Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Rasulullah s.a.w adalah seorang manusia yang agung. Baginda adalah model dan ikutan sebenar yang
telah memberi panduan kepada seluruh umat manusia dengan lengkap dan sempurna
dalam seluruh aspek termasuklah dalam bidang pengurusan dan organisasi.
Kelahiran baginda membawa rahmat ke seluruh alam, membawa ajaran yang suci
menepati jiwa fitrah setiap makhluk, sesuai dan mendapat redha dari tuhan
semesta alam.
Ajaran Islam yang suci membasmi fahaman serta
kelakuan jahiliah, Ia menghancurkan kebatilan dan menegakkan kebenaran,
mengubah kehidupan nomad yang berpindah-randah dengan berhijrah dan tinggal
tetap di sesuatu tempat bagi mendirikan daulah Islamiah yang mempunyai prinsip
kenegaraan yang telus, aman dan selesa. Sebuah negara yang didasari dengan
undang-undang dan hukum-hukum Allah sebagaimana yang telah diwahyukan kepada
baginda s.a.w.
Sebagai pemimpin pilihan Allah s.w.t, baginda
s.a.w menjalankan segala tugas sebagai seorang Rasul dengan baik dan segala
tindakan yang dilakukan adalah atas bimbingan wahyu. Ini telah dijelaskan oleh
Allah s.w.t dalam surah An Najmu ayat 3 dan 4 yang bermaksud: Dan tidaklah apa
yang dilafazkan atas kehendak nafsunya. Ucapan itu tiada lain hanyalah wahyu
yang telah diwahyukan melainkan ia atas bimbingan wahyu.
Di dalam amalan harian yang berkaitan dengan
pengurusan dan organisasi, amalan organisasi yang utama dan terpenting yang
diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w ialah sembahyang berjemaah. Ia menjadi
kewajipan dan tunggak kepada ajaran Islam.
Dengan melakukan sembahyang lima waktu secara berjemaah, ia merupakan
satu sistem dunia dan akhirat yang tidak pernah diperkenalkan oleh mana-mana
pemimpin dunia.
Melalui amalan solat berjemaah yang
diperkenalkan ini setiap muslim akan mematuhi beberapa disiplin yang tertentu
yang terkandung dalam solat seperti imam adalah sebagai ketua organisasi yang
memimpin, sementara makmum akan mengikut segala pergerakan imam.
Di samping itu, sembahyang berjemaah dapat
membentuk konsep perpaduan yang hakiki dan dapat mengeratkan silaturrahim,
membentuk kemesraan dan kejituan dalam hubungan sesama muslim melalui barisan
saf yang rapat dan lurus. Amalan yang
diperkenalkan ini akan kekal hingga hari kiamat dan ia merupakan soalan pertama
yang akan ditanya pada semua umat manusia pada hari kebangkitan kelak.
Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: ‘Amalan
yang pertama akan diperhitungkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya pada hari
kiamat ialah sembahyang.’
Baginda s.a.w telah memberi bentuk terjemahan
dan panduan yang sempurna dan lengkap tentang hakikat Islam. Islam menekankan
bahawa kehidupan ini hanyalah sementara dan matlamat utama adalah kehidupan
akhirat yang kekal abadi.
Ibadah zakat yang disyariatkan dalam Islam
adalah bagi menghapuskan amalan riba oleh masyarakat. Islam memberi penekanan ke atas rezeki yang
baik dan halal, membersihkan harta pendapatan dan membezakan antara rezeki yang
halal dan yang haram. Kedua amalan ini adalah asas kepada organisasi sesuai dengan
perintah Allah s.w.t yang sentiasa mengiringi perintah solat dan zakat ini
secara bersama.
Maka dengan demikian, jika kita lihat dan
fahami bahawa tidak ada amalan Rasulullah s.a.w yang tidak bermatlamat ke arah
keredhaan Allah s.w.t. Usaha yang
dilakukan adalah untuk mencapai mardhatillah. Tidak ada dalam saat hidup
baginda di mana ia diabaikan tanpa sesuatu yang bermanfaat. Baginda menyedari
bahawa inilah tugas utama baginda diutuskan oleh Allah s.w.t sebagai manusia
agung. yang demikian, tugas dan
tanggungjawab baginda ini adalah untuk menyelamatkan umatnya dari balasan Allah
dengan menegakkan risalah ilahi secara prograsif dan terancang.
Dalam konteks pengurusan dan organisasi hari
ini, keperluan utama bagi menjayakannya adalah sifat manusia itu sendiri
seperti berakhlak mulia, amanah, jujur, ikhlas, beriltizam dan sebagainya. Maka sifat, akhlak mulia dan nilai yang telah
ditonjolkan dan dizahirkan oleh Rasulullah s.a.w ini sememangnya adalah
peribadi baginda sendiri yang diakui ulung dan unggul, yang merupakan seorang
pemimpin organisasi Islam.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al Ahzab ayat
21, maksudnya: ‘Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w itu adalah
contoh terbaik yang menjadi ikutan bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan
hari akhirat,dan ingatlah Allah dengan sebanyak-banyaknya.’
Peribadi baginda adalah Al-Quran yang
merupakan kalam Allah. Baginda sebelum diutus menjadi Rasul, adalah seorang
yang sentiasa benar dalam tutur kata dan perbuatan, amanah dalam kehidupannya
dan selepas menjadi Rasul baginda menjadi contoh ikutan. Maka penyempurnaan
nilai, etika dan akhlak yang unggul dan terpuji akan dapat mengelakkan daripada
sebarang sifat yang tercela yang sentiasa menjadi virus di dalam sesebuah
organisasi. Dengan itu, akan lahirlah
keberkatan dan melaluinya akan mendapat rahmat dan nikmat Allah s.w.t.
itu,
contoh dan teladan yang baik adalah melalui Rasulullah s.a.w yang bekerja di
dunia untuk mengejar akhirat dan beramal untuk akhirat dengan bekerja di
dunia. Setiap muslim yang mukmin harus
menyedari bahawa kita tidak dapat mencari akhirat melainkan dengan mengislahkan
dunia dan tidak akan dapat sampai ke akhirat melainkan melalui jalan
dunia. Kewajipan kita adalah untuk
memakmurkan bumi Allah s.w.t serta menanam benih amalan agar dapat dituai di
akhirat kelak.
Manusia sebenarnya mempunyai kekuatan roh
yang boleh mengatasi segala halangan dan rintangan. Ramai di kalangan para sahabat yang dididik
oleh Rasulullah s.a.w melaksanakan apa yang telah diajar dengan memikul amanah
untuk memakmurkan bumi Allah s.w.t tanpa melupakan tanggungjawab sebagai
seorang hamba dan anggota masyarakat yang mempunyai tanggungjawab sosial yang
perlu ditunaikan.
Antara yang menjadi keutamaan baginda s.a.w
semasa mengetuai bidang pengurusan adalah terdiri dari 3 aspek, iaitu:
Aspek Keilmuan
Kemajuan ilmu adalah prasyarat mana-mana pembangunan
sesuatu tamadun. Justeru itu umat yang ingin maju, budaya ilmu haruslah
disebatikan di antara pemimpin (ulil amri) dan juga rakyat. Pemimpin
yang berilmu akan meminpin ke arah yang benar dan di redhai Allah. Ia harus
diberi peluang untuk membetulkan kesilapan dan ruang seluas-luasnya dan dengan
sikap yang besungguh-sungguh untuk memimpin sudah pasti rakyat yang dipimpin
akan menghormati dan menyanjung tinggi.
Ini adalah sebagai contoh yang ditunjukkan
oleh baginda s.a.w. Kesilapan masyarakat kini mungkin adalah atas dasar sikap
kurang prihatin terhadap nilai keilmuan sehingga terlalu mudah untuk melantik
seorang pemimpin sedang masih terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang
perlu diperbaiki.
Aspek Kerohanian
Aspek ini merupakan satu lagi prasyarat penting dalam
sesebuah pentadbiran dan pengurusan. Kerohanian ini bermaksud menekankan
hubungan yang kukuh antara makhluk dengan pencipta (hablumminallah). Ini
termasuk hubungan dari segi iktikad dan hubungan amalan yang sentiasa mantap
dan dijiwai.
Saidina Umar pernah mengungkap kalimah yang
menggambarkan peri pentingnya aspek kerohanian untuk menjamin sesuatu
kemenangan dan untuk mendapat mardhatillahi. Maksudnya: ‘Kemenangan itu
milik kamu adalah kerana ketaatan kamu kepada Allah dan kemaksiatan musuh
Allah. Sekiranya kedua duanya melakukan maksiat maka keutamaan dan kekuatan itu
milik musuh kamu.’
Aspek Syura
Kepimpinan yang bercirikan syura bermaksud memberi ruang
kepada kebebasan memberi pendapat, mengkritik, membeza pendapat demi mencari
formula terbaik untuk masalah ummah. Di antara sebab mengapa dunia Islam masih
lagi mundur, lemah dan berpecah belah ialah kerana masalah kepimpinan
berkualiti yang mampu menghayati ilmu, kerohanian dan syura.
Bagi menggambarkan betapa pentingnya sistem
syura ini hatta ketika Rasulullah s.a.w wafat sekalipun para sahabat bersyura
untuk memilih pemimpin yang terbaik di kalangan mereka. Khalifah Umar Abdul
Aziz pula ketika dilantik menjadi khalifah, menyerahkan semula jawatan tersebut
bagi membolehkan syura berlaku untuk memilih khalifah yang dipilih oleh rakyat
bukannya dilantik oleh khalifah sebelumnya.
Rasulullah s.a.w adalah contoh pemimpin yang
paling banyak bersyura, bagi menggambarkan begitu demokratiknya baginda ini.
Seterusnya model pengurusan dan organisasi cemerlang yang diterapkan oleh
Rasulullah s.a.w secara keseluruhannya meliputi rangka dakwah bil hal
dengan prinsip-prinsip yang merangkumi:
1. Mengambil Allah dan Rasul-Nya sebagai sumber
rujukan atau sandaran, punca kekuatan dan pengharapan.
2. Sentiasa sedar dan insaf akan tuntutan,
amanah dan tugas serta tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.
3. Bersedia untuk memberikan khidmat dalam
mendedah, menyebar, melaksana dan menghayati Islam sebagai ad-din.
4. Berusaha mencari, menambah, menghayati dan
menyebarkan ilmu serta pada masa yang sama menterjemahkannya ke dalam amalan
seharian.
5. Bersedia untuk menyumbang dalam memberikan
masa, tenaga, kemampuan intelek dan harta dalam usaha untuk pembangunan ummah.
6. Berusaha untuk menjadikan seluruh anggota
(organisasi atau masyarakat) sebagai anggota yang beriman, bertakwa dan beramal
soleh.
7. Melaksana, memperbaiki dan berusaha
meningkatkan amal ibadah samada yang khusus mahupun umum dalam rangka untuk menyubur
dan mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan.
8. Sentiasa berusaha untuk menjadi manusia atau
kakitangan atau pekerja yang boleh dicontohi oleh orang lain.
9. Berusaha untuk menjadi manusia atau
kakitangan atau pekerja yang dapat mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dengan
membina tamadun melalui perhidmatan atau sumbangan yang diberikan.
Justeru itu, penerapan nilai, etika dan
akhlak dalam pengurusan membawa erti yang amat besar pada pihak pengurusan
serta kakitangannya dalam mengurus atau mentadbir sesebuah organisasi yang mana
Rasulullah s.a.w sendiri merupakan model yang cemerlang, mengurus dengan
kekuatan hati dan akhlak mulia. Semoga
dengan apa yang kita fahami akan dijadikan pengajaran. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan