Syed Mahadzir Syed Ibrahim
MANUSIA itu adalah sebuah komuniti. Demikian firman Allah
s.w.t dalam Al-Quran surah Al-Baqarah: 208. Pernyataan Allah s.w.t itu semakin
terbukti ketika para pakar dan masyarakat antarabangsa menyedari bahawa kita
umat manusia ini satu dan berada dalam satu kawasan yang disebut dunia. Tidak
ada lagi ‘barat’ dan ‘timur’. Tetapi
manusia sebagai pembentuk tamadun masih tetap saja memunculkan dakwaan itu
bahkan cenderung diselubungkan di sebalik istilah-istilah baru, seperti
modernisasi.
Istilah tamadun kembali mencuat ke permukaan
tatkala Samuel P. Huntington mengeluarkan buku yang diberi judul The Clash
of Civilization and The Remaking of World (1996). Buku tersebut banyak
mengalami penentangan para pakar lain, ketika antara lain, beliau menyatakan
bahawa tamadun umat manusia pada masa depan akan mengalami halangan oleh kerana
faktor agama.
Persaingan masyarakat dunia dalam segala segi
berkembang secara dinamis, bukan hanya secara kuantitatif tetapi telah mengarah
kepada kualitatif. Kerananya, siapa yang ingin unggul dan akan menjadi pemenang
dalam persaingan itu maka dialah yang akan ‘menguasai’ dunia. Tidak terkecuali
masalah tamadun yang masih terkotak-kotak ke dalam paradigma lama melalui
istilah ‘tamadun timur’ dan ‘tamadun barat’.
‘Timur’ umumnya didakwa sebagai Islam
sementara ‘barat’ didakwa sebagai bukan Islam. Maka persoalan yang sering cagun
ke hadapan ialah, apakah masih relevan untuk membezakan lebih-lebh lagi
mempertentangkan keduanya, ketika masyarakat di belahan dunia mana pun semakin
menyatu ke dalam suatu kehidupan yang oleh para pakar disebutnya sebagai The
Global Village.
Dalam usaha memperolehi pengertian dasar dan
luas tentang apa itu tamadun, maka terlebih dahulu perlu kita pelajari kaitan
langsung antara Islam dengan bahasa Arab. Kata tamadun yang lazim dipakai oleh
masyarakat kita dewasa ini sesungguhnya berasal dari bahasa Arab, ia berasal
dari kata adab. Tetapi erti dan makna adab itu sendiri tidaklah sama
pengertiannya dengan culture dan civilization dalam bahasa
Inggeris. Itu pun masih juga mengandungi kontroversi di kalangan para pakar.
Kata adab itu sendiri bererti mengandungi
‘tamadun’ atau ‘kebudayaan’. Untuk
melacak bagaimana nisbat (relasi dan relevan) antara tamadun dengan
kebudayaan, boleh kita kutip dalam kitab suci Al-Quran. Di sana akan kita temui
kata-kata (1) tsaqafat (h) yang
terulang sebanyak enam kali dalam bentuk kata kerja yang bererti ‘mendapatkan’
atau ‘menjumpai’ (lihat selanjutnya dalam surah Al-Baqarah: 191, Ali ‘Imran:
112, Al-Nisa: 91, Al-Anfal: 57, Al-Ahzab: 61, Al-Mumtahanah: 2).
Kemudian hadharat (h) yang bererti
‘ada di tempat’. Kata hadharat (h) atau hadhir dalam bahasa Arab
juga dipakai oleh masyarakat Malaysia menjadi ‘hadir’ bagi seseorang yang
menunjukkan kewujudannya dalam suatu acara, terutama di dalam kelas, kuliah,
atau majlis. Jadi, baik tsaqafah atau hadharah keduanya merujuk
dan menunjukkan semangat yang sama yakni ‘keadaan sesuatu’, atau ‘ada di sini’,
‘sekelompok manusia’, ‘boleh didapati’, ‘dijumpai’, atau ‘orang-orang yang
menetap’.
Selain itu, untuk mengetahui apa yang
dimaksudkan dengan ‘kaum yang menetap’ di dalam bahasa Arab, boleh difahami
melalui istilah Ahl al-Hadhar atau Al-Hadhar yang keduanya
mengandungi satu pengertian ‘orang kota’. Sedangkan lawan kata keduanya adalah Ahl
al-Badawah atau Al-Badawi yang bererti ‘orang kampung’ atau ‘orang
gurun’.
Dalam hubungannya dengan kata dan istilah di
atas, maka ada satu hal yang tidak boleh kita hindari bahawa kesemuanya
mempunyai hubungan dengan kata Arab lainnya iaitu madinah, madaniyyah,
atau tamaddun. Kerana ketiga-tiganya mengandungi pengertian tempat, peradaban,
atau tamadun itu sendiri.
Lantaran itu, adalah menarik untuk
menghubungkan masalah ini dengan ada apa di sebalik inisiatif atau gagasan mengapa
Rasulullah s.a.w menggantikan nama Kota Yatsrib dengan Madinah al-Munawwarah
atau Madinah al-Rasul.
Dengan adanya pengertian dasar seperti
terungkap di atas, boleh dikatakan bahawa tamadun dalam sistem ajaran Islam
mengajar umat manusia untuk beradab atau bertamadun, dan berbudaya atau
berkebudayaan sesuai dengan kehendak Allah s.w.t. Untuk mewujudkan itu semua
sudah tentu pangkal tolaknya adalah ajaran Islam itu sendiri di mana landasan
utamanya adalah iman dan takwa untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.
Tamadun Global
Dengan pesatnya perkembangan sains, teknologi, dan
informasi, dewasa ini sebenarnya sudah tidak ada lagi dominasi tamadun timur
dan atau tamadun barat. Yang sekarang ini terjadi adalah, siapa yang mneguasai
sains, teknologi, dan informasi maka merekalah yang akan mempengaruhi dan ‘menentukan arah’ perjalanan masyarakat
global.
Maka, yang segera atau cepat diusahakan untuk
diraih dan diwujudkan oleh umat Islam ialah adanya kemampuan yang berkualiti
tinggi dari umat sehingga memiliki kemampuan untuk berinteraksi dan
berkomunikasi secara sihat dalam pluralisme kultural masyarakat global.
Tentu yang menjadi cabaran kita ke depan
ialah bagaimana agar umat Islam mampu memenangi persaingan dan penguasaan
informasi global itu? Bagi umat Islam, sebagaimana dijelaskan oleh Ziauddin
Sardar (1988), informasi hanya akan bererti bila ia berada di dalam kerangka
pengetahuan tentang masyarakat dan melahirkan keselarasan hidup. Dan pencapaian
keselarasan hidup itu hanya akan mungkin bila masyarakat Muslim menjadi produk
dan pengguna dari informasi itu sendiri.
Dalam perspektif ajaran, Islam membenarkan
dan mengakui adanya pluralisme tamadun. Sebab pluralisme tersebut adalah
sesuatu yang sunnatullah. Bahkan pluralisme seharusnya mampu memperkaya
umat Islam untuk dijadikannya sebagai sarana dalam mengembangkan tugas atau
missi ketuhanan dan kemanusiaannya.
Persoalannya ialah apakah umat Islam mampu
menugaskan diri dalam komuniti umat sebagai yang diisyaratkan oleh Allah s.w.t
dalam Al-Quran, antara lain, ‘Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu
(umat manusia) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas
perbuatan mansia.’ (surah Al-Baqarah: 143).
Dalam pergumulan tamadun itulah terjadi
persaingan dan perlumbaan bahkan pertarungan untuk saling menjatuhkan dan
meminggirkan, bukannya saling melengkapi dan memperbaiki. Dari segi dasar dan
ajaran mengenai bagaimana tamadun itu, sebetulnya tidak ada masalah. Masalahnya
ialah seberapa jauh kemampuan umat Islam merespon dan merekayasa masyarakat
dunia agar sesuai dengan ajaran yang diyakininya.
Dengan semangat fastabiq al-khayrat
dan khayra ummat maka umat Islam harus mempertaruhkan nilai-nilai ajaran
yang diyakininya. Adanya pertarungan nilai-nilai kehidupan yang dianut oleh
masyarakat global, menurut Spranger memang setiap manusia dituntut secara moral
memiliki tanggungjawab untuk memperjuangkannya. Itulah sebabnya, gaya hidup
manusia dalam memperjuangkan itu semua dikategorikan oleh para pakar ke dalam
enam jenis dominan iaitu:
1. Pertama, manusia teoretis. Nilai utama bagi
manusia teoretis ialah pencarian kebenaran. Kerana usaha ini melibatkan
penggunaan proses rasional, kritis, dan empiris. Yang termasuk ke dalam jenis
ini adalah umumnya kaum intelektual.
2. Kedua, manusia ekonomis. Jenis ideal manusia
ekonomis ialah menilai apa yang berguna dan mencurahkan perhatiannya pada dunia
perniagaan atau peristiwa-peristiwa praktis yang berhubungan erat dengan
produksi, pemasaran, atau konsumsi barang. Perhatian jenis ini umumnya terletak
pada kekayaan dan kepemilikan harta.
3. Ketiga, manusia estetis. Jenis manusia
estetis selalu memandang bahawa nilai yang tertinggi ialah bentuk dan harmoni.
Boleh jadi seorang artis yang kreatif atau tidak, tetapi minatnya adalah
pengalaman artistik atau estetis dalam kehidupannya. Manusia estetis selalu
memandang manusia ekonomis dan teoretis tidak aspiratif dan bahkan dianggapnya
bersikap destruktif pada nilai-nilai estetis.
4. Keempat, manusia sosial. Jenis manusia ini
senantiasa meletakkan nilai utamanya pada afiliasi dan cinta. Manusia sosial
sering menilai orang lain sebagai individu, cenderung ramah, dan simpatetik.
Mereka seringkali memandang manusia teoretis dan manusia ekonomis sebagai
‘manusia-manusia yang dingin’ dan tidak manusiawi.
5. Kelima, manusia politis. Jenis manusia
seperti ini senantiasa menempatkan nilai utama kehidupannya pada kekuasaan.
Kegiatannya mungkin tidak terbatas pada pengertian politik dalam makna sempit
melainkan perhatian umumnya dalam pergaulan selalu ada kekuasaan, pengaruh dan
persaingan aktif untuk mempertahan dan memperbesarkan kekuasaannya.
6. Keenam, manusia religius. Jenis manusia
religius adalah menjadikan kesatuan sebagai nilai yang tertinggi. Ia adalah
manusia mistikal yang selalu berusaha memahami dan menggabungkan dirinya dengan
kosmos dan menemukan pengalaman nilainya yang lebih tinggi melalui falsafah
keagamaan yang diyakininya.
Meski kelihatannya enam jenis manusia di atas
masing-masing akan mengusaha dan memperjuangkan eksistensinya di dalam
kehidupan peribadi dan masyarakat luas, namun tidak ada satu pun manusia yang
secara ideal mampu secara utuh menunjukkan siapakah dirinya yang sesungguhnya.
Pentingnya Membina Sistem
Belajar dari masa silam bagaimana sebuah tamadun Islam
dibina oleh nabi Muhammad s.a.w yang kemudian dilanjutkan oleh para sahabatnya.
Pada masa itu, Nabi Muhammad s.a.w mampu menyusun kekuatan baru untuk melakukan
reformasi tamadun secara total mulai dari ideologi, teologi, hingga kepada
kultural dan hasilnya sangat mengesankan. Kemudian usaha baginda itu
dilanjutkan oleh para penguasa muslim melalui fondasi bangunan teologi yang
kukuh, penguasaan dan pengembangan sains atas dasar semangat iqra dan amal
soleh.
Atas dasar itu, sejarah dan khazanah kita
pada masa lampau terutama sejak pemerintahan Nabi Muhammad s.a.w di Madinah
hingga tahun 1250 Masehi yang ditandai dengan berakhirnya masa kejayaan
Sepanyol Islam di daratan Eropah, umat Islam mampu mewujudkan suatu tatanan
masyarakat yang bertamadun tinggi.
Adalah menarik untuk mempelajari kejayaan
umat Islam di Sepanyol, di mana intelektual muslim sangat maju dalam bidang
pemikiran termasuk di dalamnya yang diajarkan oleh Ibn Rusyd (yang oleh Barat diberi dan dikenal dengan
nama Averrous).
Para pemuda Kristian banyak yang belajar di
universiti-universiti Islam seperti Universiti Cordova, Seville, Malaga,
Granada dan Samalanca. Selama belajar di Sepanyol mereka giat menterjemahkan
buku-buku karya intelektual muslim ke dalam bahasa mereka. Ilmu yang mereka
pelajari dan diterjemahkan ialah ilmu kedoktoran, ilmu pasti, falsafah dan
sebagainya.
Khususnya di bidang falsafah mereka senang
kepada pemikiran-pemikiran filosofis Al-Farabi, Ibn Sina, dan Ibn Rusyd. Kelak,
setelah mereka kembali ke negerinya masing-masing mereka mendirikan berbagai universiti.
Adapun universiti yang pertama kali mereka dirikan di daratan Eropah adalah
Universiti Paris pada tahun 1231 Masehi, tiga puluh tahun setelah Ibn Rusyd
meninggal dunia.
Dengan demikian, untuk mewujudkan tamadun
Islam maka perlu kiranya memperhatikan keterkaitan berbagai elemen-elemen
dasarnya iaitu:
1. adanya semangat hijrah dan tajdid dari semua
pihak secara menyeluruh,
2. adanya political will dari pihak penguasa,
3. keteladan dan kepeloporan penguasa,
4. memiliki kemampuan untuk menggali informasi
dan menerapkan ajaran Al-Quran,
5. adanya penguasaan dan memajukan sains dan
teknologi,
6. seluruh bidang kehidupan umat diusahakan
semaksima mungkin digali dari nilai-nilai Islam.
Sebab bukankah kitab suci Al-Quran itu
diturunkan oleh Allah s.w.t kepada umat manusia jauh sebelumnya yang kini telah
melampaui batas-batas imaginasi, kemampuan nalar serta ambisi-ambisi manusia
itu sendiri? Dan dalam kerangka itu pulalah kerananya, Al-Quran dipersiapkan
Allah s.w.t agar ia dijadikan panduan oleh manusia untuk menata sebuah
kehidupan yang bertamadun yang sarat akan nilai-nilai ketuhanan dan nilai-nilai
kemanusiaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan