UNTUK membimbing
individu dalam urusan bermasyarakat dan bernegara kesemua kumpulan termasuk
ahli politik, korporat, dan pentadbir, mereka perlu berusaha menghayati akhlak
mulia dalam menjalani tugasan dan kehidupan mereka. Islam mempunyai asas
akhlaknya yang tersendiri. Asas akhlak Islam bersumber daripada semangat
falsafah tauhid.
Akhlak membicara
mengenai sistem perilaku yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t untuk manusia
dalam menjalani kehidupannya. Justeru itu kesemua kegiatan individu dalam
urusan bermasyarakat mengikut Islam perlu menepati garis akhlak yang telah
ditentukan oleh Allah s.w.t. Kemampuan individu mengharmonikan segala aspek
kelakuannya mengikut panduan akhlak akan membimbing individu tersebut kepada
keserasian hidupnya dengan fitrah kejadiannya. Natijah dari keserasian tersebut
yang memampukan individu tersebut memperoleh kemuliaan dan kejayaan hidup di
dunia dan seterusnya di alam akhirat.
Oleh itu,
pembentukan individu dan masyarakat berakhlak sangat dianjur oleh Islam. Nabi
Muhammad s.a.w. diutuskan untuk menyempurna akhlak manusia. Penyempurnaan
akhlak manusia dalam kesemua urusan hidup mengikut Islam adalah syarat awal
untuk menjamin masyarakat kepada kecemerlangan dalam kesemua aspek kegiatan,
termasuk usaha dalam membangun negara.
Satu kajian
berkaitan kepercayaan agama yang membicarakan tentang kebenaran dan kebatilan
berkaitan sesuatu amalan dan ia bukan sekadar sebagai satu bidang ilmu.
Matlamat utama akhlak ialah untuk mempengaruhi kelakuan sebenar seseorang
individu. Setiap amalan baik individu adalah untuk menyuci jiwa dirinya semoga
ia memperoleh pembalasan yang baik di alam akhirat. Kelakuan berakhlak adalah persamaan
dengan tuntutan agama. Makin beramal seseorang individu dengan ajaran agama
makinlah berakhlak individu tersebut.
Mengikut Imam Al-Ghazali
akhlak adalah, ‘Ilmu berkaitan dengan
roh, sifat-sifatnya dan ciri kelakuan manusia.’ Beliau dengan tegas menyatakan
bahawa akhlak adalah suatu ilmu amalan yang terpenting. Bagi beliau seseorang
yang gagal membimbing jiwanya tidak akan mampu mentadbir urusan kehidupan orang
lain. Beliau menyarankan bahawa kemantapan akhlak mesti bermula dengan
kefahaman berkaitan dengan jiwa, kuasanya dan sifat-sifatnya. Menguasai ilmu
tersebut merupakan syarat awal untuk menyuci jiwanya sebagaimana yang
disarankan oleh al-Quran: ‘Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan
jiwanya; Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.’
Manusia pada
fitrahnya mengandungi sifat malakiah
dan bahimiah. Kedua-dua sifat yang
sedia wujud pada diri manusia adalah penting untuk dibangunkan. Islam tidak
menganjur kepada penghapusan sifat bahimiah dalam manusia. Bahkan Islam mahu
sifat bahimiah ini terus dibina dengan menuntut sifat malakiah mendidik dan membimbing sifat bahimiah. Sifat bahimiah
menyediakan tenaga untuk manusia bergiat dan membuat perubahan dan sifat
malakiah menjamin bahawa perubahan tersebut mengikut nilai akhlak yang dapat
membawa kepada kemajuan mutlak tercapai.
Shah Waliullah,
seorang ulama dalam abad ke lapan belas ada mengutara beberapa pokok asas
akhlak yang dapat mengarah manusia bermasyarakat dan bernegara ke mercu
kemuliaan, iaitu ke arah kemampuan menterjemah keadilan dalam kesemua urusan
kehidupan manusia hingga terbangunnya sebuah peradaban yang tinggi. Empat ciri
asas akhlak tersebut adalah berikut:
Taharah
Penyucian diri
manusia dalaman dan luaran. Individu Muslim digalakkan memiliki kesucian hati
dan kebersihan luaran. Kesucian hati meliputi nilai akhlak yang murni seperti
amanah, jujur, ikhlas, penyayang dan sebagainya. Kebersihan luaran meliputi
sikap yang positif seperti, disiplin, pemakaian yang kemas dan bersih, dan
pertuturan yang mempamerkan kesahsiah yang tinggi dan sebagainya. Memiliki
nilai dalaman dan luaran yang tersebut menjadi seseorang individu dapat
menjalani urusan bermasyarakat dengan berkesan dan penuh disiplin. Sifat
keperibadian individu yang mulia ini akan dapat memainkan peranan yang positif
kepada kegiatan kehidupan yang diceburi.
Asas ini mampu
dibina melalui amalan ibadat yang diwajibkan dan amalan sunat tambahan seperti
solat tahjud, solat witir, berzikir dan sebagainya, khususnya pada larut malam
hingga hampir pagi. Kesucian hati hanya akan dibina setelah hubungan erat
dengan Allah s.w.t. kerap diamalkan.
Ikhbat
Menegap kebenaran
melalui ketaatan kepada Allah. Patuh dan cinta kepada kebenaran adalah satu
daripada akhlak induk. Mereka yang tidak patuh kepada Allah menolak kebenaran
walaupun ia yakin sesuatu itu benar. Sifat ini meletakkan nilai peribadi
manusia supaya sentiasa taat dengan penuh keyakinan bahawa tindakan menegak
kebenaran adalah sesuatu yang positif dan produktif kepada kemajuan diri dan
segala urusan kehidupannya termasuk menjalani urusan membangun negara. Justeru
itu keilmuan dan kefahaman yang benar akan mengawasi pandangan hidup dan segala
tindak tanduk individu semoga kesemua tindak-tanduk tersebut menepati arahan
Illahi.
Kealpaan dalam
mendukung kebenaran manghasilkan individu yang munafiq. Iaitu individu yang
mana tindakannya berbeza dengan apa yang dilafazkan. Jika sifat ini menjadi
budaya dalam sesebuah masyarakat, ia adalah petanda awal kepada kemusnahan
masyarakat terbabit.
Samahah
Sifat bertolak
ansur, pemurah hati dan pemaaf. Sifat ini sangat perlu dalam hidup
bermasyarakat dan bernegara. Keutuhan dan kestabilan dalam sistem bernegara
akan dapat dicapai jika sifat ini diamalkan oleh setiap ahli masyarakat.
Semangat kerjasama dan muafakat dalam melaksana urusan kehidupan bermasyarakat
adalah faktor yang membawa kepada kestabilan yang seterusnya ke arah pencapaian
kemajuan masyarakat negara. Masyarakat yang penuh dengan emosi yang di
pengaruhi oleh nafsu bahimiah dan tidak memiliki sifat penyayang sukar untuk
bekerjasama dalam mengendali urusan kehidupan. Kemajuan sesebuah tamadun adalah
usaha bersama oleh setiap individu. Ini menepati sifat tabii kemanusiaan yang
memiliki ciri manusia sosial. Justeru itu sifat samahah adalah asas akhlak yang
membawa kepada suasana yang harmoni dalam mengendali urusan masyarakat dalam
sesebuah negara.
Adalah
Bersifat insaf dan
adil. Menghayati semangat keadilan dalam kesemua aspek kehidupan merupakan
kemuncak kepada pembinaan tamadun manusia hasil daripada penghayatan
ketiga-tiga asas akhlak terdahulu seperti taharah, ikhbat dan samahah dan yang
di miliki oleh seseorang manusia. Keempat-empat asas akhlak ini berhubung rapat
dan sifat adil adalah paling di kehendaki oleh syariat.
Allah s.w.t.
berfirman dengan maksud ‘Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan
berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari
perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu
agar kamu dapat mengambil pelajaran.’ (An Nahl: 90)
Ciri asas akhlak di
atas jika diamal dan disepadukan dalam kesemua amalan kegiatan manusia termasuk
kegiatan membangun masyarakat dan negara akan membolehkan kemajuan dan kejayaan
iaitu kemampuan melaksanakan keadilan dalam menjalankan tugas. Kecapaian
pelaksanaan semangat keadilan dalam penyelenggaraan setiap amalan pembangunan
masyarakat merupakan kemuncak keutuhan sistem bermasyarakat dan bernegara, dan
merupa syarat awal kepada pembangunan sesebuah tamadun manusia.
Dalam usaha
individu dan masyarakat menghayati nilai keadilan, gulungan yang berilmu
dikalangan masyarakat hendak memainkan peranan yang berkesan. Allah s.w.t.
berfirman dengan maksud: ‘Allah mengakui bahawa sesungguhnya tidak ada Tuhan
selain daripadaNya dan malaikat mengakui dan orang-orang berilmu yang tegak
dengan keadilan.’ (Ali ‘Imran: 18)
Malangnya pada masa
kini pada umumnya masyarakat memahami akhlak sebagai kelakuan baik yang
menghasilkan kelakuan individu yang boleh diumpamakan seperti individu yang
lurus dan betul bendul. Pemahaman yang sedemikian akan gagal memberi pengertian
yang tepat tentang pentingnya akhlak dalam membangun masyarakat. Jika asas
akhlak difahami secara falsafah seperti yang dihujahkan oleh Shah Waliullah
sudah pasti usaha ke arah pemantapan akhlak individu akan menjana ke arah
kewujudan tamadun manusia yang mulia dan berdaya maju. Nilai kemanusiaan sejati
yang dituntut oleh Islam seperti mendukung keadilan dan memupuk kasih sayang
dikalangan umat manusia akan menjadi suatu pendekatan kepada pembangunan
masyarakat semasa.
Dari perspektif
kemajuan ekonomi dan pembangunan negara pendekatan yang diambil menepati
semangat falsafah akhlak Islam akan menjurus kepada pembangunan ekonomi dicapai
melalui pendekatan keadilan sosial. Keadilan sosial di sini bererti usaha ke
arah pembasmian kemiskinan di beri keutamaan. Ia diikuti dengan penghapusan
segala unsur kezaliman dalam perjalanan aktiviti ekonomi. Usaha ini akan
mengurang jurang perbezaan di antara yang kaya dan yang kurang bernasib baik.
Turut diberi
perhatian menepati semangat keadilan ialah kemampuan negara meningkat
keberkesanan dalam pengaliran harta kekayaan negara semoga lebih banyak peluang
ekonomi dapat dicetus. Ini sekaligus menyelesaikan masalah penggangguran.
Pendekatan keadilan sosial dalam membangun ekonomi negara akan menjana kepada
pertumbuhan ekonomi dengan disertai kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat
secara keseluruhan tercapai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan