Selasa, 13 November 2012

Kaji Barat Dan Islam Dengan Baik


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Kebanyakan kemerosotan terhadap Islam belakangan ini terjadi akibat kebodohan, kesilauan rasa pemujaan keterlaluan terhadap peradaban Barat. Menurut Prof. Naquib al-Attas, bukan hanya dari segi ajaran, Islam membongkar dasar-dasar kepercayaan agama Kristian, tetapi kemuncuan Islam pada awal abad ke-7 Masehi, juga memberikan halangan atau cabaran hebat terhadap eksistensi politik, ekonomi, dan geografi Kristian.
Fajar Islam kemudian mengubah peta sejarah, khususnya di kawasan Timur Tengah. Islam menggantikan kedudukan Kristian sebagai agama dominan ketika itu. Secara panjang lebar hal ini dikatakan oleh al-Attas dalam bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin sebagai berikut:
‘Pada waktu fajar Islam mulai menyingsing maka agama Kristian itu sudah pun menguasai kawasan yang luasnya melingkungi Eropah Barat hingga ke Timur, termasuk Asia Barat dan Afrika Utara. Akan tetapi impian agung dan idam-idaman yang tentu giat memujuk hasrat dan ghairah penganjur serta penganut-penganut agama Kristian Barat itu tiba-tiba getar gugur hancur akibat terbitnya Islam. Islamlah agama yang mula-mula mendakwahkan peranannya sebagai agama yang bersifat menyeluruh bagi anutan segenap masyarakat insani; agama yang merupakan fitrah atau mengandungi bawaan asal sifat insani; yang mula-mula mendakwah bagi membetul dan melengkapkan agama-agama lampau, khususnya agama Yahudi dan Kristian; yang mula-mula menggugat dan menghancurkan dasar-dasar akidah agama Kristian.’
Kemudian gugatan serta kepercayaan batin terhadap agama Kristian itu disusuli segera dengan cabaran zahir yang merupakan perkobaran panji Islam, dalam masa sejarah yang sesingkat lebih kurang lima puluh tahun sahaja, laksana api yang merebak menjalar keluar dari tanah Arab ke Mesir; ke Afrika Utara  (al-Maghrib); ke Sepanyol; ke Iraq; ke Syria; ke Farsi; ke India dan China sehingga sampai juga ke Kepulauan Melayu ini.
Dalam masa hampir dua ratus tahun sesudah Hijratu’l-Nabiy, maka jajahan dan kawasan Islam itu luasnya lebih jauh besar dari jajahan dan kawasan agama dan imperaturia manapun dalam dunia, dan melingkungi kawasan-kawasan Eropah Barat dan Timur termasuk negeri Turki. Orang-orang Islamlah yang pertama menawan orang Barat; yang pertama memainkan peranan besar dalam menyanjung tinggi pelita ilmu pengetahuan ke Eropah dan dengan demikian menerangi suasana gelap gelita yang menyelubungi dunia Barat ketika itu; yang pertama melangsungkan pembicaraan akliah menerusi ilmu kalam dengan para failasuf dan ahli teologi agama Kristian Barat.
Pukulan zahir batin yang hebat yang telah dikenakan oleh Islam kepada agama Kristian dan kebudayaan Barat itu tentulah terasa oleh hati sanubari bagai sebatan cemeti yang terlalu amat pedih menggeleparkan, hingga memaksa keluar dari dalam kunhi jiwanya satu laungan maha dahshat yang ngilunya masih dirasai santak kini.
Maka sesungguhnya tidak hairan bagi kita jikalau agama Kristaan Barat dan orang Barat yang menjelmakan kebudayaan Barat itu, dalam serang balasnya terhadap agama dan orang Islam, akan senantiasa menganggap Islam sebagai bandingnya, sebagai tandingnya, sebagai taranya dan seterunya yang tunggal dalam usaha mereka untuk mencapai kedaulatan duniawi.
Dan kita pun tahu bahawa tidaklah dapat Islam itu bertolak-ansur dalam menghadapi serangan kebudayaan Barat, justeru sehingga kebudayaan Barat itu tentulah menganggap Islam sebagai seterunya yang mutlak; dan kesejahteraannya hanya akan dapat terjamin dengan kemenangannya dalam pertandingan secara bermati-matian dengan Islam, sebab selagi Islam belum dapat ditewaskan olehnya maka akan terus ada tandingan dan seteru yang tiada akan berganjak daripada mencabar dan menggugat kedaulatan serta fahaman dasar-dasar hidup yang didakyahkan oleh mereka.
Prof. Naquib al-Attas mengimbau agar kaum Muslimin tidak alpa dan lena dalam mengemban tugasnya sebagai umat Islam. Umat Islam tidak seharusnya secara bulat-bulat menerima dan mengharapkan harapan yang sia-sia bantuan dan kerjasama serta persahabatan yang ikhlas dari yang lain. Beliau mengajak umat Islam merenungkan makna firman Allah dalam surat al-Baqarah 120: ‘Tiada akan orang Yahudi dan Kristian itu rela menerimamu melainkan kau jua yang dikehendaki mereka mengikut cara agamanya. Katakanlah (olehmu): Sesungguhnya petunjuk Allah – itulah satu-satunya petunjuk. Andai kata kau mengikut hawa nafsu mereka, sesudah sampai kepadamu Ilmu yang Sebenarnya, maka tiada akan kau dapati bagimu Pelindung mahupun Penolong yang akan dapat mencegah tindak balasan Allah.’
Diingatkan oleh Prof. Naquib al-Attas dengan bahasa yang lugas:  ‘Bukankah pada zaman kita ini pun jelas bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian, keduanya menjelmakan sifat asasi kebudayaan Barat, memang tiada rela menerima baik seruan Islam dan kaum Muslimin, melainkan kita juga yang dikehendaki mereka mengikut cara agamanya, menganuti sikap hidup yang berdasarkan semata-mata keutamaan kebendaan, kenegaraan dan keduniaan belaka. Dan agama dijadikannya hanya sebagai alat bagi melayani hawa nafsu. Bukankah ilmu yang sebenarnya sudah sampai kepada kita?
Maka mengapa pula kita membiarkan sahaja nasib umat kita dipimpin oleh pemimpin-pemimpin politik, kebudayaan dan ilmu pengetahuan dan juga para ulama yang lemah dan palsu yang sebenarnya tidak sedar bahawa mereka sedang mengekori hawa nafsu kebudayaan Barat. Mereka membayangi kebudayaan Barat dalam cara berfikir, dalam sikap beragama, dalam memahami nilai-nilai kebudayaan dan mengelirukan faham serta tujuan ilmu. Kepada kebudayaan Baratkah akan kita berlindung, akan kita memohon pertolongan, yang akan dapat mencegah tindak balasan Allah kelak?
Berbeza dengan Samuel P. Huntington yang sejak tahun 1960-an sudah menjadi penasihat politik Amerika Syarikat, dan menulis bukunya, Clash of Civilizations and the Remaking of World Order, untuk bahan merumuskan tindakan politik negaranya. Prof. Naquib al-Attas adalah tokoh seorang ilmuwan dan akademik yang sangat prihatin dan berkecimpung dalam hampir seluruh hidupnya dalam dunia pendidikan dan pengembangan ilmu pengetahuan.
Prof. Naquib al-Attas sama sekali bukan ahli politik. Beliau jenis ilmuwan tulen, ulama, yang meyakini bahawa masalah asas yang dihadapi umat Islam dan dunia antarabangsa adalah masalah keilmuan (knowledge). Beliau seperti mengikut jejak ulama-ulama Islam terdahulu seperti al-Shafii, al-Ghazali, Imam Ahmad, dan sebagainya, yang bergiat dalam ilmu dan menjaga kemandirian dan sikap kritis terhadap penguasa.
Sebagai ulama yang memiliki tanggungjawab keilmuan dan penjagaan akidah dan eksistensi umat Islam, Prof. Naquib al-Attas menyerukan agar kaum Muslim, di samping memahami Islam dengan baik juga memahami secara mendalam realiti peradaban Barat. Beliau mencatat bahawa, ‘Kebanyakan orang Islam belum lagi mengetahui dan mengenali apa dia sebenarnya kebudayaan Barat itu. Sebelum dapat kita mengukuhkan diri terhadap serangan yang ditujukan kepada kita oleh kebudayaan Barat maka perlulah bagi kita mengenali sifat-sifat asasi kebudayaan itu.’
Teori Prof. Naquib al-Attas tentang sifat-sifat asasi peradaban Barat dan Islam telah menarik banyak perhatian dunia antarabangsa. Buku-bukunya diterjemahkan dalam berbagai bahasa. Beliau memiliki pendirian yang kukuh dan tajam, meskipun harus memberikan kritikan secara langsung terhadap peradaban Barat di depan para cendekiawan Barat itu sendiri.
Sebagai contoh, perhatian terhadap teori Prof. Naquib al-Attas adalah apa yang dilakukan oleh sebuah yayasan The Cranlana Program di Australia yang menerbitkan dua jilid buku berjudul Powerful Ideas: Perspectives on the Good Society (2002). Buku ini menghimpun gagasan pemikir-pemikir besar dalam sejarah umat manusia. Gagasan Prof. Naquib al-Attas yang diambil adalah pemikirannya yang tertuang dalam sebuah tulisan berjudul  Dewesternization of Knowledge.
Secara lebih sederhana, hakikat peradaban Barat dijelaskan oleh Prof. Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin:  ‘Biasanya yang disebutkan orang sebagai kebudayaan Barat itu adalah hasil warisan yang telah dipupuk oleh bangsa-bangsa Eropah dari kebudayaan Yunani kuno yang kemudian diadun pula dengan campuran kebudayaan Rumawi dan unsur-unsur lain dari hasil cita-rasa dan gerak-daya bangsa-bangsa Eropah sendiri, khususnya dari suku-suku bangsa Jerman, Britain dan Perancis. Dari kebudayaan Yunani kuno mereka telah meletakkan dasar-dasar falsafah kenegaraan serta pendidikan dan ilmu pengetahuan dan kesenian; dari kebudayaan Rumawi purbakala mereka telah merumuskan dasar-dasar undang-undang dan hukum serta ketatanegaraan.’
Agama Kristian, sungguhpun berjaya memasuki benua Eropah, namun tidak juga mampu meresap ke dalam kalbu Eropah. Justeru sesungguhnya agama yang berasal dari Asia Barat dan merupakan, pada tafsiran aslinya, bukan agama baharu tetapi suatu kesinambungan dari agama Yahudi itu, telah diambil alih dan diubah ganti oleh kebudayaan Barat demi melayani ajaran-ajaran dan kepercayaan yang telah lama dianutnya sebelum kedatangan ‘agama Kristian’.
Mereka telah mencampuradukkan ajaran-ajaran yang kemudian menjelma sebagai agama Kristian dengan kepercayaan-kepercayaan kuno Yunani dan Rumawi, Mesir dan Parsi dan juga anutan-anutan golongan ‘Kaum Biadab.’ Dengan sifat dan kedudukan agama Kristian, sebagai agama majoriti bangsa Barat, seperti itu, maka kebudayaan Barat sejatinya bukanlah berdasarkan pada agama, tetapi pada falsafah.
Dalam hal ini, pandangan Prof. Naquib al-Attas sejajar dengan pandangan Iqbal, Sayyid Qutb, Ali an-Nadwi, Muhammad Asad, dan ramai cendekiawan Muslim lainnya. Namun, pandangan Prof. Naquib al-Attas tentang peradaban Barat ini kelihatan lebih mendalam dan sistematik. Beliau berhasil meramu unsur-unsur pembentukan peradaban Barat itu dengan proporsional, terutama ketika meletakkan kedudukan warisan Yunani Kuno, Romawi, dan Kristian dalam peradaban Barat.
Dengan mengetepikan agama dan menjadikan falsafah sebagai asas berfikirnya, maka tiada tempat dalam jiwa pengalaman mereka itu beragama sesuatu ketetapan mengenai keyakinan. Mereka hanya menegaskan dasar  ‘teori’, iaitu ilmu pengetahuan atau hasil akal-nazari yang berlandaskan dugaan dan sangkaan-sangkaan dan pencapaian akal jasmani yang mungkin benar dan mungkin tidak benar. Maka dari itu, dasar ‘ilmu’ yang demikian dan sikap hidup yang menjadi akibatnya, tidaklah akan dapat membawa kepada keyakinan.
Sifat agama Kristian itu sendiri, yang bermasalah dalam asas-asas kepercayaannya, menurut Prof. Naquib al-Attas, juga turut membentuk sikap peradaban Barat. Secara ringkas, Prof. Naquib al-Attas menyimpulkan sifat-sifat asasi kebudayaan Barat, kepada: 

1.      berdasarkan falsafah dan bukan agama,
2.      falsafah yang menjelmakan sifatnya sebagai humanisme, mengikrarkan fahaman penduaan (dualisme) yang mutlak dan bukan kesatuan sebagai nilai serta kebenaran hakikat semesta,
3.      kebudayaan Barat juga berdasarkan pandangan hidup yang tragik. Yakni, mereka menerima pengalaman ‘kesengsaraan hidup’ sebagai suatu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi peranan manusia dalam dunia.

Dengan memahami hakikat peradaban Barat yang tidak berdasarkan agama dan hanya berdasarkan kepada spekulasi seperti itu, Prof. Naquib al-Attas sampai pada kesimpulan bahawa masalah terberat yang dihadapi manusia dewasa ini adalah hegemoni dan dominasi keilmuan Barat yang mengarah pada kehancuran umat manusia. Satu fenomena yang belum pernah terjadi dalam sejarah umat manusia.
Prof. Naquib al-Attas memulakan tulisannya dalam Dewesternization of Knowledge dengan ungkapan, bahawa sepanjang sejarahnya, manusia telah menghadapi banyak halangan atau cabaran dan kekacauan. Tetapi, belum pernah, mereka menghadapi halangan atau cabaran yang lebih serius daripada yang ditimbulkan oleh peradaban Barat dewasa ini.
Kritikan-kritikan Prof. Naquib al-Attas terhadap karakteristik keilmuan Barat moden, misalnya, juga disampaikan sewaktu Persidangan Antarabangsa Para Filosof pada bulan Januari 2000, di University of Hawai. Persidangan ini disertai oleh sekitar 160 orang cendekiawan dari 30 buah negara dan berlangsung selama dua minggu. Tema yang dibahas ialah Technology and Cultural Values on the Edge of the Third Millennium.
Dalam editorialnya terhadap buku kompilasi hasil persidangan tersebut, tiga ilmuwan terkenal iaitu Pater D. Hershock, Marietta Stepaniants dan Roger T. Ames, mencatatkan bahawa paparan Prof. Naquib al-Attas yang menyorot kesesuain dan ketidaksesuaian antara tradisi Barat dalam sains dan teknologi dengan sistem epistemologi dan metafizik Islam, merupakan paparan yang artikulatif, cermat, dan sistematik, tentang asas revision Islami terhadap tujuan dan premis-premis moral dalam sains dan teknologi.
Dalam huraian ini, Prof. Naquib al-Attas banyak menjelaskan berbagai perbezaan fundamental antara konsep sekular Barat dan Islam dalam berbagai persoalan. Dalam soal konsep kebahagiaan (happiness), misalnya, beliau menjelaskan sikap Muslim yang menolak konsep Aristotelian tentang kebahagiaan yang hanya menyentuh aspek duniawi, dan hingga kini diikuti oleh konsep moden. Beliau menegaskan tentang sikap pandangan hidup  (worldview) Islam yang tidak memisahkan aspek duniawi dengan akhirat. Konsepsi moden tentang kebahagiaan (sa’adah) menurut Prof. Naquib al-Attas, esensinya sama dengan konseps manusia masa lalu, pada era paganisme.
Sedangkan konsep kebahagiaan dalam Islam, akan dialami dan disedari oleh orang-orang yang benar-benar tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t dan mengikuti bimbingan-Nya. Puncak kebaikan dalam hidup adalah cinta kepada Allah s.w.t.
Dalam berbagai tulisan dan ceramahnya, Prof. Naquib al-Attas jelas berusaha keras memberikan keyakinan kepada kaum Muslimin, terutama para cendekiawan, tentang keagungan konsep peradaban Islam, dibandingkan konsep peradaban lainnya. Beliau sangat menekankan perlunya kaum Muslimin mengkaji dan memahami khazanah keilmuan yang telah dicapai para ulama Muslim yang agung pada masa lalu.
Beliau menanamkan jiwa optimisme, meskipun Islam menghadapi serangan hebat dari berbagai penjuru. Tahun 1959, jauh sebelum menempuh jinjang pendidikan tinggi di Barat, Prof. Naquib al-Attas sudah mengamati kedudukan kaum Muslimin yang memilukan. Ketika itu, beliau menulis sebuah puisi:

Muslim tergenggam belenggu kafir,
Akhirat luput, dunia tercicir,
Budaya jahil luas membanjir,
Banyak yang karam tiada tertaksir.

Sebab utama yang melilit keadaan kaum Muslimin, kata Prof. Naquib al-Attas, adalah kejahilan masyarakat Islam terhadap Islam, sebagai agama yang sebenarnya dan peradaban yang luhur dan agung yang telah menghasilkan ilmu-ilmu Islamiyah yang mampu mewujudkan pandangan hidup  (worldview) tersendiri yang unik.
Paparan Prof. Naquib al-Attas tentang peradaban Barat perlu dikaji secara cermat. Sebab, apa yang disampaikannya berpuluh tahun lalu kini banyak menjadi kenyataan. Kaum Muslimin kini disuguhi satu tragedi intelektual yang memilukan. Begitu banyak sarjana Muslim yang terpesona dan mengagungkan pandangan hidup Barat dan teori-teori para ilmuwan Barat, meskipun harus mengorbankan keyakinan Islam.
Prof. Naquib al-Attas mengajak kaum Muslimin supaya memahami Barat secara mendalam, bukan bersikap anti-Barat. Banyak hal yang dapat diambil dan dipelajari dari Barat, tetapi bukan menciplak pandangan hidup Barat yang mengebiri dan membunuh agama sendiri, seperti fahaman sekularisme dan pluralisme agama.
Jika Barat maju secara fizikal dengan membuang dan mengebiri agamanya, kaum Muslimin tidak perlu mencontohi mereka. Sebab, Islam memang berbeza dengan Kristian. Dengan mengkaji Barat secara baik, dan juga Islam dengan baik, menurut Prof. Naquib al-Attas, maka kaum Muslimin tidak akan mengalami sikap rendah diri. Sebab mereka memiliki ajaran agama dan Kitab Suci yang agung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA