Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Berkaitan erat dengan asas pembahasan tentang
reaktualisasi ajaran-ajaran agama yang dibawakan oleh Munawir Syadzali ialah
persoalan pertimbangan kemaslahatan atau kepentingan umum dalam usaha menangkap
makna dan semangat berbagai ketentuan keagamaan. Pertimbangan itu terlebih lagi
berlaku berkenaan dengan ketentuan agama yang tercakup dalam pengertian istilah
‘syari’at’ sebagai hal yang mengarah kepada sistem hukum dalam masyarakat.
Dalam teori-teori dan kaedah atau sistem baku
pemahaman agama, hal tersebut dituangkan dalam konsep-konsep tentang istihsan
(mencari kebaikan), istislah (mencari kemaslahatan), dalam hal ini
kebaikan atau kemaslahatan umum (al-maslahat al-’ammah, al-maslahat
al-mursalah) disebut juga sebagai keperluan atas kepentingan umum (umum
al-balwa).
Contoh klasik untuk tindakan mempertimbangkan
kepentingan umum dalam menangkap makna semangat agama itu ialah yang dilakukan
oleh Khalifah Umar ibn al-Khattab r.a., berkenaan dengan masalah tanah-tanah
pertanian berserta garapan-garapannya yang baru dibebaskan oleh tentera Islam
di negeri Syam (Syria Raya, meliputi keseluruhan kawasan pantai timur Laut
Tengah), Iraq, Persia dan Mesir.
Pendirian Saidina Umar untuk mendahulukan
pertimbangan tentang kepentingan umum yang menyeluruh, baik secara ruang
(meliputi semua orang di semua tempat) mahupun waktu (mencakupi generasi
sekarang dan masa datang) mula-mula mendapat halangan hebat dari para sahabat
Rasulullah s.a.w, dipelopori antara lain oleh ‘Abd al-Rahman ibn Awf dan Bilal
(bekas muazin yang sangat disayangi Rasulullah s.a.w).
Mereka ini berpegang teguh kepada beberapa
ketentuan (lahir) di beberapa tempat dalam Al-Quran dan dalam Sunnah atau
amalan Rasulullah s.a.w pada peristiwa pembebasan Khaybar (sebuah kota beberapa
ratus kilometer di utara Madinah), dari sekelompok orang Yahudi yang khianat.
Tetapi, sebaliknya, sejak dari awal para sahabat Rasulullah s.a.w yang lain,
termasuk tokoh-tokoh seperti ‘Utsman ibn ‘Affan dan ‘Ali ibn Abi Talib
(kedua-duanya kelak menjadi Khalifah, berturut-turut yang ketiga dan keempat),
sepenuhnya menyetujui pendapat Saidina Umar dan sepenuhnya menyokong
pelaksanaannya.
Pertikaian pendapat itu berlangsung panas
selama berhari-hari di Madinah, sehingga akhirnya dimenangi oleh Saidina Umar
dan sahabat-sahabat dengan hujah-hujah yang tepat, juga berdasarkan
ketentuan-ketentuan Kitab Suci Al-Quran.
Dalam banyak hal, Saidina Umar memang
dikenali sebagai tokoh yang sangat bijaksana dan kreatif, bahkan genius, tetapi
juga penuh kontroversi. Tidak semua orang setuju dengan Saidina Umar, dari
dahulu sampai sekarang. Kaum Syi’ah, misalnya, menolak keras ketokohan Saidina
Umar, khususnya kalangan ekstrim (al-ghulat) dari mereka. Yang moderat
pun masih melihat pada Saidina Umar hal-hal yang ‘menyimpang’ dari agama. Atau,
seperti dikatakan oleh seorang tokoh ‘ulama Syi’ah, Muhammad al-Husayn Al
Kashif al-Ghita’, banyak tindakan Saidina Umar, seperti dalam kes beliau
melarang nikah mut’ah, adalah semata-mata tindakan sosial-politik, yang
tidak ada sangkut-pautnya dengan bukan keagamaan (madaniyyan la diniyyan).
Untuk memperolehi gambaran yang hidup dan
langsung tentang ijtihad Saidina Umar dan kemelut yang ditimbulkannya di
Madinah selama berhari-hari itu, di bawah ini disajikan terjemahan dari dua
penjelasan oleh dua orang ahli. Tanpa membuat teori yang abstrak, dari kedua
penjelasan itu dapat kita tarik inspirasi untuk melihat dan memecahkan berbagai
masalah kita sendiri sekarang, sesuai dengan tuntutan ruang dan waktu, sama
dengan halangan yang dihadapi dan diselesaikan oleh Saidina Umar.
Yang pertama dari kedua penjelasan itu
berjudul Dari Celah Fiqh Saidina Umar Di Bidang Ekonomi Dan Kewangan
oleh al-Ustadh al-Bahi al-Khuli, sebagai berikut: ‘Berita-berita telah sampai
kepada Saidina Umar r.a. dengan membawa khabar gembira tentang telah
terbebaskannya Syam, Iraq dan negeri Khusru (Persia), dan beliau mendapati
dirinya berhadapan dengan persoalan ekonomi yang rumit. Harta benda musuh yang
terdiri dari emas, perak, kuda dan ternakan telah jatuh sebagai harta rampasan
perang (ghanimah) di tangan bala tentera yang menang dengan pertolongan
Allah s.w.t. Dan tanah-tanah pertanian mereka pun termasuk dalam penguasaan
tentera itu.’
‘Berkenaan dengan harta (yang bergerak) maka
Saidina Umar telah melaksanakan hukum Allah mengenainya. Beliau ambil
seperlimanya, dan membahagi-bahagikan empat perlima lainnya kepada
masing-masing anggota tentera sebagai pelaksanaan firman Allah s.w.t, ‘Dan
ketahuilah olehmu sekalian bahawa apa pun yang kamu peroleh sebagai rampasan
perang dari sesuatu (harta kekayaan) itu maka seperlimanya adalah untuk Allah
dan untuk Rasul, kaum kerabat (dari Rasulullah s.a.w), anak-anak yatim,
orang-orang miskin dan ibn al-sabil (orang terlantar di perjalanan),
jika kamu sekalian benar-benar beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah
Kami turunkan (Al-Quran) atas hamba Kami (Muhammad) pada hari penentuan, iaitu
hari ketika kedua golongan manusia (Muslim dan Musyrik) bertemu (dalam
peperangan, yakni, Perang Badar). Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.’ (surah
al-Anfal/8:41)
Tetapi berkenaan dengan tanah-tanah pertanian
itu, Saidina Umar berpendapat lain iaitu, ‘Pendiriannya ialah bahawa
tanah-tanah itu harus disita, dan tidak dibahagi-bahagikan, lalu dibiarkan
seolah-olah tanah-tanah itu kepunyaan negara di tangan para pemilik (aslinya
setempat) yang lama, kemudian mereka ini dikenakan cukai (kharaj), dan
hasil cukai itu dibahagi-bahagikan kepada keseluruhan orang-orang Muslim
setelah disisihkan daripada gaji tentera yang ditempatkan di pos-pos pertahanan
(al-thughur, seperti Basrah dan Kufah di Iraq) dan negeri-negeri yang
terbebaskan.’
Tetapi kebanyakan para sahabat menolak
kecuali jika tanah-tanah itu dibahagikan di antara mereka kerana tanah-tanah
itu adalah harta kekayaan yang dianugerahkan Allah s.w.t sebagai rampasan (fay’)
kepada mereka.
Adapun titik pandangan Saidina Umar ialah
bahawa negeri-negeri yang dibebaskan itu memerlukan tentera pendudukan yang
tinggal di sana, dan tentera itu tentulah memerlukan perbelanjaan. Maka jika
tanah-tanah pertanian itu habis dibahagi-bahagikan, lalu bagaimana tentera
pendudukan itu akan memperolehi logistik mereka?
Demikian itu, ditambah lagi bahawa Allah s.w.t
tidak menghendaki harta kekayaan hanya berkisar atau menjadi sumber rezeki kaum
kaya saja. Jika habis dibahagi-bahagikan tanah-tanah pertanian yang luas di
Syam, Mesir, Iraq dan Persia kepada beberapa ribu orang sahabat, maka
menumpuklah kekayaan di tangan mereka, dan tidak lagi tersisa sesuatu apa pun
untuk mereka yang masuk Islam kemudian hari kelak. Sehingga terjadilah adanya
kekayaan yang melimpah di satu pihak, dan keperluan (kemiskinan) yang mendesak
di pihak lain ... Itulah keadaan yang hati nurani Saidina Umar tidak boleh
menerimanya.
Tetapi dalil dari Kitab dan Sunnah berada di
pihak mereka yang menentang pendapat Saidina Umar, yang terdiri dari mereka
yang mahukan kekayaan yang memang halal dan telah dianugerahkan Tuhan kepada
mereka itu. Mereka ini mengajukan hujah kepadanya bahawa harta kekayaan itu
adalah fay’ (jenis harta yang diperoleh dari peperangan), dan tanah
rampasan serupa itu telah pernah dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah s.a.w
sebelumnya, dan baginda (Rasul) tidak pernah melakukan sesuatu seperti yang
ingin dilakukan oleh Saidina Umar.
Terutama Bilal r.a. sangat keras terhadap
Saidina Umar, dan mempelopori gerakan penentangan sehingga menyesakkan dada
Saidina Umar dan menyusahkannya, sehingga kerana susah dan sedihnya itu Saidina
Umar mengangkat kedua tangannya kepada Tuhan dan berseru, ‘Oh Tuhan,
lindungilah aku dari Bilal dan kawan-kawan.’
Akhirnya memang Tuhan melindunginya dari
Bilal dan sahabat-sahabat dengan fahaman keagamaannya yang mendalam, yang
meneranginya dengan suatu cahaya dari celah baris-baris dalam Kitab Suci, dan
dengan hujah yang unggul, yang semua golongan tunduk kepada kekuatannya.
Begitulah Saidina Umar yang suatu ketika
berkata kepada sahabat-sahabatnya yang hadir bahawa Sa’d ibn Abi Waqqas menulis
surat kepadanya dari Iraq bahawa masyarakat (tentera Muslim) yang ada bersama
dia telah memintanya untuk membahagi-bahagi harta rampasan di antara mereka dan
tanah-tanah pertanian yang dianugerahkan Allah kepada mereka sebagai rampasan
juga. (Kemudian terjadilah dialog berikut):
Sekelompok dari mereka berkata: Tulis surat kepadanya dan
hendaknya ia membahagi-bahagikan tanah itu antara mereka.
Saidina Umar: Lalu bagaimana dengan orang-orang Muslim
yang datang kemudian sesudah itu, yang akan mendapati tanah-tanah telah habis
terbagi-bahagikan, terwariskan dari orang-orang tua serta telah terkuasai? Ini
bukanlah pendapat yang benar.
Abd al-Rahman ibn ‘Awf: Lalu apa pendapat yang benar?
Tanah-tanah itu tidak lain daripada sesuatu yang dianugerahkan Tuhan kepada
mereka sebagai rampasan.
Saidina Umar: Memang seperti yang kamu katakan tapi aku
tidak melihatnya begitu. Demi Tuhan, tiada lagi suatu negeri akan dibebaskan
sesudahku melainkan mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Jika
tanah-tanah pertanian di Iraq dan Syam dibahagi-bahagikan, maka dengan apa
biaya pos-pos pertahanan ditutup, dan apa yang tersisa bagi anak yatim dan para
janda di negeri ini dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?
Orang ramai: Bagaimana mungkin sesuatu yang dianugerahkan
Tuhan kepada kami sebagai harta rampasan dengan perantaraan pedang-pedang kami
akan engkau serahkan kepada kaum yang belum ada dan belum bersaksi, serta
kepada anak-cucu mereka turun-temurun yang belum ada?
Saidina Umar (dalam keadaan bingung dan termangu): Ini
adalah suatu pendapat.
Orang ramai: Bermusyawarahlah!
Maka Saidina Umar pun bermusyawarah dengan kaum Muhajirin
yang terkemuka, yang memiliki kepeloporan dan keperintisan yang mendalam dalam
Islam:
Abd al-Rahman ibn ‘Awf: Aku berpendapat hendaknya kamu
bahagi-bahagikan kepada mereka itu hak-hak mereka.
Ali ibn Abi Talib: Tapi pendapat yang benar ialah
pendapatmu, wahai Amir al-Mu’minin!
Al-Zubayr ibn al-’Awwam: Tidak! Sebaliknya, apa yang
dianugerahkan Tuhan kepada kita sebagai rampasan dengan pedang kita itu harus
dibahagi-bahagi.
Utsman ibn ‘Affan: Pendapat yang benar ialah yang
dikemukakan Saidina Umar.
Bilal: Tidak! Demi Tuhan, sebaliknya kita harus
melaksanakan hukum Tuhan terhadap harta yang dianugerahkan sebagai rampasan
kepada hamba-hamba-Nya yang beriman.
Talhah: Aku berpendapat bahawa yang benar ialah yang
dianut Saidina Umar.
Al-Zubayr: Ke mana kalian, wahai kaum, hendak pergi dari
Kitab Allah?
Abdullah ibn Saidina Umar: Teruskan, wahai Amir
al-Mu’minin, dengan pendapatmu itu. Sebab aku harap bahawa di situ ada kebaikan
bagi umat ini.
Bilal (menjerit dan marah): Demi Tuhan, tidak berlaku di
umat ini kecuali apa yang telah ditentukan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya
Saidina Umar (dalam keadaan sesak dada dan sedih): Oh
Tuhan, lindungilah aku dari Bilal dan kawan-kawan.
Pertengkaran itu memuncak selama tiga hari,
dan kegelisahan orang ramai sekitar masalah itu pun menjadi-jadi. Saidina Umar
berfikir untuk memperluaskan musyawarahnya keluar ke kalangan Muhajirin
sehingga mencakup para pemuka Ansar, dan dipanggillah oleh Umar sepuluh orang
dari mereka, lima orang dari suku al-Aws dan lima orang dari suku al-Khazraj,
kemudian beliau berucap di depan mereka dengan pernyataan yang indah dan
bijaksana ini: (Saidina Umar membaca hamdalah dan memuji Tuhan sesuai
dengan yang patut bagi-Nya, kemudian berkata):
‘Aku tidak bermaksud mengejutkan kalian
kecuali hendaknya kalian menyertaiku dalam amanat mengenai urusan kalian yang
dibebankan kepadaku. Sebab aku hanyalah salah seorang saja dari antara kalian.
Dan kalian hari ini hendaknya membuat keputusan dengan benar, siapa saja yang
hendak berbeza pendapat denganku, silakan ia berbeza, dan siapa saja yang
hendak bersepakat denganku, silakan ia bersepakat.’
‘Aku tidaklah ingin kalian mengikuti begitu
saja hal yang menjadi kecenderunganku ini. Di tangan kalian ada Kitab Allah
yang menyatakan kebenaran. Dan demi Tuhan, kalau aku pernah menyatakan suatu
perkara yang kuinginkan, aku tidak menginginkannya kecuali kebenaran.’
Kaum Ansar: Bicaralah, dan kami semua akan mendengarkan,
wahai Amir al-Mu’minin!
Saidina Umar: Kalian telah mendengar pembicaraan mereka,
kelompok yang menuduhku berbuat zalim berkenaan dengan hak-hak mereka. Aku benar-benar
berlindung kepada Allah dari melakukan kezaliman. Jika aku telah berbuat zalim
kepada mereka berkenaan dengan sesuatu yang menjadi milik mereka dan aku
memberikannya kepada orang lain, maka benar-benar telah celakalah diriku.
Tetapi aku melihat bahawa tidak ada lagi sesuatu (negeri) yang dibebaskan
sesudah negeri Khusru (Persia), dan Allah pun telah merampas untuk kita harta
kekayaan mereka dan tanah-tanah pertanian mereka. Maka aku bagi-bahagikanlah
semua kekayaan (yang bergerak) kepada mereka yang berhak, kemudian aku ambil
seperlimanya, dan aku atur menurut aturan tertentu, dan aku sepenuhnya
bertanggungjawab atas pengaturan itu. Tetapi aku berpendapat untuk menguasai
tanah-tanah pertanian dan aku kenakan cukai atas para penggarapnya, dan mereka
berkewajiban membayar jizyah sebagai fay’ untuk orang-orang
Muslim, untuk tentera yang berperang serta anak turun mereka, dan untuk
generasi yang datang kemudian. Tahukah kalian pos-pos pertahanan itu? Di sana
harus ada orang-orang yang tinggal menetap. Tahukah kalian, negeri-negeri besar
seperti Syam, al-Jazirah (Lembah Mesopotamia), Kufah, Basrah dan Mesir?
Semuanya itu harus diisi dengan tentera dan disediakan perbekalan untuk mereka.
Dari mana mereka akan mendapat perbekalan itu jika semua tanah pertanian telah
habis dibahagi-bahagi?
Semua yang hadir: Pendapat yang benar ialah pendapatmu.
Alangkah baiknya apa yang kamu katakan dan lihat itu. Jika pos-pos pertahanan
dan kota-kota itu tidak diisi dengan pegawai-pegawai, serta disediakan bagi
mereka perbekalan, maka tentulah kaum kafir akan kembali ke kota-kota mereka.
Kemudian terlintas dalam benak Saidina Umar
suatu cahaya seperti biasanya jika kebenaran datang ke lisan dan hatinya, lalu
berkata: ‘Sungguh telah kudapatkan hujah dalam Kitab Allah, ‘Sesuatu apa pun
yang dianugerahkan Allah sebagai harta rampasan untuk Rasul-Nya dari penduduk
negeri-negeri (yang dibebaskan) adalah milik Allah, Rasul, kaum kerabat,
anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang terlantar dalam perjalanan, agar
supaya tidak berkisar di antara orang-orang kaya saja dari kamu. Maka apa pun
yang diberikan Rasul kepadamu sekalian hendaklah kamu ambil, dan apa pun yang
Rasul melarangnya untuk kamu hendaklah kamu hentikan. Dan bertakwalah kamu
sekalian kepada Allah, sesungguhnya Allah itu keras dalam siksaan.’
Selanjutnya, kata Saidina Umar, ‘Allah berfirman, ‘Dan bagi orang-orang miskin
dari kalangan Muhajirin yang diusir dari rumah-rumah dan harta kekayaan mereka,
guna mencari kemurahan Allah dan redha-Nya, serta membantu Allah dan Rasul-Nya.
Mereka itulah orang-orang yang benar.’
Kemudian, kata Saidina Umar lagi, ‘Allah
tidak rela sebelum Dia mengikutsertakan orang-orang lain dan berfirman, ‘Dan
mereka (kaum Ansar) yang telah bertempat tinggal di negeri (Madinah) serta
beriman sebelum (datang) mereka (kaum Muhajirin); mereka itu mencintai
orang-orang yang berhijrah kepada mereka, dan tidak mendapati dalam dada mereka
keinginan terhadap apa yang diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu,
bahkan mereka lebih mementingkan orang-orang yang berhijrah itu daripada diri
mereka sendiri meskipun kesusahan ada pada mereka. Barangsiapa yang terhindar
dari kekikiran dirinya sendiri, maka mereka itulah orang-orang yang bahagia.’
Firman ini, jelas Saidina Umar, adalah khusus
tentang kaum Ansar. Kemudian Allah tidak rela sebelum menyertakan bersama
mereka itu orang-orang lain (dari generasi mendatang), dan berfirman, ‘Dan
orang-orang yang muncul sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) itu semuanya
berdoa: ‘Oh Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah
mendahului kami dalam beriman, dan janganlah ditumbuhkan dalam hati kami
perasaan dengki kepada sekalian mereka yang beriman itu. Oh Tuhan, sesungguhnya
Engkau Maha Penyantun dan Maha Penyayang.’ (surah al-Hashr/59:7-10)
Ayat ini, kata Saidina Umar, ‘Secara
umum berlaku untuk semua orang yang muncul sesudah mereka (kaum Muhajirin dan
Ansar) itu, sehingga harta rampasan (fay’) adalah untuk mereka semua.
Maka bagaimana mungkin kita akan membahagi-bahaginya untuk mereka (tentera yang
berperang saja), dan kita tinggalkan mereka yang datang kemudian tanpa
bahagian? Kini menjadi jelas bagiku perkara yang sebenarnya.’
Para pembahas dapat menarik kesimpulan dari
pendirian Saidina Umar itu tentang banyak hukum sosial dan ekonomi. Di situ
kita dapat melihat Saidina Umar sangat cermat memperhatikan agar harta kekayaan
tidak menumpuk hanya di tangan sekelompok orang-orang kaya saja.
Sebab penyerahan pemilikan atas
berpuluh-puluh juta hektar tanah pertanian di Iraq, Syam, Persia dan Mesir kepada
sekelompok tentera dan bawahannya akan membentuk sejumlah orang kaya yang pada
mereka terdapat harta benda melimpah-ruah, dengan peredarannya pun terpusat
kepada mereka saja. Hal itu akan membawa kesan sosial dan moral yang akibatnya
tidak terpuji.
Di dalamnya kita melihat Saidina Umar
memandang harta sebagai hak semua orang dan menempuh kebijaksanaan yang
memperhitungkan kemaslahatan generasi mendatang. Itu adalah pandangan yang
cermat dan mendalam, yang dalam Al-Quran diketemukan sandaran yang sangat kuat.
Di dalamnya juga terdapat tindakan sejenis
nasionalisasi tanah-tanah pertanian atau yang mendekati itu, iaitu ketika
beliau mencegah sekelompok orang-orang Muslim sezamannya dari menguasai
tanah-tanah yang dianugerahkan Tuhan sebagai harta rampasan (fay’), dan
beliau tidak bergeser dari pendapatnya untuk menjadikan tanah-tanah itu milik
negara, yang dari hasil cukainya beliau membuat anggaran untuk tentera, dan
dengan hasil itu pula beliau menanggung kesulitan-kesulitan pada masa depan.
Di dalamnya juga terdapat banyak hal yang
lain, berupa pandangan-pandangan kewangan dan ekonomi yang menunjukkan luasnya
ufuk dan keluwesan pemikiran serta daya cakup Islam yang hanif (secara
semula jadi selalu mencari yang benar dan baik) terhadap masalah-masalah yang
pelik.
Penjelasan kedua berjudul Bagaimana Para
Sahabat Rasulullah s.a.w Menggunakan Akal Mereka Untuk Memahami Al-Quran
oleh Dr Ma’ruf al-Dawalibi. Barangkali dari antara banyak masalah ijtihad dan
kejadian yang mucul pada zaman para sahabat setelah wafat Rasulullah s.a.w,
yang paling menonjol ialah masalah pembahagian tanah-tanah (pertanian) yang
telah dibebaskan oleh tentera (Islam) melalui peperangan di Iraq, Syam (Syria)
dan Mesir.
Telah terdapat nas Al-Quran yang menyebutkan
dengan jelas tanpa kesamaran sedikit pun di dalamnya bahawa seperlima harta
rampasan (perang) harus dimasukkan ke bait al-mal, dan harus
diperlakukan sesuai dengan pengarahan yang ditentukan oleh ayat suci. Allah
telah berfirman dalam surah al-Anfal, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian bahawa
apa pun yang kamu rampas (dalam perang) dari sesuatu (harta) maka seperlimanya
adalah untuk Allah, Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin,
dan orang yang terlantar dalam perjalanan (ibn al-sabil).’[6]
Sedangkan yang empat perlima selebihnya maka
dibahagi sama antara mereka yang merampas (dalam perang) itu, sebagai
pengamalan ketentuan yang boleh difahami dari ayat suci tersebut dan amalan
Rasulullah s.a.w ketika baginda membahagikan (tanah pertanian) Khaybar kepada
para tentera.
Maka, sebagai pengamalan Al-Quran dan
al-Sunnah, datanglah para perampas (harta rampasan perang) itu kepada Saidina
Umar ibn al-Khaththab, dan meminta agar beliau mengambil seperlima daripadanya
untuk Allah dan orang-orang yang disebutkan dalam ayat (dimasukkan dalam bait
al-mal), kemudian membahagi bakinya kepada mereka yang telah merampasnya
dalam perang. (Kemudian terjadi dialog berikut):
Kata Saidina Umar: Lalu bagaimana dengan orang-orang
Muslim yang datang kemudian? Mereka mendapati tanah-tanah pertanian beserta
garapannya telah habis terbahagi-bahagi, dan telah pula diwariskan
turun-temurun dan dikuasai? Itu bukanlah pendapat (yang baik).
Abd al-Rahman ibn ‘Awf, menyanggah Saidina Umar: Lalu apa
pendapat (yang baik)? Tanah pertanian dan garapannya itu tidak lain adalah
harta rampasan yang diberikan Allah kepada mereka!
Saidina Umar menjawab: Itu tidak lain adalah katamu
sendiri, dan aku tidak berpendapat begitu. Demi Tuhan, tidak akan ada lagi
negeri yang dibebaskan sesudahku yang di situ terdapat kekayaan besar, bahkan
mungkin akan menjadi beban atas orang-orang Muslim. Jika aku bahagi-bahagikan
tanah-tanah di Iraq beserta garapannya, tanah-tanah di Syam beserta garapannya,
maka dengan apa pos-pos pertahanan akan dibiayai? Dan apa yang tersisa untuk
anak cucu dan janda-janda di negeri itu dan di tempat lain dari kalangan
penduduk Syam dan Iraq?
Orang pun ramai berkumpul sekitar Saidina Umar, dan
mereka semua berseru: Apakah engkau akan memberikan sesuatu yang oleh Allah
diberikan untuk kami dengan perantaraan pedang-pedang kami kepada kaum yang
belum ada dan belum bersaksi? Dan kepada anak-anak mereka itu serta cucu-cucu
mereka yang belum ada?
Namun Saidina Umar tidak tergugat kecuali berkata: Itulah
pendapatku.
Mereka menyahut: Bermusyawarahlah!
Maka Saidina Umar pun bermusyawarah dengan
kaum Muhajirin yang terkemuka, dan mereka ini berselisih pendapat. Adapun Abd
al-Rahman ibn ‘Awf, pendapatnya ialah agar diberikan kepada para tentera itu
apa yang telah menjadi hak mereka. Sedangkan pendapat ‘Utsman, ‘Ali, Thalhah
dan Ibn Saidina Umar sama dengan pendapat Umar.
Kemudian Saidina Umar memanggil sepuluh orang
dari golongan Ansar, lima orang dari suku al-Aws dan lima orang dari suku
al-Khazraj, terdiri dari para pembesar dan tokoh mereka. Setelah mereka
berkumpul, Saidina Umar membaca hamdalah dan memuji Tuhan, kemudian
berkata (penuturan al-Dawalibi ini tidak jauh berbeza dengan al-Khuli di atas):
‘Aku tidak bermaksud mengejutkan kalian
kecuali hendaknya kalian menyertaiku dalam amanatku dan dalam urusan kalian
yang dibebankan kepadaku. Sebab aku hanyalah salah seorang saja dari kalian,
dan kalian hari ini hendaknya membuat keputusan dengan benar: siapa saja yang
hendak berbeza pendapat dengan aku, silakan ia berbeza, dan siapa saja yang
hendak bersepakat dengan aku, silakan ia bersepakat. Aku tidaklah ingin kalian
mengikuti begitu saja hal yang menjadi kecenderunganku ini. Di tangan kalian
ada Kitab Allah yang menyatakan kebenaran. Dan demi Tuhan, kalau aku pernah
menyatakan suatu perkara yang kuinginkan, aku tidak menginginkannya kecuali
kebenaran.’
Semuanya serentak berkata: Bicaralah, dan
kami semua akan mendengarkan, wahai Amir al-Mu’minin!
Dan Saidina Umar berkata lagi: Kalian telah
mendengar pembicaraan mereka, kelompok yang menuduh aku berbuat zalim berkenaan
dengan hak-hak mereka. Aku benar-benar berlindung kepada Allah dari melakukan
kezaliman. Jika aku telah berbuat zalim kepada mereka berkenaan dengan sesuatu
yang menjadi milik mereka dan aku berikan kepada orang lain, maka benar-benar
telah celakalah diriku. Tetapi aku melihat bahawa tidak ada lagi sesuatu
(negeri) yang dibebaskan sesudah negeri Khusru (Raja Persia), dan Allah pun
telah merampas untuk kita harta kekayaan mereka dan tanah-tanah pertanian
mereka, garapan-garapan mereka, maka aku bahagi-bahagikanlah semua kekayaan
(yang bergerak) kepada mereka yang berhak, kemudian aku ambil seperlimanya, dan
aku atur menurut aturan tertentu, dan aku sepenuhnya bertanggungjawab atas
pengaturan itu. Tetapi aku berpendapat untuk menguasai tanah-tanah pertanian
beserta garapan-garapannya, dan aku terapkan cukai atas para penggarap
tanah-tanah itu, dan mereka berkewajiban membayar jizyah sebagai fay’
untuk orang-orang Muslim, baik yang berperang mahupun anak cucu mereka, dan
untuk generasi yang kemudian. Tahukah kalian pos-pos pertahanan itu? Di sana
harus ada orang-orang yang tinggal menetap. Tahukah kalian, kota-kota besar
seperti di Syam, al-Jazirah (Mesopotamia), Kufah, Basrah dan Mesir? Semuanya
itu memerlukan tentera untuk mempertahankan dan biaya besar untuk mereka. Dari
mana mereka diberi biaya itu jika semua tanah pertanian dan garapannya telah
habis dibahagi-bahagi?
Serentak semuanya menjawab: Pendapat yang
benar ialah pendapatmu. Alangkah baiknya apa yang kau katakan dan lihat itu.
Jika pos-pos pertahanan dan kota-kota itu tidak diisi dengan pegawai-pegawai,
serta disediakan bagi mereka keperluan-keperluan mereka, maka tentulah kaum
kafir akan kembali ke kota-kota mereka.
Kata Mu’adz kepada Saidina Umar: ‘Jika engkau
sampai membahagi-bahaginya, maka akan terjadilah kekayaan yang amat besar
berada di tangan kelompok orang tertentu, kemudian mereka akan mati, lalu harta
itu akan bergeser ke tangan satu orang, baik laki-laki ataupun perempuan, dan
sesudah mereka itu muncul generasi yang benar-benar melihat adanya kebaikan
pada Islam iaitu mereka mendapati dalam Islam suatu keuntungan namun mereka
tidak mendapatkan apa-apa. Kerana itu carilah sesuatu yang menguntungkan baik
generasi pertama mahupun generasi akhir.’
Sungguh menakjubkan pernyataan Mu’adz itu:
Jika tanah-tanah pertanian itu dibahagi habis, maka terjadilah kekayaan amat
besar pada kelompok tertentu, dan kalau mereka ini semuanya telah tiada,
kekayaan itu akan pindah ke tangan satu dua orang, sehingga orang-orang (dari
kalangan penduduk setempat) yang muncul sesudah itu dan memeluk Islam tidak
lagi mendapatkan sesuatu apa pun! Alangkah cemerlang pernyataannya itu!
Dengan pernyataannya itu, Mu’adz seolah-olah
hendak menentang banyak orang sebagaimana kaum sosialis sekarang menentang para
tuan tanah agar jangan sampai tanah yang luas milik Tuhan itu jatuh ke tangan
hanya satu dua orang, sama ada lelaki mahupun wanita, yang dengan pemilikan
tanah itu orang tersebut memetik buah kerja keras sejumlah besar para petani
untuk dinikmati sendiri tanpa disertai kalangan manusia lainnya.
Para sahabat Rasulullah s.a.w itu terus
melakukan perbincangan sesama mereka selama beberapa hari. Mereka yang
berpendapat harus dibahagi-bahagikan, berhujah dengan amalan Rasulullah s.a.w
dalam membahagi-bahagikan tanah Khaybar di antara para tentera yang
membebaskannya, dan dengan firman Allah, ‘Ketahuilah bahawa apa pun dari
sesuatu (kekayaan) yang kamu rampas dalam peperangan maka seperlimanya adalah
untuk Allah, Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan
orang terlantar di perjalanan.’
Kerana ayat itu hanya mengemukakan ketentuan
untuk menyisihkan seperlima saja dari kekuasaan para tentera pelaksana rampasan
dalam perang dan menyerahkannya kepada bait al-mal untuk digunakan bagi
keperluan pihak-pihak yang berhak yang tersebutkan dalam ayat tersebut,
sedangkan ayat itu tidak memberi ketentuan apa-apa tentang bahagian yang empat
perlima lagi, maka ‘Abd al-Rahman ibn ‘Awf berkata kepada Saidina Umar:
‘Tanah-tanah pertanian dan garapannya itu tidak lain ialah harta yang
dirampaskan oleh Tuhan untuk mereka, yakni harta yang diberikan Tuhan kepada
mereka dari musuh.’
Sedangkan Saidina Umar, dalam menjawab hujah
‘Abd al-Rahman itu, menyatakan: ‘Itu tidak lain hanyalah pendapatmu, dan aku
tidak berpendapat begitu. Demi Tuhan, tidak ada lagi sesudahku negeri yang
dibebaskan yang di situ terdapat kekayaan yang besar, bahkan mungkin akan
menjadi beban atas orang-orang Muslim. Maka jika aku bagi habis tanah Iraq dan
garapannya, juga tanah Syam dan garapannya, maka bagaimana membiayai pos-pos
pertahanan? Dan apa yang tersisa untuk anak cucu dan janda-janda di negeri itu
dan di tempat lain dari kalangan penduduk Syam dan Iraq?’
Saidina Umar terus melakukan musyawarah dan
pembahasan. Ramai orang berargumentasi untuk melakukan pembahagian sesuai
dengan pengertian lahir nas-nas, dan Saidina Umar berargumentasi untuk tidak
melakukan pembahagian demi kemaslahatan masyarakat Muslim sendiri. Seolah-olah
Saidina Umar membezakan antara apa yang dilaksanakan Rasulullah s.a.w di
tanah-tanah pertanian Khaybar yang kecil pada permulaan Islam yang dituntut
oleh kemaslahatan masyarakat Muslim ketika itu tanpa menyimpang daripadanya,
dan tanah-tanah pertanian lembah yang subur di Iraq, Mesir dan Syam, yang
seandainya diterapkan di sana apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w di
tanah-tanah pertanian Khaybar itu maka tentu masyarakat Muslim akan kehilangan
kemaslahatannya.
Orang ramai tetap saja pada pendirian mereka,
sehingga akhirnya Saidina Umar datang dan menyatakan: ‘Aku telah mendapatkan
hujah terhadap mereka dengan bahagian akhir dari ayat-ayat al-Hasyr.’
Di situ Tuhan telah memperincikan mereka yang
berhak atas harta rampasan perang dengan firman-Nya: ‘Sesuatu (harta kekayaan)
yang diberikan Tuhan sebagai rampasan perang untuk Rasul-Nya dari penduduk
negeri adalah milik Tuhan, Rasul, para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang
miskin, dan ibn al-sabil, agar supaya harta itu tidak berkisar di antara
orang-orang kaya saja dari antara kamu...’
Maksudnya supaya harta rampasan itu tidak
berputar di kalangan para orang kaya saja tanpa ikut sertanya para fakir
miskin, sampai dengan firman Allah s.w.t: ‘Bagi orang-orang miskin para
Muhajirin yang diusir dari rumah-rumah dan harta benda mereka ...’ terus ke
firman-Nya, ‘Dan mereka yang telah menetap di negeri (Madinah) dan beriman
sebelum (datang) mereka (Muhajirin) itu...,’ serta diakhiri dengan firman, ‘Dan
mereka yang datang sesudah mereka itu ...’
Kemudian kata Saidina Umar: ‘Aku tidak
melihat ayat ini melainkan meliputi semua orang manusia sampai termasuk pula
seorang penggembala kampung Kidd’.’
Lalu Saidina Umar berseru kepada orang ramai:
‘Apakah kalian menghendaki datangnya generasi kemudian tanpa mendapatkan
sesuatu apa pun? Lalu apa yang tersisa untuk mereka sepeninggal kalian itu?
Kalau tidak kerana generasi kemudian itu, tidaklah ada suatu negeri yang
dibebaskan melainkan pasti aku bahagi-bahagikan sebagaimana Rasulullah s.a.w
telah membahagi-bahagikan tanah Khaybar.’
Demikianlah Saidina Umar memutuskan untuk
menyita tanah-tanah pertanian tersebut dan tidak membahagi-bahagikannya kepada
tentera pembebas, dan membiarkan tanah-tanah itu tetap berada di kalangan para
penduduk penggarap yang dari hasilnya mereka membayar cukai untuk dibelanjakan
bagi kemaslahatan masyarakat Muslim pada umumnya, dan orang-orang Muslim pun
kemudiannya bersepakat dengan Saidina Umar.
Jelas bahawa tindakan bijaksana dari Saidina
Umar r.a. yang menyimpang dari tindakan Rasulullah s.a.w bukanlah bermakna
peniadaan suatu Sunnah yang tetap yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, melainkan
kerana berpegang teguh kepada Sunnah itu dengan dalil-dalil berbagai nas yang
lain mengikuti kemaslahatan umum.
Jika Rasulullah s.a.w membahagi-bahagikan
antara orang-orang Muslim harta rampasan perang yang terdiri dari tanah-tanah
pertanian pada waktu itu tanpa menyisakan sedikit pun untuk generasi yang
datang kemudian, maka hal itu ialah kerana masalah zaman menghendaki hal
demikian sesuai dengan situasi yang ada, khususnya untuk menolong orang-orang
miskin Muhajirin dari Mekah yang diusir dari tempat-tempat kediaman dan harta
kekayaan mereka.
Dan jika Saidina Umar tidak
membahagi-bahagikannya, maka hal itu pun kerana kemaslahatan ketika itu,
sebagaimana beliau sendiri telah menjelaskannya, menghendaki kebijaksanaan demikian
itu. Itulah sebabnya al-Qadli Abu Yusuf berkata: ‘Pendapat yang dianut Saidina
Umar r.a. untuk tidak membahagikan tanah-tanah pertanian itu antara mereka yang
membebaskannya, ketika Tuhan memberinya kearifan tentang apa yang disebutkan
dalam Kitab Suci sebagai penjelasan pendapatnya itu, adalah suatu petunjuk dari
Tuhan.’
Pada Saidina Umar dengan tindakan tersebut -
yang di situ terdapat kebaikan pendapatnya - berupa pengumpulan cukai dan
pembahagiannya di antara orang-orang Muslim, terkandung kebaikan umum bagi
masyarakat mereka. Sebab jika seandainya pendapatan dan kekayaan (negeri) tidak
diserahkan kepada manusia (secara umum), maka pos-pos pertahanan tidak lagi
terpenuhi keperluannya, dan tentera tidak lagi mendapat bekalan untuk
melanjutkan perjuangan suci (jihad) mereka.
Demikianlah dua penjelasan tentang ijtihad
Saidina Umar r.a. Semoga kita dapat belajar dari kearifan tokoh dalam sejarah
Islam yang amat tersohor itu, yang sering dikemukakan sebagai teladan seorang
pemimpin dan penguasa yang adil, demokratik dan terbuka.
Catatan:
Diambil dari kitab al-Huquq al Madaniyyah (Hak-hak
Umum) oleh al-Zarqa, halaman 76. Al-Zarqa telah menjabarkan ayat ghanimah
(harta rampasan perang) dalam s. al-Anfal/8:41, ‘Dan ketahuilah olehmu sekalian
bahawa apa pun dari sesuatu (harta kekayaan) yang kamu rampas dalam peperangan
maka sesungguhnya seperlima daripadanya adalah untuk Allah dan untuk Rasul,
para kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang dalam perjalanan.’
Kata al-Zarqa, ‘Sebenarnya ayat suci itu
menentukan pembelanjaan seperlima dari harta rampasan itu untuk urusan umum,
dan Sunnah menjelaskan tindakan Rasulullah s.a.w tentang cara membagikan
sisanya (yang empat perlima) kepada para anggota mereka yang merebut harta
rampasan itu. Kemudian datang ayat fay’ dalam Surah al-Hasyr/59:6-10,
yang mengatakan, ‘Apa pun yang diberikan Tuhan bahawa harta fay’ kepada
Rasul-Nya ...’ yang ayat itu memberi kejelasan bahawa harta fay’ harus
dimanfaatkan oleh orang-orang Muslim secara keseluruhan, baik yang sekarang
mahupun yang bakal datang, dan tidak hanya terbatas untuk para pejuang pembebas
saja, melainkan semuanya harus ditempatkan di bawah bait al-mal.
Beza antara ghanimah dan fay’
dalam istilah shar’i ialah bahawa ghanimah adalah harta yang dirampas dari
musuh dengan kekuatan senjata, sedangkan fay’ adalah harta yang
ditinggalkan musuh kerana ketakutan, atau yang mereka bayarkan kerana terpaksa
dan kalah, dan tidak diperolehi dari musuh itu dengan pengerahan kavaleri
ataupun komando tentera dalam medan peperangan.
Lantaran itu fay’ meliputi pula
pungutan-pungutan yang dibebankan kepada mereka seperti jiryah atas
individu-individu dan cukai (kharaj) atas bumi. Telah terbukti dalam
Sunnah ketika Rasulullah s.a.w membebaskan Khaybar, yang dibebaskan dengan
kekerasan, bukan dengan jalan damai, dan penduduk Yahudinya yang diperangi itu
meninggalkannya atas dasar hukum pelarian diri, maka tanah-tanah pertanian
mereka itu dianggap termasuk fay’, dan Rasulullah s.a.w mengambil
separuhnya - sebelum seperlimanya - kemudian ditinggalkan untuk para pengawas
dan penghuni setempat, kemudian baginda bahagi-bahagikan bakinya kepada para
tentera pembebas.
Kemudian al-Ustadh menjelaskan kisah
pembebasan Lembah Iraq (Mesopotamia), dan mentafsirkan pendirian Saidina Umar yang
bijaksana dalam membezakan antara harta rampasan perang yang bergerak dan
tanah-tanah pertanian, bahawa sesungguhnya beliau justeru berpegang kepada
dalil-dalil nas dan menggabungkan semuanya, dan melaksanakan setiap dalil nas
itu dengan meletakkan pada tempatnya yang dibimbing oleh pandangannya yang
menyeluruh dan tepat, tidak seperti yang dikesankan oleh mereka dari zaman
sekarang yang mengira dalam masalah ini Saidina Umar menyalahi nas-nas agama,
dan menganggap sikap menyalahi itu menurut perkiraan mereka sebagai suatu
kepintaran dalam berijtihad.
Dari yang telah dikutip itu pembaca boleh
melihat bahawa Saidina Umar menggunakan hujah-hujah dari nas Al-Quran sendiri
yang dengan nas-nas itu beliau membungkam para penentangnya dan membuktikan
keunggulan pemahamannya mengenai nas-nas tersebut. Menyertai pendapat Saidina
Umar dalam pandangannya itu ialah para pembesar sahabat yang mendalami
pemahaman agama seperti ‘Ali dan Mu’adh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan