Rabu, 14 November 2012

PERCUTIAN DI PANTAI MORIB

SMAHADZIR

Untuk pengetahuan para pembaca, daerah Kuala Langat, Selangor mempunyai tiga buah pantai yang boleh dikunjungi para pelancong. Pantai Morib adalah yang terkenal dengan keindahan pantai dan suasana senjanya yang mampu menarik ramai lagi pelancong untuk ke sini. Dua buah lagi pantai baru yang turut menarik pengunjung ialah Pantai Kelanang dan Pantai Tanjung Rhu, Pulau Carey.

Sekiranya anda mencari satu kawasan yang jauh dari kesibukan dan kebisingan kota, Pantai Morib merupakan pilihan yang bijak. Sebagai salah sebuah kawasan beristirehat pantai di daerah Kuala Langat, ia merupakan destinasi yang paling sesuai bagi pengunjung yang datang dari Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan yang ingin melepaskan diri daripada tekanan kerja kerana jaraknya yang tidak jauh dan strategik.



                 Penulis bersama Pakar Motivasi Dr H M Tuah Iskandar di Pantai Morib.

Jika anda berkelapangan terutama kala musim cuti, datanglah ke Pantai Morib - Banting, Selangor. Di sini anda boleh menginap di Hotel Impian, Morib Gold Coast Resort, dan banyak lagi hotel-hotel barget yang terdapat di sekitar pantai dan juga pekan Banting. Jika anda ingin merasa kehidupan kampung bolehlah menginap di pelbagai homestay yang terdapat di sekitar Kampung Kanchong Darat dan juga Kampung Endah.


Mungkin ramai yang masih tidak tahu bahawa Pantai Morib telah diberi sentuhan landskap yang baru dan cantik sejak 2010 oleh kerajaan Barisan Nasional waktu itu. Mungkin ada juga orang Banting sendiri belum berkesempatan melihat perubahan landskap yang dibuat oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat ini. Pantai Morib terletak mengadap Selat Melaka dan jaraknya dari Banting sekitar 15 kilometer dan dari Kuala Lumpur hanya memakan masa satu jam lebih sahaja.



       Landskap yang menjadi ikon Pantai Morib sekarang. Di atas usaha pihak berkuasa tempatan, pesisir Pantai Morib berwajah baru mulai tahun 2010 yang lalu. Semoga keadaan ini dapat bertahan lama. Sama-samalah kita menjaga kebersihan Pantai Morib, Banting 
                                                                 Selangor.


Sekiranya anda datang ke Pantai Morib ini anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti bersiar-siar, berehat, main layang-layang (layang-layang ada banyak dijual di sini), mencari maklumat sejarah Pantai Morib, mencari siput laut, belajar seni landskap, jogging, memancing di pesisir pantai, mandi-manda (kawasan berpasir agak terhad), melihat matahari terbenam, BBQ dan bermain golf. Jadi, bersiap-siaplah dengan kelengkapan yang sewajarnya sebelum datang ke sini.

Sepanjang pesisir pantai, anda boleh menyusurinya hingga ke Pantai Kelanang yang juga merupakan sebuah pantai baru yang cantik dan damai. Di pantai ini juga anda boleh bermandi-manda selain dari berkelah dan berehat.



                                  Landskap baharu Pantai Morib yang cantik


Keindahan Pantai Morib memang tidak dapat dinafikan. Selain dari menjadi pusat percutian pantai, di sini juga merupakan tempat aktiviti budaya. Festival Budaya peringkat negeri Selangor yang dianjurkan oleh Majlis Kebudayaan Negeri Selangor sering diadakan di sini. Boleh dikatakan bahawa Pantai Morib banyak menjadi saksi penganjuran pelbagai program budaya baik di peringkat kampung, daerah, negeri mahupun negara.
 
Selain itu Pantai Morib juga menyimpan pelbagai sejarah negara. Pada 9 September 1945, satu pasukan tentera India dari Batalion ke-46 tentera marin British telah mendarat di kawasan tersebut bagi mempertahankan persisiran pantai daripada serangan tentera Jepun. Dicatatkan juga dalam sejarah bahawa Pantai Morib pernah menjadi petempatan tentera Jepun dan British sewaktu zaman Perang Dunia Kedua dulu.



Tempat berehat di Pantai Morib.


Yang jelasnya ialah suatu masa dahulu, Pantai Morib pernah menjadi sebuah kawasan pelancongan yang popular di kalangan pelancong asing mahupun tempatan. Pintu Gerbang ke Pantai Morib masih sama seperti dahulu, tidak ada apa-apa perubahan. Jika sudah dimakan hari maka pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat akan mengecatnya semula. Seingat penulis, sejak lebih 10 tahun yang lalu pintu gerbang ini tidak berubah. Ini mengimbau kenangan silam di Pantai Morib sejak ianya dibuka kepada umum.




Tebing pantai Morib yang diperbaiki dengan kemasan ruang pejalan kaki yang kemas dan          
                                                          tersusun rapi.


Datanglah ke Pantai Morib sewaktu air berbani. Kata orang kala air berbani, banyak hidupan air yang boleh ditangkap sama ada dengan menggunakan jaring, pancing, kelong mahupun perangkap ketam. Jika air surut, anda boleh mencari pepahat atau kepah di gigi pantai.



 Replika burung Camar putih di Pantai Morib.


Namun begitu, tiada banyak aktiviti rekreasi yang boleh dibuat jika anda datang ke Pantai Morib ketika air pasang. Namun, apabila air surut, seseorang perlu berjalan di atas pasir yang rata dan landai sejauh 400 meter dari pantai untuk sampai ke gigi air. Sesiapa yang berminat menambah koleksi cangkerang laut, inilah masanya!



Gerai-gerai baru yang menjual makanan ringan, cederamata, permainan kanak-kanak termasuk layang-layang.


Terdapat dua buah penginapan yang paling hampir dengan pantai. Sementara Hotel Sri Morib menambah nilai penginapannya dengan akses ke kelab golf, Hotel Impian pula merangkaikan tarikan penginapannya dengan pakej kursus selain kolam renang yang besar. Apa yang jelas, kebersihan Pantai Morib kekal terjaga. Biarpun airnya belum tentu menjanjikan warna kebiruan, ia masih lagi menjadi tumpuan pengunjung dalam kumpulan teman mahupun bersama keluarga untuk mandi-manda.



 Ini pula sudut maklumat mengenai siput yang ada didapati di pantai ini. The Gastrapods... 
                                                kalau nak tahu, bacalah.

Kemudahan lain yang terdapat di Pantai Morib termasuklah sebuah pentas serbaguna, gelanggang gasing, padang bola sepak pantai, gerai-gerai makan dan Pusat Pelancongan Darul Ehsan (DETC).


Salah satu landskap yang terdapat di Pantai Morib


Perjalanan untuk sampai ke Pantai Morib dari Kuala Lumpur adalah melalui Jalan Persekutuan ataupun melalui North Klang Valley Expressway via Klang. Dari Klang, teruskan perjalanan anda sehingga ke Banting sebelum tiba ke Pantai Morib. Untuk sampai ke Pantai Morib dengan menaiki bas, anda cuma perlu menaiki bas Kuala Lumpur – Banting dari Stesen Bas Old Klang. Setibanya di Banting, anda boleh menaiki bas Sepang ke Pantai Morib ataupun menyewa teksi di perhentian teksi bersebelahan dengan perhentian bas di Banting.

3 ulasan:

  1. Terima kasih atas ulasan yg lengkap ttng pantai morib.

    BalasPadam
  2. minta prhatian n mintak tolong...hehe....
    jabatan ade buat family day utk ke gold coast morib esok tp transport xsedia...so kne pndai2 la prgi sndiri...boleh tlg x cmne ye nk gi sana kalau dr KL SENTRAL? sy ingt mula2 nk amik KLIA Transit..ke LCCT...pastu dr LCCT 2 cmne nk ke gold coast morib dgn bajet yg tersangat 'BAJET'? tolong saya....huk...huk...

    BalasPadam
  3. Bismillah,

    Aktiviti dan panorama yang cukup indah di Bukit Jugra,
    Jom singgah:
    http://nurfarah911.blogspot.com/2015/03/keindahan-menarik-sekitar-banting.html

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA