Selasa, 13 November 2012

Di Sebalik Kemilau Hiasanmu


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

‘Apakah patut orang (wanita) yang dibesarkan dalam keadaan berperhiasan, sedang dia tidak dapat memberi alasan yang jelas dalam pertengkaran.’ (surah Az-Zukhruf: 18) Kenyataan menunjukkan bahawa wanita memang senang berhias sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat di atas. Islam datang menetapkan aturan, mana perhiasan yang boleh dipakai dan mana yang terlarang.

Berbagai Jenis Dan Bentuk Perhiasan

Dibolehkan bagi wanita untuk memakai berbagai jenis perhiasan, baik yang terbuat dari emas, perak, mutiara atau yang lainnya. Sama saja apakah perhiasan itu diletakkan di telinga, tangan, ataupun kakinya. Hal ini boleh diketahui di antaranya dari hadis-hadis berikut ini:
Jabir bin Abdillah berkata: ‘Rasulullah s.a.w solat mengimami manusia pada hari Aidil Fitri, kemudian baginda berkhutbah. Selepas itu baginda mendatangi tempat wanita untuk memberikan peringatan dan nasihat kepada mereka dalam keadaan baginda bersandar pada tangan Bilal. Baginda mendorong mereka untuk bersedekah. Bilal pun membentangkan bajunya untuk menadah sedekah tersebut.’
Ibnu Juraij yang mendengar hadis ini dari ‘Atha, rawi yang menyampaikan riwayat dari Jabir, bertanya: ‘Apakah yang mereka berikan itu zakat Aidil Fitri?’
‘Bukan,’ kata Atha. ‘Tetapi itu adalah sedekah mereka pada hari tersebut,’ lanjutnya.
‘Para wanita itu melemparkan cincin-cincin mereka dan perhiasan lainnya sebagai sedekah.’ (Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 978 dan Muslim no. 885)
Dalam riwayat Ibnu ‘Abbas disebutkan: ‘Rasulullah s.a.w solat dua rakaat dan tidak melaksanakan solat sunnah sebelum dan sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita dengan ditemani Bilal. Maka baginda memerintahkan mereka untuk bersedekah. Mendengar anjuran tersebut, mulailah wanita yang hadir melemparkan anting-antingnya.’ (Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 5883 dan Muslim no. 884)
‘Aisyah r.a pernah meminjam kalung milik saudara perempuannya, Asma bintu Abi Bakar, untuk berhias di depan Rasulullah s.a.w. Kalung ini kemudian jatuh dari ‘Aisyah dalam satu safar (perjalanan)-nya bersama Rasulullah, dan dicari oleh para sahabat hingga mereka tertahan di tempat yang tidak ada air sedangkan mereka hendak solat. Dari peristiwa ini, turun syariat tayammum dalam Al-Quran surah AlMaidah. (Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 336, 5882 dan Muslim no. 367)
Rasulullah s.a.w pernah mendapat hadiah dari raja Najasyi berupa perhiasan, di antaranya ada bentuk cincin emas bertatahkan batu permata Habasyi. Baginda mengambilnya kemudian memanggil cucunya Umamah puteri Zainab. Lalu baginda berkata: ‘Berhiaslah dengan cincin ini wahai cucuku.’ (hadis riwayat Abu Dawud no. 3697, dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/312)
Dalam kitab sahihnya, Imam Al-Bukhari membuat bab khusus yang berjudul Cincin Bagi Wanita, dan baginda s.a.w menyatakan bahawa ‘Aisyah memakai cincin-cincin emas. (Sahih Al-Bukhari dengan Fathul Bari, 10/342)
Berkata Imam An-Nawawi: ‘Kaum wanita diperkenankan memakai sutera dan semua jenisnya, sebagaimana dibolehkan bagi mereka memakai cincin emas dan semua perhiasan dari emas, demikian juga dari perak. Sama saja apakah wanita itu sudah menikah atau belum, masih muda atau sudah tua, kaya ataupun miskin.’ (Syarah Sahih Muslim, 14/32)
Baginda s.a.w juga menyatakan bahawa kaum muslimin bersepakat tentang bolehnya wanita memakai cincin emas. (Syarah Sahih Muslim,14/65)
Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni (2/324) berkata: ‘Dibolehkan bagi wanita memakai perhiasan dari emas, perak dan permata dengan bentuk yang biasa mereka pakai, misalnya gelang tangan, gelang kaki, anting-anting dan cincin. Termasuk juga perhiasan yang dipakai di wajah-wajah mereka, di leher, di tangan, di kaki, di telinga mereka dan selainnya. Adapun perhiasan yang menurut kebiasaan mereka tidak lazim dipakai seperti sabuk dan sebagainya dari perhiasan laki-laki, maka diharamkan bagi wanita memakainya.’
Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa perhiasan emas dan perak boleh dipakai wanita dengan kesepakatan ulama. (Majmu’ Fatawa, 25/64)
Selain emas, perak dan batu-batu seperti berlian dan lainnya, wanita dibolehkan juga memakai perhiasan dari mutiara (al-lu’lu’). Allah s.w.t berfirman: ‘Dan dari masing-masing laut itu (yang airnya tawar mahupun yang asin), kalian dapat memakan daging yang segar dan kalian dapat mengeluarkan perhiasan yang boleh kalian pakai.’ (surah Fathir: 12)
Ibnu Hazm berkata: ‘Tidak ada perhiasan yang dikeluarkan dari laut kecuali mutiara. Maka dari ayat Al-Quran di atas, ada penetapan halalnya mutiara ini bagi lelaki mahupun wanita.’ (Al-Muhalla, 9/246)

Di Jari Mana Diletakkan Cincin?

‘Ali berkata: ‘Rasulullah s.a.w melarangku memakai cincin di jariku ini atau yang ini,’ sambil menunjukkan jari tengah dan jari selepasnya (jari telunjuk).’ (hadis riwayat Al-Bukhari no. 5874 dan Muslim no. 2078)
Larangan yang disebutkan dalam hadis ‘Ali di atas berlaku bagi laki-laki sementara bagi wanita tidak diterapkan larangan demikian, lantaran itu Imam An-Nawawi berkata: ‘Kaum muslimin sepakat, sunnah bagi laki-laki memakai cincin di jari kelingkingnya sedangkan wanita boleh memakai cincin di seluruh jarinya.’ (Syarah Sahih Muslim, 14/71)

Melubangi Cuping Telinga

Dalam masalah kebolehan wanita melubangi cuping telinganya untuk menggantungkan anting-anting, diperselisihkan oleh ulama. Dalam Ash-Sahihain disebutkan, ketika Rasulullah s.a.w menekankan para wanita untuk bersedekah, ada di antara mereka yang menyedekahkan anting-anting. Hadis ini cukuplah sebagai dalil tentang bolehnya wanita memakai anting-anting.
Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah berkata: ‘Dibolehkan melubangi cuping telinga anak perempuan dalam rangka berhias, demikian dinyatakan oleh Al-Imam Ahmad. Sedangkan untuk anak laki-laki baginda s.a.w membencinya. Perbezaan keduanya adalah perempuan perlu akan perhiasan sehingga ada kemaslahatan melubangi cuping telinganya. Berbeza halnya dengan anak laki-laki.’
Baginda s.a.w juga menyatakan bila ada yang berkata: Allah s.w.t mengkhabarkan tentang musuhnya Iblis yang pernah menyatakan: ‘Dan sungguh aku akan memerintahkan mereka hingga mereka benar-benar akan memotong telinga-telinga haiwan ternak mereka.’ (surah An-Nisa: 119)
Ini menunjukkan bahawa memotong telinga, membelah dan melubanginya merupakan perintah syaitan. Maka dijawab, bahawa qiyas ini termasuk qiyas yang paling rosak. Kerana mereka yang diperintah oleh syaitan untuk memotong telinga haiwan mereka dengan ketentuan bila seekor unta betina telah beranak sebanyak lima kali, kemudian bunting lagi untuk kali ke-6 dan ternyata yang lahir adalah jantan, mereka pun membelah telinga unta betina tersebut. Dan mereka juga mengharamkan untuk ditunggangi serta diambil manfaatnya, tidak boleh dihalau dari sumber air yang sedang diminumnya, tidak juga dari tanaman. Mereka mengistilahkannya dengan bahirah. Syaitan mensyariatkan untuk mereka dengan satu syariat dari sisinya.
Jika demikian, bagaimana boleh dibandingkan dengan perbuatan melubangi cuping telinga anak perempuan untuk diletakkan perhiasan yang dibolehkan oleh Allah s.w.t? Adapun melubangi telinga anak laki-laki maka tidak ada kemaslahatan padanya, baik dari aspek agama mahupun dunia, lantaran itu tidaklah diperkenankan.’ (Tuhfatul Maudud bi Ahkamil Maulud, hal. 178-179)

Minyak Wangi

Wangi yang semerbak memberi nuansa tersendiri, melapangkan dada, dan menyenangkan hati. Sehingga wajar bila setiap insan menyukainya, termasuk Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik berkata, ‘Rasulullah s.a.w pernah bersabda: ‘Wanita dan minyak wangi dijadikan sebagai kecintaanku dari dunia ini dan solat dijadikan sebagai penyejuk mataku.’ (hadis riwayat Ahmad, 3/128. Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Ash-Sahihul Musnad Mimma Laisa fish Sahihain, 1/82)
Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah menolak bila diberikan wangian (Sahih, hadis riwayat Al-Bukhari no. 5929). Baginda menyatakan kepada sahabatnya: ‘Siapa yang ditawari raihan (minyak wangi) maka janganlah dia menolak, kerana raihan ini ringan dibawa dan aromanya wangi.’ (hadis riwayat Muslim no. 2253)
Hadis ini menunjukkan dimakruhkannya menolak tawaran berupa minyak wangi terkecuali bila seseorang memiliki keuzuran hingga dia terpaksa menolaknya, demikian dinyatakan oleh Imam An-Nawawi. (Syarah Sahih Muslim, 15/10)
Seorang sahabat dari kalangan Anshar mengkhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Tiga perkara yang seharusnya dilakukan oleh seorang muslim iaitu mandi pada hari Jumaat, bersiwak, dan menyentuh (memakai) winyak wangi jika ada.’ (hadis riwayat Ahmad 4/34, disahihkan Syaikh Muqbil dalam Al Jami’ush Sahih, 4/309)
Seorang wanita juga disukai untuk selalu menyebarkan keharuman dari tubuhnya di hadapan sang suami. Sehingga sepantasnya kalau dia selalu memakai minyak wangi atau yang sepertinya dari wangian yang diperkenankan.
Adapun perbezaan antara minyak wangi laki-laki dengan minyak wangi wanita, disebutkan beritanya dari Anas r.a. Beliau berkata: ‘Rasulullah s.a.w berkata kepadaku: ‘Minyak wangi laki-laki adalah yang tercium jelas baunya dan tidak jelas (samar) warnanya. Sedangkan minyak wangi wanita adalah yang jelas warnanya dan tersembunyi baunya.’ (hadis riwayat Al Bazzar dalam Kasyful Astar, 3/376, disahihkan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/308)
Berkata Al-Munawi dalam Faidhul Qadir (3/284): ‘Sabda Rasulullah s.a.w: iaitu jelas warnanya dan tersembunyi baunya dari laki-laki yang bukan mahram, seperti za’faran.’
Berkata Al-Baghawi dalam karyanya Syarhus Sunnah: ‘Sa’ad menyatakan: ‘Aku berpandangan, mereka membawa pengertian sabda Rasulullah s.a.w ini apabila si wanita hendak keluar rumah. Adapun bila dia berada di sisi suaminya maka dia boleh memakai minyak wangi atau wangian apa saja yang diinginkan.’
Dalam syariat yang mulia ini, diharamkan bagi wanita bila tercium wanginya oleh laki-laki selain mahramnya. Bahkan wanita yang memakai wangian kemudian sengaja melalui sekumpulan lelaki yang bukan mahramnya dikatakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai wanita penzina.
‘Setiap mata itu berzina. Bila seorang wanita memakai wangian kemudian dia melalui majlis laki-laki (yang bukan mahramnya) maka wanita itu begini dan begitu.’ (hadis riwayat At-Tirmidzi no. 2937, disahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi, no. 2237)
Dalam riwayat Ahmad (4/414) disebutkan: ‘Wanita mana saja yang memakai wangi-wangian, kemudian dia melalui satu kaum agar mereka mencium wanginya, maka wanita itu penzina.’ (Dihasankan oleh Asy-Syaikh Muqbil dalam Al-Jami’ush Sahih, 4/311)
Mengapa si wanita disebut demikian? Kerana dia mengobarkan syahwat lelaki dengan aroma yang berasal dari wangian yang dipakainya. Sehingga mereka terpancing untuk memandangnya. Bila demikian, si lelaki menjadi berzina dengan kedua matanya dan si wanitalah penyebabnya, maka dia berdosa. Demikian kata Al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi (8/58).
Lantaran itu Rasulullah s.a.w melarang wanita yang ingin ikut solat berjemaah di masjid memakai minyak wangi sebagaimana sabdanya: ‘Apabila salah seorang dari kalian (para wanita) ingin ikut solat Isya berjemaah (di masjid), maka janganlah dia memakai minyak wangi pada malam itu.’ (Sahih, hadis riwayat Muslim no. 443)
Pun baginda melarang wanita yang terlanjur memakai wangian untuk hadir dalam solat berjemaah di masjid. ‘Wanita siapa saja yang memakai wangian maka jangan dia hadir bersama kami dalam solat Isya.’ (Sahih, hadis riwayat Muslim no. 444)
Semua aturan ini ditetapkan untuk menutup pintu fitnah, agar kaum lelaki tidak terfitnah dengan wanita dan demikian juga sebaliknya. Demikian apa yang dapat penulis jelas dan susun untuk pembaca, semoga Allah s.w.t menjadikannya bermanfaat.
Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA