Isnin, 12 November 2012

Satu Bahasa Mendaulatkan Negara


Frasa ‘Satu Bahasa Mendaulatkan Negara’ memberi makna bahawa apabila Bahasa Melayu kita daulatkan, bahasa itulah yang akan membentuk jiwa kita seterusnya mendaulatkan negara kita. Bahasa itulah yang akan memercikkan jatidiri kebangsaan. Jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan agama, kebudayaan dan asal-usul mendaulatkan bahasa kebangsaan, akan cagunlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa yakni Bangsa Malaysia. Namun begitu, jika kita mendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan tercuarlah ‘jatidiri asing’. Akibatnya, akan terencatlah pembentukan jatidiri kita sebagai Bangsa Malaysia.
Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea, selain pengasasan negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat, adalah sesuatu yang wajar kita teladani. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing. Ini satu bukti menunjukkan bahawa satu bahasa mampu mendaulatkan sesebuah negara. Jadi, tidak ada salahnya kita di Malaysia ini mempraktikkan apa yang telah dilakukan oleh rakyat negara-negara tersebut demi mendaulatkan negara kita dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara.
Bahasa Kebangsaan merupakan jatidiri bangsa yang perlu diperteguhkan terus menerus, manakala kemahiran berbahasa Inggeris atau mempelajari bahasa-bahasa tambahan lain akan menambahkan lagi daya saing bangsa Malaysia di persada global. Kita harus sedar bahawa dunia satu bahasa atau monolingual sudah tiada lagi. Maka memanglah bangsa kita akan kerugian jika rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa asing yang diperlukan itu dengan baik.
Cuma kita memerlukan persepsi dan perspektif yang betul dan jelas. Mesej yang perlu kita dukung adalah, apabila kita mengatakan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa itu penting, kita perlu memperteguhkan pegangan bahawa bahasa kebangsaan atau Bahasa Melayu itu lebih penting lagi. Belajarlah bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa tetapi jangan lupakan bahasa kebangsaan. Kita memerlukan gerakan psikologi kesedaran berbahasa. Kita perlu meneguh dan menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan pacakkan pancang menjadikannya sebagai salah satu bahasa komunikasi antarabangsa yang berpengaruh bermula di wilayah nusantara ini.
Sesungguhnya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dalam hasrat meninggikan lagi tahap kesedaran terhadap bahasa dan persuratan bangsa terutama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selama ini, pelbagai program seperti Bulan Bahasa Kebangsaan, Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Minggu Sastera Negara dan lain-lain lagi telah menjana sikap rakyat pelbagai kaum ke arah kenal dan cinta terhadap bahasa kebangsaan. Lagu ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ berkumandang di segala ceruk rantau negara setiap kali program dan kegiatan kebahasaan dilaksanakan. Natijah daripada setiap pelaksanaan program ini, adalah bertujuan bagi mengangkat kesedaran setiap lapisan rakyat menghayati dan menjulang keperkasaan sebuah bahasa negara.
Gagasan 1Malaysia yang telah diwujudkan oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bermatlamatkan perpaduan rakyat pelbagai kaum berteraskan Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukun Negara. Selaku Perdana Menteri yang kaya gagasan, YAB Datuk Seri Mohd Najib Razak telah merangka pelbagai perubahan dan transformasi demi kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan kepercayaan.
Malah tidak ada satu bangsa pun yang akan dipencilkan dalam menikmati pembahagian kek ekonomi negara. Inilah hasrat murni Perdana Menteri untuk memajukan kehidupan rakyat dengan gagasan dan dasar-dasar disepadukan bagi Malaysia mencapai status negara maju pada 2020, sekali gus menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Untuk merealisasikan hasrat gagasan 1Malaysia tersebut maka Bahasa Melayu harus menjadi katalisnya yang utama. Hanya melalui Bahasa Kebangsaan saja bunga-bunga perpaduan dapat dimurupkan dan menggerbak seluruh pelosok dunia.
Timbul satu persoalan, kenapakah aspek bahasa menjadi sangat penting dalam gagasan 1Malaysia? Jawapannya, jika kita berpegang kepada Perlembagaan Malaysia sebagai teras kenegaraan dan aspirasi perpaduan negara bangsa, maka setiap tonggak negara adalah bersifat hak-hak kenegaraan, khususnya status bahasa ini sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Kita tidak ada jalan lain, kecuali menjulang Dasar Bahasa Negara sebagai wahana ilmu, pendidikan, komunikasi dan alat pembinaan tamadun bangsa.
Dari segi logik pula, tidak akan ada bahasa lain yang boleh mengambilalih peranan dan fungsi Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sendiri sebagai alat pemersatuan bangsa Malaysia. Bahasa lain, hatta bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa sekali pun hanya wajar menjadi satu keperluan tambahan dalam konteks kita berbahasa atau demi penggunaan dalam konteks tertentu.
Jadi, janganlah ada lagi segelintir pihak yang mahu memanipulasikan keutuhan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan yang sudah memperoleh martabat sebagai bahasa negara, yang telah dikanunkan sebagai Perkara 152 Perlembagaan dan diperkukuhkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (disemak 1971).
Sesungguhnya, kepentingan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan sebagai wadah terpenting, selain wadah pendidikan dan kebudayaan kebangsaan, untuk membentuk keperibadian bangsa Malaysia bersemboyankan gagasan ‘satu bahasa, satu bangsa, satu nusa’, tidak sewajarnya disangsikan oleh sesiapa pun dan mana-mana pihak. Sebabnya ialah Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan yakni bukannya bahasa asing atau bahasa ibunda yang mampu mencuarkan semangat satu bangsa, menyerapkan roh sebangsa, senegara dan menyemarakkan jatidiri kebangsaan lawannya identiti perkauman, di samping pendaulatan bahasa kebangsaan yang menjadi bukti ketaatsetiaan, penghormatan dan pemuliaan kepada nusa tercinta. Malah, Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan jugalah yang berperanan sebagai bahasa ilmu dalam segenap bidang, bahasa pentadbiran, bahasa ekonomi, bahasa sosial dan bahasa peradaban moden
Kita harus sedar bahawa wasilah terpenting untuk membentuk bangsa Malaysia ialah bahasa kebangsaan atau Bahasa Melayu kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Ini bermakna, bahasa apa yang kita daulatkan, maka bahasa itulah yang akan membentuk jiwa kita. Dalam konteks pembinaan bangsa Malaysia dan kemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing. Inilah prinsip umbi yang seharusnya kita junjung dan pegang teguh, jika benar kita serius untuk menghakikatkan gagasan pembentukan bangsa Malaysia, seperti kata pepatah... di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
Sejak merdeka pada tahun 1957, bahasa kebangsaan telah memainkan peranannya yang tersendiri dalam membentuk kesatuan dan kesefahaman antara kaum di negara kita. Justeru tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa adalah asas pembinaan tamadun dan perpaduan bangsa. Sebab itulah, dalam gagasan 1Malaysia, prinsip-prinsip aspirasi berteraskan penerimaan, Perlembagaan dan Rukun Negara serta keadilan sosial wajar dihayati rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia perlu memahami hakikat kepelbagaian negara bangsa kita. Jika hakikat ini dihayati dan dibudayakan, sudah pasti kita akan berjaya membina ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ tersebut.
Gagasan 1Bahasa juga penting kerana kita mempunyai satu bahasa negara, yakni peranan dan fungsi satu bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita adalah satu bangsa, tetapi terdiri daripada pelbagai etnik, bersatu dengan berkongsi nilai-nilai persamaan, ada rasa sepunya dan kekitaan. Segala-galanya itu mengarah kepada kefahaman bahawa tidak ada negara lain, selain daripada Malaysia, satu-satunya negara kita di dunia ini. Apabila hakikat ini berjaya direalisasikan, maka akan terjulangkah negara kita di pentas dunia sebagai sebuah negara yang berdaulat.
Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah asas keterampilan sesuatu bangsa boleh digambarkan melalui bahasa yang dituturkan oleh masyarakatnya. Kekuatan sesuatu bangsa boleh dilihat melalui kesatuan masyarakat terhadap budaya yang diwarisi sejak turun-temurun terutamanya aspek bahasa. Maka tidak hairanlah kita lihat pada hari ini, banyak negara maju kekal menggunakan bahasa masing-masing yang diwarisi sejak turun-temurun. Rakyat negara Perancis, German, Itali, Jepun, Korea Selatan, Denmark dan lain-lain lagi membuktikan bahawa bahasa mereka berupaya menjadikan mereka masyarakat yang berdaya saing, maju dan dikagumi masyarakat di seantero dunia.
Yakinlah bahawa Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan mampu menyatupadukan rakyat Malaysia seterusnya merealisasikan gagasan 1Malaysia. Tetapi Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu standard yang digunakan secara bersama dan meluas. Bukannya Bahasa Melayu rojak yang diselangseli dan dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris atau lain-lain bahasa.
Sedarlah bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, tetapi juga sebagai bahasa rasmi dan tidak rasmi. Bahasa Melayu bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah universiti di China semasa lawatan beliau ke sana baru-baru ini.
Ini bermakna, Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah Bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur Bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua. Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.
Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa.
Kendatipun begitu, untuk merealisasikan ini, terlebih dahulu kita perlu memperbetulkan beberapa kesilapan mengenai konsep bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda. Pertama, sejak Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, ia bukan lagi menjadi milik tunggal peribumi Melayu. Malah, Bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Jadi, Bahasa Melayu dengan sendirinya menjadi hak milik orang Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Mahmeri, Dayak, Semai, Senoi, Rungus dan semua bangsa yang menghuni mandala yang bernama Malaysia ini, atau dalam lain perkataan... yang menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu ini. Lebih penting lagi, Bahasa Melayu itulah yang menjadi bahasa kebangsaan Cina, India, Kadazan, Iban, Murut, Mahmeri, Dayak, Semai, Senoi, Rungus dan semua bangsa yang telah menjadi warganegara Persekutuan Tanah Melayu.
Kesimpulannya, frasa ‘satu bahasa mendaulatkan negara’ adalah sesuatu yang benar dan mampu direalisasikan jika rakyat Malaysia akur membudayakan Bahasa Melayu atau bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka tanpa sebarang kompromi.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA