Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Dari Abu Umamah ra dia berkata: ‘Aku mendengar Rasulullah
s.a.w bersabda, ‘Bacalah Al-Quran, sesungguhnya dia akan datang di hari kiamat
menjadi syafaat (penolong) bagi pembacanya.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Nawwas bin Sam’an ra telah berkata: ‘Aku
mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Di hari akhirat kelak akan didatangkan
Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkannya, didahului dengan surah
Al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran, kedua-duanya menjadi hujah (pembela) orang
yang membaca dan mengamalkannya.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Usman bin ‘Affan ra telah berkata:
‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang
yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.’ (hadis riwayat Bukhari)
Dari Aisyah ra telah berkata: ‘Rasulullah s.a.w
bersabda, ‘Orang yang membaca Al-Quran dengan terbata-bata kerana susah, akan
mendapat dua pahala.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Musa Al Asy’ari ra telah berkata:
‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran
seperti buah utrujjah (sejenis limau), baunya harum dan rasanya sedap.
Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah kurma,
tidak ada baunya tetapi rasanya manis. Dan perumpamaan orang munafik yang
membaca Al-Quran seperti raihanah (jenis tumbuhan), baunya wangi tetapi
rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti
buah hanzhal (seperti buah peria), tidak berbau dan rasanya pahit.’
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Umar bin al Khatthab ra berkata bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya Allah s.w.t mengangkat (martabat)
sebahagian orang dan merendahkan sebahagian lainnya dengan sebab Al-Quran.’
(hadis riwayat Muslim)
Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah s.a.w
telah bersabda, ‘Tidak boleh iri kecuali pada dua perkara: Laki-laki yang
dianugerahi (kefahaman yang sahih tentang) Al-Quran sedang dia membaca dan
mengamalkannya siang dan malam, dan laki-laki yang dianugerahi harta sedang dia
menginfakkannya siang dan malam.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Barra’ bin ‘Azib ra telah berkata:
Seorang laki-laki membaca surah Al-Kahfi dan di sisinya ada seekor kuda yang
diikat dengan dua tali panjang, tiba-tiba ada awan melindunginya dan semakin
mendekat dan kudanya menjauhinya. Pagi-paginya laki-laki itu mendatangi
Rasulullah s.a.w dan menceritakan peristiwa tersebut, maka baginda bersabda,
‘Itu adalah ketenangan yang turun kerana Al-Quran.’ (hadis riwayat Bukhari dan
Muslim)
Dari Ibnu ‘Abbas ra beliau berkata:
‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya orang yang tidak ada dalam dirinya
sesuatu pun dari Al-Quran laksana sebuah rumah yang runtuh.’ (hadis riwayat
Tarmidzi, beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Dari Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash ra bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran:
Baca, tingkatkan, dan perindahkan bacaanmu sebagaimana kamu memperindahkan
urusan di dunia, sesungguhnya kedudukanmu pada akhir ayat yang kamu baca.’
(hadis riwayat Abu Daud dan Tarmidzi, beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Dari ‘Uqbah Bin ‘Amir ra berkata; ‘Rasulullah
s.a.w keluar dan kami berada di beranda masjid. Baginda bersabda: ‘Siapakah di
antara kalian yang tiap hari ingin pergi ke Buthan atau ‘Aqiq dan kembali
dengan membawa dua ekor unta yang gemuk sedang dia tidak melakukan dosa dan
tidak memutuskan hubungan silaturahmi?’ Kami menjawab, ‘Kami ingin ya
Rasulullah.’ Lantas baginda bersabda, ‘Mengapa tidak pergi saja ke masjid;
belajar atau membaca dua ayat Al-Quran akan lebih baik baginya dari dua ekor
unta, dan tiga ayat lebih baik dari tiga ekor unta, dan empat ayat lebih baik
dari empat ekor unta, demikianlah seterusnya mengikuti hitungan unta.’ (hadis
riwayat Muslim)
Dari Ibnu Mas’ud ra bahawasannya Rasulullah s.a.w
bersabda, ‘Yang paling layak mengimami kaum dalam solat adalah mereka yang
paling fasih membaca Al-Quran.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Jabir bin Abdullah ra bahawasanya;
‘Ketika Rasulullah s.a.w mengumpulkan dua mayat laki-laki di antara korban
perang Uhud kemudian baginda bersabda, ‘Siapa di antara keduanya yang lebih
banyak menghafal Al-Quran?’ Dan ketika ditunjuk salah satunya baginda
mendahulukannya untuk dimasukkan ke dalam liang lahad.’ (hadis riwayat Bukhari,
Tarmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Dari Imran bin Hushoin bahawa baginda melalui
seseorang yang sedang membaca Al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah s.w.t
lalu dia kembali membaca, lantas dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w
bersabda, ‘Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka berdoalah kepada Allah s.w.t
dengan Al-Quran, kerana sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca
Al-Quran dan orang-orang berdoa dengannya.’ (hadis riwayat Tarmidzi, beliau
berkata: Hadis ini hasan)
Dari Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah s.a.w bersabda:
‘Barangsiapa membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan
satu kebaikan sama dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud ‘Alif, Laam, Miim’
satu huruf, melainkan Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.
(hadis riwayat Ad Darami dan Tarmidzi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan