Isnin, 12 November 2012

Memperkasa Tulisan Jawi Wadah Perpaduan




Bumi Malaysia pernah dikuasai oleh tulisan Jawi suatu ketika dulu. Ini bermakna rakyat Malaysia menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya ketika itu dan tulisan Jawi juga pernah menjadi wadah perpaduan rakyat sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Kalau kita selak majalah, akhbar atau buku pada zaman dahulu, hampir semuanya ditulis dalam tulisan Jawi. Namun kini tulisan Jawi telah dihapuskan dalam kehidupan kita seharian kendati ada usaha segelintir warga yang masih menggunakan tulisan ini tetapi tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Kemegahan jatidiri dan maruah Jawi yang malang itu, yang pernah menguasai zaman akhir 60-an, membawa ke zaman 70-an kini telah lenyap dimamah cabaran. Sekarang, generasi kanak-kanak terutamanya tidak kenal lagi tulisan Jawi malah mereka berasa amat pelik dengan tulisan tersebut.

Akhbar Utusan Melayu edisi Jawi yang berusaha mengembangkan kudupnya juga seperti hidup segan mati tak mahu dan akhirnya dihentikan edarannya. Sungguh jelu dan menyedihkan.  Khabarnya, apabila akhbar Utusan Melayu edisi Jawi ini dihentikan, ia bukanlah kematian yang diratap oleh 10 juta bangsa Melayu (Buku Statistik Tahun 2000), apa lagi generasi sekarang yang 90% buta Jawi. Ia hanya ditangisi oleh sebahagian orang Melayu yang asas belajar dan membacanya adalah tulisan Jawi pada tahun-tahun 40-an, 50-an dan 60-an dan tahun-tahun sebelumnya sahaja. Yang selebihnya langsung tidak peduli terhadap nasib tulisan Jawi tersebut.

Justeru tulisan Jawi mesti diperkasakan semula. Ia adalah khazanah yang sangat bernilai untuk negara kita. Kita tidak boleh menjadikan alasan globalisasi, langit terbuka, dan kedominanan bahasa Inggeris sebagai sebab untuk tidak mempelajari tulisan Jawi. Tidak salah sekiranya tulisan Jawi digunakan secara bersama dalam sebuah negara majmuk di Malaysia. Akuilah hakikat bahawa tulisan Jawi sudah lama digunakan di negara ini. Sebelum merdeka dulu, semua akhbar dan majalah menggunakan tulisan Jawi malah semangat perjuangan menuntut kemerdekaan juga dicagunkan melalui tulisan Jawi. Justeru, untuk mengembalikan semula martabat dan generasi celik Jawi, kita mestilah bermula dengan pengajaran Jawi seperti dahulu.

Contohilah Korea Selatan, mereka menterjemahkan banyak buku kerana mereka mahu rakyat mereka menguasai bahasa Korea dan mempunyai skrip yang lebih banyak daripada bahasa lain. Bagi mereka, bahasa Korea dan skrip Korea adalah identiti orang-orang Korea. Justeru di Malaysia juga tulisan Jawi perlu diperkasakan dengan cara yang sama seperti di Korea kerana tulisan Jawi adalah identiti rakyat Malaysia. Lantaran itu, rakyat Malaysia perlu belajar Jawi untuk memastikan mereka mempunyai identiti Malaysia yang sebenar. Untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan muda menggunakan skrip Jawi, sistem ejaan Jawi perlu kembali kepada sistem ejaan Jawi Zaaba, yang ringkas dan mudah untuk dipelajari.

Tulisan Jawi juga perlu diperluaskan dalam semua penerbitan seperti risalah, brosur, akhbar, majalah dan sebagainya dan tidak lagi dilihat sebagai suatu khazanah klasik yang hampir lenyap ditelan zaman. Pembelajaran Jawi di peringkat sekolah rendah wajar dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya pengajian tinggi supaya tulisan Jawi dapat diangkat tarafnya sebagai aksara Melayu yang tinggi nilainya.

Sekarang sudah tiba masanya kita menghidangkan satu resipi asli tulisan Melayu kepada penuturnya. Kita harus mengembalikan semula kecemerlangan sejarah tulisan Jawi di negara kita seperti dahulu agar ia tidak terus langka dan akhirnya pupus ditelan zaman.

Untuk mengembalikan kedudukan tinggi tulisan Jawi yang menjadi tulisan asli bahasa Melayu sejak hampir 1,000 tahun, maka langkah-langkah yang berkaitan dengan pengayaan penggunaan tulisan Jawi dalam persuratan ilmiah, awam dan bahan-bahan pendidikan perlu dicari oleh badan-badan pelaksana pengajaran dan pengguna tulisan Jawi. Papan-papan tanda di seluruh negara harus ada tulisan Jawi sebagai bahasa kedua selain dari bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia.

Langkah menggalakkan semula pengguna tulisan Jawi, tidak harus dilihat dengan kaca mata songsang oleh masyarakat pelbagai etnik negara ini. Ia bukan satu usaha untuk mengislamkan orang bukan Islam dengan tulisan tetapi sebagai satu usaha untuk memantapkan jati diri orang Melayu Islam di negara ini seterusnya sebagai wadah perpaduan pelbagai etnik di negara ini. Sejarah telah mencatatkan bahawa suatu ketika dulu tatkala masyarakat negara ini menggunakan tulisan Jawi, perpaduan antara kaum telah berjaya direalisasikan dengan megahnya. Tidak pernah berlaku sebarang bantahan terhadap penggunaan tulisan Jawi malah ramai pula orang yang bukan dari etnik Melayu boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi.

Justeru, demi mengukuhkan kembali perpaduan seperti suatu ketika dulu, selain daripada penggunaan di dalam penerbitan tempatan, langkah mempopularkan tulisan Jawi ini harus lebih menyeluruh termasuk penggunaan di dalam laman-laman web tempatan, kerajaan (ada versi Jawi), perisian Microsoft Office Jawi, telefon bimbit dan lain-lain. Perisian komputer di dalam tulisan Jawi amat kurang malah susah untuk ditemui. Sekiranya, ia dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan gembelingan pihak kerajaan dan swasta matlamat ini pasti boleh dicapai dengan jayanya.

Tulisan juga Jawi amat berpontesi untuk dimajukan dan dipopularkan. Antara kebaikan lain tulisan Jawi ialah apabila ditulis, penulis boleh menulis dengan lebih cepat kerana bentuk kalimat atau perkataan yang bersambung. Suatu masa dulu, pelajar-pelajar sekolah diajar bagaimana menulis huruf roman cursive atau bersambung untuk membolehkan mereka menulis atau menyalin nota dengan cepat. Satu usaha yang mencabar sekarang ialah untuk memupuk perasaan cinta dan sayang kepada tulisan Jawi ini. Tulisan bangsa sendiri ini, bukan hanya dengan mengangguk kepala setuju tetapi hati juga harus turut sama memahami akan kepentingan membudayakan kembali tulisan ini.

Langkah Kementerian Kebudayaan dan Warisan menggalakkan penggunaan semula tulisan Jawi dilihat sebagai satu langkah positif untuk memartabatkan maruah bahasa Melayu di negara ini yang dilihat semakin hari semakin tercabar dengan pengaruh globalisasi. Langkah menanggung kos untuk menerbitkan semula Utusan Melayu dalam tulisan Jawi setiap hari Ahad merupakan satu langkah yang amat dialu-alukan.

Punca hakisan kepada adab susila, sopan santun dan budi bahasa orang Melayu harus dilihat secara menyeluruh. Ia boleh bermula dengan susunan huruf dan akhirnya diterjemahkan kepada susunan kata-kata dalam percakapan harian. Maksudnya kedominan pengaruh luar yang memasuki tetingkap atau skrin monitor, komputer, PDA, telefon mobile dan apa sahaja bukan penghalang kepada usaha untuk memantapkan jati diri dan tamadun orang Melayu Islam di negara ini.

Media harus memainkan peranannya dalam memastikan penggunaan yang luas tulisan Jawi dan berharap akhbar-akhbar yang menggunakan skrip Jawi seperti Utusan Melayu, akan diberi rangsangan dan galakan untuk menarik lebih ramai pembaca. Institut Terjemahan Malaysia dan Buku serta Dewan Bahasa dan Pustaka perlu banyak menterjemahkan buku-buku ke dalam tulisan Jawi.

Ada yang berpendapat bahawa memperkasakan tulisan Jawi adalah antara usaha kita mengukuhkan agama. Tanggapan ini mungkin benar kerana tulisan Jawi juga dikenali sebagai tulisan Melayu huruf Arab dan telah digunakan sejak kedatangan agama Islam di Nusantara. Program j-Qaf yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun 2005, memuatkan tulisan Jawi bagi memperkasakan Pendidikan Islam walaupun program tersebut setakat di sekolah rendah sahaja.

Demi melestarikan warisan bangsa yang tercinta ini, semua pihak terutamanya kerajaan perlu memainkan peranan. Dewan Bahasa dan Pustaka yang dahulu pernah bangkit dengan inisiatif yang besar memertabatkan tulisan Jawi, perlu bangun kembali dengan langkah yang lebih gagah dan tegap. Semarakkan usaha-usaha seperti dahulu dengan mengadakan pelbagai bengkel, seminar dan sistemnya telah pernah diterima sebagai yang baik, yang berasaskan roh Pendeta Zaaba.

Dewan Bahasa dan Pustaka juga harus memainkan peranan dari segi penerbitan. Seminar dan pameran tentang tulisan Jawi juga boleh membantu memperkasakan tulisan Jawi, seperti suatu konvensyen yang pernah diadakan suatu ketika dahulu, iaitu Konvensyen Tulisan Jawi pada tahun 1980-an yang telah memperkenalkan Sistem Ejaan Jawi Yang Disempurnakan. 

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran pula perlu menghidupkan semula tulisan jawi di sekolah-sekolah bermula dari sekolah tadika, rendah, menengah dan seterusnya universiti. Meniadakan Jawi di sekolah-sekolah bererti menafikan pelajaran Jawi untuk dipelajari oleh murid-murid, sedangkan murid-murid adalah generasi masa depan. Di sinilah impak yang cukup ketara dan lupusnya generasi berkemampuan membaca Jawi sudah tidak wujud lagi kerana mereka tidak pernah diperkenalkan secara asas. Bukan itu saja, mereka ditanam fahaman bahawa Jawi tidak mampu bersaing bersama bahasa dunia.

Sejarah telah mencatatkan bahawa sesuatu bahasa dan bentuk tulisannya akan terus hidup dan berkembang bila terdapat satu masyarakat bahasa yang menggunakannya secara aktif dan terdapat sehimpunan persuratan yang mencatat khazanah ilmu pengetahuan dan kesusasteraannya untuk digunakan, disebar luas, dinikmati dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Lantaran itu tulisan Jawi perlu disemarakkan semula bagi mengimbangi dominasi tulisan Rumi yang digunakan dalam semua bentuk persuratannya, iaitu sejak tahun 1963 apabila diisytiharkan sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu, dan sekali gus meminggirkan tulisan Jawi. Sejak itu tulisan Jawi tidak lagi menjadi bahan pendidikan di sekolah, kecuali untuk segelintir pelajar di sekolah Arab atau agama Islam sahaja.

Kesimpulannya, tulisan Jawi perlu diperkasakan semula seperti suatu ketika dulu. Inilah jatidiri bangsa Malaysia dan inilah citra bangsa Malaysia yang pernah bersenandung mersik di angkasaraya bumi Malaysia dan yang pernah pula padam dihubub ganas api zaman. Tulisan Jawi bak lantera yang nyalaannya pernah menerangi seluruh ceruk pelosok dan juzuk bumi Malaysia. Jawi pernah menjadi wadah perpaduan bangsa Malaysia sehingga negara mencapai kemerdekaan. Justeru kembalikanlah kecemerlangannya, suburilah semula perdunya yang pernah berdaun lebat dengan bunga-bunga yang menggerbak mengharum agar menjadi warisan generasi anak bangsa sehingga akhir zaman.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA