap sebarang perubahan yang mendatang.
Profesor Paul Kennedy dari University of Yale, Amerika Syarikat di dalam bukunya yang berjudul The Rise and Fall of the Great Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500-2000, telah menganalisis tentang kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar dunia. Beliau mendapati faktor penting yang menentukan kebangkitan dan kejatuhan kuasa-kuasa besar ini ialah sikap bangsa tersebut terhadap ilmu dan penghayatan budaya ilmunya.
Manakala, Ibn Khaldun, seorang pemikir Islam di abad ke -14 pernah menyatakan bahawa bangsa yang mempunyai kekuatan tenaga manusia serta kekuatan tentera, walaupun berperanan untuk menjadikan bangsa itu kuat, tetapi ianya tidak menjadi faktor utama bagi memberi kekuatan hakiki. Malah telah berlaku beberapa peristiwa dalam sejarah bagaimana sesuatu bangsa yang kuat tetapi tidak ditunjangi oleh budaya ilmu dan kemahiran yang baik, lambat-laun akan memeluk dan menganuti ciri-ciri tamadun bangsa yang ditaklukinya.
Budaya ilmu dan kemahiran bagi sesebuah masyarakat memberi maksud bahawa keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung, mahupun tidak langsung dengan teratur dalam kegiatan keilmuan dan kemahiran bagi setiap kesempatan. Ia juga merujuk kepada kewujudan satu keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, organisasi, mahupun masyarakat diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Di dalam budaya ilmu dan kemahiran, ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam sistem nilai peribadi dan masyarakat, sementara kemahiran pula mampu menjadikan sesuatu ilmu itu lebih bermanfaat kepada semua golongan masyarakat.
Selain itu, budaya ilmu dan kemahiran tidak mengiktiraf sifat jahil, bebal, malas, segan, mandom, kelesa, anti ilmu dan anti kemahiran. Pada zaman moden ini, makna ilmu telah disempitkan kepada pengetahuan tentang fakta, maklumat dan kemahiran sahaja. Dari segi worldview Barat, knowledge denotes `acquaintance with or clear perceptions of facts.
Sebagaimana kata Aristotle, “Kecemerlangan bukanlah satu perbuatan tetapi kebiasaan.” Walau bagaimanapun, ia akan mengambil masa yang panjang dan memerlukan kemahiran dan usaha yang gigih. Individu yang berilmu dan berkemahiran mampu membentuk sebuah masyarakat dan negara yang cekap dan berkesan. Jika semua warga negara mempunyai ilmu, kemahiran dan kompetensi yang sesuai dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing, maka kita tidak mempunyai masalah untuk menyedia dan memberi sumbangan yang bermanfaat dan berkesan kepada dunia. Bagi mendalami ilmu dan kemahiran dalam bidang tugas kita adalah fardu ain bagi kita semua.
Selain itu golongan belia juga harus mempunyai bukan sahaja ilmu pengetahuan tetapi juga kemahiran yang sentiasa diperbaharui dan dipertingkatkan dari masa ke semasa supaya dapat menggunakan secara maksimum sumber-sumber yang ada, untuk kepentingan negara dan juga masyarakat keseluruhannya. Seperti kata Warren Bennis, ‘The major challenges for leaders in the 21st century will be how to release the brainpower of their organization.’ Di abad ke-21 ini, untuk menguasai bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) contohnya, golongan belia perlu memberi perhatian kepada membentuk sebuah generasi yang menggalakkan pembelajaran, kemahiran dan inovasi. Pengenalan beberapa konsep seperti konsep Organisasi Pembelajaran (Learning Organisation), Pembelajaran Sepanjang Hayat (Life-Long Learning), dan K-Worker (K-Based Economy) dengan jelas menunjukkan betapa pentingnya meningkatkan ilmu, kemahiran dan inovasi melalui nilai-tambah ilmu (value-added knowledge).
Generasi belia harus sedar bahawa dunia kini sedang mengalami perubahan pesat akibat daripada globalisasi serta kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Setiap pencapaian atau kemajuan memerlukan tahap pengetahuan, inovasi, kemahiran dan kreativiti yang lebih tinggi. Apa yang perlu ialah persiapan untuk menerima dan melibatkan diri sepenuhnya dengan peraturan baru ini.
 itu generasi muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai untuk menghadapi persaingan ini. Menurut Lester Thurow (1997), ‘The dominant competitive weapon of the 21st century will be education and skills of the workforce.’ Lantaran itulah golongan belia ini perlu melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan kompetensi tertentu supaya mereka boleh melibatkan diri secara aktif dan bermakna dalam perundingan dan perbincangan mengenai isu-isu ekonomi, politik dan sosial di peringkat antarabangsa. Antara ilmu dan kemahiran yang perlu ialah fasih berbahasa Inggeris dan bahasa-bahasa utama lain, bijak berkomunikasi, mahir berunding, cekap membuat keputusan dan sebagainya. Bagi mencapai matlamat ini, peranan latihan adalah penting.
Dalam era K-Ekonomi, tidak dapat dinafikan bahawa ilmu adalah penjana utama pertumbuhan ekonomi. Penggunaan ilmu yang cekap dan berkesan akan menjurus kepada pertambahan pengeluaran dengan kualiti yang lebih baik dan kos yang lebih rendah dan dengan itu memperolehi untung yang lebih tinggi. Dengan kata lain, ‘the brain is more superior than the brawn, or the mind is better than the muscle’. Bagi merealisasikan K-Ekonomi, dua perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah sumber manusia dan perubahan sikap. Ini hanya boleh dicapai melalui latihan dan kemahiran.
Perkembangan pesat dalam bidang ICT menjadikan kos komunikasi dan pengangkutan lebih murah serta dapat bergerak dengan pantas. Internet, e-mel, laman web dan alat komunikasi lain seperti telefon selular, mesin faksimili dan satelit merupakan keperluan harian yang membolehkan kita berkomunikasi dengan warga dunia secara mudah, cekap dan segera. Kita perlu meningkatkan keupayaan untuk menerima dan menyerap teknologi yang sentiasa berubah ini untuk sentiasa berada di hadapan. Kita perlu terima kenyataan bahawa kita tidak dapat lari daripada ledakan ICT ini. Dengan itu kita perlu lengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam bidang ICT bagi membolehkan kita mampu bersaing dengan orang lain yang lebih maju. Sekiranya aspek ini diabaikan, mustahil kita akan mampu mencipta kecemerlangan sebagaimana yang diimpikan oleh negara.
Proses pembelajaran dan mencari pengalaman serta mencipta kemahiran tidak terhad kepada zaman persekolahan dan zaman lepas sekolah sahaja, tetapi ia berterusan sehingga akhir hayat. Dalam era ICT, maklumat, data, fakta, pengetahuan dan kemahiran menjadi lapuk setiap masa. Manakala kemahiran pula perlu diperbaharui setiap masa untuk membolehkan pengendalian peralatan yang sentiasa berubah dan semakin canggih. Supaya tidak ketinggalan, setiap individu terutama generasi belia perlu sedar mengenai keperluan berterusan untuk menambah ilmu, kemahiran dan membaiki kompetensi. Dengan itu, mereka perlu sentiasa mengambil peluang yang sedia ada untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, terutamanya untuk menentukan kerja dapat dilaksanakan dengan cekap dan sempurna.
Golongan belia juga digalakkan menghadiri program latihan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing selaras dengan strategi pembangunan diri atau modal insan. Selain itu golongan belia juga perlu dijadikan masyarakat iqra dalam hasrat membina kemampuan negara dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu dan kemahiran dalam semua bidang perlu dihayati. Penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Begitu banyak ayat di dalam Al-Quran yang menyentuh soal penguasaan sains dan teknologi, yang perlu diberikan perhatian oleh golongan belia. Sumbangan tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran renaissance di Eropah wajib diketahui oleh golongan terbabit. Usaha melahirkan saintis Malaysia yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru wajar direalisasikan.
Manusia tidak mungkin berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam dan fenomenanya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah s.w.t untuk manusia yang diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu diperlengkap dengan ilmu, pengetahuan dan kemahiran, supaya membolehkan manusia menguasai dunia.
Amatlah penting generasi belia memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi.
Kini hasrat kerajaan adalah menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia. Peruntukan terbesar telah diberi kepada sektor pendidikan iaitu hampir satu perempat daripada peruntukan mengurus dalam tahun 2005. Perbelanjaan mengurus sebanyak 16.3 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran dan 5.2 bilion ringgit bagi Kementerian Pengajian Tinggi. Beberapa program memantapkan sistem pelajaran telah diteruskan termasuk Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, perluasan program ICT melalui projek pengkomputeran dan Schoolnet. Institusi baru yang bakal beroperasi mulai tahun 2005 termasuk 85 buah sekolah menengah, 45 buah sekolah rendah, 7 buah sekolah berasrama penuh dan 32 buah asrama baru.
Bagi memenuhi keperluan peralihan strategik dalam industri, enrolmen di peringkat diploma akan dipertingkatkan. Ini termasuk enrolmen pelajar vokasional dan teknik di Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara. Sebanyak 670 juta ringgit telah disediakan bagi membina institusi baru. Di samping itu, 248 juta ringgit telah disediakan bagi menaiktaraf kemudahan sedia ada.
Untuk meningkatkan jumlah pelajar lepasan sekolah menengah berpeluang mengikuti latihan kemahiran, kerajaan bakal mengoptimumkan kemudahan sedia ada. Sebanyak 190 juta ringgit telah diperuntukkan bagi tahun 2005. Program dua syif bakal dijalankan di Politeknik, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Komuniti dan Institut Kemahiran Mara. Kerajaan juga telah mengenal pasti 30 ribu tempat tambahan bagi tempoh tiga tahun. Selain dari itu, Program Pembangunan Kemahiran Teknikal dan Peningkatan Kemahiran Perindustrian bakal dilaksanakan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri. Pelaksanaan program ini bakal membantu mengatasi masalah bekalan tenaga kerja mahir. Secara purata seramai 4,000 pelajar telah ditaja untuk melanjutkan pelajaran di luar negeri setiap tahun oleh agensi utama seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA, Petronas dan Bank Negara Malaysia.
Kerajaan juga telah menambah bilangan tempat bagi pelajar tajaan MARA luar negeri di bawah Skim Pelajar Cemerlang daripada 700 kepada 1,000 pelajar setiap tahun. Di samping itu, Khazanah Nasional bakal menaja 100 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka luar negara dalam subjek teknikal dan profesional. Program ini bermatlamat untuk memilih dan membimbing kerjaya mereka yang akan memimpin Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government Linked Companies (GLC) kelak. Ini akan meninggikan lagi keupayaan dan kualiti pengurusan syarikat GLC.
Program memperkasa belia juga bakal dilaksanakan dengan fokus diberi kepada meningkatkan pengetahuan, kemahiran vokasional dan keusahawanan serta menggalakkan interaksi sosial dan gaya hidup sihat. Selain dari itu, tumpuan adalah ke atas program menanam nilai murni dan membentuk kepimpinan berkualiti. Semangat jati diri, tabah dan patriotik merupakan ciri penting yang harus dimiliki oleh setiap belia.
Sementara itu, Jamaluddin Al-Afghani pernah menyebutkan tentang sikap umat Islam yang hanya bermegah tentang kejayaan datuk nenek mereka dalam mencipta tamadun dan sejarah. Tetapi malangnya mereka sendiri tidak pernah berusaha untuk mencapai tahap sedemikian. Shakib Arsalan pernah menceritakan kepada Jamaluddin Al-Afghani bahawa bangsa Arab dahulu pernah berjaya menyeberangi lautan Atlantik dan menemui benua Amerika sebelum ditemui oleh orang Eropah. Lalu dijawab oleh Jamaluddin Al-Afghani: ‘Memang benar datuk nenek kamu dahulu orang yang berjaya. Tetapi kamu adalah kamu, tidak layak kamu mengingatkan kemegahan masa lalu tentang keturunan kamu tanpa sebarang usaha gigih seperti mereka.’
Itulah realiti kehidupan generasi belia kini yang hanya mengulangi babak-babak sejarah datuk nenek mereka tanpa memikirkan masa depan sendiri dan negara. Generasi belia tidak dapat bangun kecuali mereka mempunyai pemikiran masa depan (fikr al-mustaqbal) dan cipta masa depan untuk masyarakat (sina‘at al-mustaqbaliyyah). Golongan belia harus sedar bahawa kita mundur bukanlah kerana kurangnya harta tetapi kita tidak menggunakan akal pemikiran yang dianugerahkan oleh Allah dengan sebaiknya. Kita leka dengan puji-pujian dan sanjungan orang lain tentang nenek moyang kita. Kita dibuai dengan mimpi-mimpi indah tanpa ada usaha untuk merubah diri dan menerima perubahan.
Seorang penulis dan pakar sejarah berbangsa Lebanon, Amir Shakib Arsalan, dalam bukunya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris bertajuk Our Decline: Its Causes and Remedies telah memetik catatan seorang penulis Perancis bernama Marquis Lamazier, yang mengembara ke negeri Jepun. Catatan itu yang disiarkan dalam Journal De Geneva bertarikh 20 Oktober 1930, menggambarkan bagaimana bangganya orang Jepun memelihara identiti nasional mereka, bahasa mereka, seni mereka, kemahiran mereka dan apa juga budaya tradisi yang mereka miliki.
Menurut Lamazier, pada masa yang sama, Jepun meniru ciri-ciri terbaik pembangunan tamadun Eropah dan Amerika dari sudut material, sistem ketenteraan, pendidikan massa dan metodologi pentadbiran kewangan, untuk dimanfaatkan sebagai amalan di negara mereka. Ini bermakna bangsa Jepun hanya mengambil model atau pendekatan yang terbaik dalam pembangunan tamadun kedua-dua kuasa besar dunia itu, dalam membangunkan semula bangsa mereka. Dengan ilmu dan kemahiran yang mereka miliki, kini Jepun telah berupaya membina sebuah kecemerlangan sehingga membuka mata negara-negara Barat. Generasi belia di negara kita juga harus menjadikan Jepun sebagai model untuk membina sebuah tamadun baru sebagaimana yang dihasratkan oleh Islam Hadhari.
Lantaran itu generasi belia di negara kita ini perlu menghadhorikan Islam sebagai sebuah tamadun baru dan bukannya terus berbangga dengan tamadun Islam silam yang pernah tersohor suatu ketika dulu di mana zaman kegemilangan Islam yang telah melahirkan ramai cendekiawan di Baghdad, Damsyik dan juga Andalusia. Apa yang harus difahami oleh generasi muda sekarang ialah mencipta sebuah tamadun baru sebagai umat pencipta dan bukannya sebagai umat pengguna. Kedatangan Rasulullah s.a.w sebagai rahmatanlilalamin harus dijadikan asas untuk kita berubah menjadi masyarakat yang bertamadun berlandaskan konsep kecemerlangan dalam semua aspek hidup.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA