Isnin, 12 November 2012

Kesenian Jawi Lambang Kehalusan Jiwa Bangsa


Suatu ketika dahulu, tulisan Jawi pernah mengepakkan sayapnya, laksana seekor rajawali yang gagah, melayah keseluruh pelosok bumi Nusantara, termasuk di negara kita Malaysia. Kerajaan-kerajaan Melayu Islam seperti Samudera-Pasai (1280–1409 Masehi), Melaka (1409–1511 Masehi), Aceh (1511–1650 Masehi) dan Johor-Riau (1650–1800 Masehi), semuanya menggunakan tulisan Jawi sebagai tulisan rasmi kerajaan.

Pada zaman kerajaan-kerajaan inilah terhasil begitu banyak karya sastera dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Antara karya tersebut ialah Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Syair Perahu, Rubai Hamzah Fansuri, Tuhfat an-Nafis, Bustanus Salatin dan Gurindam Dua Belas. Karya-karya tersebut sangat tinggi nilainya. Malah, Syair Perahu dan Rubai Hamzah Fansuri karya Hamzah Fansuri dan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji sukar ditandingi hingga ke hari ini.

Penggunaan tulisan Jawi sebagai tulisan bahasa Melayu juga telah menolong bahasa itu menjadi bahasa pengantar dan bahasa ilmu pengetahuan di institusi-institusi pendidikan Islam seperti masjid, surau, madrasah, langgar dan pondok. Warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara 1786 hingga 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, dan Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 juga ditulis dalam tulisan Jawi. Inilah buki kehebatan tulisan Jawi yang sudah tercatat dengan tinta kencana di kamus sejarah negara.

Hakikat ini menunjukkan bahawa tulisan Jawi adalah praktis, penuh keindahan, penuh kesenian yang tersendiri yang menjadi lambang kepada kehalusan jiwa bangsa, meresap ke dalam urat nadi bangsa sebagai khazanah yang unik – selama beberapa abad berjaya menjadi tulisan tunggal mengiringi bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan, bahasa ilmu pengetahuan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi pemerintahan dan bahasa kesusasteraan.

Jadi, kenapa kini kegemilangan itu tidak mampu berulang kembali dalam kamus sejarah negara kita? Di mana buruknya tulisan Jawi sehingga ia dipandang begitu kerdil sehingga tidak mampu bersaing dengan tulisan Rumi untuk mencipta sebuah negara yang moden dan membangun? Jika tiada alasan yang munasabah, amatlah diharapkan agar tulisan Jawi dapat kembali menjadi tunjang dan tulisan Rumi menjadi seorang saudara kembar yang gagah, yang akan bersama-sama membina bahasa, sastera, budaya dan tamadun kita.

Kita harus sedar bahawa tulisan sangat penting kepada bahasa. Ramai orang beranggapan bahawa tulisan adalah kulit sesuatu bahasa. Jika anggapan itu benar, masakan manusia menjadikan tulisan sebagai satu daripada kriteria untuk menentukan maju tidaknya sesuatu kebudayaan. Hakikatnya semua masyarakat di dunia ini mempunyai bahasa tetapi bukan semua masyarakat itu mempunyai tulisan. Suatu kebudayaan dianggap tinggi apabila masyarakat itu pandai menggunakan tulisan untuk melambangkan bahasanya.

Tulisan merupakan salah satu lambang kesenian dan ketinggian budaya sesuatu bangsa atau masyarakat juga kehalusan jiwa bangsanya. Kebudayaan yang tinggi disebut sebagai tamadun. Jadi, masyarakat yang berkebudayaan tinggi atau bertamadun tidak menganggap tulisan sebagai perkara kecil. Lantaran itu, tulisan Jawi bukanlah perkara yang kecil tetapi ia merupakan lambang kehalusan jiwa bangsa dengan kesenian yang wujud padanya.

Abjad Jawi yang sebahagian besarnya berasal daripada abjad bahasa Arab atau bahasa al-Quran itu pernah menolong mengurangkan perbezaan sebutan dalam kalangan penutur bahasa Melayu. Dikatakan demikian kerana Islam menyuruh penganutnya membaca al-Quran dengan betul atau irab. Imam sembahyang juga dituntut supaya terdiri daripada qari atau orang yang terbaik bacaan al-Qurannya. Melalui ilmu tajwid, antara lain, ditegaskan cara mengeluarkan bunyi huruf dengan betul. Oleh sebab semua huruf hija’iyah al-Quran itu digunakan dalam tulisan Jawi, mubaligh dahulu melafazkannya dengan sebutan yang betul dan tetap. Khabar diucapkan ‘xabar’, karib diucapkan ‘qarib’ dan kata yang seharusnya diucapkan ‘a’ tetap diucapkan demikian dan bukannya ‘e’.

Antara beberapa kesenian dan keunikan tersendiri yang terdapat pada Jawi ialah semasa mempelajari bahasa Melayu, sebutan huruf Jawi tertentu seperti ‘ta’ dan ‘ba’ hendaklah tanpa hentian glotis. Sebaliknya, semasa mempelajari bahasa Arab, sebutan huruf-huruf itu hendaklah seperti sebutan huruf Arab asal. Contohnya, sebutan huruf ‘ba’ hendaklah diakhiri dengan hentian glotis. Sebutan huruf Jawi juga hendaklah berdasarkan ilmu fonetik dan fonologi bahasa Melayu, iaitu ilmu yang berkaitan dengan penyebutan kata dan lambang yang menunjukkan sebutannya.

Manakala asas penyusunan abjad Jawi ialah susun huruf Arab. Huruf tambahan diselitkan di antara huruf-huruf Arab itu. Asas penyelitan berdasarkan keutamaan ialah kesamaan bentuk, jumlah titik, ketekalan bentuk huruf. Huruf yang tetap atau kurang perubahan bentuknya didahulukan berbanding dengan huruf yang mempunyai bentuk yang sama tetapi berubah-ubah bentuk atau titiknya seperti huruf ‘nya’ berbanding dengan huruf ‘nun’.

Dalam aspek penyusunan pula, ada pihak yang mendapat pendidikan daripada aliran Arab beranggapan bahawa susunan huruf Jawi sama dengan susunan huruf Arab. Misalnya, mereka menyenaraikan huruf ‘ha’ pedas lepas huruf ‘jim’ sedangkan dalam susunan huruf Jawi selepas huruf ‘jim’ ialah huruf ‘cha’.
Lutfi Abas, pernah berkata bahawa huruf alif bukan sahaja lambang persatuan tetapi juga lambang kekuasaan atau kekuatan. Huruf itu berdiri tegak. Huruf itu melambangkan pengislaman seluruh jazirah Arab, Afrika Utara dan Andalusia. Huruf itu juga melambangkan pengislaman seluruh Nusantara. Orang Melayu jadi terbangun daripada tidur mereka selama berabad-abad, bangkit berdiri, mendirikan syiar Islam, dan mendirikan kerajaan Islam. Bangsa Melayu terkenal sebagai orang yang berani mengharungi laut Nusantara dan belayar jauh sampai ke benua lain.

Sementara itu Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas juga pernah berkata bahawa konsep Jawi yang merangkum pelbagai bangsa itu sebagai satu berdasarkan penyatupaduan bahasa Melayu sebagai bahasa umum melalui alat satu tulisan yang sama terdapat di mana-mana dalam kalangan bangsa Melayu-Indonesia inilah juga salah satu unsur kebudayaan yang menggerakkan proses sejarah ke arah pemupukan faham kebangsaan dalam peribadi masyarakat Melayu-Indonesia.

Pengaruh Islam dan tulisan Jawi juga telah membuka ruang yang luas untuk bahasa Melayu menerima beribu kosa kata Arab, termasuk istilah dalam bidang falsafah yang kita anggap sebagai ilmu duniawi yang tertinggi. Perkembangan ini menyebabkan perbendaharaan kata bahasa Melayu bertambah kaya. Perkembangan ini juga memberikan jiwa baharu terhadap kata-katanya. Makna kata itu berlapis-lapis, termasuk makna hakikat yang berjaya membentuk pandangan hidup baharu kepada penggunanya. Dari segi sebutan pula, penggunaan tulisan Jawi pernah menolong mengurangkan perbezaan sebutan dalam kalangan penutur bahasa Melayu.

Sesungguhnya bahasa Arab bukan sekadar menambah perbendaharaan kata bahasa Melayu tetapi memberikan jiwa baharu terhadap kata-katanya. Tentang hal ini, Abdul Rahman Rukaini pernah mengatakan bahawa dari sudut pandangan Islam, perkataan langit, bumi, bulan, bintang, gunung, sungai (tidak semestinya kata Arab) dan sebagainya bukan sahaja memberikan erti kejadian alam atau benda yang telah dijadikan tetapi juga memberikan erti siapa yang menjadikan dan untuk siapa dijadikan. Jadi jiwa bangsa Melayu yang sebelumnya kuat dipengaruhi oleh faham dogmatis yang tahayul telah bertukar menjadi jiwa yang rasional lagi intelektual. Penerimaan itu bukan setakat itu sahaja tetapi melibatkan penerimaan hakikatnya sekali gus. Maka itulah yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan tradisi (zaman Islam di Alam Melayu), iaitu menerapkan jiwa kata-kata itu dalam kehidupan sehari-hari dan hal ini menjadi asas pembentukan pandangan hidup mereka.

Makna kata, ini memperlihatkan penyataan berbagai-bagai bangsa melalui satu agama sesuai dengan tuntutan agama itu sendiri. Dengan ini jelas pula pada kita akan sebab bahasa Melayu dinamakan juga bahasa Jawi dan tulisan bahasa itu dinamakan tulisan Jawi. Bahasa Jawi dan tulisan Jawi itu ialah bahasa dan tulisan semua penduduk Kepulauan Melayu yang sudah memeluk agama Islam.

Dengan ini juga jelas pada kita bahawa Islam dan mereka yang menyampaikan risalahnya melakukan peranan utama untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa umum, bukan bahasa satu bangsa lagi tetapi bahasa semua bangsa atau bahasa persatuan, dengan tulisan Jawi sebagai tulisan tunggal mengikat dan menyatukan bahasa-bahasa daerah ke dalam satu golongan yang disebut bahasa Melayu. Dengan kata lain, bahasa Melayu mula menjadi bahasa baku apabila penduduk Kepulauan Melayu menerima Islam dan menerima abjad Arab sebagai tulisan bahasa Melayu.

Sejarah juga telah mencatatkan bahawa perkembangan bahasa Melayu amat perlahan dan kurang menyerlah ketika bersama-sama tulisan Pallava kemudian Kawi dan seterusnya tulisan Rencong. Sebaliknya, perkembangan bahasa Melayu begitu pesat dan baku setelah bersama-sama dengan tulisan Jawi. Dikatakan juga bahawa tulisan Jawi merupakan sebuah tulisan yang unik dan berseni berbanding tulisan Pallava, Kawi mahupun Rencong. Inilah hebatnya tulisan Jawi. Kendatipun tulisan Kawi mempunyai aksara dan sistem ejaannya yang tersendiri dan berkembang berabad-abad lamanya, termasuk setelah kemunculan tulisan Jawi namun masih tidak dapat menandingi kesenian tulisan Jawi.

Tulisan Rencong pula berupa garis-garis lurus dan bersiku tajam. Bentuknya yang rencong atau serong itu amat berbeza daripada bentuk tulisan Pallava dan Kawi yang berkelok-kelok atau seakan-akan bulatan. Atas dasar bentuknya yang tersendiri itu, tulisan ini dikatakan ciptaan asli peribumi atau sekurang-kurangnya ubahsuaian daripada tulisan-tulisan yang terdahulu. Namun begitu ianya tetap juga tidak mampu menandingi keistimewaan tulisan Jawi yang mana mampu hidup sehingga pertengahan abad ke-20.

Sebagai kesimpulannya, akuilah hakikat bahawa kesenian Jawi adalah lambang kehalusan jiwa bangsa yang pernah menyemarakkan ilmu dan peradaban suatu ketika dahulu. Hargailah jasa dan bakti tulisan Jawi kerana tulisan itu pernah memainkan peranan yang cukup besar dan sangat penting untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan kita kini.


Rujukan:

  1. Abdul Jalil Anuar, ‘Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu’, dalam Pelita Bahasa, Ogos 2006.
  2. Mohd Isa bin Abd Razak, ‘Jawi yang Menewaskan Pallava, Kawi dan Rencong’ dalam Dewan Bahasa, Mei 2009, halaman 30 - 33.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA