Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Setiap remaja harus waspada bahawa bumi kita ini bukanlah
sebuah syurga yang selama-lamanya aman damai. Remaja harus mengerti bahawa
dunia ini sebenarnya sebuah gelanggang hidup yang penuh dengan pergolakan dan
percubaan.
Lantaran itu setiap remaja harus dibimbing
dengan satu sikap hidup yang tegas dan pandangan hidup yang tabah. Masa demi
masa akan berlalu memahami usia setiap remaja. Jadi ke arah mana harus remaja
meniti lorong-lorong hidup ini jika mereka tidak punya perancangan yang tetap
dalam menilai aspek hidup ini?
Allah s.w.t berfirman dalam Al-Quran yang
bermaksud: ‘Orang yang kafir di dalam usaha mereka (mencapai kesenangan dunia)
adalah seperti fatamorgana di padang pasir. Dari jauh disangka air, setelah
mereka sampai di tempat itu kiranya tidak ada satu apa pun juga. Mereka itu
dihisab di sisi Allah s.w.t dan Allah s.w.t cepat sekali menghisab.’ (surah An
Nur: 39)
Masa yang kita tempuh sering membuatkan insan
itu belajar dari kehidupan. Dengan bimbingan agama Islam, seseorang itu dapat
memandang hidup ini dengan pandangan yang optimis. Dengan pedoman Islam
seseorang itu akan mendapat kedamaian dan ketenteraman dalam hidup ini.
Waktu yang begitu berharga janganlah
digunakan ke jalan yang menyimpang dari lunas-lunas Islam. Akibatnya seseorang
itu akan hidup dalam kerugian yang berpanjangan dan penyesalan yang tidak
berkesudahan. Menyesali nasib memang tidak ada gunanya jika sudah terlanjur
jauh.
Justeru itu waspadalah
pada hakikat hidup yang sebenarnya tanpa mengetepikan nilai yang baik dalam
menghayati agama. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ‘Maka berlumba-lumbalah di
dalam membuat kebaikan.’ (surah Al Baqarah: 148)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan