Selasa, 13 November 2012

Kemahiran Teras Kecemerlangan


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Untuk berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks sekali gus membina sebuah tamadun baru sebagai  masyarakat pencipta, golongan belia harus menguasai ilmu dan kemahiran kerana negara kita kini memasuki zaman k-ekonomi di mana kunci kepada kecemerlangan itu adalah tenaga kerja yang mahir, berdaya cipta dan memiliki kemahiran kognitif tahap tinggi bagi menyokong kemahiran asas. Kalau dulu golongan belia yang memasuki universiti dianggap sudah berjaya tetapi kini mereka yang berkelulusan setakat ijazah pertama belum tentu mempunyai masa depan yang cerah, apatah lagi jika berkelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
 itu, golongan belia perlu menghayati konsep pendidikan sepanjang hayat, manakala belia yang berkelulusan SPM perlu mengikuti kursus kemahiran supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Kita tidak mahu Malaysia tergolong dalam golongan pengguna kerana kita mahu menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu mahu meletakkan negara di saf hadapan sebagai negara pencipta yang inovatif.
Untuk bersaing dalam zaman k-ekonomi, belia tidak mempunyai pilihan selain berusaha melalui pendekatan latihan formal mahupun tidak formal untuk menguasai ilmu dan kemahiran dalam bidang berkaitan. Golongan belia juga harus memiliki kekuatan dan ketahanan diri bertunjangkan semangat patriotisme yang tinggi dan kekukuhan jati diri.
Selain itu golongan belia juga perlu tahu membuat persiapan untuk menghadapi cabaran yang semakin kompleks seperti fasih dalam pelbagai bahasa. Bagi membolehkan golongan belia bergerak daripada keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik, mereka perlu mempunyai wawasan seperti Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 1A dalam SPM. Mereka perlu bangun dengan semangat baru berbekalkan iltizam bagi mencapai kecemerlangan. Mereka perlu mahir dalam apa juga bidang supaya mampu bersaing di peringkat global.
Selaras dengan tumpuan terhadap belia yang diberikan oleh kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan telah memberi keutamaan terhadap pembangunan manusia dalam merencanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Golongan belia harus menjadi golongan yang berkualiti iaitu suatu keadaan yang cemerlang atau amat baik, tetapi kebaikan ini tidak terhad atau tetap pada sesuatu tahap. Ianya tidak statik. Ianya bergerak sepanjang masa.
Justeru itu, apabila sahaja kita mencapai kualiti yang kita kejar, kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih yang mesti kita kejar. Setelah kita mengejar dan mencapai kualiti yang baru yang menjadi matlamat kita, sekali lagi kita mendapati ada lagi kualiti yang lebih baik daripada itu yang perlu kita kejar. Dengan itu, usaha kita berterusan dan tidak ada hadnya dan kita perlu mengejar kualiti sepanjang masa. Aspek utama yang perlu ada untuk membina kualiti ini ialah ilmu dan kemahiran. Hanya dengan ilmu dan kemahiran saja kualiti dapat dibina.
          Dalam era ledakan informasi dan ilmu pengetahuan, kita boleh dengan mudah dan tanpa kita sedari menjadi tidak berkesan. Mereka yang complacent akan menjadi tidak relevan. Dalam hubungan ini, golongan belia tidak terkecuali daripada sindrom tersebut. Golongan belia harus mempunyai minda metropolitan yakni minda yang terbuka luas, yang mampu memahami dan menangani perubahan serta sanggup berubah mengikut keadaan persekitaran.
Mereka yang berminda metropolitan sentiasa berusaha mencipta kemahiran dan selalu memikirkan langkah-langkah untuk memaju dan mempertingkatkan kecemerlangan masyarakat dan negara dan bukan untuk diri sendiri semata-mata.
Golongan belia hendaklah sentiasa mencintai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Usaha penambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran perlu dijadikan satu usaha berterusan. Misalnya, ilmu pengetahuan membolehkan kita menganalisis data dan maklumat ke arah usaha-usaha peningkatan kemahiran dan kualiti. Dengan kemahiran ini, mereka boleh menggubal dan memperakukan dasar, strategi, program dan projek yang pratikal yang tentunya dapat membantu kecemerlangan masyarakat dan negara.
Kita sudah 48 tahun merdeka, proses pembinaan negara-bangsa masih dibangun-kembangkan. Generasi muda hari ini adalah penerus tamadun negara kita. Dalam semua tamadun sebelum ini, kehancurannya bermula dengan keadaan politik yang tidak stabil, kurang kemahiran, lemah sahsiah, etika hidup dan keruntuhan akhlak serta moral.
 itu, generasi belia harus menjadikan ini sebagai iktibar. Insafilah sejarah keruntuhan tamadun lalu, berkecainya tamadun Mesopotamia dan Sumeria di Sungai Tigris dan Euphrates misalnya. Kenangilah sejarah kejatuhan Melaka dan Empayar Melayu terakhir kerajaan Johor-Riau-Lingga. Semoga generasi belia mampu muncul sebagai satu generasi pencipta dan membina sebuah tamadun baru sebagaimana yang dihasratkan oleh Islam Hadhari gagasan negara.
Golongan belia harus kembali kepada sejarah kegemilangan umat Islam yang bermula pada era pemerintahan Islam di Madinah dan berkembang pesat pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, Bani Umayyah dan Bani Abasiyyah.
Kemudian ia bertapak di benua Eropah yang menyumbang kepada kegemilangan tamadun Islam di Andalusia. Ketamadunan Islam yang berbentuk universal membawa manfaat dan rahmat kepada seluruh umat dan alam. Tamadun inilah yang perlu dicipta semula dan tidak mustahil akan dicapai sekiranya ilmu dan kemahiran digandingkan bersama secara mantap dan berterusan.
Generasi belia juga harus sedar bahawa ilmu bukan sekadar mendapat maklumat tetapi kemampuan untuk membudaya dan memanfaatkannya. Natijah daripada pembangunan dimensi keilmuan ini akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran kritis, pembangunan akhlak, kemantapan kemahiran dan budaya hidup yang akan menjadi cerminan untuk melahirkan generasi yang mampu membina tamadun khyra ummah.
Tentang kepentingan ilmu dalam pembinaan kualiti manusia Kung Fu Tze pernah berkata bahawa ‘human-heartedness is the highest virtue an individual can attain and this is the ultimate goal of knowledge and education. The education of an Individual is a preparation for a peacefully ordered society.’
Tidak dapat dinafikan, persaingan dalam era teknologi maklumat dan pasaran global, menjadikan cabaran yang bakal kita hadapi menjadi lebih hebat. Hanya yang mahir dan terbaik akan terus kekal dan relevan pada masa kini dan akan datang. Individu atau generasi yang tidak berusaha untuk berubah dan cuba memperbaiki dan memantapkan kemahirannya selaras dengan peredaran zaman akan ketinggalan dan pupus. Banyak contoh yang sering kita baca dan dengar mengenai empayar-empayar yang besar dan tersohor sebelum ini, telah hilang dari ingatan kita kerana mereka tidak cuba untuk berubah dan memenuhi kehendak semasa.
Dalam usaha untuk terus kekal bersaing, cemerlang dan relevan pada setiap masa, perubahan tidak dapat dielakkan. Hari ini kita lihat bagaimana setiap negara melakukan pelbagai usaha untuk berada di barisan hadapan dalam bidang kepakaran dan kekuatan masing-masing.
Sebagai persediaan menghadapi cabaran globalisasi, generasi belia terutamanya perlu mengetahui kedudukan terkini mereka berbanding dengan masyarakat negara lain. Mereka perlu menganalisis kedudukan mereka terutama dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan yang ada. Generasi belia juga perlu melakukan penanda arasan (benchmarking) terhadap pencapaian mereka dengan belia di negara lain yang telah berjaya, dan bukan hanya membandingkan pencapaian mereka berdasarkan prestasi mereka yang lepas.
Sebagai sebuah negara yang sedang berkembang maju dan telah menetapkan sasarannya untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kejayaannya sangat bergantung kepada generasi belia. Generasi belia perlu sentiasa bersedia untuk bersaing. Untuk sentiasa berada di hadapan dan berupaya menggarap kecemerlangan, generasi belia hendaklah mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada pihak yang sentiasa berurusan dengan mereka. Dalam soal ini, aspek kemahiran merupakan antara perkara yang perlu dimantapkan dalam setiap individu belia. Hanya dengan kemahiran saja mereka berupaya  mencipta kecemerlangan yang sebenarnya.
Peter F. Drucker, seorang personaliti yang terkemuka dalam dunia perniagaan dan akademik berhubung aspek kecemerlangan, pernah menyatakan bahawa ‘tidak terdapat pertalian yang banyak antara keberkesanan seseorang dengan kecerdikannya, imaginasinya atau ilmu pengetahuannya. Seringkali orang yang pintar dan bergeliga didapati amat tidak berkesan; mereka tidak sedar bahawa kepintaran sahaja bukanlah suatu pencapaian. Ramai juga yang tidak sedar bahawa kepintaran hanya akan menjadi berkesan apabila diiringi dengan kemahiran, bekerja keras dan secara sistematik.’
Cabaran pada masa kini adalah sangat hebat, dan ini tidak terkecuali berlaku kepada semua. Kebelakangan ini negara menghadapi masalah pengangguran yang tinggi di kalangan mereka yang berijazah. Tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini tidak harus dibebankan kepada kerajaan sahaja. Golongan yang terlibat juga harus mencari jalan bagaimana dapat mengurangkan masalah ini sebelum ia menjadi lebih serius. Mereka hendaklah belajar bagaimana hendak menjadi orang yang mahir dalam salah satu bidang ilmu itu dengan lebih baik lagi. Ini bererti mereka perlu meningkatkan kemahiran mereka.
Selain mempunyai pengetahuan teknikal ataupun hard skills yang mantap dalam bidang masing-masing seperti sains, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ekonomi, perniagaan, sumber manusia, dan sebagainya, para graduan perlu memiliki kemahiran berbahasa Inggeris yang baik, kemahiran berkomunikasi, kebolehan menyelesaikan masalah, kemahiran memimpin, kemahiran bekerja secara kumpulan, bersikap positif terhadap kerja, serta memahami persekitaran dan budaya kerja tempatan.
Selain itu, sering kali juga kita mendengar dakwaan yang mengatakan bahawa graduan IPTA tempatan kurang berdaya saing berbanding IPT dari luar negara. Walaupun belum ada satu kajian yang menyeluruh bagi mengesahkan persepsi tersebut, namun ianya merupakan satu cabaran yang perlu difikirkan oleh mereka yang terlibat.
Aspek kemahiran perlu dijadikan asas perubahan agar tukasan tersebut tidak terus bersipongang. Mantapkan diri dengan apa juga bidang kemahiran kerana hanya dengan kemahiran saja yang mampu meletakkan seseorang itu di hadapan berbanding orang lain yang hanya mempunyai segulung kertas yang dipanggil ijazah. Secara tidak langsung, kemahiran tersebut adalah markah tambahan yang meletakkan kita di tempat yang pertama dalam persaingan.
Sebagai rumusan, frasa kemahiran teras kecemerlangan merupakan gabungan aksara yang jitu, yang harus dijadikan pegangan hidup setiap individu belia di negara kita. Manusia yang mahir umpama sebutir benih yang akan tumbuh subur di mana saja ia diletakkan kendati di atas tanah yang gersang sekali pun.
Manakala benih yang baik dan ditanam pula di atas tanah yang subur akan menghasilkan pokok yang sihat, dahan yang tegap dan dedaun yang lebat. Itulah perumpamaan kepada manusia yang kaya dengan kemahiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA