Selasa, 13 November 2012

Masihkah Kita Muliakan Ibu Bapa?


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

‘Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang tua, ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah dan bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu. Hanya kepada-Kulah kembalimu.’ (surah Luqman: 14)
Maha Suci Allah s.w.t Dzat yang tidak pernah bosan mengurus semua hamba-Nya. Yang telah menjadikan amalan memuliakan orang tua (birul walidain) sebagai amalan yang amat dicintai-Nya. Demi Allah, sesiapa pun yang selalu berusaha untuk memuliakan kedua orang tuanya, nescaya akan Dia angkat darjatnya ke tempat paling tinggi di dunia mahupun di akhirat.
Alangkah tepat andai firman Allah s.w.t tersebut kita baca berulang-ulang dan kita renungkan dalam-dalam. Sehingga Allah s.w.t berkenan mengurniakan cahaya hidayahnya kepada kita, mengurniakan kesanggupan untuk membetulkan diri dan mengurniakan kesedaran untuk bertanya: ‘Telah berapa besarkah kita memuliakan ibu bapa?’
Boleh jadi kita sekarang mulai mengabaikan orang tua kita. Boleh jadi juga ketika ini mereka sedang bertungkus-lumus memeras keringat, membanting tulang mencari wang agar pengajian kita berjaya ditamatkan. Sementara kita sendiri mulai malas belajar dan tidak pernah menyesal ketika memperolehi keputusan peperiksaan yang sekadar cukup makan saja. Bahkan, dalam solat lima waktu atau tahajud mereka tidak pernah lupa menyisipkan doa bagi kebaikan dan kejayaan serta kecemerlangan kita anak-anaknya.
Tetapi, berapa kalikah dalam sehari semalam kita mendoakan ibu bapa kita? Solat saja kita sering alpa dan tidak khusyuk. Ada seorang pegawai tinggi tentera yang berjaya dalam kerjayanya, ternyata memiliki jawapan yang ‘sederhana’ ketika ditanya seseorang, ‘Waktu kecil apakah tuan pernah bercita-cita ingin jadi seorang jenderal?’
Pertanyaan itu dijawabnya dengan tegas; ‘Saya tidak pernah bercita-cita seperti itu, kalau pun ada yang saya dambakan ketika itu, bahkan hingga sekarang, saya hanya ingin membahagiakan kedua orang tua saya!’
Betapa dengan keinginan yang sepintas kelihatan amat sederhana, dia memiliki tenaga yang luar biasa, sehingga mampu menempuh jinjang demi jinjang pendidikan dengan prestasi yang amat gemilang. Bahkan ketika mulai masuk maktab ketenteraannya, dia mampu meraih kejayaan demi kejayaan dengan gemilang juga, hingga tiba pada pangkat yang disandangnya sekarang. Subhanallah, betapa dia telah diredhai Allah s.w.t dengan berkat doa kedua ibu bapanya, tentunya.
Lantaran itu, kita jangan sampai mengabaikan amalan yang sangat disukai Allah s.w.t ini. Rasulullah s.a.w menempatkan ibu ‘tiga tingkat’ di atas bapa dalam hal bakti kita pada keduanya. Betapa tidak, sekiranya kita menghitung penderitaan dan pengorbanan mereka untuk kita, sungguh tidak akan terhitung dan terbalaskan.
Seorang ulama mengatakan, ‘Walau kulit kita dikupas hingga telepas dari tubuh tidak akan pernah boleh menandingi pengorbanan mereka kepada kita.’
Berbulan-bulan kita bebani perut ibu, hingga ketika dia miring dan bergerak jadi sukar, kerana rasa sakit menahan beban kita di dalam perutnya. Berjalan berat, duduk pun tidak enak, tetapi dia tidak pernah kecewa. Sebaliknya, dia selalu tersenyum. Begitu juga ketika melahirkan, ibu kita benar-benar dalam keadaan hidup dan mati. Darah berhamburan, keringat bercucuran. Sakit tiada terperi. Namun, dia ikhlas! Manakala melihat kita yang bernama bayi, hilanglah semua penderitaan. Senyum pun tersungging, walau tubuh longlai tidak bermaya tatkala mendengar tangisan kita, yang kelak banyak menyusahkannya.
Ingatkah kita ketika masih bayi? Kepalanya kita kencing. Badannya kita berak. Sedang tidur pun kita bangunkan. Kita suruh dia mencuci kencing dan berak kita hampir setiap waktu. Tiba waktu sekolah, orang tua kita harus memeras keringat membanting tulang, bahkan mahu bertebal muka, berhutang ke sana ke sini. Semuanya dilakukan agar anak-anaknya boleh sekolah, boleh berpakaian seragam yang cantik.
Rutin itu berlangsung bertahun-tahun, mulai dari tadika, sekolah rendah, sekolah menengah hinggalah kita kuliah di universiti. Bahkan, setelah menikah pun tetap saja kita menyusahkan dan membebani mereka dengan aneka masalah. Benar-benar tidak tahu malu, kita menengadahkan tangan pada kedua orang tua sekian tahun lamanya.
Semua contoh di atas seharusnya menyebabkan kita boleh mengukur diri, apa yang boleh kita lakukan untuk keduanya selama ini? Betapa sering kita menghiris-hiris hatinya. Mulai dari tingkah-laku kita yang jauh dari kesopanan, ucapan yang kadang-kadang menyakitkan, hingga perlakuan kita yang sering merendahkan martabat mereka.
Yang lebih kurang ajar lagi, kita sering memperlakukan mereka sebagai pembantu atau babu. Bahkan ada di antara kita yang malu mempunyai orang tua yang lugu dan sederhana. Tentu kita dilahirkan ke dunia tidak untuk berlaku rendah moral seperti itu. Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w tidak akan pernah redha melihat kelakuan tersebut. Dari sinilah kita harus berusaha menjaga hubungan baik dengan mereka, kerana di sana terbuka pintu syurga.
Redha orang tua adalah redha Allah s.w.t. Betapapun ada satu dua perlakukan orang tua kita yang kurang berkenan di hati, tetapi ingatlah bahawa darah dagingnya mengalir dan melekat di dalam diri kita? Makanan yang sehari-hari kita makan pun adalah buah dari titisan keringatnya.
Alangkah lebih baik apabila kita bersabar dan teruslah panjatkan doa. Kerana itu, jangan tunda waktu untuk membahagiakan mereka. Mohonkanlah maafnya atas segala kesalahan dan kelalaian kita selama ini. Kerana siapa tahu Allah s.w.t akan segera mentakdirkan perpisahan antara kita dengan mereka untuk selama-lamanya.
Kalau keduanya sudah berada di dalam kubur, bagaimana kita boleh mencium tangannya. Kita tidak boleh mempersembahkan apa pun bakti kalau mereka sudah terbujur kaku. Jangan enggan untuk menjaga, membela, membahagiakan, memuliakan, menghormati, dan berbuat yang terbaik terhadap keduanya. Jangan lupa untuk selalu mendoakan keduanya agar mendapat khusnul khatimah.
Mudah-mudahan perjuangan kita yang ikhlas dalam memuliakan keduanya membuatkan Allah s.w.t redha, sehingga Dia berkenan mengangkat darjat mereka berdua dan kita pun menjadi hamba yang berada dalam naungan cahaya redha-Nya.
Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA