Rabu, 14 November 2012

Percutian Di Morib - Keunikan Gold Coast Morib

SMAHADZIR

Morib, suatu ketika dahulu terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Kuala Langat, Selangor kerana mempunyai pantai peranginan yang indah. Bagaimanapun, pelbagai isu timbul termasuk soal kebersihan, selain persaingan dengan destinasi peranginan berdekatan seperti Sepang yang terkenal dengan Pantai Bagan Lalang dan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Kesemua faktor itu menyebabkan kegemilangan Pantai Morib semakin pudar.

Penulis yang tinggal tidak jauh dari Pantai Morib iaitu sekitar 5 km sahaja jaraknya, mendapati sambutan pelancong terhadap pantai ini ‘kurang meriah’ suatu ketika dulu. Ini kerana soal kebersihan yang utama di mana air limpahan dari kandang ternakan babi telah dialirkan oleh pihak penternak ke laut. Justeru ia menjadi satu isu yang begitu besar sehingga menenggelamkan kesohoran Pantai Morib sebagai pantai pelancongan terkemuka di Selangor.



Taman tema air dari tempat penginapan


Tetapi kini, sejak landskap Pantai Morib diubahsuai seterusnya diperbaharui dengan pelbagai prasarana tambahan dilakukan, Pantai Morib semakin terkenal kembali. Isu air kandang babi kian dilupakan dan dari hari ke hari semakin ramai pengunjung yang datang ke pantai ini untuk berehat. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang datang bersama rakan dan tidak kurang juga yang datang bersama pasangan masing-masing.




Taman tema air yang ekslusif dan bertaraf mewah

Tidak berapa jauh dari Pantai Morib ini anda boleh mengunjungi Morib Gold Coast Resort. Berbanding Sepang Gold Coast atau Golden Palm Tree Sepang Gold Coast yang berkonsepkan penginapan ala hotel tengah laut bertaraf antarabangsa, Morib Gold Coast Resort lebih berkonsepkan penginapan sekeluarga di taman tema air.

Dikatakan juga bahawa Morib Gold Coast Resort merupakan antara sebab mengapa Pantai Morib kian terkenal semula. Morib Gold Coast Resort terletak kira-kira lima kilometer dari Pantai Morib dan berdekatan Istana Pantai Bahagia milik baginda Sultan Selangor. Kewujudan Morib Gold Coast Resort ini telah menukar persepsi negatif para pengunjung terhadap Morib yang sekian lama dihenyak oleh isu air kandang babi.



Morib Gold Coast dilihat dari laut


Sewaktu Morib Gold Coast Resort belum dibina, sejujurnya, penulis tidak menyangka ada tempat peranginan seperti itu akan dibuka di Morib memandangkan prestasi pantai itu yang tidak lagi sepopular dahulu, selain keliru dengan Golden Palm Tree Sepang Gold Coast. Tetapi selepas melihat sendiri keindahan landskap, taman tema airnya yang direka cantik, 40 gazebo tepi pantai yang dijadikan restoran makanan laut eksklusif serta kawasan pantai yang telah dibersihkan, membuatkan penulis teruja untuk membawa keluarga merasa sendiri menginap di pusat peranginan itu.

Apa yang boleh dikatakan, Gold Coast Morib mempunyai keunikan tersendiri. Terletak di tanah seluas 5.6 hektar dan dibina dengan pelaburan RM180 juta oleh usahawan terkenal Datuk Alex Tan, destinasi penginapan ini mula menerima pengunjung termasuk sepanjang musim cuti sekolah.



Salah sebuah kemudahan yang terdapat di Morib Gold Coast 


Menurut Pengurus Besar Gold Coast Morib Resort Sdn. Bhd., Lau Cheong Leong, buat masa ini hanya 448 studio suite lengkap dengan jakuzi yang dihias indah dengan konsep Bali, Jepun dan Oriental boleh disewa pengunjung pada harga promosi lebih kurang RM250.00 semalam. Beliau berkata, sebanyak 128 unit kondominium dua bilik dan 64 unit tiga bilik masing-masing berharga RM400 ke atas dan RM500 ke atas di resort tersebut.



Di bahagian belakang taman tema air ini terdapat khemah atau dewan terbuka yang dikhaskan untuk majlis pernikahan, hari jadi, kenduri tertentu dan sebagainya


Selain itu, katanya, Gold Coast Morib juga menyediakan tujuh bilik mesyuarat dan dewan bankuet yang unik kerana kesemua dinding dan bumbungnya diperbuat daripada kaca. Tambah beliau, pihaknya juga membuka tiga jenis restoran iaitu kopitiam yang menawarkan harga seperti kopitiam di luar, lounge dan restoran makanan laut yang memberi peluang kepada pengunjungnya memilih sendiri apa yang hendak dimakan di ‘pasar ikan’ yang disediakan.

Tetapi buat masa sekarang pengunjung yang datang menginap di sini hanya boleh makan di restoran sementara, mandi di taman tema yang boleh memuatkan 1,000 orang pada satu masa dan bersiar-siar di tepi pantai serta menikmati keindahan alam semula jadi dengan menyertai aktiviti river cruise di Sungai Jugra. Restoran makanan laut yang dinamakan Pavalion By The Sea pula menyediakan pelbagai jenis makanan laut segar dan di sini pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan live band, selain menikmati keindahan laut dan lampu berwarna-warni yang dipasang di semua pokok di kawasan itu.




betapa cantik dan selesanya Morib Gold Coast 

Pihak pentadbiran Gold Coast Morib juga menanam 150 pokok kelapa di pantai tempat peranginan ini agar suasana nampak lebih tropika dan hijau. Seterusnya Pengurus Besar Gold Coast Morib Resort Sdn. Bhd. itu memberitahu penulis bahawa pihaknya juga sedang membina 300 unit hotel bajet pada harga antara RM100 hingga RM150 semalam, lengkap dengan pusat membeli-belah yang mempunyai 300 unit kedai, dijangka siap pada tahun 2013.

Kata beliau, pembinaan hotel bajet adalah bagi memberi peluang kepada semua golongan yang mempunyai bajet kecil untuk datang bercuti ke Gold Coast Morib. Bagi penulis, Gold Coast Morib ini memang sesuai untuk keluarga, organisasi atau kumpulan yang ingin berseminar, syarikat yang mahu mengadakan hari keluarga serta pelancong tempatan dan luar yang cintakan alam semula jadi.

Setakat ini, Gold Coast Morib Resort telah menerima pengunjung luar negara dan banyak permintaan untuk mereka datang berkumpulan termasuk dari Taiwan, Korea dan Jepun memandangkan tempat ini begitu dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), iaitu kira-kira 35 minit perjalanan. Tidak lama lagi, Gold Coast Morib juga akan membuka taman tema air kepada orang ramai yang tidak menginap. Bayaran masuk adalah RM30 termasuk satu hidangan makanan untuk dewasa dan kanak-kanak (RM15).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA