Isnin, 12 November 2012

Puisi-puisi Mutakhir


Puisi 1

Apabila Banjir Datang Melanda 


Tanpa isyarat tiba-tiba langit bergelora, 
tanpa guntur tiba-tiba hujan mendera rasa, 
mengganyang bahagia menyubur derita,
menjulang nestapa ke mercu sengsara, 
sebak tangis mengiringi suara tanpa kata, 
meratapi kehilangan segala harta dan benda,
dan kemusnahan yang tiada tara. 

Di ruang pelarian terpapar wajah-wajah haru, 
di serata tempat bergelimpang jasad ternakan bertukar biru, 
tanaman menjadi rata; 
ayam itik hilang entah ke mana; 
kampung halaman porak peranda; 
harta benda menjadi sirna; 
kini mereka semua terpuruk di dewan-dewan sempit, 
menunggu redanya simbahan hujan dan banjir yang menghimpit. 

Derita mereka yang kehilangan bahagia, 
dalam sekelip mata lenyap segala, 
telah tiba kiranya imbalan untuk tangan-tangan berdosa, 
yang tamak meratah kekayaan dunia, 
tanpa insaf amaran dan firman-Nya, 
walau pakaian diri berjubah agama. 

Sampai bila pun banjir akan melanda lagi, 
derita dan sengsara akan terus menggulat diri, 
tanaman dan ternakan akan hilang pergi, 
selagi kesedaran dan keinsafan tidak terpatri,
firman dan amaran-Nya dinafi, 
terimalah azab balasan yang tidak terperi. 

Secebis simpati yang kita hulurkan, 
bersama doa yang kita tadahkan, 
kepolosan telah tumbuh di medan bantuan, 
jangan kita leka mengumpul nama dan sokongan, 
sehingga tidak sempat menjulang keikhlasan, 
sedang kita asyik menghebahkan pemberian, 
di podium riyak dan kebanggaan. 

Percayalah,
apabila banjir melanda, 
akan terbuka sebuah medan simpati sesama manusia, 
akan terserlah juga aksi watak-watak utama, 
dan badut-badut pelbagai warna pelbagai rupa, 
berjubah pura-pura di sebalik agama, 
mencari sokongan dan mencari nama,
di mana-mana.

SMAHADZIR 



Puisi 2

Bukit Hijau Di Belakang Rumahku

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
menghijau kukuh terpasak dalam bumi,
tersergam gabai di belakang rumahku,
siulan unggas berterbangan bagai senandung mersik,
menyambut datang pagi menghantar senja hari,
anak-anak desa berkunjung untuk meragut rezeki,
rotan malau, daun bertam, umbut bayas, genuak dan tongkat ali,
di situlah punca kehidupan,
dari belenggu kemiskinan.

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini sudah gondol digulat kerakusan,
deruman lori balak bergema tanpa mengenal hari,
terang benderang di belakang rumahku,
tiada lagi subur kehijauan seperti dahulu,
sepi kini siulan unggas berterbangan bagai senandung mersik,
lenyap kini irama menyambut datang pagi menghantar senja hari,
sirna kini anak-anak desa meredah perutnya untuk meragut rezeki,
tiada kini rotan malau, daun bertam, umbut bayas, genuak dan tongkat ali,
pepohonan tumbang menyembah bumi,
air minuman menjadi kontang di serata kali,
berkeladak disalut segala kekotoran berdaki,
di mana lagi punca kehidupan anak-anak desa mengaut rezeki,
demi sebuah kehidupan di negeri sendiri.

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini sudah menjadi mangsa kemajuan,
manusia yang berjubah ketamakan,
sebenarnya rakus mengaut keuntungan,
slogan yang kononnya kekayaan untuk semua,
dari mulut pemimpin yang tamak haloba,
sebenarnya omongan kosong belaka,
hakikatnya menyarat poket segelintir manusia cuma,
kini Bukit Hijau dicangkul ditarah digali jadi rata,
jentolak dan jentera pembalak membingitkan anak telinga,
saban hari saban detik setiap masa,
memokah meruntuhkan segala warisan negara,
milik kita bersama.

Bukit Hijau yang merimbun jutaan flora,
kini di henyak lara,
kerana segala keindahannya sudah tiada,
segala kekayaannya sudah dijarah serigala,
yang bersekongkol dengan manusia haloba.

SMAHADZIR 



Puisi 3

Baling Kampung Kelahiranku

Baling, kampung kelahiranku,
tercatat dalam sejarah negara yang berliku,
tempat Chin Peng dan Rasyid Maidin bertemu Tunku,
minta menyerah tetapi bertembung jalan buntu,
sejak itu Baling destinasi disegani,
dulu daerahmu terlalu sunyi sepi tidak ramai penghuni,
unggas margasetua semua mematikan diri,
selorong denai mengharung dadamu yang cemburu,
sarat belukar semak samun penuh berdebu,
kedai-kedai kecil bagaikan termangu,
hening tiada dijengah warga tersisih,
kemiskinan melata menyemarak ke serata mandala,
Baling dihimpit derita bagaikan tiada pembela,
sebaris kedai papan menghadap sungai ke Kampung Lalang,
bagaikan mati tiada pembeli yang datang,
hingga berkurap barang-barang jualan,
yang tidak pernah mengerti erti belian,
jarang benar bertukar tangan.

Sungguh Baling dahulu pekan kecil yang berdebu,
tempat persinggahan komunis berhati batu,
sekitarnya kebun getah dan bendang yang lesu,
pinggiran pekan sungai mengalir layu,
alirannya berat muatannya sarat membeku,
bertahun-tahun kesengsaraan warga berlalu,
dalam kepayahan yang menghenyak kalbu,
kini bagai sebuah mimpi yang tidak disangka,
wajah Baling sudah berpoles nyata,
laksana gadis yang ceria berbedak muka,
harum wangi sepanjang masa,
tidak pernah warganya impikan,
rumah teres rumah banglo megah tepian jalan,
gedung membeli-belah mencanak ke awan,
sudah ramai warganya jadi jutawan,
kemiskinan sudah lama terhumban,
ke sungai zaman.

Kini Baling pekan yang sibuk,
menjadi tumpuan semua penduduk,
tempat membeli-belah mengatur strategi hidup,
tempat warga menukar pelbagai produk,
dari sebuah pekan sepi menjadi bandar yang mewah,
Baling meniti di setiap bibir pengunjung,
bandar satelit yang bakal menjana jalur lebar,
tiada lagi derita warga seperti dahulu kala,
kerana kerancakan ekonomi,
kerana gudang dan gedung,
kemewahan mengapung di puncak gunung.

Baling, kampung kelahiranku,
setiap tahun aku pulang menziarahimu,
kau tersenyum menyambut ketibaanku,
tetapi aku jadi terkedu,
melihat generasi remaja yang bercanda di dadamu,
amat menyesakkan hati kecilku,
kerana akhlak dan moral mereka terpoles debu.


Puisi 4

Tatkala Menatap Wajahmu, Pemimpin!

Tatkala menatap wajahmu, pemimpin!
terpampang segak di helaian buku sejarah,
setelah lebih 50 tahun tanah ini merdeka,               
litar kenangan silam terpintas ke denyut sanubari,
bergentayangan layar-layar lama terpapar di hati,
dalam cerlung matamu,
kulihat saujana lestari benih perjuangan syahdu,
yang telah disemaikan dulu,
pada helaian zaman penjajahan,
pada lembaran masa-masa yang berlalu,
terindah kata, termanis bahasa,
sewaktu menggarap kemerdekaan berharga.

Dan aku menjadi bersemangat untuk mengenang kembali,
dalam sahara jerih sebuah perjuangan yang murni,
pernah kujengah dalam sepi,
lautan perjuangan silam yang lebar tidak bertepi,
dari padang yang hambar terbiar,
digubah kuntum-kuntum mekar,
mewangi setiap lembar,
menggerbak melingkungi pagar.

Dalam riak wajah paling sederhana,
di ruang sempit buku sejarah,
setelah lebih 50 tahun tanah ini merdeka,               
dan setelah lebih 50 tahun diam tanpa suara,
kita semua melontar bicara pesona,
lalu masing-masing tunduk mengutip makna,
setiap butiran aksara,
yang terpahat pada lakaran kata-kata,
kini menjadi peta berharga,
meneroka wilayah sukma,
memercup selimpah rasa,
rindu, sedih, terharu dan gembira.

Menatap wajahmu, pemimpin!
setelah lebih 50 tahun tanah ini merdeka,               
dan setelah lebih 50 tahun diam di album sepi,
di ruang sempit lembaran sejarah,
aku ingin bangun mentafsir erti,
menghurai makna-makna mimpi,
setiap baris keringat perjuangan silam,
setiap aksara soneta penjajahan dulu,
yang indah dan mulus digarapkan bersama.

SMAHADZIR 


Puisi 5

Setelah Menjelma Lagi 31 Ogos 

Setelah menjelma lagi 31 Ogos,
seperti tahun-tahun yang berlalu,
masih merdekakah anak bangsa setelah lebih 50 tahun?
masih merdekakah warganegara dalam minda?
masih merdekakah generasi remaja dalam mengharung pancaroba?
masih merdekakah kita dalam menghayati agama?
masih merdekakah?
sedang citra budaya dan maruah bangsa ibarat si buta yang meraba-raba,
tergapai-gapai mencari peribadi yang hilang entah ke mana,
tercungap-cungap umpama lemas tanpa udara,
yongyat laksana kolek di samudera luas saujana,
menunggu karam dan bakal lenyap tanpa kesannya.

Sekalipun bangsa kita berhati perut berkata mesra tersenyum suka,
tatkala disepak dihenyak bahasa ibunda kita,
tatkala mahu dilenyapkan hak keistimewaan kita,
tatkala dihina sesuka hati raja berdaulat kita,
tatkala diperlekehkan agama Islam kita,
tatkala masjid dan surau kita dijadikan pentas sengketa,
tatkala bangsa kita disamakan dengan monyet di belantara,
tatkala lagu Negaraku diubahsuai sesuka rasa,
tiada siapa pernah rasa dihina,
sekalipun berkali-kali dicerca.

Bangsa kita terlalu lunak dalam berbicara,
bangsa kita terlalu mesra dalam sengketa,
bangsa kita selalu senyum walau dihina,
bangsa kita hanya diam bila dicerca,
bangsa kita seolah-olah tiada berguna,
bangsa kita seolah-olah tiada beragama.

Setelah menjelma lagi 31 Ogos,
kita pun melaung-laung ungkapan merdeka,
di segenap pojok dan pelosok,
sedang riwayat anak cucu Sang Sapurba itu,
jika seorang pemimpin yang jiwanya ibarat hamba,
pengecut lagi menikus,
justeru tidak layak bergelar pahlawan,
panglima di bumi sendiri,
jika seorang Muslim imannya senipis kulit bawang,
mudah disogok manisan kesenangan,
dikembungkan saku dengan kertas-kertas bernilai,
justeru tidak layak digelar mujahid,
pembela agama Allah di bumi sejati.

Jika demikianlah maknanya merdeka,
yang dinanti setiap kali 31 Ogos,
mustahil bahasa Melayu akan menjadi bahasa dunia,
mustahil raja Melayu akan bertakhta lama di singgahsana,
mustahil hak istimewa Melayu akan menjadi milik kita,
mustahil agama Islam akan menjadi agama resmi negara,
mustahil masjid dan surau akan lagi dibina,
akan tibalah juga waktu dan ketika sebuah kehancuran,
akan menjelma sebuah kelenyapan,
anak cucu kita nanti bakal menangisi sebuah kehilangan,
kerana nenek moyangnya telah menggali kubur sendiri,
lalu sama-sama menanam apa sahaja bentuk pusaka,
yang pernah menjadi milik kita sejak dahulu kala,
walau sudah disepakati bersama,
sekian lama sejak negara merdeka.

Setelah sekian 31 Ogos berlalu pergi,
setelah sekian banyak laungan merdeka dikumandangkan,
setelah sekian banyak peringatan diberikan,
setelah sekian banyak iktibar dipaparkan,
setelah sekian banyak keinsafan disuburkan,
bangsa kita tetap tak mahu memahami,
malah memandang sepi,
maka tunggulah waktunya,
kita akan merempat di tanahair sendiri.

SMAHADZIR 


Puisi 6

Tanah Ini Warisan Kita 

Hitam putih warna sejarah silam kala terjarah,
dalam belenggu hitam durja yang gundah,
kita terhina sujud di bawah telunjuk serakah,
maruah lenyap terpanar di henyak kaki penjajah.

Lorong waktu membiak tunas insaf seluruh warga,
musibah lalu jangan lagi meragut sejahtera wangsa,
tanah ini warisan kita pesaka warisan pejuang,
dari darah, dari keringat dan semangat menjulang,
bangsa Malaysia, bangsa peneraju mewangi seribu restu,
melimpah sejuta anugerah dari rahmat teguh bersatu,
menjulang wawasan gemilang ke puncak persada mercu,
membias bayu kecundang jelmaan cemburu sejuta seteru,
anak-anak Malaysia tercinta,
hulurkan tangan memalu genta kelangsungan merdeka,
rapatkan barisan keramat berbekal azimat muafakat,
teguhkan tunjang kuasa wibawa raja berdaulat di puncak utama,
lenyapkan suara-suara angkuh rusuh dengan minda yang ampuh.

Tanah ini warisan kita,
pewaris pejuang bangsa,
tempat bermula dan berakhir,
di sini kasih terpatri dan cinta terukir,
terpancang setia kukuh dan tempat hayat berakhir!

Alaf ini tempoh memacu asmara cinta berahi bumi pertiwi,
membilas noda hitam dari kemelut sengketa selisih semalam,
muhibah rimbun, mesra anggun, menghijau santun,
tanah ini rumah terbaik,
takhta tonggak tercantik,
di sini arena perjuangan bangsa terdidik,
bersama mengorak langkah,
berkongsi arah membina tugu terindah,
sahutlah gemersik suara merdangga seruan perjuangan,
panji kebebasan biar lestari kukuh dalam genggaman,
tanah ini milik hakiki zaman berzaman,
jangan sampai berulang lagi diulet kehinaan.

Kita bukan tidak pernah berada di puncak,
tetapi kita kehilangan rentak di tengah pencak,
melerai simpul perjuangan atas desak kehendak,
merungkai ikatan takzim di pangkal riak membuak,
padahnya kita bakal kehilangan tonggak,
runtuh gah peradaban dibaur kental gejolak ahmak.

Tanah ini warisan kita,
pewaris pejuang bangsa,
tempat bermula dan berakhir,
di sini kasih terpatri dan cinta terukir,
terpancang setia kukuh dan tempat hayat berakhir!
tanah ini darah kita, nafas kita, roh dan jiwa generasi merdeka,
tanah ini maruah kita, citra kita, martabat daulat perkasa,
kesatuan ini wadah wacana hitam putih katalis wibawa.

Tanah ini warisan kita,
pewaris pejuang bangsa,
tempat bermula dan berakhir,
di sini kasih terpatri dan cinta terukir,
terpancang setia kukuh dan tempat hayat berakhir!
biar luluh jiwa raga,
darah setia tetap mengalir,
biar sampai darah terpercik,
ikrar ini tidak akan mungkir.

SMAHADZIR 


Puisi 7

Atas Nama Warisan Bangsa

Mari kita genggam kata sepakat,
teguh pelihara warisan silam yang hebat,
hakikat sejarah telah lama tercatat,
warisan lama adalah lambang kudrat,
bangsa berilmu yang pernah tercegat.

Dalam kenangan kegemilangan masa lalu,
kini warisan silam bagai di balik pintu,
tidak pernah diberi waktu,
khali hidup di celah zaman berliku,
tidak ada yang ingin memecah dinding sejarah,
kau disisih atas alasan purba tiada indah,
sedangkan kau adalah warisan yang megah.

Globalisasi adalah sebuah hakiki,
bukan alasan untuk warisan diborgol khali,
di mana lagi harus dicari ganti?
monumen warisan ini bukan ukiran mainan,
tetapi anugerah indah ciptaan Tuhan,
warisan ini adalah selembar sejarah dalam peradaban,
yang wajar didokumentasikan menjadi kamus ingatan,
berdosa jika terpadam dalam kenangan.

Warisan bangsa ini perlu kita semarakkan,
beriring pecutan langkah ke medan wawasan,
memecah pintu prahara yang kini terkuak lebar,
selebar ruang maya jangkauan siber,
kau adalah pemangkin segala sumber.

Warisan budaya sudah sampai ke puncak perubahan,
alaf baru adalah satu titik pembaharuan,
buruk purba bukan lagi kemelut persoalan,
mencuar kegemilangan negara dan bangsa,
bukan tugas bangunan pencakar langit cuma,
monumen lama adalah penyumbang saksama.

Gelombang globalisasi ini akan terus berlari,
pencinta warisan bangsa perlu siap berlengkap diri,
buat meredah zaman berduri,
kita warga negara tergantung harapan murni,
penegak warisan budaya dengan gerbak setanggi.

Warisan budaya ini, mandala semua bangsa berpadu,
duduk dan berdiri dalam kasih yang satu,
ini warisan negara tinggalan leluhur jitu,
di sini tersimpan segala pusaka nusa,
hitam dan putih warna sejarah bangsa.

Bersatulah atas nama sepakat!
agar warisan budaya tercegat di puncak hebat,
jadikanlah warisan budaya pusaka mulia,
unik negara pelbagai bangsa menyanjung jata nusa,
darah milik kita sama merah,
mimpi tidur kita sama indah,
biar kemelut datang menerjah,
warisan budaya ibunda kita tetap tertegak megah.

Hulurkan tanganmu semua warga tanah air,
kita berpimpin erat ke mercu indah terukir,
semarakkan warisan budaya, lenyapkan segala khuatir,
demi tamadun bangsa, pertahankanlah hingga hayat berakhir.

SMAHADZIR 


Puisi 8

Petani Berwajah Lesu 

Kala simbahan hujan merudum garang,
menyimbahi dada usang ladang dan bendang,
kebun dan sawah basah bergenang,
kalau dulu bermusim sudah kering gersang,
tanah merekah semua saliran kontang,
apabila banjir tiba-tiba menjenguk,
pohon padi kini habis reput terjeruk,
hidup petani tambah terpuruk,
hilang lenyap tempayan dan geluk,
dibawa air ke dalam lubuk,
ke pusat perpindahan duduk sementara,
makan tidur bersama sanak-saudara,
berkunjunglah semua manusia seagama,
menghulurkan bantuan apa yang ada,
namun petani wajahnya lesu,
hidup mendatang tentulah dalam sendu,
kerugian melanda tak kenal jemu.

Petani berwajah lesu,
mengenang anak-anak tak bersekolah sudah berminggu,
banjir yang datang bertamu,
membawa bersama pakaian dan buku,
jelu hati didakap pilu, sengsara jiwa dipeluk sendu,
menagih simpati kepada kerajaan,
tidur tak lena dirasuk kebimbangan,
doanya sentiasa kepada Tuhan,
janganlah musibah ini berpanjangan,
pohon kembalikan segala kebahagiaan.

Setelah banjir kian mereda,
petani pulang dengan perasaan yang hiba,
melihat rumah dan segala harta benda,
bagai diamuk serangan garuda,
padi di bendang menjadi rata,
bersimbahanlah air mata,
pasti kehidupan digulat derita,
berbekal kedhaifan yang tak pernah dipinta,
duka lara menghiris jiwa hamba,
basah dalam rembas hujan sengsara,
sesekali pak menteri dan YB tiba,
untuk menghitung kerosakan yang ada,
kehilangan nyawa dan harta benda,
kepada petani diminta redha,
ini semua takdir Yang Esa,
ke hadapan Allah doa dipinta,
harapkan bencana tak berulang tiba,
namun dalam hati petani berkata,
segala bencana segala malapetaka,
kerana tangan manusia,
yang melakukannya.

SMAHADZIR 


Puisi 9

Demi Kegemilangan Negara

Mari kita genggam kata sepakat,
teguh pelihara perpaduan 1Malaysia biar hebat,
akuilah hakikat sejarah yang telah lama tercatat,
perpaduan semua bangsa adalah lambang kudrat,
bangsa berjaya yang pernah tercegat.

Dalam kenangan kegemilangan masa lalu,
jangan biarkan perpaduan berkecai dek gejolak nafsu,
di dada generasi belia 1Malaysia terpancang amanat jitu,
teguhkan muafakat seikat berkas hasrat yang satu,
julang pokok perpaduan di mercu,
sisihkan segala seteru,
yang cuba mengganggu.

Globalisasi adalah sebuah hakiki,
bukan alasan untuk perpaduan dilupai,
di mana lagi harus dicari ganti?
kesejahteraan tanah ini bukan ukiran mainan,
tetapi anugerah indah ciptaan Tuhan,
perpaduan yang pernah dibebat adalah selembar sejarah dalam peradaban,
yang wajar didokumentasikan menjadi kamus ingatan,
berdosa jika terpadam dalam kenangan.

Perpaduan 1Malaysia ini perlu kita semarakkan,
beriring pecutan langkah ke medan wawasan,
memecah pintu prahara yang kini terkuak lebar,
selebar ruang maya jangkauan siber,
belia 1Malaysia adalah pemangkin segala sumber.

Negara sudah sampai ke puncak transformasi,
alaf baru adalah satu titik pembaharuan yang perlu dilalui,
pelbagai budaya bukan lagi kemelut persoalan,
mencuar kegemilangan negara dan bangsa,
bukan tugas pemimpin cuma,
generasi belia 1Malaysia adalah penyumbang saksama.

Gelombang globalisasi ini akan terus berlari,
generasi belia 1Malaysia perlu siap berlengkap diri,
untuk bekalan meredah zaman berduri,
kepada generasi belia 1Malaysia tergantung harapan murni,
penegak kegemilangan nusa dengan gerbak setanggi.

Negara ini, mandala semua bangsa berpadu,
duduk dan berdiri dalam kasih yang satu,
ini bentala sejahtera tinggalan leluhur dahulu,
di sini tersimpan segala pusaka nusa,
hitam dan putih warna sejarah bangsa.

Bersatulah atas nama sepakat!
agar kecemerlangan nusa akan tercegat di puncak hebat,
jadikanlah perpaduan astaka paling mulia,
unik negara pelbagai bangsa menyanjung jata nusa,
darah milik kita sama merah,
mimpi tidur kita sama indah,
biar kemelut datang menerjah,
perpaduan nusa kita tetap tertegak megah.

Hulurkan tanganmu semua wahai generasi belia 1Malaysia,
kita berpimpin erat ke mercu indah terukir,
semarakkan pohon perpaduan,
lenyapkan segala khuatir,
demi kegemilangan negara,
pertahankanlah hingga hayat berakhir.

SMAHADZIR 


Puisi 10

Anak-anak Generasi Kini

Anak-anak generasi kini,
dari rahim ibu yang disalut kegelapan,
diberi hidayah melihat kehidupan,
perlangkahan penuh ranjau dan cabaran,
kalian adalah permata yang berkilauan,
penyeri sungai kebahagiaan,
penyubur pohon keindahan,
penyegar daun kesengsaraan.

Dengan jerit tangis senda gurau tawa riangmu,
itulah kebahagiaan yang mengisi ruang,
itulah suara-suara anugerah Yang Maha Esa,
yang nilainya intan permata,
kami rela bertarung nyawa,
demi kesenangan zuriat tercinta,
tidak pernah kami mengharap,
balasan dan imbalan jasa,
yang telah tercurah.

Anak-anak generasi kini,
bawalah segala ilmu akhlak dan peribadi luhur,
menyelusuri sepanjang sungai hidup,
binalah pulau yang makmur,
disalut pakaian takbur,
ratiplah zikir-zikir syukur,
selalulah bertafakur,
untuk membina diri yang zuhud.

SMAHADZIR


Puisi 11


Puisi - Ajarlah Anak-Anak Kita

Ajarlah anak-anak kita,
menyanyikan lirik-lirik sayang,
senandung pusaka bangsa yang kian menghilang,
agar irama warisan berharga itu kembali terjulang,
laksana gemerlapan bintang,
di langit gemilang.

Ajarlah anak-anak kita,
bersyair rangkap-rangkap budi bahasa,
bergurindam bait-bait murni santunan jiwa,
bernazam aksara-aksara tersusun ceria budaya,
berpantun kata-kata lunak berjati diri sarat mesra,
anak-anak kita adalah generasi penyambung,
pusaka warisan bangsa yang agung,
agar tiada lagi budaya barat yang canggung,
tumbuh subur di tengah panggung,
dalam mengorak langkah-langkah yang gagah,
kita perlu garang menguak musibah,
sesekali menerjang menjulang maruah,
seiring meninjau arah hadapan mengejar hasrat tergubah,
biar lestari hitam putih warna sejarah.

Ajarlah anak-anak kita,
menabuh gendang warisan budaya,
dalam derap baris-baris yang sekata,
menarikan tarian zapin, ronggeng dan boria,
agar gerak lenggang lenggok terukir sama,
semoga anak-anak generasi kini,
memahami lakaran indah pusaka bestari,
menobatkan warisan negara di bingkai pelangi,
mendaulatkan budaya bangsa di persada pertiwi.
hari ini bersemarak bait-bait yang sumbang,
senandung bejat galak berkumandang,
bernada pincang dan gersang,
lirik warisan murni tercicir nada harmoni,
lantaran suara-suara semakin meninggi,
meluahkan rasa jelak dan benci,
sehingga goyah tonggak warisan budaya sendiri,
lalu bergegarlah rumpun-rumpun budaya,
pentas ini adalah pentas manifestasi setia,
tempat bernyanyi lagu-lagu beretika,
rentak dan tingkah kita perlu sekata.

Ajarlah anak-anak kita,
menarikan tarian yang sama,
lenggang kemurnian warisan bangsa,
ajarlah anak-anak kita,
tentang petua dan pantang larang yang terpilih,
tentang permainan rakyat yang bersih,
tentang monumen purba yang kian tersisih,
ajarlah anak-anak kita,
bahawa warisan budaya kita pernah berada di puncak,
tetapi kini telah kehilangan rentak,
lantaran desak nafsu dan kehendak,
padahnya bangsa kita bakal kehilangan tonggak,
runtuh peradaban dek budaya barat yang membuak.

Ajarlah anak-anak kita,
menggesek biola warisan budaya,
dalam sebuah konserto wawasan negara,
hakikat ini harus kita terima,
warisan budaya adalah milik kita bersama,
biar seribu budaya asing lancang menjelma,
jangan cemarkan warisan budaya lama,
yang  kaya dengan kemurnian susila,
tibalah waktu kita semua menghulurkan tangan,
merapatkan genggaman dalam satu tujuan,
pacakkan kembali tiang warisan,
budaya bangsa kita di tengah kehidupan.

SMAHADZIR


Puisi 12

Aku Meradang Melihat Bangsaku 

Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku beradab,
tapi sering biadab menyebar asap,
asap begitu membumbung tapi di mana bara api,
tak disangka tersimpan di dalam hati,
sesak paru-paru penduduk seperti dicekak,
seringkali tertelan sendiri gumpalan kahak di hujung tekak,
mulut pengap, nafas tak sedap,
berkecap seperti melahap.

Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku bersatu,
tapi sering berseteru menebar debu,
debu begitu menggunung tapi di mana angin berarak,
tak disangka terhembus di dalam benak,
pedih mata penduduk seperti dicucuk,
seringkali tergenang sendiri aliran air mata di pelupuk,
hidung mampat, hingus membatu,
bernafas seperti membeku.

Aku meradang melihat bangsaku,
bangsaku ini mengaku berhemah,
tapi sering beraksi melempar fitnah,
fitnah begitu menumpuk tapi di mana benarnya,
tak disangka terganjal di dalam akal,
sakit tenggorokan penduduk seperti dikelar,
seringkali tersedak sendiri getaran suara di leher,
kerongkongan gosong, batuk mengejan,
berbicara seperti mengigau.

SMAHADZIR 


Puisi 13


Sebiji Mutiara Bernama Warisan Budaya

Sebiji mutiara bernama warisan budaya,
ditatah intan permata, dipapah para cendekia,
terukir pada mahkota nusa,
lambang jatidiri tamadun bangsa.

Tersurat pada aksara,
bahawa warisan budaya adalah pusaka bangsa,
tersirat pada pengertian,
bahawa warisan budaya adalah tamadun insan,
terlukis pada harapan hati,
bahawa warisan budaya akan semarak kembali.

Hasil jerih leluhur lama,
mencegat warisan budaya di mercu persada,
jangan biarkan lenyap ditimbus prahara,
kita ukir warna lestari di lembaran masa,
kita palu gong merdangga di serata dunia,
kita senandungkan lirik-lirik seia sekata,
warisan budaya kita di puncak singgahsana.

Mutiara milik negara ini jangan disirna,
sejarah lama menjadi tidak bermakna,
warisan budaya adalah jatidiri bangsa mulia,
pemangkin pembina akhlak wibawa.

Kita adalah bangsa bermaruah,
bangsa berbudaya, teguh dan tabah,
kita tidak rela dihenyak gundah,
warisan budaya dicerna penjajah,
kerana kita punya akal cemerlang,
pada alaf yang mendatang,
bolong kohong budaya bejat kita buang,
agar hidup menjadi gemilang,
agar negara di mercu terbilang.

Marilah kita meneguh tekad,
untuk mengukir sebuah tugu muafakat,
berhias indah landskap mertabat,
warisan budaya kita di mercu hebat,
berteras kukuh tiang imamat.

SMAHADZIR 


Puisi 14


Malam Di Pulau Pangkor 

Malam di Pulau Pangkor menebar jaring bimbang,
selebar lautan menyelaput ruang,
damai hilang di celahan pulau-pulau terbentang.

Setiap langkah yang bergerak adalah gelisah,
yang menyelinap di celah pasir-pasir yang basah,
yang mengendap di pintu yang resah,
sebuah keyakinan hilang di hujung malam,
meninggalkan debar yang mendalam,
berdetak keras di kelopak masa silam.

Dalam gegar gelora laut Selat Melaka,
menghitung waktu-waktu berlalu amat cepatnya,
kesepian sebuah pulau adalah rasa tersisih dari kemeriahan kota,
seakan kesepian sebuah belantara,
tanpa ceria tanpa suara tawa dan gurau senda.

Akulah pengunjung Pulau Pangkor yang sepi,
yang terhadiah dari sejarah silam diri,
perjuangan yang berkecai dan mati,
dan mengairi bersama lencun peluh mencucuri,
mengumpul perjalanan masin di hujung musim bersemi.

Terdampar di Pulau Pangkor ini,
dengan mentari yang hilang bersembunyi,
merdunya semilir wayu yang bernyanyi,
dan lunak suara ombak berlari di gigi hari,
adalah soneta-soneta terkini,
yang semakin mengharukan hati.

Kesepian dari sebuah pulau,
yang semarak suburnya di ingatan yang galau,
membuatkan seluruh jasadku menjadi sasau.

SMAHADZIR 


Puisi 15

Citra Seorang Perempuan 

i

Seorang perempuan,
laksana sebungkah kristal biru,
hening dan jernih bercahaya di mercu,
sinarnya memantul bertembang syahdu,
berlepa hukum yang terpatri,
kalau tercampak ke batu,
serpihannya yang runcing umpama sembilu,
tajam menyiat dan menghiris kalbu.

ii

Seorang perempuan,
laksana ratna yang bersinar dan berkilau,
cahayanya yang terpancar cukup kemilau,
harganya selembar pulau,
berwajah indah dan memukau,
kudrat terbatas tidak terjangkau,
sekadar meluputkan hasrat yang terpantau.

iii

Seorang perempuan,
laksana seungkap rantaian mutiara,
jata tenang, harmoni dan bahagia,
namun dialah penjerut dan pendera,
berlengkar menunggu mangsa,
membelit segala impian dan kata-kata.

iv

Seorang perempuan,
adalah seorang isteri dan ibu,
yang teguh berdiri dengan setia membatu,
di kaki seorang lelaki yang keras melulu,
dengan iltizam yang jitu,
berkawan seribu berkasih satu.

SMAHADZIR 


Puisi 16

Sewaktu Berdiri Di Gigi Alun 

Sewaktu berdiri di gigi alun,
mendengar mersiknya suara ombak,
sambil menghadap ufuk masyrik,
dan tunduk menatap samudera pagi,
keindahan Jambatan Pulau Pinang terpasak teguh,
mencecah muka alun,
alangkah ayunya wajahmu Persiaran Gurney,
damai dengan hembusan pawana segar,
tenang dengan lambaian alunan air,
dalam lembut kabus senyum tersipu,
menggamit keriangan dalam kemewahan.

Dari tengah segara yang luas terhampar,
bunga-bunga ombak bagai berlumba berkejar-kejar,
membelai putih pantai yang panjang mendatar,
bebayang bangunan tinggi melangit mencakar,
menambah pesonakan lagi suasana latar,
Pulau Pinang yang dahulunya hambar,
tanpa sebarang halangan yang mencabar.

Sewaktu berdiri di tepian tingkap,
hanya dari hotel Ever Green bertaraf mewah,
terbaik sudut untuk melihat panorama alam,
Persiaran Gurney bagaikan menghambat,
pergerakan dan langkah-langkah bebas,
segalanya amat mahal untuk dibayar,
segalanya amat bernilai untuk disukat,
segala indahnya amat berharga untuk digarap.

SMAHADZIR 


Puisi 17

Selamat Pagi Yang Berhormat 

Selamat pagi Yang Berhormat,
kami tak ingin rasa ini bertepi,
ketika kau ucapkan kata-kata indah,
dalam kempen,
sewaktu kita berkenalan.

Selamat pagi Yang Berhormat,
kami hendak mencangkul sebongkah hatimu,
membelai jazirah harapan,
kini carik rindu terbang melayang berserakan,
diterpa desah bayu menggelandang,
jangan kau biarkan rasa ini berwarna hitam.

Selamat pagi Yang Berhormat,
sesungguhnya kaulah aspirasi kami,
menjadi wadah berkeluh kesah,
telah hilangkah rasa cintamu pada kami?
kau tahu bahawasanya benakmu bukanlah batu,
yang hanya terdiam duduk manis di kerusi.

Selamat pagi Yang Berhormat,
kami pun tahu kini kita telah berbeza,
kau laksana dewa yang menggaungkan genta di langit,
kami yang berpijak di tanah mengharap genta itu berbunyi,
lantang, merdu, dan mempesona.

Selamat pagi Yang Berhormat,
ingatkah siapa yang telah mengangkatmu,
sehingga dirimu telah bertakhta,
kamilah yang kini berpeluh airmata,
kerana kecewa dan salah, memilih kucing di dalam karung.

Selamat pagi Yang Berhormat,
masihkah kau mencintai kami?
kami di sini mengharap janji dari mulutmu,
yang pernah menabuh genderang telinga ini,
kini segumpal kabut telah nyata bersandar,
singgah selimuti kehidupan kami,
kerana kata-kata dan aksara manismu,
telah pahit terasa,
menjadi arang dalam kehidupan kami.

SMAHADZIR 


Puisi 18

Bentalaku Permata Berbudi

Mekar 1957 telah memurup menggerbak,
kuntuman mewangi ke serata pelosok ceruk,
menyapa harimu Malaysia yang santun,
menjadi wadah bertuah,
melahirkan anak watan berjiwa gagah,
tegak memacu arah, menguak serakah.

Sejak 1957 menongkah gelombang memacu padu,
gemilang namamu Malaysia ke mercu,
adunan minda anak jatimu; berbekal harap selengkap ilmu,
tiada buntu menyaring restu; para guru yang melangkah padu,
ketika warga sekitar masih tersedu,
kalianlah pemimpin yang melonjak jauh,
ketika prasaranamu dioleng tengkujuh,
kalianlah pemimpin yang menobat darjat,
ketika anak bangsa memburu hajat.

Hari ini; tiada lagi orang berperi,
tentang anak-anak warga buta huruf hilang peribadi,
tentang generasi remaja hilang kemudi,
tentang insan muda tua terhadang rezeki.

Berabad-abad memerah kudrat,
membina empayar bentala yang hebat,
berdinding tembok agama yang kuat,
berbumbung rabung siasah yang rapat,
berteras tiang iktisad yang padat,
dikau meraih berkat melimpah rahmat.
dirgahayu untukmu,
bentalaku Malaysia permata berbudi!
dikaulah tanah tumpah darah sejati,
penjana molek pekerti warga berhemah tinggi,
kami ikhlas menabur bakti menyemai budi dan ladangmu telah hijau kini,
berbunga peribadi berbuah bestari,
anak-anak watan semakin tegak berdiri,
menjulang jati diri, berakidah murni!

Berdirilah untuk sejuta abad lagi bentalaku,
dengan restu inayah Ilahi.
kerana kami wargamu masih mahu melangkah,
di denai wawasanmu,
lantaran perjuangan tidak akan berakhir,
selagi laut perjuanganmu masih berdesir.

Bentalaku Malaysia masih dahaga,
meneguk manis madu perjuangan,
kemajuan dan keterampilan,
justeru telah utuh keyakinan,
setelah dikau melontar cahaya,
menjana upaya pemangkin daya,
warga tetap menaruh percaya.

Salam sejahtera dan kasih sepenuh hati buatmu,
wadah semangat penjana kelangsungan hidup,
bentalaku Malaysia.

SMAHADZIR 


Puisi 19

Jangan Biarkan Ia Melata Subur Di Tanah Bonda


Kata pemuja dan pencintanya;
ia laksana wayu, cagun merayu-rayu,
segar dingin menyapa, membelai dan mencumbu,
ia sumber ilham, datang memburu,
lupa ia adalah sebuah keliru,
lupa dunia nyata, dilambung ke langit biru,
konon penjana inspirasi dan aspirasi indah bersatu.

Sebenarnya; keindahan hanyalah fatamorgana,
abstrak, maujud, kepalsuan belaka,
membawa akhlak ke jurang hina,
yang tidak ada batas sempadannya.

Kata bonda; jangan dekati ia,
memujanya tak ubah seekor anjing tidak bernyawa,
berkurap sopak dihimpit derita,
laksana tengkorak hidup merayau ke segenap kota dan desa,
berjiwa lesu, terhoyong-hayang mencerna rasa,
kuasa mistiknya mengembang bahagia,
semuanya retorik belaka,
engkau dihina, dibenci dan tersisih oleh semua warga.

Kita remaja 1Malaysia harapan bangsa,
peneraju gagasan dan impian nusa,
penegak agama di mercu persada,
pencegat wawasan penjulang negara,
di puncak gemilang saujana,
mari kita cegatkan tekad dan rasa syukur,
perteguh jatidiri, biar darah terkucur,
jauhi ia, perosak dan penghancur,
pembunuh dan pemusnah segala cita,
benci ia, jauhi ia dan hapuskan ia,
jangan biarkan ia melata subur di tanah bonda,
ia - DADAH celaka, syaitan tercela,
jelatang pemusnah bangsa,
musuh paling durjana,
menghumban diri ke lembah hina,
membawa negara ke lembah bencana.

SMAHADZIR 


Puisi 20

Kepada Belia Tergantung Agenda Bestari


i

Insaflah wahai generasi belia,
dalam pilu masa lalu yang terjarah,
kita tidak pernah diberi waktu untuk berubah,
kaku hidup di bawah telunjuk penjajah,
terhenyak hati dalam tangis dan sendu yang parah,
jika ada yang ingin memecah dinding sejarah,
kita dipasung atas nama penderhaka yang menggugah.

Kebebasan itu adalah sebuah kemerdekaan,
kerana penjajah tidak pernah memberi kunci,
untuk membuka pintu kemajuan yang hakiki,
lalu kita tersadai di bucu rugi,
melihat segalanya berlalu pergi,
bersama permata bersira setanggi.


ii

Wahai generasi belia,
insaflah; kemerdekaan ini perlu kita semarakkan,
buat memecut langkah ke medan wawasan,
pintu kemajuan yang kini terkuak lebar,
selebar ruang maya jangkauan siber,
kita belia adalah pemangkin segala sumber.

Kita sudah sampai ke puncak perubahan,
alaf baru adalah satu titik persamaan,
beza jantina bukan lagi kemelut persoalan,
membangun negara bukan tugas pemimpin cuma,
kita belia penyumbang saksama.


iii

Sedarlah wahai generasi belia,
kemerdekaan ini akan terus berlari,
di mana kita perlu siap berlengkap diri,
buat meredah zaman berduri,
kepada belia tergantung agenda bestari.

SMAHADZIR 


Puisi 21

Remaja Harapan

Remaja barisan hadapan,
laksana busur menjadi tonggak pemacu,
bakal meredah gelombang bergulung,
keutuhan iman yang tersimpan di balik tabir yang tenang,
keindahan yang terpancar disinar cahaya takwa,
itulah remaja harapan pembina negara masa hadapan.

Gerak langkahnya yang gagah disulam zikir di ingatan,
keyakinan yang mendalam menjadi senjata yang dijulang,
jasad hayatnya diserahkan untuk sebuah perjuangan,
itulah remaja harapan bentala merdeka,
pembela agama, bangsa dan negara tercinta,
akhlak dan minda bersinar bak cahaya,
menjadi lambang peneraju kegemilangan yang nyata.

Remaja harapan pejuang negara,
pahlawan gagah yang dadanya bersalut iman,
tetaplah kau dalam barisan hadapan,
menjadi sayap kanan di medan perjuangan,
meneguhkan benteng pertahanan agama, bangsa dan negara.

Usah leka lambaian asyik dunia pancarona,
hedonisme yang bakal menjahanamkan impian jaya,
sematkan pakaian ketakwaan yang tebal,
senjata keimanan yang runcing,
hunuskan ke perut zaman,
buraikan segala pancaroba,
penghalang kegemilangan negara merdeka.

SMAHADZIR 


Puisi 22

Ikrar


Sudah kukuh ikrar terpahat,
tidak sesekali rela tergari tangan,
bebas terpasung atau punggung disebat,
belakang dipacu laksana kuda tunggangan ikut telunjuk,
penjajah bangsa dari bumi asing,
tidak sesekali rela menyusur denai petualang,
meruntuhkan banjaran sejahtera,
gunung perpaduan,
tasik tenang jernih berkocak keruh,
di tanah kelahiran ini.

Sudah dipancang teguh,
turus panji berkibar,
memercup kasih,
bertunjangkan paduan sayang,
sudah dilaungkan ke semesta alam,
gurindam setia dan syair perkasa jiwa,
kami ini remaja 1Malaysia,
rela menyerah tubuh,
menggadai nyawa,
menjulang nusa di mercu persada,
memancang mertabat negara di puncak mulia,
memelihara agama,
dari rasukan noda.

Ini ikrar sejati,
tidak sesekali rela,
tidak!!

SMAHADZIR 


Puisi 23

Aku Generasi Zaman Mencabar


Bentalaku sudah lama merdeka,
aku ingin lepas bebas,
dari kepompong kemiskinan yang hitam,
ingin aku terbang bersama rerama,
melayah di kaki bianglala pancawarna,
berlabuh kukuh di persada maya.

Lepaskan aku dari ikatan mudarat,
untuk segera bangun mencerna kudrat,
kerana aku tidak betah lagi melayan mimpi,
dalam hidup menagih simpati.

Aku generasi remaja alaf baru,
aku warga berazam padu,
merempuh segala onak membasmi seteru,
menolak segala cemuh dan cerca,
menangkis segala hina dan nista.

Aku mahu ke depan menyahut nafiri perjuangan,
di dada ini telah padat bekal keampuhan,
di tangan ini telah kugenggam bara keazaman,
di minda telah terjana akal kepintaran.

Bentalaku sudah lama merdeka,
aku ingin lepas bebas,
seperti beburung, seperti mega jingga,
menabur benih bakti di batas pertiwi,
memercup putih kasih di laman insani,
melebar medan juang di jurang diskriminasi,
melakar peta gemilang di dunia bestari.

Aku generasi remaja zaman mencabar,
semangat tulen pantang dicabar.

SMAHADZIR 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA