Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Kaum muslimin dalam kehidupan bermasyarakatnya memiliki
keistimewaan yang menjadi ciri khas mereka, iaitu adanya sifat kasih sayang dan
persaudaraan, yang mana sifat kasih sayang tersebut menghiasi mereka sementara
wajah mereka dihiasi dengan senyuman. Dasar kehidupan sesama mukmin adalah
persaudaraan dan persahabatan yang baik. Allah s.w.t berfirman: ‘Sesungguhnya
orang-orang mukmin adalah bersaudara.’ (surah Al Hujurat: 10)
Allah s.w.t juga telah mengharamkan atas kaum
muslimin untuk melakukan sesuatu yang dapat menimbulkan permusuhan dan
kebencian di antara mereka, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
‘Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian
di antara kamu lantaran (meminum) khamr atau arak dan berjudi itu, dan
menghalangi kamu dari mengingati Allah s.w.t dan solat, maka berhentilah kamu
(dari melakukan perbuatan itu).’ (surah Al-Maidah: 91)
Dan Allah s.w.t telah memberi anugerah kepada
hamba-hamba-Nya dengan menumbuhkan rasa kesatuan di dalam hati mereka. Allah s.w.t
berfirman: ‘Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (masa
jahiliyah) kamu bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu
menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara.’ (surah Ali
Imran: 103)
Dan Allah s.w.t berfirman lagi: ‘Dialah yang
memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin. Dan yang
mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu
membelanjakan (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat
mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.’
(surah Al-Anfal: 62-63).
Adalah selayaknya setiap individu muslim
untuk menjaga lidahnya sehingga tidak berkata-kata kecuali untuk kebaikan, dan
jika berkata-kata itu sama baiknya dengan tidak berkata-kata, maka agama
menganjurkan untuk tidak berkata-kata, kerana kadang-kadang perbincangan yang
halal boleh berubah menjadi perbincangan yang makruh dan bahkan menjadi
perbincangan yang haram, inilah yang sering terjadi di antara manusia.
Dari Abu Hurairah, dari Rasulullah s.a.w,
baginda bersabda: ‘Barangsiapa yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari Akhir,
maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam.’ (Hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang telah disepakati
kesahihannya ini disebutkan bahawa tidak layak seseorang berbicara kecuali jika
kata-katanya itu mengandungi kebaikan, iaitu perkataan yang mendatangkan
kebaikan. Untuk itu jika seseorang ragu tentang ada atau tidaknya kebaikan pada
apa yang akan diucapkannya maka hendaklah ia tidak berbicara atau diam.
Orang yang beriman kepada Allah s.w.t tentu
dia takut kepada ancaman-Nya, mengharapkan pahala-Nya, bersungguh-sungguh
melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Yang terpenting dari
semuanya itu ialah mengendalikan gerak-geri seluruh anggota badannya kerana
kelak dia akan diminta tanggungjawab terhadap perbuatan semua anggota badannya,
sebagaimana tersebut pada firman Allah s.w.t: ‘Sesungguhnya pendengaran,
penglihatan, dan hati, semuanya kelak pasti akan dimintai tanggungjawabnya.’
(surah Al Isra’ ayat 36)
Bahaya lisan itu sangat banyak, Rasulullah s.a.w
juga bersabda: ‘Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat
mengendalikan lidahnya.’ (Hadis riwayat Tarmidzi)
Baginda s.a.w juga bersabda: ‘Tiap ucapan anak
Adam menjadi tanggungjawabnya, kecuali menyebut nama Allah s.w.t, menyuruh
berbuat makruf, dan mencegah kemungkaran.’ (Hadis riwayat Tarmidzi)
Barang siapa memahami hal ini dan beriman
kepada-Nya dengan keimanan yang sungguh-sungguh, maka Allah s.w.t akan
memelihara lidahnya sehingga dia tidak akan berkata kecuali perkataan yang baik
atau diam.
Yang terakhir, nasihat dari Imam Syafi’e yang mengatakan: ‘Jika
seseorang akan berbicara hendaklah dia berfikir sebelum berbicara, jika yang
akan diucapkannya itu mengandungi kebaikan maka ucapkanlah, namun jika dia ragu
(tentang ada atau tidaknya kebaikan pada apa yang akan dia ucapkan) maka
hendaklah tidak berbicara hingga yakin bahawa apa yang akan diucapkan itu
mengandungi kebaikan.’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan