Isnin, 12 November 2012

Peranan Institusi Kerajaan Dalam Memartabatkan Tulisan Jawi


Tulisan Jawi telah hilang daya kemampuannya untuk mengangkat kebesaran ilmunya sebagai rujukan utama dalam penulisan dan pengembangan bahasa. Inilah yang telah berlaku kepada tulisan Jawi dewasa ini. Sedih dan terharu tetapi inilah hakikat yang harus diterima dengan hati yang pilu.
Sejarah telah mencatatkan bahawa tulisan Jawi pernah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke 18, hinggakan penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan Jawi. Ini dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara 1786 hingga 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957.
Suatu ketika dulu tulisan Jawi telah menjadi wadah kepada masyarakat dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mencakupi bidang kesenian, kesusasteraan mahupun aspek kebahasaan. Hal ini terbukti apabila akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman menggunakan tulisan Jawi ketika awal penerbitannya. Malah tidak ketinggalan juga majalah Mastika yang turut menggunakan tulisan Jawi dalam penerbitannya dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat ketika itu.
‘Kita tidak harus mengekalkan mentaliti penjajah seperti R.J. Wilkinson yang sengaja membunuh tulisan Jawi dengan memperkenalkan tulisan Rumi. Dengan adanya tulisan Rumi sedikit demi sedikit, British menarik masyarakat Melayu daripada akar umbinya.’ Begitu kata Samat Buang dalam artikelnya ‘Mengembalikan Maruah Tulisan Jawi’. Justeru kita perlu memartabatkan semula tulisan Jawi di bumi Malaysia ini. Izinkan ia mengepakkan sayapnya berterbangan bebas di langit Malaysia seperti suatu ketika dulu. Biar ia menyebar ke seluruh cerok pelosok bumi Malaysia seperti suatu ketika dulu. Lantaran itu, semua institusi kerajaan perlu memainkan peranan masing-masing dalam merealisasikan hakikat ini.
Usaha harus bermula dengan Kementerian Pelajaran terlebih dahulu dengan memasukkan tulisan Jawi ke dalam sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini, kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi perlu dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Pengenalan tulisan Jawi perlu juga dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah. Ini merupakan satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan Jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam.
Seterusnya, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan Jawi dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah perlu sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.
Semua murid perlu mempelajari tulisan Jawi. Menafikannya kepada mereka bermakna telah membunuh salah satu jatidiri bangsa. Mereka akan membesar tanpa salah satu jatidiri yang begitu bermakna sedangkan mereka adalah generasi pewaris pada masa akan datang. Sekiranya persoalan ini tidak dipandang penting, akan lupus satu generasi yang bakal menyambung nyawa tulisan Jawi seterusnya lama kelamaan tulisan Jawi ini akan lenyap. Justeru generasi kanak-kanak ini perlu diperkenalkan tulisan Jawi secara asas.
Penguasaan dunia tanpa sempadan melalui skrin komputer, telefon selular dan pelbagai lagi media elektronik dewasa ini telah menjadi batu penghalang kepada hasrat untuk meneguhkan jatidiri dan tamadun bangsa di negara kita. Lantaran itu, usaha memartabatkan tulisan Jawi ini harus lebih menyeluruh termasuk penggunaan di dalam laman-laman web tempatan, kerajaan (ada versi Jawi), perisian Microsoft Office Jawi, telefon bimbit dan lain-lain. Perisian komputer di dalam tulisan Jawi amat kurang malah susah untuk ditemui. Sekiranya, ia dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan gembelingan pihak kerajaan dan swasta matlamat ini pasti boleh dicapai dengan jayanya.
Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan boleh dibilang dengan jari. Justeru, pihak berkuasa tempatan harus menguatkuasakan peraturan supaya setiap papan tanda yang hendak dipasang haruslah mempunyai tulisan Jawi sebagai bahasa kedua selain dari bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia.
Pengaruh globalisasi yang semakin hari semakin menghakis jatidiri bangsa harus dilihat sebagai satu ancaman yang besar. Langkah-langkah menghidupkan semula tulisan Jawi melalui media massa seperti akhbar, majalah dan buku-buku perlu disemarakkan semula demi memartabatkan maruah tulisan Jawi di negara kita.
Semua media baik cetak mahupun elektronik harus berperanan dalam menyebarluaskan tulisan Jawi di kalangan masyarakat. Sebagai galakan dan rangsangan kepada media massa ini, pihak kerajaan boleh menyediakan satu dana khas agar mereka berlumba-lumba meletakkan martabat tulisan Jawi di mercu yang sewajarnya. Dalam masa yang sama pembaca Jawi juga perlu diberi imbalan yang wajar melalui pelbagai program seperti Sayembara Esei Tulisan Jawi, Pertandingan Membaca Jawi dan sebagainya.
Badan-badan kerajaan seperti Institut Terjemahan Malaysia bersama Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus berganding bahu merealisasikan proses memartabatkan tulisan Jawi ini dengan memperbanyakkan lagi terjemahan buku-buku ke dalam tulisan Jawi.  Dewan Bahasa dan Pustaka yang dahulu pernah bangkit dengan inisiatif yang besar memartabatkan tulisan Jawi, perlu bangun kembali dengan langkah yang lebih gagah dan tegap. Semarakkan usaha-usaha seperti dahulu dengan mengadakan pelbagai bengkel, seminar dan sistemnya telah pernah diterima sebagai yang baik, yang berasaskan roh Pendeta Zaaba.
Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus memainkan peranan dari segi penerbitan. Banyakkan penerbitan novel, antologi cerpen dan antologi puisi dalam tulisan Jawi. Untuk menarik minat masyarakat dengan Jawi, sering adakan sayembara menulis dalam tulisan Jawi. Seminar dan pameran tentang tulisan Jawi juga boleh membantu memperkasakan tulisan Jawi, seperti suatu konvensyen yang pernah diadakan suatu ketika dahulu, iaitu Konvensyen Tulisan Jawi pada tahun 1980-an yang telah memperkenalkan Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan. Selain itu Dewan Bahasa dan Pustaka juga perlu menerbitkan semula Daftar Kata Rumi-Jawi yang diberi nafas baru untuk rujukan masyarakat.
Untuk menghidupkan sesebuah bahasa dan bentuk tulisannya, masyarakat yang terlibat harus menggunakannya secara aktif. Sekiranya bahasa dan tulisan tersebut tidak digunakan secara aktif baik melalui percakapan, persuratan, dijadikan bahasa ilmu dan kesusasteraan, dinikmati, disebarluaskan dan diwariskan kepada generasi seterusnya, lambat-laun bahawa dan tulisan itu akan lupus dan akhirnya lenyap ditelan zaman. Ini dapat dilihat pada bahasa dan tulisan Inka yang sudah pun pupus setelah tidak digunakan secara aktif oleh masyarakatnya.
Nasib yang sama akan berlaku kepada tulisan Jawi dan kini bibit-bibit ke arah itu seolah-olah sudah terserlah di depan mata kita. Sudah ramai warga negara yang tidak kenal lagi tulisan Jawi, tidak tahu lagi membaca Jawi juga langsung tidak tahu menulis Jawi. Justeru, tulisan Jawi perlu dimartabatkan semula di negara kita. Seimbangkan dominasi penggunaan tulisan Rumi dalam semua bentuk persuratannya.
Natijahnya, tulisan Jawi adalah khazanah milik bangsa dan negara yang bernilai tinggi. Harganya selembar maruah, andai lenyap bermakna maruah bangsa dan negara juga turut lenyap. Inilah jatidiri dan citra bangsa yang perlu diletakkan di mercu paling tinggi, dijadikan gapura ilmu, digilap laksana kencana agar berkilau di seluruh pelosok ceruk rantau bumi Malaysia, tumbuh subur di tengah-tengah masyarakat, dibelai dan dibajai setiap masa agar gemilang seperti suatu ketika dulu. Bangsa hebat bukan saja terletak pada ketinggian ilmunya tetapi juga bangsa yang menyanjung tinggi nilai budayanya.





1 ulasan:

  1. Terbaik..sangat cemerlang dari segi pengolahan isi, idea sampingan dan bukti yang menguatkan lagi sesuatu kenyataan yang dilontarkan.Terima kasih.😁

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA