Selasa, 13 November 2012

Sekadar Renungan


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Maksud sebuah hadis daripada Muazd Bin Jabal r.a. berkata, ‘Aku telah mendengar Rasullullah s.a.w bersabda: ‘Ambillah pemberian itu selagi masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataanya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.’
Maksudnya: Di dunia akhir zaman ini rasuah semakin menjadi-jadi. Dengan adanya rasuah mereka berkuasa untuk membeli pangkat serta kedudukan dan dengan adanya wang juga mereka mampu mendapat kemudahan dari yang berpangkat dan berkuasa untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan orang yang lain.
Dalam erti kata lain, wang telah menjadi Tuhan yang disembah dan dipuja oleh setiap insan yang tamak dan rakus. Dalam erti kata yang sebenar mereka ini tidak lagi mengenali atau mempedulikan sesiapa, maka musnahlah akhlak dan budi pekerti sebagai seorang yang beriman. Dan wujudlah kezaliman serta penindasan dari lapisan yang berkuasa serta berpangkat terhadap insan yang lemah. Dengan yang demikian sedarlah kita janganlah terlalu memuja wang dan rasuah.
Bertakwalah kepada Allah s.w.t di tempat yang sunyi atau ramai. Ucapkanlah kata-kata yang benar pada waktu suka (senang) dan marah. Sederhanalah pada waktu miskin dan kaya. Berlaku adil terhadap teman dan musuh. Berlaku adil pada waktu rajin dan malas. Cinta kepada Allah s.w.t pada waktu senang dan susah. Tidak ada satu kejahatan pun yang membawa ke dalam syurga serta tidak ada satu kebaikan yang membawa dalam neraka. Semua kesenangan dianggap hina dan menipu selain kesenangan syurga. Semua kesusahan masih dianggap ringan selain daripada seksa api neraka.
Siapa orang yang mengakui kesalahannya, bererti dia memaafkan kesalahan orang lain. Siapa yang tiada bahagian kepada rezeki yang sudah dibahagi Allah s.w.t, bererti dia tidak merasa sedih bila rezeki itu ditarik semula darinya. Barangsiapa yang menggali lubang untuk saudaranya, dialah yang akan masuk lubang. Barangsiapa yang membuka tabir orang lain, aurat anaknya akan terbuka.
Barangsiapa yang lupa akan kesalahannya bererti ia suka mengatakan kesalahan orang lain. Barangsiapa yang kagum kepada pendapatnya adalah sesat. Siapa yang hanya mengikut pendapatnya sesat. Siapa yang sombong terhadap manusia sesat. Siapa yang bergaul dengan orang jahat adalah hina, orang yang bergaul dengan ulama akan tenteram fikirannya, sedangkan berkawan dengan orang jahat tidak akan selamat.
Sesiapa yang berkawan dengan orang soleh akan mendapat kemudahan, sedangkan bergaul dengan orang jahat akan dicurigai. Siapa yang tidak sanggup mengekang diri (dari mengikut hawa nafsu) pasti akan menyesal. Siapa yang banyak bergurau dipandang remeh. Orang yang dipandang remeh, bererti diperolok-olokan. Siapa yang banyak bertingkah, mudah akan dikenali. Siapa yang banyak bercakap, banyak pula kesalahannya. Orang yang banyak kesalahannya, bererti sedikit malunya. Orang yang sedikit malu, bererti sedikit waraknya. Orang yang sedikit waraknya, bererti sudah mati hatinya, orang yang sudah mati hatinya akan dimasukan ke dalam neraka.
Adab adalah sebaik-baik warisan, sedangkan akhlak yang baik adalah sebaik-baik teman. Kesejahteraan yang menyelamatkan ada sepuluh, sembilan di antaranya diam, kecuali untuk berzikir kepada Allah s.w.t dan satu lagi ialah meninggalkan bergaul dengan orang-orang yang bodoh.
Tidak ada paling mulia selain daripada Islam. Tidak ada kemuliaan lebih daripada takwa. Tidak ada pemikiran yang lebih terjamin daripada warak. Tidak ada penyelamat yang paling ampuh selain dari taubat. Tidak ada pakaian yang paling cantik selain keselamatan. Rakus adalah punca kepenatan dan penyebab kesukaran. Berfikir sebelum tertindak, akan terselamat dari penyesalan.
Sejahat-jahat bekalan akhirat adalah memusuhi hamba Allah s.w.t. Beruntunglah orang yang berilmu dan amalannya ikhlas kerana Allah s.w.t. Dalam suasana suka dan duka, pada waktu mengerjakan suruhan-Nya atau meninggalkannya, bercakap atau diam, perkataan dan perbuatannya semuanya ikhlas kerana Allah s.w.t.
          Ini ada sebuah kisah yang seronok juga untuk dibaca. Sarinya sesuatu yang wajar kita halusi demi memantapkan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t. Kisahnya berbunyi begini:
Seorang lelaki yang baru pulang dari luar negeri dengan angkuhnya telah bertanya pada setiap orang tentang keesaan tuhan. Tetapi belum ada yang dapat memberikan satu jawapan yang memuaskan. Lalu dia telah menemui seorang Imam untuk menguji pengetahuannya.

Lelaki: Bolehkah tuan memberikan jawapan pada soalan saya ini. Telah ramai bijak pandai yang saya soal belum dapat memberikan jawapan yang memuaskan.
Imam: Insya-Allah,dengan izinnya saya akan cuba untuk menjawab setiap pertanyaan tuan.
Lelaki: Baiklah, saya ada tiga soalan, begini:

1.      Benarkah Tuhan itu ada? Sedangkan kita tak nampak akan kewujudannya.
2.      Apakah itu takdir? Benarkah kita tak tahu takdir kita.
3.      Kita diajar bahawa Iblis dan Syaitan itu dicipta dari api dan mereka akan dibakar dengan api di akhirat kelak. Tidakkah Tuhan tahu api dibakar dengan api adakah akan terasa sakitnya seksaan itu.

Apabila Imam itu mendengar tiga soalan tersebut, dia pun memberikan satu tamparan yang kuat ke muka lelaki tadi.

Lelaki: Adakah tuan marah sehingga menampar muka saya? (sambil mengosok mukanya yang perit kerana ditampar)
Imam: Itulah jawapan kepada ketiga-tiga soalan tuan tadi. Apakah tuan rasa apabila ditampar tadi?
Lelaki: Tentunya rasa sakit.
Imam: Bolehkah tuan gambarkan sakit itu macam mana rupanya? Adakah ia besar, leper atau sebagainya?
Lelaki: Tentulah tidak boleh.
Imam: Begitulah juga dengan Tuhan. Kita tidak dapat menggambarkannya. Tetapi kita tahu Dia ada. Adakah semalam ada orang memberi tahu atau adakah semalam tuan ada bermimpi yang saya akan menampar muka tuan hari ini?
Lelaki: Tidak.
Imam: Itulah yang dinamakan takdir. Tuan tak akan tahu apa akan jadi pada keesokan hari atau selepas ini. Dari apakah tangan saya ini diperbuat?
Lelaki: Dari kulit dan daging.
Imam: Dari apakah pipi kamu diperbuat?
Lelaki: Tentulah sama dari kulit dan daging.
Imam: Dua benda dari ciri yang sama, tuan sendiri telah merasa sakitnya. Begitulah ketentuan Tuhan apa yang akan terjadi  kepada Iblis dan Syaitan.
Lelaki: Allahhuakbar.

Hidup Kita Cuma Dalam 3 Hari:

1.      Semalam - Sudah menjadi sejarah.
2.      Hari Ini - Apa yang sedang kita lakukan.
3.      Esok - Hari yang belum pasti.

Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik dari hari yang pertama? Jangan mengharap hari yang ketiga kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

Hidup Kita Cuma Dalam 2 Nafas:

1.      Nafas naik.
2.      Nafas turun.

Hargailah nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah s.w.t secara percuma dan carilah keredhaan-Nya dalam menggunakannya. Bertaubatlah dalam nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

Hidup Kita Cuma Ada 2 Pilihan:

1.      Hidup dalam keredhaan Allah s.w.t.
2.      Hidup dalam kemurkaan Allah s.w.t.

Hidup Kita Yang Abadi Cuma Ada 2 Tempat:

1.      Kekal di dalam neraka.
2.      Kekal di dalam syurga.

Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan dan kita hanya diyakinkan oleh keyakinan kita kepada Rukun Iman. Rukun Iman itu pula ada 6 dan hilang salah satu darinya maka hilanglah ia. Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha hebat. Tidak terduga oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya? Terjemahkan rukun Islam yang 5 itu dan puncaknya adalah solat.
Amat sukar untuk dipercayai bagi yang ingin ke syurga tetapi tidak bersolat, umpama seorang yang mahu menaiki kapal terbang tetapi tidak mempunyai boarding pass. Dan mereka yang sengaja melalaikan solat, umpama mengirimkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem. Apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai pada penerimanya lalu dia pun berkata setemnya akan dihantar kemudian. Ada 2 penyelesaian dalam kes ini iaitu:

1.      Dia mungkin didenda.
2.      Segala suratnya masuk tong sampah.

Tidakkah kita semestinya bersyukur atas segala nikmat yang Allah s.w.t telah kurniakan kepada kita. Sekurang-kurangnya Allah s.w.t telah beri udara secara percuma untuk kita berzikir mengingati Allah s.w.t setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali kepada-Nya dalam keadaan jiwa yang tenang lalu masuk ke dalam syurga dalam keadaan kita redha dan Allah s.w.t meredhai. Wallhualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA